KJ :  Menjana Masyarakat Mahabbah

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Solat.

Khutbah Jumaat: “Menjana Masyarakat Mahabbah”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوَاْ

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada bulan yang penuh kebahagian ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ialah: “MENJANA MASYARAKAT MAHABBAH”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Alhamdulillah kini Syawal mewarnai pentas kehidupan umat Islam. Kehadiran Syawal seharusnya di ambil kesempatan untuk menjana masyarakat mahabah iaitu yang cintakan persaudaraan, cintakan keamanan, mempunyai jati diri sebagai seorang Islam. Yakinlah bahawa kekuatan utama masyarakat mahabah ialah mengekalkan perpaduan.

.

Perpaduan bermaksud penggabungan samada bergabung menjadi satu atau persatuan. Dalam maksud yang lain, perpaduan bererti hubungan erat yang bersifat toleransi bagi mencapai matlamat secara jujur dan ikhlas. Perpaduan juga adalah proses menyatupadukan seluruh ummah agar membentuk satu identiti dan menanamkan perasaan cinta dan banggakan negara. Perpaduan umat Islam iaitu berasaskan kepada kesatuan dalaman yang terzahir sebagai pautan kejiwaan dan kerohanian.

.

Walaupun umat manusia diciptakan oleh Allah SWT dengan kriteria dan watak yang berbeza-beza. Kita berbeza dari segi adat, budaya  dan cara hidup. Namun, bagi memastikan kepelbagaian ini dapat dilangsungkan dengan murni dan bebas maka setiap daripada kita perlu bersatu dan berpegang teguh dengan agama Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali-Imran ayat 103:

وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًۭا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءًۭ فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًۭا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍۢ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”

.

Persoalan besar timbul di sini, bagaimanakah untuk menjana masyarakat mahabah. Secara ringkasnya mimbar yang mulia ini ingin menyatakan dalam menjana masyarakat mahabah hendaklah bertunjangkan kepada prinsip maqasid syariah itu sendiri.

Ibn Ashur pernah menyebut, “antara tujuan syariat yang terpenting ialah menjaga sistem kehidupan manusia dan memperbaikinya ke arah kebaikan meliputi aspek pemikiran, pekerjaan serta hubungan sesama manusia dalam mewujudkan kehidupan yang sempurna.”

.

Dr Yusuf al-Qaradawi berpendapat bahawa: “Maqasid tidak hanya terhad kepada aspek penjagaan lima perkara, tetapi melangkaui maksud lebih luas seperti membangunkan manusia soleh, keluarga soleh, masyarakat soleh, umat soleh dan mengajak kepada kemanusiaan. Antara prinsip maqasid syariah ialah keadilan, persamaan, memudahkan dan meringankan, mendatangkan kebaikan, menjauhi kemudaratan, kesatuan dan kesepakatan.”

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Dalam menjana masyarakat mahabah dapat dilihat dalam pendekatan yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW semasa pemerintahannya. Baginda SAW telah menunjukkan kaedah dan cara menunaikan kewajipan terhadap maqasid Syariah dengan mengukuhkan prinsip agama, perpaduan masyarakat, menjaga segala kebaikan dan menjauhi segalanya keburukan. Sabda Rasulullah SAW:

عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ، وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ.

Maksudnya: “Hendaklah kamu bersama jamaah, dan janganlah kamu berpecah (daripada jamaah).

(Riwayat at-Tarmizi).”

.

Berdasarkan peringatan Rasulullah ini maka mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian bahawa dalam menjana masyarakat mahabah ini, agama Islam telah mengariskan beberapa perkara antaranya ialah,

Pertama: hendaklah berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar.

Sayyid Abu al-Ala Al-Maududi pernah berkata hanya Islam sahaja yang mampu menyatukan umat di dunia ini. Beliau berkata: “Tidak keterlaluan bila saya menyatakan bahawa tidak ada sebarang teori samada sekarang mahupun akan datang yang boleh menyatukan dunia (umatnya) dan menjadi asas kepada dunia selain daripada Islam. Islam adalah satu-satunya agama yang meletakkan tara! manusia yang berasal daripada satu ibu bapa iaitu Adam dan Hawa.”

Kedua: mengamalkan sikap toleransi dan kesederhanaan.

Ingatlah bahawa Islam meletakkan toleransi dan kesederhanaan di tempat yang penting dalam sistem kehidupan dan kemasyarakatannya. Dalam Islam, hak untuk mendapat kesamaan bukan hanya semata-mata untuk umat Islam tetapi ianya merupakan keperluan semua manusia.

Menurut Syeikh Muhammad Abu Zuhrah bahawa: “Sesungguhnya setiap sifat kemanusiaan sama ada bertolak ansur atau kebebasan semuanya tertakluk kepada prinsip kesamaan. Sifat bertolak ansur yang keterlaluan sehingga menghilangkan hak-hak bukanlah dinamakan tolak ansur atau kasihan belas, tetapi ia merupakan satu kezaliman yang boleh membawa kepada ketiakadilan sesama manusia.”

Ketiga: menjauhi segala sifat mazmumah yang boleh memecah belahkan.

Ini kerana apa jua bentuk sifat mazmumah boleh menyebabkan  hilangnya  rasa saling percaya-mempercayai yang menyebabkan hilangnya kekuatan dan keutuhan ummah.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Mimbar yang mulia ini ingin berpesan kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini, sama-sama kita menjana masyarakat mahabah dengan menjaga hubungan sesama kita. Marilah kita memperkukuhkan  hubungan silaturrahim seperti melaksanakan amalan ziarah atau kunjung mengunjung. Amalan ini membolehkan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai, yang susah menjadi mudah dan sebagainya. Maka dengan ini akan terbentuklah satu masyarakat mahabah sesama kita.

.

Sheikh Abdur Rahman Nashir as-Sa’ pernah berkata: “Allah SWT menggandingkan antara saranan supaya bertaqwa kepada-Nya dengan perintah untuk berbuat kebaikan kepada kaum keluarga dan melarang daripada memutuskan hubungan silaturahim yang dengannya dapat menegaskan akan maksud betapa wajibnya menunaikan hak Allah, maka adalah wajib juga untuk menegakkan hak makhluk, khususnya yang termasuk persoalan hubungan kekeluargaan antara mereka, bahkan menunaikan hak mereka adalah di antara hak Allah yang sudah diperintahkan oleh-Nya.”

.

Imam Ibnul Athir berkata: “Silaturahim adalah suatu ungkapan berkaitan dengan menjalinkan perbuatan baik terhadap kaum kerabat yang memiliki hubungan senasab atau perkahwinan, berlemah lembut kepada mereka, menyayangi mereka, memerhatikan keadaan mereka, walaupun mereka jauh dan berbuat jahat. Manakala memutuskan silaturahim adalah suatu perbuatan yang berlawanan dengannya.”

.

Yakinlah bahawa membina masyarakat mahabah memiliki begitu banyak manfaat antaranya sebagai usaha melaksanakan perintah Allah dan Rasul-Nya, membina suasana kasih sayang yang harmoni dan saling bantu membantu, diberi keluasan rezeki oleh Allah, merapatkan hubungan dan peluang dakwah yang lebih baik. Hubungan baik juga membolehkan berkongsi ilmu serta kebaikan, meraih kekuatan dengan kesatuan kekeluargaan yang terbina, menjauhi keburukan seperti fitnah atau buruk sangka dan yang akhirnya diberi jaminan syurga oleh Allah.

.

Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan di bulan Syawal ini untuk menjalin semula keakraban hubungan dengan jiran tetangga, sahabat handai dan rakan taulan. Buangkanlah yang keruh, ambillah yang jernih, mudah-mudahan ianya akan memantapkan lagi perpaduan antara kita semua.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung sepotong ayat al-Quran dalam surah al-Hujuraat ayat 13:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Menjana Masyarakat Mahabbah”

(1 Ogos 2014 / 5 Syawal 1435H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: