Amalan Dalam Bulan Syaaban

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Amalan Di Bulan Syaaban.

Banyak hadis yang menceritakan tentang kelebihan bulan Syabaan ini. Antara amalan yang amat digalakkan dilakukan dalam bulan Syabaan ialah ibadah puasa sunat dan qiyamullail, Inilah ibadah yang paling diutamakan oleh Rasulullah ﷺ pada bulan yang mulia ini.

 

Rasulullah ﷺ memperbanyakkan ibadah puasa sunat, terutama pada 15 terakhir bulan Syaaban, sebagaimana hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari ra melalui Aisyah rah :

“Maka tidaklah aku melihat baginda berpuasa selama sebulan melainkan pada bulan Ramadhan, dan tidaklah aku melihat baginda memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Amalan puasa ini dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah antara amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini.

Ini bertepatan dengan sabda Rasullullah ﷺ apabila ditanya apakah bulan selepas Ramadhan yang terafdhal berpuasa?. Nabi ﷺ menjawab, “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadhan”. Nabi ﷺ ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi ﷺ menjawab, “Sedekah di bulan Ramadhan.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Ambillah peluang ini untuk membiasakan diri kita dengan mempelbagaikan amalan terutama ibadah puasa supaya ianya tidak menjadi keberatan apabila tibanya bulan Ramadhan.

.

.

Amal-Amalan Sunat Bulan Syaaban

.

Di antara amal-amalan yang digalakkan dalam bulan ini untuk mencapai kelebihan Syaaban adalah memperbanyakkan ibadah:

.

  1. Puasa Sunat

Syaaban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah ﷺ dimana baginda memperbanyakkan ibadah puasa di dalamnya.

Daripada Abi Salamah daripada Sayyidatina Aisyah r.a katanya: “Rasulullah sering berpuasa sehingga kita mengatakan dia tidak berbuka (puasa berterusan ) dan Baginda berbuka sehingga kami berkata dia tidak berpuasa (berbuka terus). Dan aku tidak pernah melihat Rassulullah menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat Baginda lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban.” (Hadis riwayat Imam Bukhari r.a. dan Imam Muslim r.a.)

Usamah bin Zaid bertanya kepada Nabi ﷺ mengapa baginda banyak berpuasa dalam Bulan Syaaban, maka Baginda ﷺ pun menjawab: “Syaaban berada di Antara bulan Rejab dan Ramadhan, manusia sering  lalai mengenainya. Ia merupakan bulan yang diangkat segala amalan (dan dilaporkan) kepada Tuhan Rabbil Alamin (Tuhan Seluruh Alam) dan aku suka jika amalanku diangkat ketika aku berpuasa.” Usamah bertanya lagi: Aku melihat engkau berpuasa pada hari Isnin dan Khamis dan tidak mengabaikan kedua-dua hari itu. Sabda baginda ﷺ : “Sesungguhnya segala amalan semua hamba akan diangkat pada kedua-dua hari itu maka aku lebih suka tidak diangkat amalanku melainkan bersamanya aku berpuasa.” (Hadis riwayat Imam Ahmad r.a., An-Nasai r.a. dan Imam Al-Baihaqi r.a.).

Sayyidatina Aisyah r.a juga menyebut: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah ﷺ berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak puasa).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

.

.

  1. Bertaubat dan Beristighfar

Digalakkan juga untuk bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah سبحانه وتعالى di atas segala dosa selama ini. Ramai yang tidak menyedari bahkan alpa dengan dosa-dosa yang dilakukannya saban waktu. Dosa yang dilakukan semakin hari semakin bertambah terutamanya dosa-dosa kecil hasil dari perbuatan manusia samada melalui percakapan, penglihatan, pendengaran atau perbuatan. Semua dosa ini sebenarnya telah menjadi noda-noda hitam yang menyebabkan hati menjadi semakin keras. Lebih membimbangkan, hati akan jauh dari petunjuk Allah سبحانه وتعالى.

Taubat ialah pembersihan rohani kerana taubat itu menjadi tuntutan dalam agama supaya setiap diri individu yang sememangnya tidak ma‘shum ini melakukan taubat pada setiap masa dan ketika.

Daripada Ibn `Abbas, Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang selalu memohon ampun (membanyakkan istighfar), nescaya Allah menjadikan untuknya setiap kesusahan itu ada kesenangan, setiap kesempitan ada jalan keluar dan dia diberi rezeki yang tidak disangka.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah.)

Perbanyakkan berdoa dan memohon ampun daripada Allah سبحانه وتعالى kerana selagi pintu keampunan itu terbuka. Allah سبحانه وتعالى berfirman di dalam surah Huud ayat 3:

 وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ ۖ وَإِن تَوَلَّوْا فَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيرٍ

 “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya; supaya Ia memberi kamu kesenangan hidup yang baik hingga ke suatu masa yang tertentu, dan Ia akan memberi kepada setiap orang yang ada kelebihan akan kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari Kiamat yang besar.”

Pada bulan Syaaban juga terdapat satu malam yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam iaitu ‘Malam Nisfu Syaaban’. Ini adalah kerana pada malam tersebut Allah سبحانه وتعالى telah memberikan kelebihan kepada hamba-hambanya dan memberi keampunan kepada mereka kecuali yang syirik kepada-Nya.

Sabda Rasulullah ﷺ menerusi hadisnya yang diriwayatkan oleh Ibn Majah ra daripada Abu Hurairah ra ; “Allah سبحانه وتعالى melihat kepada makhluk-makhlukNya pada malam nisfu syaaban lalu mengampuni makhluk-makhlukNya kecuali orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan.” (Riwayat Ibn Majah)

.

.

  1. Berzikir

Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah سبحانه وتعالى dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang mempersucikan Allah سبحانه وتعالى dan membersihkanNya dari sifat-sifat yang tidak layak untukNya.

Allah سبحانه وتعالى berfirman: “Wahai orang yang beriman, sebutlah akan Allah dengan sebutan yang banyak.” Firman-Nya lagi: “Sebutlah (zikir) akan Allah dengan sebutan yang banyak semoga kamu mendapat kemenangan.”

Rasulullah ﷺ menjelaskan zikir mengingati Allah سبحانه وتعالى termasuk dalam amalan mulia dan berkedudukan tinggi. Sabda Baginda ﷺ: “Hendakkah aku khabarkan kepada kamu amalan yang paling baik dan paling suci di sisi Pemilik kamu dan yang paling tinggi pada darjat kamu dan lebih baik daripada emas dan perak dan lebih baik daripada kamu membunuh musuh kamu atau dia membunuh kamu di medan jihad?” Sahabat bertanya: “Apakah dia wahai Rasulullah?” Jawab Baginda : “Zikrullah.”

Zikir juga mempunyai kelebihan. Dengan mengingati Allah سبحانه وتعالى sebanyak-banyaknya, hati tenang dan tenteram. Ia dijamin oleh Allah Yang Maha Mengetahui sebagaimana firman-Nya:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

“Orang yang beriman dan tetap hati mereka dengan menyebut akan Allah, ketahuilah bahawasanya dengan menyebut akan Allah itu menenangkan hati.” (Surah Ar-Ra’d, Ayat 28).

 .

.

 4.  Berselawat

Berselawat kepada Nabi Muhammad ﷺ adalah salah satu bukti kecintaan seseorang itu kepada Allah سبحانه وتعالى. dan Rasulullah ﷺ, selain mengerjakan segala suruhan Allah سبحانه وتعالى dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Firman Allah سبحانه وتعالى:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya.” (Surah Al-Ahzab: 56).

Dipetik dari buku al-Fawaaidul Mukhtaaroh Diceritakan bahawa Ibnu Abiy as-Shoif al-Yamaniy berkata, “Sesungguhnya bulan Syaaban adalah bulan selawat kepada Nabi , kerana ayat Innallooha wa malaaikatahuu yusholluuna ‘alan Nabiy … diturunkan pada bulan itu.” (Ma Dza Fiy Syaaban?)

 .

.

  1. Berdoa

Doa dipohon sebagai tanda menginsafi dan menyedari diri manusia sangat lemah dan tidak mampu untuk menunaikan segala keperluan hidup. Firman-Nya:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

“Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, ayat 186).

Rasulullah ﷺ bersabda: “Lima waktu tidak ditolak sesuatu doa itu iaitu pada malam Jumaat, malam 10 Muharam, malam Nisfu Syaaban, malam Aidilfitri dan malam Aidiladha.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abdullah Umar.)

Rasulullah ﷺ bersabda: “Pada tiap malam, Rabb kita turun ke langit dunia ketika bersisa sepertiga malam yang akhir. Maka Allah berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, pasti akan Kukabulkan, dan siapa yang memohon kepada-Ku, pasti akan Kuberi, dan siapa yang mohon ampun kepada-Ku pasti akan Kuampuni.” (Riwayat Malik, Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

 .

.

  1. Berqiamullail Meghidupkan Malam Nisfu Syaaban

Sunat  menghidupkan malam 15 Syaaban dengan membaca zikir dan Al-Quran kerana malam tersebut adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat. Melakukan Solat Tahajjud dan Solat Sunat Taubat amatlah ditekankan terutama pada malam Nisfu Syaaban. Inilah masa yang sesuai untuk diperbanyakkan berdoa memohon supaya diberi keampunan dan kerahmatan dari Allah سبحانه وتعالى.

Daripada Muaz bin Jabal dan Abu Musa Al-Asy’ari r.a. bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda; “Sesungguhnya Allah pada malam Nishfu Syaaban memerhati (mengawasi) seluruh mahluk-Nya dan mengampuni semuanya kecuali orang musyrik atau orang yang bermusuhan.” (Riwayat Ibnu Majah, Ibn Habban, Al-Baihaqi dan At-Thobarani)

Diriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman, “Adakah di sana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyelamatkannya, adakah yang begini, adakah yang begini, demikian seterusnya hingga terbitnya fajar?” (Riwayat Ibnu Majah).

.

.

  1. Berbuat Baik Dan Bersedekah

Sambutlah kedatangan Syaaban dengan keinsafan dan kesedaran. Perbanyakkanlah amal soleh dan menolong meringankan penderitaan fakir dan miskin serta anak-anak yatim.

Bersedekah suatu amalan yang suci murni lagi terpuji sebagai keperihatinan dengan nasib dan kesusahan orang lain seperti mana yang amat dituntut oleh Islam.

Rasulullah ﷺ bersabda: “Sebaik-baik amal adalah memberi makan (kepada fakir miskin dan anak yatim) dan memberi salam kepada orang yang engkau kenal dan orang yang engkau tidak kenal.”  (Riwayat Bukhari,Muslim dan Nasa’i)

.

.

  1. Memperkukuhkan Tali Silaturrahim

Memperkukuhkan tali silaturrahim sesama manusia. Hubungan sesama manusia amatlah penting kerana ianya bersangkutan dengan hubungan manusia dengan Allah سبحانه وتعالى. Leraikanlah permusuhan sesama kita dan saling bermaafan kerana Allah سبحانه وتعالى tidak akan mengampunkan dosa manusia sesama manusia selagi mana mereka saling bermaafan. Sucikan diri dari perasaan dendam dan dengki sesama muslim sebelum tibanya Ramadhan supaya amal ibadah pada bulan yang berkat ini dapat dirasai kemanisannya.

Hadis riwayat Aisyah ra., Ia berkata; Rasulullah ﷺ. bersabda: “Rahim (tali persaudaraan) itu digantungkan pada arasy, ia berkata: Sesiapa yang menyambungku (berbuat baik kepada saudara mara), maka Allah akan menyambungnya dan sesiapa yang memutuskan aku, maka Allah pun akan memutuskannya.” (Shahih Muslim No.4635)

Hadis riwayat Jubair bin Muth `im ra.; Dari Rasulullah ﷺ. bahawa baginda bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” (Shahih Muslim No.4636)

.

.

  1. Beristiqamah

Beristiqamah melaksanakan amal ibadah dan kebajikan. Amal ibadah yang dilakukan secara berterusan akan menjadikan jiwa kita sentiasa tetap dengan pendirian. Beristiqamah membawa maksud sentiasa melakukan amal ibadah tersebut tiap-tiap hari walaupun hanya sedikit atau sekejap masa yang diambil untuk melaksanakannya.

Rasulullah ﷺ juga menggalakkan agar kita melakukan sesuatu yang baik terutama dalam ibadat khusus seperti solat sunat, puasa dan sedekah. Ia mestilah dilakukan secara berterusan walaupun sedikit kerana beristiqomah dalam melakukan amalan kebaikan akan mendatangkan perasaan untuk menghisab dan menghitung diri sendiri secara berterusan dan akhirnya melahirkan individu yang sentiasa mengingati Allah سبحانه وتعالى.

Daripada Abi Salamah; Sesungguhnya Sayyidatina Aisyhah telah memberitahu: “Nabi tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban dan ada kalanya Baginda telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Syaaban. Baginda bersabda: “Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya; Maka sesungguhnya Allah tidak membebankan (mewajib) kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan.” Apa yang disukai oleh Rasulullah adalah solat (sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit dan Baginda apabila mendirikan solat, maka Baginda sentiasa berterusan (beristiqamah} di dalam berbuat demikian.” (Riwayat Imam Bukhari r.a. dan imam Muslim r.a.)

.

.

Penutup

 .

Apabila amal dilakukan secara berterusan ia akan mendatangkan kepada kita perasaan untuk menghisab dan menghitung diri sendiri secara berterusan dan ini akan melahirkan individu yang sentiasa berada dalam ibadat dan mengingati Allah setiap masa dan tempat, sama ada ditikar sembahyang, ketika belajar mahupun ketika berkerja. Akhirnya menyebabkan kita akan merasai hikmat dan kesan daripada amalan tersebut.

Oleh itu, amatlah baik bagi kita sebagai umat Islam memperbanyakkan amal dan kebajikan, selain menjadi satu medan latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak.

Sesungguhnya bulan Syaaban adalah kesempatan untuk menyuci dan membaiki kecacatan hati dan memperbaiki diri dari segala macam celaan, setelah bulan Rejab lalu kesempatan kita menyucikan badan dan meminta ampun dari segala dosa, manakala pada bulan Ramadhan nanti masa kita untuk menyucikan roh dan menerangkan hati dan jiwa bagi mendekatkan diri kepada Allah سبحانه وتعالى.

Marilah kita sama-sama mengambil peluang keemasan pada bulan yang mulia ini dengan melakukan ibadah kepada Allah سبحانه وتعالى demi mencari keredhaanNya dan menebus segala dosa di atas segala kesalahan lalu. Manusia tidak akan sepi daripada melakukan dosa, maka bulan yang mulia ini perlu dipelihara sebaik mungkin untuk mendekati diri kepada Allah سبحانه وتعالى. Sementara kita masih sihat, bertenaga dan dengan peluang yang terbuka ini, marilah melakukan muhasabah diri, bertaubat kepada Allah سبحانه وتعالى dan sentiasa membuat penilaian prestasi amalan setiap hari apakah amalan dan tingkah laku kita dengan Allah سبحانه وتعالى dan hubungan sesama manusia selari dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Firman Allah سبحانه وتعالى:

  أَوَمَن كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِّنْهَاۚ كَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Dan adakah orang yang mati, kemudian Kami hidupkan dia semula, dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi untuk ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar daripadanya? Demikianlah diperlihatkan pula pada pandangan orang kafir itu akan keelokkan apa yang mereka telah lakukan.” (Surah Al-An’am Ayat 122)

.

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

.

Artikel Berkaitan:

  1. Selamat Datang Syaaban  (Klik Di Sini)
  2. Sejarah Bulan Syaaban Dan Amalannya  (Klik Di Sini) 
  3. Keagungan Dan Amalan Malam Nisfu Syaaban (Klik Di Sini)
  4. Qiamullail Dan Amalan Menghidupkan Malam Nisfu Syaaban  (Klik Di Sini)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

~ shafiqolbu ~

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: