KJ : Ibu Di Hati, Syurga Menanti

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

download.

Khutbah Jumaat: “Ibu Di Hati, Syurga Menanti”

 

.

KJ - Memakmurkan Ibu Di Hati, Syurga Menanti

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “IBU DI HATI, SYURGA MENANTI”.

 .

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Ibu bapa merupakan insan yang paling mulia dan berjasa dalam kehidupan seorang anak. Belaiannya memenuhi setiap ruang nadi kehidupan sehingga memancarkan kedamaian dari celah-celah hati dan wajahnya. Ketulusan hati dan ketinggian budinya menghiasi persada nurani membekalkan harapan dalam menghadapi cabaran masa depan.

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa keagungan ajaran Islam mewariskan segala aspek kehidupan termasuk hubungan antara anak dengan ibu bapa. Jika anak mengabaikan tanggungjawab tersebut maka musnahlah sendi agamanya dan hancurlah nilai kehidupannya. Kederhakaan anak akan mewariskan penderitaan berpanjangan dan menguburkan keberkatan dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Percayalah, hanya anak yang soleh sahaja yang akan menikmati makna hakiki dari kehidupannya. Justeru, Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar dan tidak ternilai. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk masa depan anak-anak.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 23-24:

 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا ﴿٢٣﴾ وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا ﴿٢٤

 Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

 .

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Tidak dapat dinafikan bahawa kasih sayang seorang ibu mengatasi segalanya, tidak dapat dinilai dengan emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Berdasarkan sifat dan naluri keibuan, maka tidak hairan kasih sayang dan pengorbanannya melebihi segalanya malah tiada seekor nyamuk dan lalat dibiarkan hinggap di tubuh badan kita. Tidak hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap anak-anaknya walaupun sesaat, kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan ke mulut dan tidak dapat melelapkan mata kerana teringatkan anak-anaknya dan ada ketikanya air mata syahdu mengalir di pipinya kerana mengenang dan merindui akan kehadiran anak-anak di depan matanya.

Justeru mimbar ingin mengingatkan jemaah sekalian agar bertanyakan diri sendiri sejak bilakah kali terakhir kita bertemu dengan mereka, menatap wajah dan mencium tangan mereka?.Ambillah kesempatan yang ada ini untuk berbakti dan menabur jasa terhadap mereka sepanjang hidup kita.

Di alam remaja dan dewasa pula, kebiasaan kita sebagai anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Ketika kita berhadapan dengan masalah kita akan luahkan kepada ibu, kita lebih mesra dan suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika kita dalam keadaan sakit, kita lebih suka ibu yang merawat dan menjagai kita. Kalau hendak makan, kita lebih suka masakan ibu, bahkan lebih daripada itu, minta ibu yang suapkan makanan ke mulut kita.

Begitu juga ketika kita hendak memasuki gerbang perkahwinan, kita masih mengharapkan bantuan ibu bahkan hal-hal yang remeh seperti untuk memilih pakaian harian pun kadang kala bertanyakan ibu sama ada sesuai atau pun tidak. Begitulah betapa manja dan mesra anak terhadap ibunya. Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya.

Allah SWT berfirman dalam surah Luqman ayat 14:

 وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ ﴿١٤

Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.”

Betapa besarnya pengorbanan ibu-bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Inilah persoalan yang perlu direnung setiap anak, apakah mereka sudah menunaikan kewajipan terhadap ibunya.

Sebuah Hadith Rasulullah SAW menceritakan tentang siapa yang layak bagi seseorang untuk berbuat kebaikan:

Maksudnya: “Siapakah yang paling berhak saya berbakti dan berbuat baik? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersabda “Ibumu”. Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersabda: Ayahmu.” (Riwayat al- Bukhari)

 .

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama menginsafi dan muhasabah diri tentang peristiwa-peristiwa yang telah terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Wahai ibu-ibu dan bapa-bapa yang dibekalkan oleh Allah dengan sifat kasih dan sayang, renungkanlah di sebalik kisah-kisah menyayat hati dan tragedi-tragedi yang berlaku dengan penemuan-penemuan bayi malang yang mati dan dibuang dalam takungan najis, dalam sungai, tempat pembuangan sampah, dalam semak dan ada yang menjadi makanan kepada anjing-anjing liar di sana sini. Bahkan bayi yang tidak berdosa ada yang dilemparkan dari tingkat atas bangunan. Bagi yang mengutamakan kehidupan sosial dan mementingkan ekonomi pula sanggup memperdagangkan wanita dan menjual bayi di pasaran gelap.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 31:

 وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا ﴿٣١

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar”.

Fenomena negatif anak-anak terhadap kedua orang tuanya pula, ada yang sanggup membuang dan meninggalkan ibu bapa yang sudah uzur di rumah-rumah kebajikan, di perhentian teksi, bas dan di hospital kerana tidak sanggup untuk menjaga dan merawat ibu bapa yang sedang sakit.

Anak-anak derhaka juga sanggup memberi alasan kononnya mereka ini sibuk tiada masa untuk menjaganya atau jika mereka bersama akan menyusahkan kehidupan. Lebih menyedihkan terdapat ibu bapa yang telah ditempatkan di rumah kebajikan ini merayu kepada anak-anak supaya mengambil mereka kembali untuk tinggal bersama tetapi tidak diendahkan. Selain itu terdapat juga anak-anak lebih memuliakan dan menghormati kawan-kawan dan sahabat handai berbanding dengan layanan kepada ibu bapa mereka.

Islam menganjurkan agar setiap anak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selagi suruhan tersebut tidak melanggari syariat Islam. Jika anak-anak mengingkari perintah ibu bapa, maka itu adalah derhaka dan satu dosa besar. Walau hanya menyebut ungkapan ‘uuh’ atau ‘aah’ dikira sebagai menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak mencerca, memaki dan memukul bapa mereka dengan sebab teguran bapa angkara perbuatan maksiat anak perempuan di hadapan matanya, bahkan di zaman ini ada yang berlagak sebagai tuan atau memperhambakan kedua ibu bapa mereka dan seterusnya menyaman ibu bapa atas sebab-sebab harta, perwalian dan sebagainya.

Subhanallah! Wahai anak-anak..perbuatan kamu ini menggambarkan semakin ramai anak-anak mengabaikan tanggungjawab dan tidak memberi penghormatan yang sewajarnya terhadap ibu bapa mereka. Situasi ini menjelaskan kepada kita bahawa kejatuhan nilai murni di kalangan generasi muda semakin meruncing dan membimbangkan.

Cuba kita bayangkan ibu bapa kita yang telah kedut kulit ditelan usia dan lesu kerana keletihan atau terketar-ketar kerana ditimpa penyakit diletakkan di tempat yang tidak sesuai bagi mereka. Bagaimana perasaan anda?.Sebagai seorang anak atau sebagai ibu dan bapa? kerana sepatutnya mereka ketika usia sebegini dijaga, dibelai dengan penuh kasih sayang daripada seorang anak. Mereka sangat mengharapkan pertolongan dan perhatian anak-anak, mereka juga mengharapkan di penghujung hidup ini akan meninggalkan anak-anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.

Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu: Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya.” (Riwayat Muslim)

 .

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Perlu diinsafi, bahawa syurga bagi seorang anak di bawah tapak kaki ibu. Justeru, ketidakredhaan ibu bapa kepada sikap keji anak-anak ini mengundang kemurkaan Allah SWT. Selama mana kita tidak diredhai oleh ibubapa, selama itu juga kita hidup dalam kemurkaan dan kederhakaan terhadap Allah SWT.

Sepertimana kisah ‘Alqamah di zaman Rasulullah SAW. ‘Alqamah telah ditimpa sakit yang amat teruk dan dia didapati gagal mengucap kalimah syahadah ketika hampir saat kematiannya walaupun sahabat-sahabat Rasulullah SAW telah mengajar dan memperdengarkan kalimah syahadah itu berkali-kali sehinggakan Rasulullah terpaksa memanggil ibu ‘Alqamah untuk bertanyakan apa hal sebenarnya yang telah berlaku.

Ibu ‘Alqamah telah menerangkan kepada Rasulullah SAW bahwa kemarahan bersarang di hatinya kerana anaknya itu lebih mengutamakan isteri daripada ibunya sendiri. Renungkanlah sidang jamaah sekalian, walaupun ‘Alqamah adalah seorang ‘Abid yang jauh dari perbuatan maksiat dan perbuatan sumbang, yang sangat taat dan kuat ibadatnya kepada Allah SWT, rajin bersolat, berpuasa dan bersedekah tetapi disebabkan sedikit kemarahan daripada ibunya, Allah SWT telah menghalang lidahnya untuk mengucapkan kalimah syahadah.

Justeru, Islam memberi amaran keras terhadap mereka yang gagal melaksanakan hak-hak dan tanggungjawab sebagai anak terhadap kedua ibu bapa, menderhaka atau membiarkan mereka yang sudah lanjut usianya menjalani kehidupan yang sukar dan menyedihkan.

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang suka menunjuk-nunjuk pemberiannya, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan orang yang ketagihan minuman keras.” (Riwayat an-nasai)

 .

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Mimbar menyeru, marilah sama-sama kita membudayakan amalan memuliakan dan menghormati ibu bapa, menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap ibu. Memberi kasih sayang kepada mereka bukan sekadar memberi hadiah bahkan seluruh jiwa dan raga kita serahkan kepada ibu.

Mimbar mengingatkan bahawa tabiat semulajadi manusia adalah untuk menyayangi zuriat mereka. Tiada ibu bapa yang mudah luntur kasih sayang mereka terhadap anak-anak. Bahkan mereka akan berkorban apa saja yang termampu demi anak-anak. Sebagai anak, jangan kita lupa akan kasih sayang dan pengorbanan mereka. Gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta perbanyakanlah doa keampunan kepada mereka.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru ambillah kesempatan yang ada ini untuk menyayangi mereka sebelum mereka atau kamu didatangi ajal. Kewajipan anak-anak telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya surah al Isra’ ayat 24:

 وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا ﴿٢٤

Maksudnya: “Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Ibu Di Hati, Syurga Menanti”

(9 Mei 2014 / 9 Rejab 1435H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: