KJ :  Menjaga Kesucian Agama Islam

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Jumaat ATM.

Khutbah Jumaat: “Menjaga Kesucian Agama”

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT iaitu dengan membuktikan kita mentaati perintah Allah, mengutamakan ajaran al-Quran dan sunnah, mudah-mudahan diri kita dekat dengan Allah dan memperolehi keberkatan hidup yang berkekalan di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membincangkan tajuk: “MENJAGA KESUCIAN AGAMA”

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Sebagai seorang Islam yang beriman menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga kesucian agama dari sebarang ancaman, kerosakan dan apatah lagi dihina dan diperlekehkan dengan perbagai cara. Dalam hal ini ajaran Islam telah menetapkan aktiviti amar makruf dan nahi munkar adalah satu perkara yang  dituntut.

Menurut Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris: Yang disebut sebagai makruf menurut timbangan syariat adalah setiap ‘iktikad (keyakinan), perbuatan (amal), perkataan (qaul), atau isyarat yang telah diperakui oleh syariat Allah SWT yang Maha Bijaksana dan diperintahkan sebagai bentuk kewajiban ataupun suatu dorongan. Andai kata aktiviti ini dilengah-lengahkan atau tidak dipedulikan, maka akan menyebabkan masyarakat akan berpecah belah, berlakunya perselisihan dan pergaduhan dan negara akan menjadi huru hara.

Maka sebagai umat Islam yang beriman kita hendaklah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dengan meletakkan persoalan amar makruf dan nahi mungkar ini adalah tanggungjawab bersama.

Imam Al-Ghazali telah mengatakan: “Allah SWT tidak akan mengakui kebaikan mereka semata-mata kerana mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat sehinggalah ditambahkan cirinya dengan mengerjakan amar makruf dan nahi mungkar. Oleh itu, muslim yang sayangkan imannya dan inginkan syurga yang tinggi akan bersungguh-sungguh memperkatakan kebenaran. Mereka rela mengorbankan masa rehatnya, hartanya, bahkan darah dan nyawanya sebagai cagaran untuk mendapatkan ganjaran pahala yang diidamkannya. Tugas menyeru ke jalan Allah adalah wajib. Tidak seorang pun boleh menguzurkan diri kecuali manusia awam yang ditindas”.

 .

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

.

.

Muslimin yang Dikasihi Sekalian

.

Kita sedar pada ketika ini umat Islam berhadapan dengan situasi dunia global tanpa sempadan. Dengan perkembangan teknologi, terutama teknologi internet, kita diserang dengan penyebaran berita yang menghina Islam dan umatnya samada melalui simbol-simbol, laman web, laman-laman sesawang atau blog serta laman-laman sosial seperti facebook dan twitter, whatsapp dan sebagainya.

Isu menghina Allah SWT, menghina Rasulullah SAW, menghina ibadah orang Islam, cercaan terhadap sensitiviti Islam, orang Melayu dan Institusi Raja secara viral disebarkan secara meluas di alam siber. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar bahawa puluhan simbol dan ratusan laman web digunakan bagi mengeliru dan melemahkan pegangan umat Islam yang berada di alam internet ini.

.

Mimbar ingin menyatakan bahawa penyalahgunaan atau menggunakan teknologi internet dan telekomunikasi tidak sebagaimana yang sepatutnya adalah bertentangan dengan tuntutan agama, undang-undang serta tatasusila masyarakat.

Justeru, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 17 Julai 2013 sangat kecewa terhadap perlakuan pihak-pihak yang sengaja menimbulkan isu-isu bagi mencetuskan kemarahan umat Islam dan sekaligus menggugat keharmonian hidup masyarakat berbilang agama dan bangsa di negara ini.

Perbuatan yang dilakukan oleh golongan ini telah melampaui batas kesabaran umat Islam. Dengan berbagai penghinaan yang dilakukan sebelum ini, kita tidak mahu lagi kata-kata atau perlakuan yang biadap dan tidak bertamaddun oleh mana mana pihak dipandang sebelah mata tanpa diambil tindakan yang tegas dan hukuman yang maksimum mengikut undang-undang yang sedia ada.

Tindakan tegas dan segera oleh pihak berkuasa perlu dilaksanakan supaya ianya tidak terus berulang dan menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak bermain dengan api dan bertindak melampaui batas.

Percayalah, menggunakan laman sosial untuk melemahkan pegangan umat Islam sebenarnya adalah strategi licik mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan umat Islam.

Justeru, dalam konteks cabaran anti Islam melalui teknologi maklumat yang hebat itu, maka menjadi tugas dan tanggungjawab umat Islam untuk menggunakankan apa sahaja pendekatan yang munasabah termasuklah media sosial bagi melawan, menentang, menjawab, menangkis serangan, propaganda, tipu muslihat mereka dan gerakan gerakan yang mengugat kedudukan umat Islam khususnya di negara kita dalam konteks amar makruf dan nahi mungkar.

Jadikanlah kerjaya harian kita walau dalam apa jua bidang pun samaada secara langsung mahupun tidak langsung sebagai landasan perjuangan untuk kita menyumbang bagi mempertahankan dan memelihara kesucian agama Islam.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 41:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Bermaksud: “Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

.

.

Muslimin yang Dikasihi Sekalian

.

Inilah masanya…sebagai umat Islam kita perlu sedar dan bangkit melaksanakan tugasan amal makruf, nahi mungkar ini kerana ia adalah asas kekuatan kita sebagai umat Islam. Marilah seluruh umat Islam daripada kalangan individu, keluarga, masyarakat, NGOs, kerajaan, swasta dan parti politik. Inilah detiknya untuk kita bersatu, bersama dan bergandingan bagi menghadapi segala serangan mereka yang tidak bertanggungjawab yang dilakukan secara terancang.

Yakinlah, kekuatan umat Islam pasti terserlah dan kesucian agama pasti terpelihara jika semua kita bersatu hati dan ikhlas meletakkan kepentingan memelihara agama Allah ini melebihi segala kepentingan peribadi dan politik.

Tariklah nafas keimanan dan ingatlah…dalam hal ini, umat Islam memerlukan penghayatan Islam secara menyeluruh dengan membina kekuatan akidah, ilmu pengetahuan, teknologi terkini seperti komputer, internet dan sebagainya, ketinggian intelektual, kematangan berpolitik dan perpaduan ummah.

Kita juga mestilah sentiasa mengikuti perkembangan semasa agar maklumat yang diperolehi adalah benar dan tepat dan tidak mudah terpengaruh segala bentuk propaganda.

Usahlah kita mudah terpedaya dan mempercayai hasutan mereka yang sebahagian besarnya menggunakan media sosial dan alam siber sebagai medium untuk menyerang dan menyesatkan umat Islam.

Bayangkanlah..di alam maya yang tiada sempadan ini, sesiapa sahaja boleh menulis, mengubahsuai gambar, mencipta video dan melakukan penyamaran indentiti samaada dari segi nama, agama mahupun bangsa sedangkan pada hakikatnya belum dapat disahkan kebenarannya.

Fikirkanlah dengan iman dan kebijaksanaan..adakah kita sebagai umat Islam yang dianugerahkan dengan akal akan mudah mempercayai segala-segalanya yang kita baca dan dengar tanpa mengkajinya terlebih dahulu?

.

Ingatlah pesan Rasulullah SAW di dalam hadithnya yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa: Zaman akan semakin dekat, di cabutnya ilmu, akan timbul fitnah fitnah. Dimasukkan  kedalam hati hati sifat kikir dan akan banyak al-Harj. Para sahabat bertanya apa yang dimaksudkan dengan al-Harj, maka Rasulullah SAW menjawab pembunuhan.

Mimbar ingin menyatakan apa yang dimaksudkan dengan zaman semakin dekat ialah bahawa hubungan komunikasi semakin mudah, akan berkuranglah ilmu yang sahih sehingga mengakibatkan kejahilan begitu banyak dan lambakan fitnah sehingga mendorong manusia bersikap pentingkan diri sendiri, tamak dan saling berbunuh- bunuhan.

Justeru, sebagai Ibu bapa kita juga hendaklah berperanan dalam mendidik anak-anak dengan ajaran Islam yang sebenar agar menjadi generasi yang diredhai oleh Allah SWT dan berusaha menjauhi keluarga dari neraka Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّـهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Bermaksud: Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru sidang Jumaat dan seluruh umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita berpadu dengan penuh keberanian dan mendokong segala usaha demi menjaga kesucian agama Islam  dari serangan mereka yang tidak bertanggungjawab terutamanya melalui alam siber yang tiada sempadan.

Berdasarkan maqasid syariah maka menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Mimbar ingin mengingatkan salah satu prinsip penting yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam bagi memastikan kedaulatan agama kekal terpelihara ialah dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran.

Ingatlah, jika umat Islam masih leka dan terus dibuai mimpi yang indah tanpa menyedari barah dan virus yang sedang meratah mangsanya, pasti rosaklah minda, hilanglah jatidiri dan terpesongnya persepsi yang akhirnya akan melenyapkan kuasa dan maruah. Marilah kita melakukan tindakan berdasarkan prinsip-prinsip yang berasaskan kepada semangat persaudaraan Islam dan janganlah kita terhasut dengan pemikiran yang jahat yang cuba menyesatkan.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat 104;

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebaikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang Berjaya.”

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Menjaga Kesucian Agama”

(8 Ogos 2014 / 12 Syawal 1435H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: