KJ :  Ujian Di Sebalik Ramadhan

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

khutbah.

Khutbah Jumaat: “Ujian Di Sebalik Ramadhan”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabdian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh kebahagian ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ialah: “UJIAN DI SEBALIK RAMADHAN”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Ramadhan yang kita harungi ini akan pergi meninggalkan kita beberapa hari lagi. Bagi mereka yang beriman pastinya bulan yang mulia ini menjadi satu kemenangan yang besar kerana sepanjang bulan yang mulia ini kita diuji untuk mendisiplinkan diri, memberikan suatu pengisian yang sangat bermakna dalam menjalani kehidupan yang berkualiti.

Namun sewajarnya pemergian bulan yang mulia ini menandakan peningkatan usia dan bertambah dekatnya hujung kehidupan kita di alam fana ini. Persoalan besar timbul di sini ialah apakah pertambahan usia  seiring dengan peningkatan pahala atau sebaliknya?. Dan apakah di penghujung usia yang teramat singkat ini, amalan dan kebaktian kita semakin berganda atau semakin meredup.

Imam Malek RA pernah menangis ketika hendak berbuka puasa. ketika ditanya oleh murid beliau kenapa beliau menangis? Jawabnya: “aku sedih melihatkan makanan yang banyak. ini kerana terkenangkan Rasulullah SAW, Baginda berbuka dengan makanan yang sedikit tetapi ibadah Baginda banyak, sedangkan aku berbuka dengan makanan yang banyak namun ibadatku begitu sedikit sekali”.

Sepanjang bulan Ramdhan kita diuji dari pelbagai sudut samada dari segi keimanan dan ketaatan kepada perintah Allah SWT. Kita diuji dari segi kekuatan fizikal dan mental bahkan kita juga diuji dari segi kerohanian dan jiwa. Kita dikerah untuk merebut segala peluang yang diberikan dengan melakukan amalan-amalan samada dalam bentuk fardhu ataupun sunat.

Imam al-Ghazali RA di dalam karyanya Ihya Ulumuddin telah membahagikan ibadah puasa seseorang itu kepada tiga tingkatan;

Tingkatan paling rendah (awam) ialah puasa hanya menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa.

Tingkatan pertengahan (khawas), puasa khusus iaitu turut berpuasa daripada melakukan maksiat dan dosa,

Tingkatan tertinggi (khowasul khawas) ialah puasa orang khusus lagi istimewa iaitu berpuasa dengan penuh ikhlas dan menjaga hati darpada dikotori dengan sifat mazmumah. Justeru mereka yang berjaya melalui ujian ini insyaallah akan mencapai tujuan sebenar tuntutan puasa iaitu membina ketakwaan kepada Allah SWT.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Bagi melangkapkan ujian kita di bulan yang mulia ini, maka kita sebagai umat Islam dituntut untuk melaksanakan zakat fitrah. Secara ringkasnya mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa zakat fitrah ialah zakat badan yang diwajibkan kerana berakhirnya bulan Ramadhan dan dikeluarkan mengikut peraturannya.

Kewajipan yang dilaksanakan dibulan Ramadhan ini bertujuan membersih dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan seterusnya bayaran fitrah tersebut dapat digunakan untuk membantu fakir dan miskin membuat persiapan menyambut Hari Raya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-A’la 14 dan 15 ;

قَدْ أَفْلَحَ مَن تَزَكَّىٰ ﴿١٤﴾ وَذَكَرَ ٱسْمَ رَبِّهِۦ فَصَلَّىٰ ﴿١٥

“Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan dirinya (dengan amal yang salih). Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya, serta mengerjakan sembahyang.”

Dan Sabda Rasulullah SAW:

 Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menentukan Zakat fitrah, satu gantang dari buah tamar, atau satu gantang dari syair atas tiap-tiap seorang hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau orang dewasa dari kalangan umat Islam.”  (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Persoalan besar timbul di sini adakah kita diharuskan mengeluarkan zakat fitrah dengan wang ringgit. Secara ringkasnya mimbar ingin menyatakan bahawa harus mengeluarkan zakat fitrah dengan wang yang senilai dengan harga satu gantang makanan asas jika ianya lebih memberi manfaat kepada fakir miskin. Pandangan ini mengikut mazhab Hanafi ini dan di sokong oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh Zakatnya.

Percayalah bahawa Islam mensyariatkan zakat fitrah, agar setiap orang yang berpuasa dapat menghayati watak sebenar manusia yang mahu kembali kepada fitrah. Apabila berpuasa, maka umat Islam dididik untuk menghayati erti kesusahan, kelaparan dan menginsafi kehidupan dan zakat fitrah seolah-olah menjadi kemuncak kepada menghayati kesusahan dan erti kelaparan itu.

Ramadhan wajib dilunasi dengan memberikan sedikit kekayaan yang dimiliki kepada orang miskin yang hakikatnya sentiasa merasai keperitan hidup. Sebab itulah, orang yang berpuasa dengan sepenuh hati, maka mereka akan benar-benar memahami kewajipan zakat fitrah ini dan akan segera menunaikannya, demi mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Kita sedar bahawa bulan Ramadhan pada kali ini begitu menguji jiwa dan raga kita khususnya sebagai umat Islam dan secara amnya kepada seluruh rakyat Malaysia. Pada bulan Ramadhan kali ini kita diuji dengan satu peristiwa yang tidak diduga, apabila pesawat komersial Boeing, MAS penerbangan MH17 telah terhempas di kawasan Timur Ukraine, atas perbuatan yang tidak berhati perut, tidak bertamadun, bersifat ganas lagi tidak bertanggungjawab. Akibat dari peristiwa tragis itu keseluruhan penumpang dan anak kapal terkorban. Justeru, mimbar yang mulia ini menyatakan rasa penuh dukacita dan pilu terhadap peristiwa tragis yang menimpa ini.

Oleh itu, mimbar yang mulia ini merakamkan ucapan takziah dan juga rasa simpati kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai mangsa-mangsa tragedi dan diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian Allah ini. Percayalah segala ketentuan yang berlaku adalah qada’ dan qadar Allah SWT yang mempunyai pelbagai hikmah disebaliknya. Sesungguhnya setiap yang hidup itu akan mati, walaupun di mana kita berada samada di darat, laut ataupun di udara. Kita mendoakan agar roh mereka ini ditempatkan dikalangan orang orang yang beriman.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 78:

أَيْنَمَا تَكُونُوا۟ يُدْرِككُّمُ ٱلْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِى بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ

“Di mana sahaja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat.”

Di kesempatan ini, mimbar menyeru kepada semua umat Islam agar senantiasa berdoa dan melakukan solat hajat, agar negara yang tercinta ini senantiasa selamat sejahtera, dijauhi dari bala bencana, musibah atau segala ancaman yang boleh memporak-perandakan keamanan dan kemakmuran negara yang tercinta.

Mimbar juga mengambil kesempatan mengutuk sekeras kerasnya apa yang telah dilakukan oleh tentera zionis pada saat dan ketika ini kepada rakyat Palestin. Ketika ini rakyat Palestin berhujankan peluru dan bermandikan darah sehingga ratusan yang terkorban. Sesungguhnya perbuatan ini adalah perbuatan yang zalim dan tidak bertamadun.

Justeru, sebagai umat Islam marilah sama-sama berganding bahu, bersatupadu, merapatkan saf, mengeratkan perpaduan di kalangan kita agar apa jua usaha mereka ini untuk menggugat umat Islam dan keamanan negara dapat digagalkan.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Bersempena dengan kedatangan dengan Idulfitri yang bakal menjelma ini, marilah sama-sama kita menyambutnya sebagaimana yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Mimbar berharap sambutan di seluruh negara pada kali ini dipenuhi dengan amalan-amalan yang sihat, tidak bercanggah dengan ajaran Islam, tidak menghina Islam dan tidak mencemarkan keberkatan Ramadhan ini.

Idulfitri bererti merayakan kemenangan kerana menundukkan hawa nafsu dan membolehkan kita kembali kepada jati diri sebagai hamba Allah SWT yang bertakwa, hamba Allah SWT yang cintakan keamanan dan keharmonian.

Mimbar juga berpesan semasa kita pulang ke kampung halaman masing masing, hendaklah kita memandu dengan cermat dan penuh kesabaran, membaca doa sebelum memulakan perjalanan dan berhati-hati serta mematuhi segala peraturan di jalan raya.

Ingatlah kepulangan kita dinanti oleh insan yang tersayang dengan kegembiraan bukannya dengan tangisan berpanjangan.

Menurut statistik kemalangan yang dikeluarkan Cawangan Trafik Bukit Aman bermula Januari 2014 hingga Mei 2014 mencatatkan sejumlah 194 ribu kemalangan yang berlaku di negara kita. Jika hal ini dibiarkan berterusan, sudah tentu merugikan sesebuah negara.

Di pihak kerajaan pula, negara mengalami kerugian besar setiap kalinya berlakunya kemalangan bukan sekadar menyebabkan kehilangan nyawa, malah turut merosakkan harta benda dan sebagainya.

Kita mengharapkan kadar kemalangan ini tidak akan berulang lagi di Idulfitri kali ini. Mimbar juga berpesan semasa kita pulang cuti beraya pastikan keselamatan rumah dalam keadaan sempurna dengan pintu dikunci, bekalan elektrik dipadam, memaklumkan kepada jiran serta melaporkan kepada pihak keselamatan ataupun polis semasa ketiadaan kita dirumah.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita mengambil hikmah di sebalik ujian Ramadhan ini. Bagi kita yang diberikan kesempatan untuk melalui Ramadhan al-Mubarak dan Syawal yang penuh keberkatan ini, marilah sama-sama kita memperbanyakkan bekalan dengan menjadikan detik-detik kehidupan kita selanjutnya diwarnai oleh amal-amal soleh sebagai kesinambungan dari amalan sepanjang Ramadhan yang akan berlalu ini. moga-moga ianya diterima oleh Allah SWT sebagai amalan yang diredhainya.

Mimbar juga mengambil kesempatan untuk memohon kemafaan seandainya ada kesalahan dan kesilapan yang berlaku. Selamat hari raya Idulfitri.

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠

“Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.” (Al-Hujurat; Ayat 10)

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Ujian Di Sebalik Ramadhan”

(25 Julai 2014 / 27 Ramadhan 1434H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: