KJ : Tuntutan Melaksana Tanggungjawab Sosial

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

1 Khutbah Jumaat SQ-shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “Tuntutan Melaksana Tanggungjawab Sosial”

 

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Di hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan daripada Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “TUNTUTAN MELAKSANA TANGGUNGJAWAB SOSIAL”.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Agama Islam menuntut umatnya agar sentiasa memperkasa sistem kehidupan bermasyarakat. Tanpa sokongan, kerjasama dan interaksi antara mereka, manusia tidak akan dapat mencipta budaya dan tamadun. Dalam Islam konsep tanggungjawab sosial adalah murni dan luas melangkaui agama, bangsa, warna kulit dan budaya.

Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 13:

 يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan(dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

Berdasarkan ayat tersebut, dapat difahami bahawa manusia diciptakan untuk saling kenal mengenali dan saling bekerjasama antara satu sama lain serta bantu-membantu demi membina kehidupan yang sejahtera dengan di dokong iman dan taqwa kepada Allah SWT. Dalam menghayati kehidupan, agama Islam amat menitikberatkan konsep tanggungjawab sosial, iaitu mengambil berat sesama manusia sebagaimana hadith Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredhai Allah.” (Riwayat at-Tabarani).

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Islam adalah agama persaudaraan. Ciri-ciri persaudaraan terkandung dalam nilai-nilai unggul seperti berbuat baik, berkasih sayang, hormat menghormati, tolong menolong, amanah, jujur, bertimbang rasa dan sebagainya. Justeru, nilai-nilai murni ini menjadi tunjang di dalam masyarakat. Oleh itu, tuntutan berbuat baik atau melakukan kebajikan tidak terbatas kepada ibu bapa, adik beradik, ahli keluarga atau orang-orang yang ada pertalian darah dengan kita sahaja. Kita dituntut berbuat baik atau melakukan kebajikan kepada sahabat handai, jiran tetangga, lebih-lebih lagi kepada mereka yang seagama dengan kita bahkan kepada semua manusia. Dalam hubungan ini berbuat baik termasuk juga terhadap haiwan dan makhluk-makhluk yang lain.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 148:

 وَلِكُلٍّۢ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا ۖ فَٱسْتَبِقُوا۟ ٱلْخَيْرَٰتِ ۚ أَيْنَ مَا تَكُونُوا۟ يَأْتِ بِكُمُ ٱللَّـهُ جَمِيعًا ۚ إِنَّ ٱللَّـهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari Kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Mafhum daripada ayat al-Quran tersebut, maka beruntunglah bagi orang atau sesiapa yang banyak memberi manfaat dan pertolongan kepada sesama manusia, suka memberi bantuan dalam kerja-kerja kebajikan atau berusaha mengurangkan penderitaan yang ditanggung oleh seseorang yang telah ditimpa musibah. Mereka ini sebenarnya memerlukan bantuan dan pertolongan daripada kita. Kita boleh membantu mereka samada berupa tenaga, wang ringgit atau sokongan moral.

Oleh itu, marilah kita berlumba-lumba untuk menjadi manusia yang banyak memberi manfaat bukannya manusia yang sering mendatangkan musibah seperti memecahbelahkan masyarakat, melakukan fitnah, membuat kekacauan dan mendatangkan huru hara. Jadilah kita insan yang suka memberi berbanding menjadi insan yang hanya suka meminta-minta. Ingatlah semua bahawa, seruan agama agar kita bersegera dalam membuat amal kebajikan, suka menolong dan membantu orang lain adalah amalan yang sangat mulia dan dikategorikan sebagai antara amal ibadah yang diredhai Allah SWT.

Dalam membantu mengukuhkan persaudaraan di kalangan masyarakat, pelbagai pihak termasuk pihak pemerintah, NGO dan juga orang awam dituntut untuk sama-sama menangani isu sosial. Melalui pelbagai pendekatan yang sedia ada, semua pihak perlu mengambil peranan dan tanggungjawab, sebagai salah satu ibadah dan amal kebajikan.

Ibnu Qayyim Rahimahu Allah menyatakan bahawa: “Sesiapa yang berbuat baik kepada orang lain. Allah akan berbuat baik kepada dirinya, dan sesiapa yang bersifat rahmah kepada orang lain, Allah akan bersifat rahmah kepadanya, dan sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepada dirinya, dan sesiapa yang menutup keaiban orang lain, maka Allah akan menutup keaibannya, dan sesiapa yang menegah kebaikan orang lain, maka Allah akan menegah kebaikan kepadanya dan sesiapa yang berhubung kepada yang lain dengan sifat tertentu Allah akan bermuamalah dengannya sama dengan sifat itu di dunia dan di akhirat. Oleh yang demikian perbanyakkanlah membantu atau menolong orang yang memerlukan bantuan kerana Allah”.

Saidina Umar RA pernah berkata dalam doanya: “Ya Allah! Engkau limpahkanlah kelebihan rezeki itu kepada orang-orang yang merupakan orang-orang pilihan antara kita, sebab barangkali mereka itu akan mengembalikan rezeki tadi kepada orang-orang yang berhajat di antara kita”.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seseorang muslim yang memberi pakaian kepada orang muslim yang lain, kecuali ia di dalam lindungan Allah SWT selama pakaian itu masih ada, sekalipun sehelai kain.” (Riwayat al-Tirmizi)

Inilah masanya…mimbar Jumaat menyeru para jamaah dan seluruh umat Islam agar sama-sama menyemarakkan amalan tanggungjawab sosial sesama kita. Kerana sesungguhnya tersirat seribu rahsia dan hikmah di sebalik semangat tersebut. Semoga hubungan yang baik dan semangat tolong menolong dapat mengukuhkan lagi ikatan ukhuwah sesama Islam. Dengan keberkatan hari Jumaat ini, marilah kita menarik nafas keimanan dan cubalah bertanya kepada diri kita sendiri, di manakah kedudukan kita selama ini? Adakah kita telah menjadi manusia yang bermanfaat kepada manusia yang lain ataupun sebaliknya?. Renungilah pepatah melayu yang menyebut “bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat” dan “berat sama dipikul ringan sama dijinjing”.

Pepatah ini amat sesuai dan selari dengan tuntutan Islam kerana ianya dilihat menjadi suatu permulaan atau kunci ke arah membentuk perpaduan di kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi dalam keadaan dan suasana semasa serta sehaluan dengan apa yang diingatkan oleh pihak pemerintah pada hari ini. Justeru Islam menggalakkan umatnya sentiasa bekerjasama dan berpadu tenaga dalam semua perkara yang positif demi untuk mencapai kebaikan dan kesejahteraan ummah dan dalam masa yang sama sebagai usaha untuk mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, beberapa pengajaran dapat disimpulkan di antaranya:

Pertama: Bahawa manusia tidak boleh hidup bersendirian. Oleh sebab itu, manusia tidak dapat lari dari hidup bermasyarakat yang saling memerlukan dan saling bergantung antara satu sama lain.

Kedua: Masyarakat yang hidup saling tolong menolong dan dalam suasana ukhuwwah, akan pasti berada dalam keadaan aman dan sejahtera, makmur dan bahagia.

Ketiga: Tuntutan menunaikan tanggungjawab sesama umat Islam atau melaksanakan hak mereka merupakan salah satu dari cabang iman. Sesiapa yang melaksanakan tuntutan ini akan mendapat ganjaran pahala serta dikasihi Allah SWT dan Rasul SAW.

Keempat: Semangat bantu membantu dan hidup berkasih sayang serta bertolak ansur dapat membentuk perpaduan yang jitu. Di samping ia dapat menghindarkan dari anasir-anasir yang tidak sihat, perbuatan khianat, fitnah dan sebagainya yang boleh mengancam kehidupan masyarakat.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah Fussilat ayat 34:

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

Bermaksud: “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib”.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Tuntutan Melaksana Tanggungjawab Sosial”

(25 April 2014 / 25 Jamadilakhir 1435H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

One response to this post.

  1. Salam, mohon copy

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: