Khutbah Aidil Fitri:  Kembali Kepada Fitrah

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

khutbah.

Khutbah Khas IdulfitriKembali Kepada Fitrah

 

.

Khutbah Khas Idulfitri 1

.

.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,

.

Di pagi hari yang mulia dan penuh berkat ini, marilah sama-sama kita perbanyakkan rasa syukur dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Ketaqwaan yang bersungguh-sungguh sehingga membawa kita kepada rasa bertanggungjawab untuk kita mentaati segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya, mudah-mudahan kita dikasihi Allah, mendapat perlindungan-Nya di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “IDULFITRI; KEMBALI KEPADA FITRAH.”

.

Khutbah Khas Idulfitri 2

.

.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,

.

Alhamdulillah hari ini kita telah melangkah masuk ke 1 Syawal 1435H. Pada hari ini juga kita menzahirkan rasa kesyukuran dan kegembiraan setelah berjaya menyempurnakan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan. Didikan sepanjang Ramadhan dengan kita dilatih untuk melaksanakan ibadah-ibadah fardhu dan sunat, seperti solat sunat Tarawih, tadarrus al-Quran, berqiamullail, bersahur, memperbanyakkan sedekah dan sebagainya, diharapkan telah dapat mengembalikan kita kepada fitrah atau keadaan asal yang suci, bersih dan terpelihara daripada segala dosa. Maka, beruntunglah orang-orang yang telah mengisi Ramadhan dengan pelbagai ibadah dan sebaliknya rugilah mereka yang telah mensia-siakan Ramadhan sehingga ia berlalu begitu sahaja.

.

Secara ringkasnya mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa kembali kepada fitrah bermaksud kembali kepada asal kejadian iaitu kesucian jiwa yang senantiasa tunduk dan patuh kepada Allah SWT. Dalam Islam terdapat konsep bahawa setiap orang dilahirkan dalam keadaan fitrah. Fitrah dalam hal ini bererti seseorang itu dilahirkan dalam keadaan suci dan tidak memiliki dosa. Seseorang yang kembali kepada fitrahnya, mempunyai makna ia mencari kesucian dan keyakinannya yang hakiki, sebagaimana pada saat ia dilahirkan.

Sabda Rasulullah SAW: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci. Kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.” (Hadith Riwayat Bukhari)

Dengan kembalinya kita kepada fitrah ini, ia sewajarnya menjadi satu kayu pengukur atau yardstick untuk kita memulakan langkah baru dan mengekalkan diri agar terus hidup sebagai lembaran kain putih yang suci dan bersih. Ia juga seharusnya menguatkan iltizam untuk memenuhi syarat kehidupan sebagai mukmin sejati yang dijadikan sebagai khalifah di muka bumi bertujuan untuk mengabdikan diri kepada-NYA, dan mengakhiri kehidupan sebagai seorang insan kamil.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Rum ayat 30:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ ٱللَّـهِ ٱلَّتِى فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ ٱللَّـهِ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ ﴿٣٠

“Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan; Fitrah Allah yang menciptakan manusia untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Maka, dengan yang demikian, kita akan meraikan Idulfitri ini dengan amalan yang sewajarnya dan bukan dengan cara yang memusnahkan sama sekali maksud serta nilai fitrah yang ada pada diri kita ini. Janganlah kita rosakkan pahala Ramadhan dengan dosa pada Idulfitri. Justeru, Idulfitri ini hendaklah dihiasi dengan segala nilai, akhlak serta adab berpandukan Sunnah Rasulullah SAW.

.

Khutbah Khas Idulfitri 2

.

.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,

.

Bagi mengekalkan kesucian fitrah, maka sebagai umat Islam kita hendaklah;

.

Pertama: mengukuhkan ketauhidan kepada Allah SWT. Pengukuhan tauhid pada hari yang mulia ini dimulai dengan melaksanakan takbir, tahmid, dan tasbih sebagai tanda mengagongkan Allah SWT. Ia adalah pernyataan ikrar dan taat kepada Allah, kepada syariat-Nya, kepada seluruh perintah dan larangan-Nya, yang kita berjanji kita akan patuhi. Untuk lebih menghayati kalimah agung ini adalah lebih baik kita fahami maknanya seperti berikut:

“Allah Maha Besar, Allah Maha Hebat, Allah Maha Agung. Tidak ada Tuhan selain Allah yang Maha Agung itu dan bagi-Nyalah segala puji-pujian. Maha Besar Allah, Maha Terpuji Allah, Maha Suci Allah, baik di waktu pagi atau di waktu petang, baik di waktu yang silam atau sekarang dan di masa-masa yang akan datang.”

“Tidak ada Tuhan selain Allah, Dia menepati segala janji-Nya, membantu hamba-hamba-Nya yang berjuang menegakkan kebesaran dan kebenaran kalimah-Nya, Maha kuat tentera dan pasukan-Nya, sanggup Dia menaklukkan seluruh tentera dan mana-mana pasukan pun. Tidak ada yang kita sembah selain hanya Allah. Kita ikhlaskan diri menganut agama ini hanya kerana Allah, kerana Dia semata-mata, sekalipun akan mengakibatkan benci dan irihati orang-orang kafir.”

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya. Ya Allah, limpahkan jua selawat dan salam atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW, keluarga sahabat dan pengikutnya yang sudah berjuang menegakkan kalimah-Mu, beribadat menyembah-Mu, sebagai obor yang menerangi agama, memberi petunjuk dan pimpinan yang cemerlang”.

.

Kedua: Menguatkan komitmen ubudiyah: Sebulan di madrasah Ramadhan mendidik kita untuk memberi sepenuhnya komitmen dalam membina ubudiyah yang sejati kepada Allah SWT. Bagi mereka yang menguatkan ubudiyah dan mengharungi dengan penuh ketaatan sebenarnya telah menempah tiket al-Rayyan untuk menuju ke satu destinasi yang menjadi idaman setiap insan mukmin. Daripada Sahl bin Said RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya di dalam syurga itu ada satu pintu yang dinamakan al-Rayyan, orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat, tidak akan masuk seorang pun selain daripada mereka (yang berpuasa), apabila telah masuk orang yang berpuasa, pintu ini akan ditutup, maka tidak dapat masuk seorang pun yang lain melalui pintu ini. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

.

Ketiga: Memelihara akhlak terpuji, ketika kita di bulan Ramadhan kita bukan sahaja menahan diri dari makan dan minum, malahan kita diajar menjaga segala akhlak samada dari segi tutur bicara, tingkah laku dan menjaga perasaan hati dari segala perkara mazmumah. Amalan wajib dan sunat yang padat dalam bulan Ramadhan telah memberi tumpuan latih tubi pembersihan hati, pembersihan dalaman, mendisiplinkan anggota badan, mengukuhkan akhlak mulia dan mencegah penyakit.

.

Khutbah Khas Idulfitri 2

.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,

.

Ketahui dan sedarlah bahawa pada hari ini sekali lagi fitrah umat Islam diracuni dan digugat dengan pelbagai cara samada dari segi akidah, ibadah, akhlak dan sebagainya. Lihatlah…kita digugat dengan ancaman akidah sama ada melalui penyebaran ajaran sesat, anti Hadith, aliran pemikiran dan ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, fahaman liberalisme, pluralisme, sekularisme dan komunisme serta unsur-unsur negatif yang mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya.

Bukan itu sahaja, kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit dengan budaya kebebasan melampau seperti pesta seks, gejala gay, lesbian, seks bebas dan sebagainya. Kita juga dikejutkan dengan beberapa gejala sosial dan keruntuhan moral yang amat membimbangkan seperti isu gelandangan, kes perderhakaan anak-anak terhadap ibu bapa, pembunuhan, rompakan, pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, kes bersekedudukan sehingga melahirkan zuriat tanpa nikah, kes dadah, arak, rogol dan sebagainya.

Persoalan besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus berlaku? Jawapannya ialah kerana kualiti keimanan umat Islam yang lemah dan kekaburan kita di dalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang muslim. Dengan ini kita terpesong daripada cara hidup yang sebenar dan fitrah umat Islam. Kita juga jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119:

وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَـَٔامُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ ءَاذَانَ ٱلْأَنْعَـٰمِ وَلَـَٔامُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ ٱللَّـهِ ۚ وَمَن يَتَّخِذِ ٱلشَّيْطَـٰنَ وَلِيًّا مِّن دُونِ ٱللَّـهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا ﴿١١٩

“Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita’ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

.

Ingatlah bahawa agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan fitrah umatnya agar selari dengan akidah, ibadah dan akhlak umat Islam. Oleh itu, kita hendaklah melakukan penghijrahan minda dengan menyedari bahawa kewajipan untuk memelihara agama (hifz ad-deen) adalah tanggunjawab bersama. Tariklah nafas perjuangan dan renungkanlah ke dalam diri kita, bertanyalah secara jujur kepada hati kita! Sejauh manakah kita mengambil berat tentang agama kita? Adakah selama ini kita telah berusaha untuk mempertahankan kesucian Islam? Pernahkah kita terfikir tentang masa depan umat islam? Relakah kita melihat umat Islam semakin berpecah, semakin lemah hingga akhirnya umat Islam hilang maruah dan juga ditindas?

Maka sedarlah sebagai umat Islam kita dituntut untuk mengenali agenda penghakis kedaulatan agama Islam dengan membenteras unsur-unsur yang cuba menghakis kesucian agama Islam dan sebagainya. Inilah perjuangan yang perlu kita dukung dan laksanakan dengan penuh keyakinan tanpa mengira umur, kedudukan dan fahaman politik kita.

Percayalah bahawa, tatacara hidup Islam yang sebenarnya adalah bersaudara, saling bantu membantu, faham-memahami antara satu sama lain  sebagaimana hadith Rasulullah SAW:

“Bandingan hubungan persaudaraan dan silaturahim seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain bagaikan sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.”  (Hadith Riwayat Muslim)

.

Khutbah Khas Idulfitri 2

.

.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,

.

Sesungguhnya kedatangan Syawal bukan bermakna terhenti segala amal kebajikan dalam tempoh sebulan Ramadhan yang lalu dan mengurangkan amal ibadah serta kesungguhan kita dalam mematuhi tuntutan Allah SWT. Sebaliknya terus istiqamah dengan ibadah-ibadah wajib dan sunat yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Berdasarkan pengalaman dan apa yang kita rasai atau hayati sendiri ternyata ibadah puasa memberi impak kesihatan yang tinggi dan faedah kebaikan yang banyak kepada manusia. Kejayaan melaksanakan ibadah puasa itu sewajarnya memberi inspirasi dan celik akal kepada umat Islam bahawa segala ibadah kita kepada Allah SWT boleh dilaksanakan sepenuhnya jika kita bertaqwa dan mempunyai keinginan yang tinggi untuk mematuhi perintah Allah.

Ternyata perintah wajib berpuasa ini menjadi penanda aras bahawa perintah Allah sebenarnya tersirat hikmah, tidak menzalimi manusia, tidak memudaratkan manusia, tidak menjatuhkan maruah manusia, tidak memalukan manusia tetapi hakikatnya membawa kesejahteraan kepada manusia sendiri, masyarakat dan negara. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rahman ayat 60:

هَلْ جَزَآءُ ٱلْإِحْسَـٰنِ إِلَّا ٱلْإِحْسَـٰنُ ﴿٦٠

“Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga?”

.

 Khutbah Khas Idulfitri 2

.

.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,

.

Ketika kita sedang bergembira menyambut Idulfitri ini, kita perlu insaf dan sedar bahawa terdapat saudara mara, kaum kerabat, jiran, sahabat-kenalan dan saudara seagama kita yang menyambut Idulfitri dalam keadaan sukar, bersendirian, daif dan sebagainya. Bayangkanlah..mereka ini terdiri daripada orang miskin, anak-anak yang terbiar, golongan gelandangan, orang kelainan upaya (OKU) dan mereka yang berada di pusat-pusat serenti, penjara, rumah orang tua, rumah anak yatim, rumah kebajikan dan sebagainya.

Justeru, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menghidupkan suasana Idulfitri ini dengan amalan ziarah-menziarahi, kunjung mengunjungi dan menghubungkan silaturahim terutama sekali terhadap kedua ibu bapa kita dengan memohon kemaafan atas kesalahan, perbuatan zalim dan perbuatan dosa yang telah dilakukan samada yang disedari ataupun yang tidak disedari. Dengan demikian jiwa kita dapat merasai ketenangan,kebahagiaan yang sejati.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menghilangkan kesusahan orang mukmin daripada kesusahan dunia nescaya Allah akan menghilangkan kesusahannya pada hari Kiamat dan siapa yang memberi kemudahan kepada orang susah nescaya Allah akan memberi kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat, sesiapa yang menutup keaiban orang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat dan Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya menolong saudaranya dan siapa yang menuntut ilmu nescaya Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga dan tidak berkumpul sesuatu kaum dalam masjid dalam keadaan membaca al-Quran dan mengulangkaji sesama mereka melainkan mereka akan mendapat ketenangan dan dilimpahkan rahmat ke atas mereka dan dilimpahi oleh para Malaikat dan Allah sentiasa mengingati-Nya dan siapa yang menangguhkan amalannya tidak akan disegerakan oleh keturunannya.” (Riwayat Ahmad)

Mimbar juga mengambil kesempatan pada hari ini untuk merakamkan rasa kesedihan dan ucapan takziah kepada kaum keluarga dan sahabat handai mangsa-mangsa tragedi Pesawat MH17 yang terhempas di kawasan Timur Ukraine, mengakibatkan kesemua penumpang dan anak kapal terkorban. Semoga roh mereka ini ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Mimbar menggesa kepada pihak yang berkuasa agar mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mereka yang tidak bertanggungjawab, tidak bertamadun dan tidak berperikemanusian ini.

Mimbar juga merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada pihak kerajaan Malaysia khasnya kepada YAB Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan kepada semua yang terlibat di atas usaha-usaha yang dilakukan khususnya dalam urusan membawa pulang jenazah mangsa tragedi ke tanah air. Semuga sagala usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan diberi balasan serta ganjaran yang setimpal oleh Nya. Sesungguhnya kuasa Allah mengatasi segalanya.

.

Khutbah Khas Idulfitri 2

.

Ketika kita bergembira dengan Idulfitri ini, dunia digegarkan dengan kekejaman manusia yang tidak bertamadun rejim Israel terhadap umat Islam di Palestin. kezaliman dan keganasan yang telah dilakukan oleh mereka telah menyaksikan pembunuhan dan pertumpahan darah yang tidak pernah mengenal mangsa sama ada bayi, kanak-kanak, remaja, lelaki, wanita atau orang biasa. Mereka akan membunuh tanpa rasa belas kasihan dan hak. Sesungguhnya perbuatan ini adalah zalim, tidak berperikemanusian dan bertamadun.

Cuba bayangkan…bagaimana mereka menyambut hari raya dengan suasana letupan bom, bedilan meriam, percikan senapang dan hujanan peluru. Sudah pasti kesengsaraan dan penderitaan yang dialami oleh mereka. Rasakan suasana hibanya kematian, kesakitan dan keperitan yang dialami mereka.

Justeru, mimbar yang mulia ini mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini, marilah sama-sama kita memberi sokongan dan bantuan sepenuhnya dengan apa cara kepada umat Islam di Palestin. Sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa membezakan latar belakang, ekonomi, miskin atau kaya, berbeza latar belakang fahaman atau politik. Berilah sokongan berterusan kepada umat Islam di Palestin dan jangan biarkan tangisan Gaza ini berpanjangan.

.

Khutbah Khas Idulfitri 2

   .

Selari dengan keberkatan Ramadhan dan takbir keinsafan yang memberi ruang besar untuk kembali kepada fitrah ini, maka mimbar mengambil kesempatan marilah kita memulihkan dan mengukuhkan hubungan sesama kita dengan mengamalkan sikap bersederhana dalam apa jua tindakan, tidak melampau, saling bermaafan, mendoakan dan mengeratkan hubungan silaturrahim. Buanglah yang keruh ambillah yang jernih. Ingatlah wahai muslimin dan muslimat sekalian, bahawa amalan ibadah kita tidak akan diterima oleh Allah SWT sekiranya kita hanya mementingkan diri sendiri dan tidak menghormati hak-hak orang lain.

Marilah kita cairkan keegoan dan lembutkanlah hati kita untuk penyatuan. Demi islam dan masa depan ummah, gugurkanlah segala api dendam dan permusuhan kerana tiada gunanya persengketaan kerana akhirnya pasti membawa kehancuran. Ambilah kesempatan pada hari yang mulia ini untuk sama-sama kita mewujudkan perpaduan antara kita, mudah-mudahan dengan cara ini hidup kita sentiasa berada dalam keberkatan dan negara kita sentiasa dalam suasana harmoni dan aman damai.

Seterusnya, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 9:

وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱقْتَتَلُوا۟ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَهُمَا ۖ فَإِنۢ بَغَتْ إِحْدَىٰهُمَا عَلَى ٱلْأُخْرَىٰ فَقَـٰتِلُوا۟ ٱلَّتِى تَبْغِى حَتَّىٰ تَفِىٓءَ إِلَىٰٓ أَمْرِ ٱللَّـهِ ۚ فَإِن فَآءَتْ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَهُمَا بِٱلْعَدْلِ وَأَقْسِطُوٓا۟ ۖ إِنَّ ٱللَّـهَ يُحِبُّ ٱلْمُقْسِطِينَ ﴿٩

“Dan jika dua puak dari orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah keduanya dengan adil, dan berlaku adillah kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil”.

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Khutbah Khas Idulfitri 3

.

.

.

.

.

KHUTBAH KEDUA IDULFITRI

.

Khutbah Khas Idulfitri 4.

.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,

.

Marilah pada hari yang penuh bahagia ini kita melafazkan rasa kesyukuran di atas nikmat Iman dan Islam yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sesungguhnya Idulfitri yang disyariatkan oleh Islam adalah untuk memperbaharui kehidupan kita sebagaimana yang digariskan bagi orang yang beriman dengannya, iaitu kehidupan yang berteraskan fitrah umat Islam yang berteraskan akidah, ibadah dan akhlak.

Merayakan Idulfitri ialah merayakan hari kemenangan dalam melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan dan berjaya melaksanakannya dengan sempurna. Para ulama menegaskan bahawa mereka yang bersabar dan istiqamah mengekalkan amalan soleh selepas Ramadhan membuktikan penerimaan Allah SWT terhadap amalannya. Justeru ibadah ini perlulah diteruskan pula di bulan Syawal ini dengan melakukan puasa sunat selama enam hari sama ada secara berturut-turut atau berselang seli.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadithnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, dan kemudian diikuti pula dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun.” (Riwayat Muslim)

Idulfitri juga hari perdamaian kerana pada hari ini dinyatakan perdamaian hidup dalam rumah tangga, hubungan kaum kerabat dan sanak saudara. Seluruh umat Islam sama ada dalam lingkungan desa mahupun kota, wajah berseri-seri, hati riang ria, tangan bersalam-salaman mengucapkan salam Idulfitri serta ampun dan maaf sebagai tanda keakraban dan silaturrahim.

.

Khutbah Khas Idulfitri 2

.

.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,

.

Mimbar mengingatkan sekali lagi bahawa Idulfitri bermakna kita kembali kepada fitrah. Melalui zakat fitrah dan zakat harta yang telah kita bayar di bulan Ramadhan telah memberi keceriaan dan keriangan kepada golongan fakir miskin untuk sama-sama menyambut hari kemenangan ini.

Keberkatan Ramadhan juga mengingatkan kita bahawa perpaduan yang ditetapkan Islam adalah melangkaui sempadan negara dan benua. Di mana jua umat Islam berada mereka adalah sama, kita sama dari segi makan minum, kita sama dari segi peraturan, halal dan haram dan kita juga sama dari sudut akidah. Namun kehidupan umat Islam teristimewa daripada umat lain kerana dengan adanya iman kepada Allah SWT.

Kita perlu insaf kerana terdapat saudara-saudara kita di luar negara hidup dalam keadaan sukar sepanjang hayat, membesar dalam keadaan perang, generasi silih berganti terus hidup menderita terutama saudara-saudara kita di Palestin, Syria, Selatan Thai, pelarian muslim Rohingya dan lain-lain umat Islam yang sedang mengalami musibah.

Cuba rasakan betapa hebatnya penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh mereka dan seandainya diri kita di tempat mereka? Bandingkan pula dengan keadaan kehidupan kita di sini. Jadikanlah ia sebagai pengajaran dan juga teladan kerana kadangkala kita ini terlupa untuk melafazkan kesyukuran.

Berdasarkan pemerhatian mimbar terdapat umat Islam yang menjadi penduduk minoriti di beberapa buah negara terutama di rantau ini juga menghadapi keperitan hidup. Mimbar ingin menarik perhatian jemaah sekalian cuba bayangkan bagaimana umat Islam di negara yang mengalami peperangan dan kehidupan yang sukar menjalani puasa dan sambutan Idulfitri dan ibadah-ibadah yang lain.

Adakah mereka itu boleh melaksanakan ibadah solat dengan aman di masjid atau di surau?. Adakah mereka boleh belajar, menulis, membaca dan mengajar al-Quran dalam keadaan selesa dan aman?. Sudah tentu tidak sempurna dan tidak selesa sepertimana kita dan generasi kita sedang menikmatinya masa kini. Alhamdulillah! Bersyukurlah di atas segala nikmat Allah SWT yang telah dianugerahkan oleh-Nya kepada kita.

Maka mimbar yang mulia pada hari ini, menyeru marilah kita bersama-sama membantu saudara seagama yang hidup daif dan menderita. Keberkatan Ramadhan mengingatkan kita supaya menghulurkan bantuan yang diadakan dari masa ke masa melalui masjid-masjid, akhbar-akhbar dan sebagainya, mudah-mudahan rezeki kita ditambah, umur kita dipanjangkan Allah SWT  untuk meneruskan keimanan dan ketaqwaan kepadanya serta kasih sayang di kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

.

Khutbah Khas Idulfitri 2

.

.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,

.

Pada hari ini marilah kita memperbanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW kerana telah menyampaikan Islam kepada kita melalui berbagai bentuk pengorbanan dan jihad. Tanda kasih kita kepada Baginda hendaklah dirakamkan dalam bentuk menyempurnakan suruhan-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya dan seterusnya banyakkan ucapan selawat dan salam sebagaimana Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Ahzab ayat 56:

 إِنَّ ٱللَّـهَ وَمَلَـٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا ﴿٥٦

“Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

 Khutbah Khas Idulfitri 5 Khutbah Khas Idulfitri 6

Khutbah Khas Idulfitri 7 Khutbah Khas Idulfitri 8 Khutbah Khas Idulfitri 9 Khutbah Khas Idulfitri 11 Khutbah Khas Idulfitri 12 

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Idulfitri; Kembali Kepada Fitrah

28 Julai 2014M/1 Syawal 1435H

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: