KJ :  Belia Berakhlak Penyelamat Negara

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Jumaat-shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “Belia Berakhlak Penyelamat Negara”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan usaha ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, di samping kita berusaha mempertingkatkan pembangunan dan pendidikan anak-anak dan ahli keluarga agar menyempurnakan kewajipan masing-masing.Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “BELIA BERAKHLAK PENYELAMAT NEGARA”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Menurut Akta Pembangunan Belia 2007, golongan belia adalah merujuk kepada mereka yang berumur di antara 15 hingga 40 tahun. Berdasarkan statistik pada tahun 2013, golongan yang mempunyai umur ini ialah seramai 13.7 juta iaitu lebih daripada 48% daripada komposisi penduduk Malaysia yang telah melebihi 28 juta orang.

Berdasarkan peratusan yang besar ini dan selari dengan tema sambutan Hari Belia Pada Tahun Ini: Dari Belia Untuk Belia, maka amat wajar golongan ini diasuh, dididik dan dibimbing menjadi generasi belia berakhlak. Secara umumnya belia berakhlak adalah merujuk kepada belia yang bertaqwa, berkeperibadian mulia serta berupaya menyelamatkan dirinya dari pengaruh hidup budaya berdosa.

Berdasarkan kepada sirah Rasulullah SAW selain sebagai pemimpin umat, Baginda adalah seorang ketua pendakwah negara yang memberi penekanan khusus membimbing belia dengan cara menggesa mereka sentiasa taat beribadah kepada Allah, berakhlak mulia, menjaga kesihatan akal, kebersihan jasmani dalam semua sudut yang membawa kepada kesempurnaan peribadi. Bimbingan ini akan mencorakkan jati diri yang beramanah dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya kelakuan pelik dan menyeleweng”. (Riwayat Ahmad)

.

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa sebagai golongan yang akan membawa hala tuju negara, adalah penting untuk kita mengenalpasti arah tuju yang sudah semestinya amat berkait rapat dengan hala tuju negara dan matlamat akhir yang ingin dicapai perlu memberikan kepuasan dan kebahagian dalam kehidupan terutamanya kehidupan yang kekal abadi di alam akhirat.

Persoalan yang perlu difikirkan bersama, apakah ertinya kemajuan dan pembangunan seandainya akhlak dan adab ummah semakin merosot? Apakah ertinya kemajuan dan pembangunan sekiranya masyarakat hidup dalam kekalutan dan kerisauan? Apakah ertinya kemajuan dan pembangunan sekiranya jenayah dan pelbagai salah laku masih berleluasa?

Sedangkan sebenarnya apabila kita bercakap mengenai pembangunan dan kemajuan, sudah tentulah ia merujuk kepada proses perubahan daripada satu keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih baik.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Dalam pembentukan akhlak yang mulia ini, Islam telah menggariskan pelbagai panduan yang berasaskan al-Quran dan Hadith yang perlu dipatuhi kita sebagai umat Islam yang bertaqwa kepada Allah SWT dan mengaku bahawa pemimpin kita ialah junjungan besar nabi Muhammad SAW.

Sesungguhnya agama Islam berkehendakkan supaya setiap umatnya menjadi sebaik-baik manusia yang sempurna keperibadiannya, mulia budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik kepada orang lain. Justeru akhlak serta keperibadian Rasulullah SAW adalah yang paling sesuai untuk dijadikan ikutan.

Generasi belia yang mempunyai akhlak dan budi pekerti yang tinggi menjadi cita-cita negara kita dalam membentuk dan menggerakkan ummah yang bertamadun yang dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia.

Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi seorang tokoh ulama’ semasa yang amat berpengaruh menyatakan, “Apabila kita hendak melihat wajah sesebuah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Sekiranya golongan muda hari ini adalah daripada kalangan berakhlak, tentunya sesebuah negara itu akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur, tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”.

Justeru, menjadi tanggungjawab mimbar mengingatkan sidang Jumaat dan umat Islam sekalian bahawa akhlak dan tingkah laku golongan belia masa kini merupakan cerminan masa depan sesebuah negara.

Oleh itu, golongan ini begitu penting dalam membawa perubahan daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju dan terbaik kepada cemerlang. Kepada para belia mereka dituntut segala jiwa dan raga demi menjamin kemajuan dan keamanan sebuah negara dan hendaklah bertindak sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Sebagai belia Islam kita mestilah membina jati diri dan sahsiah yang dapat menyelamatkan maruah dan harga diri umat Islam. Ingatlah.bahawa tanggungjawab untuk mempertahankan agama Islam adalah amanah yang mesti dilaksanakan oleh setiap umat terutamanya dari golongan belia.

Marilah wahai belia..kita bangun dengan penuh kebijaksanaan dan penuh keberanian bagi mempertahankan agama islam dan negara tercinta. Janganlah sesekali kita biarkan islam dihina dan diperlekehkan. Buktikanlah pada negara bahawa belia Islam adalah belia yang terbaik, mampu menjadi contoh dan layak untuk memimpin negara di masa hadapan.

Usahlah kita terpengaruh dengan agenda licik pihak yang tidak bertanggungjawab yang mahu ‘mempergunakan’ belia hanya untuk menjayakan agenda jahat mereka. Sesungguhnya..besarlah kejayaan buat mereka jika ada di kalangan belia yang ‘berjaya diperalatkan’ bagi menjatuhkan Islam dan umatnya.

.

.

Sidang Jumaat dan Umat Islam Sekalian,

Kita sedar dalam zaman dan teknologi yang canggih serta ledakan teknologi maklumat yang merentasi sempadan ini ditambah lagi budaya hiburan yang sangat sebati dalam jiwa anak muda cabaran adalah semakin meningkat. Isu-isu yang dikaitkan dengan belia seperti dadah, pembuangan bayi, jenayah rogol, lepak, ponteng sekolah dan sebagainya adalah berpunca daripada penyelewengan akhlak dan kegelojohan hawa nafsu serta dipengaruhi oleh budaya asing.

Namun, mimbar yang mulia ini ingin mengingatkan bahawa jangan dibiarkan api mendekati minyak, kerana ia akan menyemarakkan lagi api tersebut. Begitu juga dengan penyebaran budaya yang menyemarakkan gelojak nafsu dan syahwat melalui media elektronik, internet atau CD/VCD yang sangat mudah diperolehi dan murah pula harganya.

Pengaruh visual dan audio yang dilihat melalui internet sangatlah berbahaya kerana secara psikologinya, ia mampu mempengaruhi hati dan minda yang akhirnya akan merangsang tindakan mereka untuk melakukan perkara yang sama seperti dilihat. Bayangkanlah..apakah yang akan berlaku jika mereka sentiasa menonton perbuatan buruk seperti seks, zina dan gangsterisme? Sudah pastilah mereka berpotensi besar untuk melakukan perbuatan yang sama.

Ingatlah dan insaflah bahawa kegelojohan nafsu syahwat di peringkat remaja dan belia sangat kuat. Jika punca dan tempat yang boleh merangsang nafsu tidak ditutup, maka selagi itulah anak-anak kita, remaja, belia dan orang dewasa terdedah kepada gejala keruntuhan akhlak dan menghancurkan kehidupan.

Belia harapan negara sepatutnya berada di pusat-pusat pengajian tinggi dan menuntut ilmu untuk masa hadapan, seterusnya akan menabur bakti kepada masyarakat, namun harapan ini sukar untuk menjadi kenyataan sepenuhnya bila mana ada golongan muda mudi hari ini terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral terbabit dalam gejala sosial yang lain.

Sebenarnya semua perlakuan negatif dan fasad ini adalah berpunca daripada kegagalan mereka yang terlibat mengawal hawa nafsu dan terpengaruh dengan hasutan syaitan. Maka inilah masanya…ibu bapa serta pihak-pihak yang bertanggungjawab di semua peringkat mestilah memastikan sumber-sumber akses kepada ‘musibah’ ini ditapis, dikawal, dipantau dan dikuatkuasakan dengan sebenar-benarnya.

Ingatlah bahawa dalam sejarah kewujudan dunia, didapati Syaitan atau Iblis merupakan makhluk pertama yang berada dalam kesesatan dan kemungkaran serta berjanji untuk menyesatkan seluruh umat manusia di muka bumi ini. Allah SWT berfirman dalam surah al-Mujadalah ayat 19:

ٱسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ ٱلشَّيْطَٰنُ فَأَنسَىٰهُمْ ذِكْرَ ٱللَّهِ ۚ أُو۟لَٰٓئِكَ حِزْبُ ٱلشَّيْطَٰنِ ۚ أَلَآ إِنَّ حِزْبَ ٱلشَّيْطَٰنِ هُمُ ٱلْخَٰسِرُونَ.

Maksudnya: “Syaitan telah menguasai mereka, sehingga mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu orang yang rugi.”

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Sesungguhnya agama Islam berkehendakkan supaya setiap umatnya menjadi sebaik-baik manusia yang sempurna keperibadiannya, mulia budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik kepada orang lain.

Rasulullah SAW pernah menasihatkan kita dalam sabdanya: “Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang bermanfaat kepada orang lain.” (Riwayat Al-Tabarani)

Hadith ini menjelaskan bahawa manusia yang baik menurut pandangan Islam ialah orang yang hidup menggunakan sepenuhnya potensi yang ada untuk memajukan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang mulia ini, mimbar menyeru wahai umat Islam sekalian, marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan generasi belia negara kita sentiasa diberikan taufik hidayah oleh Allah SWT. Seterusnya generasi belia yang diharapkan berjaya memainkan peranannya yang sebenar dalam memacu pembangunan negara untuk menjadi bangsa yang maju, disegani masyarakat dunia dan dihormati lagi dikasihi Allah SWT. Kita juga memohon dikekalkan kesinambungan nikmat keamanan di kalangan kita, dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan usaha untuk perpaduan dan keselamatan negara.

Mengakhiri khutbah hari ini, marilah sama-sama kita berusaha untuk meningkatkan imej dan keperibadian para belia Islam negara kita dengan menyediakan pendidikan dan bimbingan sempurna dan mencontohi keperibadian unggul sepertimana yang dikehendaki oleh Allah SWT, yang diterjemahkan melalui akhlak dan peribadi Rasulullah SAW. Dengan azam dan tekad seumpama ini percayalah bahawa belia berakhlak merupakan penyelamat kepada sesebuah negara.

Allah SWT berfirman :

إِذْ أَوَى ٱلْفِتْيَةُ إِلَى ٱلْكَهْفِ فَقَالُوا۟ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةًۭ وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًۭا.

Maksudnya: “(ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! kurniakanlah kami rahmat dari sisimu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.” (Surah Al-Kahfi ayat; 10)

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Belia Berakhlak Penyelamat Negara”

(30 Mei 2014 / 1 Sya’ban 1435H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: