KJ :  Taqwa Asas Keluhuran Pekerja

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Jumaat 2.

Khutbah Jumaat: “Taqwa Asas Keluhuran Pekerja”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَۖ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَاۖ وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ.

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

.

Muslimin yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “TAQWA ASAS KELUHURAN PEKERJA.”

.

Muslimin yang Dirahmati Allah,

Percayalah dengan sesungguhnya, bahawa kita semua sebagai seorang beragama Islam, seterusnya mengaku beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, maka kita diperintah supaya takut kepada Allah pada setiap masa dan tempat agar setiap perbuatan, perkataan malah niat kita tidak mudah terpesong daripada akidah dan syariat Islam. Oleh itu, kejayaan umat Islam dalam seluruh kehidupannya sangat berkait rapat dengan sejauh mana rasa takut atau ketaqwaannya kepada Allah SWT.

Yakin dan percayalah bahawa mereka yang bertaqwa akan dimuliakan oleh Allah manakala yang hilang rasa taqwa akan dihina oleh Allah di dunia dan akhirat. Persoalan besar timbul di sini apakah yang dimaksudkan dengan taqwa yang sebenarnya, secara ringkasnya mimbar yang mulia ini ingin menyatakan taqwa itu ialah melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya.

Menurut Abu Hurairah RA orang yang bertaqwa, seumpama mereka yang terpaksa melalui sebatang jalan yang dipenuhi duri maka semestinya dia akan berusaha mengelak, berundur atau cermat semasa melangkah agar tidak terpijak duri itu. Begitulah keadaan orang yang bertaqwa di mana setiap kali mahu melakukan sesuatu maka diperhatikan terlebih dahulu samada ia dibenarkan oleh Allah atau sebaliknya. Menurut Saidina Ali Karramallahu wajhah, ada empat ciri utama taqwa iaitu:

Pertama: sentiasa takut kepada Allah dalam setiap perkara,

kedua: sentiasa redha dengan pemberian Allah walaupun sedikit,

ketiga: sentiasa melaksanakan apa yang diwahyukan dalam al-Quran dan

keempat: sentiasa bersedia dengan bekalan terbaik bagi menghadapi kehidupan akhirat yang kekal abadi.

 .

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Talaaq ayat 2:

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًۭا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya )Serta memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.”

Berdasarkan kepada ayat ini kita dapati, banyak kelebihan dan balasan yang bakal diperolehi bagi orang yang bertaqwa, antaranya ialah Allah SWT akan memberi hidayah dan petunjuk baginya jalan keluar daripada segala perkara yang menyusahkannya, akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Allah SWT memudahkan baginya dalam semua urusannya, mengampuni segala kesalahannya dan akan menggandakan pahala balasan amalannya.

.

.

Muslimin yang Dirahmati Allah,

Bagaimana kita boleh mencapai darjah taqwa dalam kehidupan ini, sedangkan dalam masa yang sama kita sebagai pekerja bermajikan? Adakah dalam masa menjalankan tugas, kita boleh korbankan amanah, kejujuran, integriti diri dan sebagainya. Atau pergi ke masjid kemudian duduk beriktikaf dalam masjid sepanjang hari sehingga tamat waktu bekerja. Adakah cara seumpama ini boleh diambil kira sebagai mencapai darjah taqwa?.

Justeru, marilah sama-sama kita muhasabah diri agar perkara-perkara negatif dalam masa menjalankan tugas harian hendaklah diganti dengan tugas-tugas yang boleh mencapai hasrat majikan dan dalam masa yang sama memenuhi eskpektasi pelanggan. Oleh itu, pekerja-pekerja bertaqwa mestilah berperanan untuk memberi perhatian kepada tugas dan tanggungjawab berikut:

Pertama: melaksanakan hak Allah SWT dan

Keduanya: melaksanakan muamalah sesama manusia mengikut lunas-lunas Islam sebenar seperti dalam politik, undang-undang, pendidikan, ekonomi, pertanian, kesihatan dan sebagainya.

Mimbar amat yakin jika kita dapat memenuhi dengan penuh ketaqwaan dalam melaksanakan dua sasaran ini, InsyaAllah dengan izin-Nya kita akan memperolehi kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

Bagaimanapun isu yang sering menjadi perbahasan hangat mengenai pekerja pada hari ini ialah dalam usaha untuk memberi perkhidmatan yang dapat memenuhi dua hak iaitu hak Allah SWT dan hak manusia. Islam telah memberi peringatan kepada umatnya supaya sentiasa menjaga batasan halal dan haram, melaksanakan amalan berbuat baik, cemerlang dan menjaga kualiti dalam melakukan setiap pekerjaan. Ketika mengulas perkara yang sama mengenai kualiti dalam  melaksanakan sesuatu pekerjaan,

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah Azza Wajalla sangat suka (bahkan cinta) jika seseorang daripada kamu, apabila melakukan kerja, maka dia bekerja dengan tekun.” (Riwayat Baihaqi)

Berdasarkan pemerhatian mimbar, dengan memahami dan menghayati sifat taqwa ini akan membantu umat Islam mewujudkan pekerjaan yang berkualiti. Pekerja yang bertaqwa akan memiliki sifat sabar dan redha kepada apa sahaja yang Allah SWT timpakan kepadanya. Dengan sifat taqwa, akan melahirkan pekerja yang bertanggungjawab, beristiqamah dengan suruhan Allah SWT dan sekaligus mengutamakan kepentingan pelanggan dalam melakukan tugasannya, samada ketika berhadapan dengan orang ramai atau di tempat yang sunyi, samada ketika bersama dengan majikan ataupun ketika ketiadaan majikan.

.

.

Muslimin yang Dirahmati Allah,

Mimbar ingin menarik perhatian bahawa beberapa isu yang telah berlaku dalam masyarakat pada hari ini akibat tidak ada taqwa di dalam diri seseorang pekerja. Kita didedahkan dengan pelbagai kes pecah amanah, tidak jujur, tidak beretika malah hilang integriti dalam sektor perkhidmatan, perniagaan dan sebagainya.

Malahan dalam urusan yang melibatkan ibadah pun tidak sunyi daripada gejala tidak bermoral, seumpamanya kes penipuan dalam pakej perlaksanaan ibadah umrah. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia kes penipuan yang melibatkan pakej umrah pada tahun 2010 sehingga 2013 adalah sebanyak 1826 kes dengan kos kerugian kepada jemaah melebihi RM10 juta.

.

.

Muslimin yang Dirahmati Allah,

Bekerja atas dasar taqwa untuk memenuhi hak Allah SWT dan keperluan manusia sejagat akan memperkasa jati diri dan meningkatkan harga diri pekerja. Oleh itu, pekerja hendaklah sentiasa melengkapkan diri dengan asas-asas taqwa supaya terhindar diri dari melakukan perbuatan keji, tercela seperti melakukan kerosakan, penipuan, rasuah, mencuri tulang, ponteng kerja, dan perbuatan-perbuatan negatif yang lain.

Perbuatan mendapatkan rezeki atau kekayaan, dengan jalan haram, dengan jalan penipuan, rasuah, penyelewengan dan lain-lain adalah ditegah.

Ingatlah wahai para jemaah dan umat Islam sekalian, bahawa wang kekayaan yang didapati dengan cara haram apalagi dengan menganiaya pihak lain dengan merugikan orang lain adalah wang dan kekayaan yang tidak berkat. Kekayaan secara haram hakikatnya tidak membawa kesenangan dan kebahagian dalam hidup, tetapi akan membawa kesengsaraan dan kecelakaan di dunia dan akhirat.

Jiwa manusia, jiwa pekerja pada asalnya adalah jiwa yang suci. Tetapi apabila harta yang diperolehi secara tidak halal pasti ianya tidak dapat memberi kebaikan pada jiwa kita.

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru semua golongan pekerja, sempena sambutan Hari Pekerja 2014 yang bertemakan: Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi, maka marilah sama-sama kita memperkasa jati diri dengan menghayati sifat taqwa supaya setiap amalan dan pekerjaan kita memenuhi standard piawaian Allah yang ditetapkan dan memberi kepuasan kepada manusia sejagat.

Oleh itu, marilah kita tanamkan niat yang ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT di samping mengharapkan pekerjaan itu diterima sebagai ibadah dan amal soleh. Di samping itu perkerja hendaklah sentiasa mengamalkan sifat sabar dan bertawakal serta berdoa kepada Allah SWT dalam menghadapi ujian dan godaan dalam pekerjaan.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 105:

وَقُلِ ٱعْمَلُوا۟ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُۥ وَٱلْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَٰلِمِ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah SWT. dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah SWT yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Mempercayai Adanya Hari Pembalasan”

(18 April 2014 / 18 Jamadil Akhir 1435)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: