KJ :  Bantu Dan Perihatin, Selamatkan Palestin

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Kehilangan Tanah Palestin dirampas Zionis.

 

Khutbah Jumaat: “Hulurkan Bantuan, Selamatkan Palestin”

 

.

kj pembuka 1

kj palestin

kj kaya 1b

.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “HULURKAN BANTUAN, SELAMATKAN PALESTIN”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Salah satu rahmat daripada ajaran Islam ialah kewajipan kepada penganut-Nya agar menghulurkan bantuan dan pertolongan untuk meringankan penderitaan golongan yang menderita. Tuntutan bantu membantu tidak terbatas kepada sesama masyarakat Islam sahaja bahkan mencakupi masyarakat yang bukan Islam. Ia juga tidak terbatas kepada kaum keluarga, malah melibatkan kepada sesiapa juga yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Ini selaras dengan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِۚ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”.

.

Berdasarkan ayat ini, jelas kepada kita bahawa Islam telah meletakkan dasar yang kukuh dalam konteks bantu membantu dalam perkara kebaikan kerana ia membawa rahmat kepada manusia sejagat. Dasar Islam dalam menghulurkan bantuan sebenarnya selari dengan sifat semulajadi manusia yang pada hakikatnya ialah saling memerlukan antara satu sama lain. Kita perlu ingat bahawa golongan yang ditindas pada waktu tertentu memerlukan bantuan daripada golongan kita semua. Demikian juga golongan lemah, jika tidak dibantu dikhuatiri akan menimbulkan masalah sosial di samping boleh menjejaskan kualiti keamanan di sesuatu tempat.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Sebagai umat Islam kita  mesti sedar bahawa pada ketika ini umat seagama kita di bumi Palestin ditindas dan dibunuh dengan kejam tanpa belas kasihan oleh tentera Zionis. Apa yang sebenarnya berlaku di Palestin bukanlah isu-isu kemanusiaan semata-mata tetapi lebih daripada itu. Ia melibatkan isu menyayat hati kaum muslimin apabila kezaliman Zionis yang menghina  akidah umat Islam, rakyat Palestin diseksa, dizalimi dan dibunuh seperti haiwan dan rakyat Palestin diaibkan, dimalukan secara terbuka kepada masyarakat dunia tanpa mendapat pembelaan daripada mana-mana pihak dengan sewajarnya.

Sebenarnya kekejaman ini mengingatkan kita kepada kekejaman dan keganasan Yakjuj dan Makjuj yang disebutkan dalam al-Qur’an. Profesor Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, mantan Syeikhul Azhar telah menggambarkan sifat keji bangsa ini melalui bukunya ‘Israel fi al-Qur’an wa as-Sunnah’, bahawa Israel sebagai bangsa penjenayah kejam yang tidak membezakan orang tua, wanita, kanak-kanak, masjid, rumah ibadah, tempat awam dan sebagainya.

Israel juga terkenal sebagai bangsa penjenayah yang kuat memusuhi Islam dan Arab. Golongan ini bukan sekadar ingin menguasai Palestine, malah Jordan, Syria, Lebanon, Iraq, semenanjung Sinai dan termasuklah Madinatul Munawwarah.

Sifat keji kaum Yahudi Bani Israel ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 78:

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ ﴿٧٨

Maksudnya: “Orang kafir Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat (di dalam kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh.”

.

.

Muslimin Yang DiMuliakan Allah,

.

Dalam situasi yang gawat ini, umat Islam pada hari ini memerlukan jiwa seperti Saiyidina Umar al-Khattab yang berjaya membebaskan Baitul Maqdis dan mengisytiharkan sebagai tanah wakaf umat Islam pada tahun 636 M. Jiwa umat Islam juga perlu dibangunkan seperti Salahuddin al-Ayubi yang dapat membebaskan  Baitul Maqdis daripada tentera salib.

Jiwa seluruh umat Islam perlu disedarkan sekarang ini, sebagaimana sedarnya jiwa-jiwa rakyat Palestin yang mempertahankan bumi Palestin. Umat Islam perlu bebas dari dunia perhambaan yang mengakibatkan umat Islam lemah dan hanyut dengan arus keduniaan dan menjadi boneka kepada kuasa-kuasa yang secara terang-terangan ingin menghapuskan Islam dan umatnya.

.

Mimbar yang mulia ini amat kesal atas sikap tidak bertanggungjawab negara besar  yang menyokong jenayah keganasan yang dilakukan oleh kumpulan ini. Kita juga kecewa atas sikap negara-negara umat Islam yang berdiam diri apabila melibatkan kepentingan Islam dan umatnya.

Tariklah nafas keimanan dan sedarlah dengan apa yang telah berlaku, apa yang sedang berlaku dan apa yang bakal berlaku..sedarlah sebelum terlambat kerana pada hakikatnya adalah jelas bahawa dimana-mana negara sekalipun walaupun di dalam negara umat islam itu sendiri, Islam dan ummah tidak boleh sesekali bergantung kepada simpati dan bantuan golongan yang memusuhi umat Islam sama ada dalam isu keselamatan, ekonomi, pemerintahan, politik mahupun kemanusiaan.

Usahlah menaruh harapan untuk mendapatkan pertolongan, bantuan dan bersekongkol dengan mereka kerana akhirnya ia pasti akan membawa keburukan dan merugikan umat islam itu sendiri. Oleh kerana itulah Allah SWT memberikan kita peringatan bahawa golongan musuh-musuh Islam tidak sekali-kali akan melindungi Islam dan ummah melainkan mereka dijadikan sanjungan dan pujaan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 120:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.”

.

.

Muslimin Yang DiMuliakan Allah,

.

Islam mengajar kita bahawa umat Islam adalah bersaudara dan wajib dibela. Amatlah salah, kita membiarkan saudara kita di Palestin menderita, tanpa kita melakukan apa-apa. Sedarlah, bahawa kita bukan sahaja wajib membela dan meringankan penderitaan saudara kita di Palestin, tetapi kita sebagai umat Islam juga wajib turut sama mempertahankan kesucian Baitul Maqdis kerana ia adalah kiblat pertama dalam syiar agama kita.

Baitul Maqdis juga adalah tempat Rasulullah SAW Isra’ dan Mikraj, ia juga merupakan masjid kedua dibina di bumi ini dan ia juga tempat yang diberkati dan dilipatgandakan pahala serta diampunkan dosa.

.

Justeru, mimbar ini menyeru kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia, marilah kita membantu meringankan penderitaan saudara kita di Palestin dengan sama-sama mengambil tindakan berikut:

.

Pertama: Menyalurkan apa sahaja bantuan kewangan kepada rakyat Palestine yang sedang menderita melalui badan-badan yang sah serta diiktiraf oleh pihak pemerintah. Sudah tentu dana yang diperlukan adalah untuk tujuan perubatan, pendidikan, makan-minum, pembangunan semula bangunan-bangunan yang dimusnahkan, pembelaan anak-anak yatim dan sebagainya.

Kedua: Berdoa untuk kesejahteraan rakyat dan Negara Palestin. Percayalah bahawa Doa adalah senjata mu’min yang paling berkesan, terutamanya dalam waktu-waktu krisis. Antara doa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW adalah doa Qunut Nazilah.

Ketiga: Melakukan kempen kesedaran isu pencerobohan, penganiayaan, keganasan kezaliman dan jenayah paling keji ke atas umat Islam Palestin secara berterusan dengan hikmah, kerana ianya melibatkan isu agama, kedaulatan, kemanusiaan, penafian hak rakyat dalam sesebuah negara dan sebagainya.

Keempat : Menginsafi akan bahaya perpecahan kepada ummah dan perlunya tindakan segera dalam menyatupadukan ummah di kalangan negara Islam seluruh dunia; dan ingatlah apa yang berlaku di Palestin tidak mustahil juga boleh berlaku di negara ini jika umat islam tidak bersatu dan terus bersengketa sesama sendiri. Inilah saat yang dinantikan oleh musuh islam dan pasti berjayalah agenda jahat mereka.

Kelima: Tanpa jemu, kita hendaklah berusaha memastikan bahawa penjenayah perang Gaza di bawa ke muka pengadilan dan terus memburu mereka walau di mana juga. Semoga segala bantuan yang kita berikan ini, sama ada ianya fizikal ataupun spiritual mendapat perkenan oleh Allah SWT dan mudah-mudahan menjadi amalan ibadah kepada kita semua.

.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 261:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦١

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah maha luas (rahmat) kurnianya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”.

.

.

kj barzakh 2

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Hulurkan Bantuan, Selamatkan Palestin”

(15 Ogos 2014 / 19 Syawal  1435H)

 .

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a comment