KJ :  Negara Aman Tanahair Terpelihara

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

1 Khutbah Jumaat SQ-shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “Pahlawan Negara: Negara Aman Tanahair Terpelihara”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱصْبِرُوا۟ وَصَابِرُوا۟ وَرَابِطُوا۟ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٢٠٠

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan Sambutan Hari Pahlawan 2014 pada tahun ini, mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “PAHLAWAN NEGARA :NEGARA AMAN TANAHAIR TERPELIHARA ”

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Alhamdulillah kita telah berada pada hari yang ke 20 dalam melaksanakan ibadah puasa dan pada hari yang mulia ini kita meraikan sambutan Hari Pahlawan dalam suasana kita berpuasa, menahan diri dari segala godaan nafsu kita selama ini. Sambutan tarikh keramat ini cukup melakar pengertian  kepada kita sebagai anak bangsa yang cintakan agama, bangsa dan negara.

Pahlawan negara samada terdiri daripada warga Angkatan Tentera Malaysia, Polis di Raja Malaysia dan lain-lain agensi keselamatan serta individu yang secara bersama mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. Oleh itu, marilah sama-sama kita menghargai jasa dan pengorbanan besar yang telah disumbangkan oleh mereka yang bergelar Pahlawan bagi mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 112 :

وَضَرَبَ ٱللَّـهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ ءَامِنَةً مُّطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِّن كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ ٱللَّـهِ فَأَذَٰقَهَا ٱللَّـهُ لِبَاسَ ٱلْجُوعِ وَٱلْخَوْفِ بِمَا كَانُوا۟ يَصْنَعُونَ ﴿١١٢

Maksudnya: “Dan (berhubung dengan hal yang kufur ingkar) Allah memberikan satu misalan; Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.”

.

Percayalah bahawa bulan Ramadhan yang mulia ini tidak menghalang umatnya untuk berjuang di jalan Allah. Sejarah membuktikan bulan suci ini penuh dengan kemenangan yang besar yang mampu diraih, bukannya bulan untuk malas dan lemah akan tetapi bulan untuk berjuang bagi mencapai kemenangan. Lihatlah pahatan sejarah peperangan yang berlaku dalam bulan Ramadhan seperti di dalam perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah. Peperangan ini merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan keimanan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan musuh.

Begitu juga dengan peristiwa Fathu Makkah yang mana Rasulullah SAW keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan bagi pembebasan kota Makkah tanpa pertumpahan darah. Penaklukan Andalus, Sepanyol yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad yang berlaku pada 28 Ramadhan tahun 92 Hijrah. Demikianlah juga peperangan lain yang lebih bermakna bagi umat Islam, berlaku dalam bulan Ramadhan al-Mubarak.

Walaupun peperangan adalah satu pertempuran sengit dan perbuatan terkutuk tetapi ada peperangan yang terpuji iaitu peperangan di jalan Allah atau peperangan fi sabilillah. Jadi peperangan di jalan Allah itu ialah peperangan mempertahankan diri dari pengusiran, mempertahankan diri dari penganiayaan dan mempertahankan diri dengan berjuang kerana Allah SWT. Oleh sebab itu, mereka yang berperang di jalan Allah dianggap sebagai pahlawan Allah yang sejati dan akan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.

Namun persoalan besar timbul di sini ialah apakah faktor yang menyumbang kepada peperangan di jalan Allah ini. Secara ringkasnya mimbar yang mulia ingin menyatakan bahawa ianya sangat berkait dengan nilai keimanan, sifat jati diri, perasaan kasih, kesetiaan dan pengorbanan kepada agama, tanah air dan negara secara menyeluruh.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Sejarah Islam juga telah membuktikan, kekuatan tentera Islam adalah berpunca dari kekuatan iman dan ikhlas berjuang kerana Allah SWT serta ketaatan kepada kepimpinan mereka. Renungilah kegigihan tentera Islam sejak kerajaan Umaiyyah, Abbasiyyah dan Othmaniah Turki untuk menawan Kota Konstantinopel (Istanbul).

Kehebatan Sultan Muhammad al-Fateh yang menjadi Sultan Kerajaan Othmaniah Turki amat wajar dicontohi. Baginda memerintah selama 30 tahun. Baginda seorang yang beriman, tawaduk, bijak, pintar dan kreatif telah berjaya memimpin tentera Islam menawan Kota Konstantinopel daripada kerajaan Rom.

Kejatuhan kota itu membuka laluan dan menjadi pintu masuk penyebaran Islam di Eropah. Antara kata-kata keramat baginda ketika melancarkan percubaan akhir pada hari ke 53 kepungan untuk menawan Kota Konstantiopel ialah, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah, sesiapa yang mahu syahid, ikutilah aku”.

Menurut riwayat, Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud dan segala ibadah yang lain. Dengan itu, mereka mampu bertahan dalam apa juga keadaan, tidak mudah mengaku kalah walau ditawarkan pelbagai habuan sebagai balasan mempertaruhkan agama, bangsa serta negara.

Sebagai iktibar kepada kita semua, marilah sama-sama kita berfikir dan hayatilah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 kepada Portugis yang berpunca daripada perpecahan dan pengkhianatan di kalangan orang-orang kita di mana mereka ini hilang jati diri, lemah iman serta sanggup bersekongkol dengan pihak musuh.

Cuba kita bayangkan..betapa deritanya mereka yang hidup semasa zaman penjajahan di tanah air kita ketika itu. Bukankah ketika itu bangsa kita ditindas, agama kita dihina dan maruah kita dicerca? Pernahkah kita menghitung dan mengenang..berapa ramaikah nyawa pejuang kita yang telah gugur hanya semata-mata mahu membebaskan tanahair ini daripada penjajah?

Ratusan tahun kita dijajah hinggalah sinar kemerdekaan berjaya diperolehi pada 1957. Tiada langsung ruang pembelaan bagi bangsa dan agama ketika itu melainkan hanya penindasan. Inilah masanya untuk kita sedar, untuk kita ingat..kerana jika kita lupa sejarah, tidak mustahil sejarah yang sama mungkin berulang kembali. Relakah kita dijajah semula?

Oleh itu, mimbar merayu kepada sidang jemaah dan umat Islam sekalian untuk terus berfikir secara matang, jadikanlah sejarah bangsa kita sebagai teladan, perkasakanlah perpaduan ummah melalui persaudaraan sesama Islam. Teruskanlah perjuangan yang telah ditinggalkan oleh datuk nenek moyang kita agar kesinambungan ini dapat menjamin keselamatan, dan keamanan negara terpelihara.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Mimbar yang mulia pada hari ini mengambil kesempatan untuk berpesan kepada sidang jumaat dan umat Islam sekalian, ketika kita berada di akhir 10 Ramadhan ini, marilah sama-sama kita meningkatkan iman dan jati diri kita dengan melaksanakan segala amalan-amalan sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Sesungguhnya Baginda SAW apabila berada pada 10 malam yang terakhir beliau menghidupkan malam-malam tersebut dengan melakukan ibadah sebagaimana yang diriwayatkan oleh  Saidatina Aisyah RA katanya: “Sesungguhnya Nabi SAW. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah”.

Dalam fasa yang ketiga ini juga kita dituntut mempertingkatkan amal-amal soleh dan kebajikan seperti beriktikaf di masjid-masjid, bertadarus al-Quran, memperbanyakkan zikir-zikir, memperbanyakkan solat-solat sunat, menghadiri kuliah ataupun tazkirah Ramadhan, melakukan sedekah samada kepada fakir miskin, anak yatim dan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.

Sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW di sepanjang bulan yang mulia ini tangannya sentiasa terbuka untuk memberikan bantuan kepada orang-orang yang memerlukan.

Kita juga dituntut memperbanyakkan berdoa terutama doa khusus untuk malam Lailatul Qadar. Iaitu sepertimana yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA:

Maksudnya: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW seandainya saya mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa yang patut saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa berikut: “Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan di atas kesalahan hamba-Mu oleh itu maafkanlah segala kesalahanku”. (Riwayat Abu Daud)

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merebut peluang keemasan yang diberi oleh Allah SWT pada fasa yang terakhir ini. Janji Allah dan Rasul-Nya pastinya benar, tidak ada yang palsu dan sia-sia melainkan semuanya benar belaka.

 

Justeru ingatlah. ! di fasa 10 terakhir Ramadhan ini terdapat satu malam yang ganjaran pahala amalan bagi seseorang pada malam tersebut adalah lebih baik daripada 83 tahun 4 bulan atau lebih baik daripada 1000 bulan.

 

Oleh kerana itu janganlah kita lalai dengan kesibukan mengejar dunia hingga kita lupa mempersiapkan amalan soleh sebagai bekalan bertemu dengan Allah SWT. Mudah-mudahan Ramadhan yang kita tempuhi tahun ini akan menjadi titik perubahan dalam diri kita untuk menjadi insan yang bertaqwa dan diredhai Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Di kesempatan ini, mimbar melahirkan rasa simpati dan dukacita di atas kemalangan udara yang menimpa ke atas pesawat MH17 yang berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur semalam.

Mimbar juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dan mengharapkan agar sentiasa bersabar menghadapi situasi ini dan semoga semua pihak tabah menerima ujian ini, serta memohon supaya semua rakyat Malaysia sama-sama berdoa agar negara kita sentiasa dilindungi dari sebarang bentuk ancaman dan malapetaka.

Marilah sama-sama kita mengambil iktibar melalui  firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 20:

 ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّـهِ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ ٱللَّـهِۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَآئِزُونَ ﴿٢٠

Maksudnya: “(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang Berjaya” .

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Pahlawan Negara: Negara Aman Tanahair Terpelihara”

(18 Julai 2014 / 20 Ramadhan 1435H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: