KJ :  Memartabat Kesucian Al-Quran

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Baca Al-Quran.

Khutbah Jumaat: “Memartabat Kesucian Al-Quran”

 

 .

kjq

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada bulan Syaaban yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Bersempena dengan Majlis Hafazan dan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke 56 tahun 1435H/2014M yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 16 hingga 21 Jun 2014, maka mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “MEMARTABAT KESUCIAN AL-QURAN”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Yakinlah bahawa al-Quran merupakan sumber rujukan utama umat Islam dan ianya tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan seorang muslim. Sejak dari kecil umat Islam diajar dan diasuh untuk membaca al-Quran ini kerana ianya sebahagian ibadah dan diberi pahala yang besar sebagaimana saranan Baginda Rasulullah SAW di dalam Hadithnya:

“Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka baginya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kebajikan seumpamanya, tidak aku katakan ( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.”   (Riwayat Tirmizi)

Dan Sabda Rasulullah SAW: “Kamu bacalah al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya.”  (Riwayat Muslim)

Bagi memartabat kesucian al-Quran maka sebagai seorang Islam, amatlah wajar al-Quran itu dibaca dan dipelihara dengan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi al-Quran sebagai mukjizat dari Allah SWT. Justeru, umat Islam disaran agar sentiasa membaca al-Quran dan mendalami dari segi bacaannya. Abu Zar RA pernah berkata bahawa beliau meminta Rasulullah SAW memberi pesanan yang berpanjangan.

Rasulullah SAW bersabda: “Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber kepada amalan-amalan baik.” Aku meminta supaya Baginda menambah lagi, “Tetapkanlah membaca al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk akhirat.”

Kita dapati para sahabat RA seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Ka’ab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dahulu yang mengambil berat terhadap pendidikan al-Quran kepada anak-anak. Anak-anak dididik untuk senantiasa membaca al-Quran setiap hari. Amalan ini membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan al-Quran.

Mimbar yang mulia ini ingin berpesan, sewajarnya al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa  untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Selain meyakini bahawa al-Quran merupakan kitab pedoman umat Islam yang perlu diterjemahkan melalui penghayatan dalam diri, dengan nilai-nilai yang terkandung di dalamnya bagi melahirkan umat cemerlang dan bertaqwa, kita sebagai umat Islam juga dituntut untuk meyakini bahawa al-Quran sebagai penawar segala penyakit samada bersifat dalaman mahupun luaran di samping menjadi tempat rujukan segala masalah yang dihadapi.

Tetapi sayangnya tidak semua yang mahu dan bersedia mengikut ajaran al-Quran atau terdapat segelintir umat Islam yang masih tidak mahu beramal dengan al-Quran, mereka hanya membaca al-Quran tetapi tingkahlaku kehidupan seharian mereka bertentangan dengan ajaran al-Quran, mereka mendengar al-Quran tetapi tidak menghayati tuntutannya, mereka memahami isi kandungannya, tetapi tidak mahu melaksanakan ajarannya, mereka mengetahui kebenaran al-Quran, tetapi mereka masih tidak takut untuk melanggar kebenaran tersebut bahkan sanggup memperkecilkan janji dan azab Allah SWT.

Justeru, disebabkan kegagalan segelintir umat Islam dalam menghayati dan menterjemahkan ajaran al-Quran dalam kehidupan, tanpa di sedari mereka telah menyumbang kekeliruan dan kerosakan kepada masyarakat itu sendiri.

Mimbar ingin menyatakan berdasarkan kepada pengamatan, bahawa kemunduran dan kelemahan umat Islam pada zaman kebelakangan ini ialah akibat daripada kecuaian mereka dalam mengamalkan prinsip hidup maju dan mulia yang dianjurkan dalam al-Quran.

Justeru, Prof. Dr. Mahmoud Hamdi Zaqzuq dari Mesir menyifatkan umat Islam hari ini sebagai umat dilema dalam dunia yang penuh misteri dan beliau melontarkan pertanyaan: “Bagaimana perkara ini boleh terjadi kepada satu umat di mana kitab suci mereka sejak awal-awal lagi menekankan arahan membaca, menggesa mencari ilmu, dan penggunaan wahana ilmu qalam, malah menyentuh tentang manusia pendukung dan penyebar ilmu?”

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Alhamdulillah, di negara kita atas keprihatinan pihak pemerintah terhadap penjagaan al-Quran, maka telah digubal undang-undang berkaitan Akta Percetakan Teks al-Quran. Akta ini bertujuan untuk mengawal percetakan, pengimportan, penjualan, penerbitan dan pengedaran teks al-Quran. Pengawalan ini bertujuan untuk menjaga kesucian al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9:

 إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ﴿٩

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

Begitu juga dengan perkembangan teknologi masa kini, al-Quran dipertingkatkan pengeluarannya dengan reka cipta seperti dalam bentuk software, aplikasi android, pen bacaan, komputer yang dapat dimuat turun dengan cara yang mudah. Dengan ini sebagai umat Islam kita dapat mencapai al-Quran dengan cara yang mudah, namun kita hendaklah berhati-hati kerana dengan perkembangan ini yang memungkinkan al-Quran dicemari dan disalahguna oleh golongan yang menentang dan prejudis terhadap al-Quran.

Justeru, mimbar yang mulia ini menyeru sidang Jumaat dan umat Islam sekalian agar dapat menasihatkan kepada semua pengguna untuk menggunakan al-Quran yang memperolehi kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan al-Quran (LPPPQ) bagi menentukan kesahihannya.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang mulia ini, mimbar mengambil kesempatan sempena dengan Majlis Hafazan dan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke 56 tahun 1435H/2014M yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur pada 16-21 Jun 2014 ini, marilah sama-sama kita menghayati dan mengikuti bacaan yang diperdengarkan oleh para Qari dan Qariah.

Hayatilah ayat-ayat yang dibaca serta memahami pengertiannya. Budayakanlah al-Quran dalam kehidupan, didiklah ahli keluarga dan anak-anak agar menjadi orang yang mencintai al-Quran. Memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran.

Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan. InsyaAllah dengan cara ini akan menjadikan mereka generasi yang terdidik dengan al-Quran dan menjadi ummah yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Naml ayat 92:

 وَأَنْ أَتْلُوَ الْقُرْآنَۖ فَمَنِ اهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِۖ وَمَن ضَلَّ فَقُلْ إِنَّمَا أَنَا مِنَ الْمُنذِرِينَ ﴿٩٢

Maksudnya: “Dan supaya aku sentiasa membaca Al-Qur’an. Oleh itu, sesiapa yang menurut petunjuk (Al-Qur’an dan beramal dengannya) maka faedah perbuatannya itu akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat, maka katakanlah kepadanya: Sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi amaran”.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Memartabat Kesucian Al-Quran”

(13 Jun 2014 / 15 Syaaban 1435 H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: