KJ : Guru Pembina Kecemerlangan Ummah

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

guru_mengajar.

Khutbah Jumaat: Guru Pembina Kecemerlangan Ummah

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل

kj guru

.

Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk; “GURU PEMBINA KECEMERLANGAN UMMAH”.

.

.

Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah,

Yakin dan percayalah bahawa menuntut ilmu merupakan paksi kepada kecemerlangan ummah. Oleh itu, ianya memerlukan kesungguhan dan komitmen untuk mendapatkannya. Maka dengan sebab itu hubungkait seorang guru dengan ilmu itu sangatlah rapat dan agama Islam meletakkan darjat yang tinggi seseorang yang berilmu.

Demikian tinggi dan mulianya kedudukan guru serta dihormati sehingga Allah SWT berfirman dalam surah al-Mujadalah ayat 11:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّـهُ لَكُمْ ۖوَإِذَا قِيلَ انشُزُوا فَانشُزُوا يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ﴿١١

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Apabila kamu diminta memberi lapang dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan melapangkan untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan.

 

Sememangnya guru adalah insan mulia kerana mereka telah diamanahkan untuk menyampaikan ilmu dan mentarbiah masyarakat, mereka diibaratkan seperti bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan lautan. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

Maksudnya: Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan.

 

Dalam sejarah ketamadunan Islam, guru atau para ulama adalah golongan yang amat dihormati oleh masyarakat dan golongan pemerintah. Bukan menjadi sesuatu yang menghairankan jika seorang khalifah sanggup berjalan ke rumah seorang ulama, semata-mata untuk menuntut ilmu dan duduk bersama dengan mereka.

Kisah Imam Malik yang merupakan contoh sebagai seorang murid yang menghormati guru. Jika ada sesuatu persoalan dikemukakan kepadanya, ia lebih suka merujuk kepada gurunya terlebih dahulu.

Beliau pernah berkata: Aku tidak mahu menjawab permasalahan ini sebelum aku bertanya terlebih dahulu kepada orang yang lebih alim daripadaku. Apakah pendapatku ini lebih bertepatan dengan kebenaran.

Lihatlah bertapa sikap merendah diri dan rasa hormat seorang Imam dan ulama terbilang seperti Imam Malik.

Pernah Saidina Ali Karramallahu Wajhah berkata: Aku bersedia menjadi hamba kepada orang yang mengajarkanku walau satu huruf. Jika mahu, dia boleh menjualku. Jika mahu, dia boleh menjadikanku hamba, dan jika mahu dia boleh memerdekakanku”.

Begitulah betapa hebatnya peribadi sahabat besar Rasulullah SAW. Betapa mereka memuliakan guru serta menjaga adab dengannya, sehingga Allah SWT menjadikan mereka insan yang mulia dunia dan akhirat.

 .

.

Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah,

Dewasa ini kita menyedari bahawa kerjaya sebagai guru merupakan tugas yang penuh dengan cabaran. Antaranya ialah kekangan masa, ancaman gejala sosial sertaberhadapan dengan karenah pelbagai pihak termasuklah cabaran mendidik pelajar yang pelbagai ragam dan karenah.

Bayangkanlah, pada hari ini kita dapat melihat para pelajar terdedah dengan bermacam-macam anasir luar seperti hiburan yang melampau, leka dengan media sosial yang pelbagai jenama. Ini menjadikan proses mendidik mereka berhadapan dengan kesukaran dan memerlukan masa yang panjang.

Fenomena ini bertambah parah apabila rasa hormat kepada guru semakin terhakis di kalanganmurid. Justeru, tugas guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi ia juga berperanan sebagai murrabi untuk membentuk bangsa supaya menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti di dunia dan di akhirat.

Mereka berada di saf hadapan untuk membangun bangsa yang cemerlang yang akan menentukan sebuah negara yang maju, aman dan dihormati. Pepatah arab ada menyebut bahawa:

 “Tugas seorang guru itu hampir-hampir menyamai tugas seorang rasul”.

 .

.

Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah,

Yakinlah ummah yang cemerlang ianya haruslah bermula daripada orang yang mendidik mereka, keupayaan ini mestilah daripada guru yang cemerlang. Namun ianya haruslah didokong bersama oleh masyarakat terutama ibu bapa seperti kata pepatah “berat sama dipikul ringan sama dijinjing”. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 2:

  وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖإِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ 

Maksudnya: “dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan (kebaikan) dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Allah sesungguhnya Maha Berat Azab siksanya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya)”.

 

Inilah masanya, ibu bapa dan masyarakat hendaklah seiring dan bersama-sama dalam membina ummah dengan menginstitusikan keluarga, masyarakat dan persekitaran sebagai sekolah. Ingatlah..ibu bapa mesti mewujudkan suasana pembelajaran di rumah dan persekitaran dengan memberi perhatian yang serius terhadap kehidupan seharian anak-anak dan sentiasa peka terhadap perkara-perkara yang boleh merosakkan nilai dan jati diri anak-anak.

Berapa ramaikah ibu bapa yang mengajar anak-anak untuk menghormati guru? Berapa ramaikah ibu bapa yang menerapkan kedalam minda anak-anak supaya mereka sayangkan islam, sayangkan bangsa dan sayangkan tanah air?

Sedarlah wahai ibu bapa tentang peranan kita dan lakukanlah ‘mind setting’ kepada minda anak-anak kita sebelum minda mereka dikuasai oleh musuh-musuh Islam. Sesungguhnya, akhlak mulia merupakan teras kepada pembinaan modal insan.

Ingatlah pesan Saidina Ali Karramallahu Wajhah yang bermaksud: Bukan kecantikan itu menghiasi diri dan pakaian, sesungguhnya kecantikan itu menghiasi diri dengan ilmu dan adab. Bukanlah yatim itu seseorang yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab.

Mimbar percaya hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak guru amat penting agar usaha mengasuh dan mendidik anak-anak berjalan dengan lancar dan sempurna. Malahan dibantu pula oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru yang sentiasa berusaha memainkan peranan penting demi membina kecemerlangan anak-anak.

Ibu bapa dan masyarakat juga perlu menjalin hubungan yang erat dan berterusan dengan pihak sekolah agar setiap permasalahan yang ditimbulkan oleh anak-anak dapat diselesaikan secara muhibah.

Imam al-Syafie pernah berkata bahawa ilmu pengetahuan tidak akan dapat dicapai kecuali dengan 6 perkara iaitu kecerdikan, kesungguhan, kemajuan, perbelanjaan yang cukup, selalu mendampingi guru dan masa yang lama.

.

.

Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah bersempena dengan sambutan Hari Guru pada tahun ini, yang bertemakan: Guru: Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi. Ia suatu hasrat yang murni dalam usaha yang berterusan untuk terus membangunkan kualiti pendidikan di negara kita sehingga bertaraf dunia.

Hasrat tersebut terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Ia bertepatan dengan visi Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.

Marilah kita memanjatkan doa kehadrat Allah SWT supaya matlamat kita untuk melihat generasi yang cemerlang terlaksana dengan sempurna melalui pendidikan berkualiti yang disampaikan oleh para guru.

Marilah sama-sama kita menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru melalui tindakan berikut:

Pertama: Mendoakan kebahagian buat guru-guru, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Kedua: Menziarahi guru-guru untuk mengeratkan silaturrahim.

Ketiga: Menghulurkan apa juga bentuk sumbangan mengikut kemampuan masing-masing kepada institusi pendidikan.

Keempat: Berkatalah dengan lemah-lembut danjangan sekali-kali menyakiti hati guru.

Kelima: Ucapkanlah terima kasih kepada guru-guru dan semua insan yang pernah menabur bakti dan budi kepada kita.

Buat para guru pula, mimbar berpesan teruslah beristiqomah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran dalam menyampaikan ilmu kepada anak bangsa, mudah-mudahan akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Selain itu, mimbar juga ingin berpesan, walaupun belum mendidik pada masa kini banyak diserahkan kepada guru. Namun para ibu bapa perlu ingat, bahawa dalam Islam ibu bapalah yang semestinya mengambil tanggungjawab memberi pendidikan kepada anak-anak mereka sehingga mereka menjadi seorang yang berilmu, beriman dan seterusnya patuh dengan suruhan Allah SWT.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّـهُ لَكُمْ ۖوَإِذَا قِيلَ انشُزُوا فَانشُزُوا يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ﴿١١

Maksudnya“Wahai orang yang beriman! Apabila kamu diminta memberi lapang dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan melapangkan untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan”.

 .

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Guru Pembina Kecemerlangan Ummah

(16 Mei 2014 / 16 Rejab 1435H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: