KJ :  Patriotisme Asas Kemerdekaan

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Jumaat ATM.

 

Khutbah Jumaat: “Patriotisme Asas Kemerdekaan”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَآئِل

ﮱ ﯓ ﯔ ﯕ ﯖ ﯗ ﯘ ﯙ ﯚ ﯛ ﯜ ﯝ ﯞ ﯟ ﯠ ﯡ

أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِك عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الْمَبْعُوْثِ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِيْنَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! إتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَتَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertaqwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk: “PATRIOTISME ASAS KEMERDEKAAN”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Bersempena dengan Sambutan Hari kemerdekaan Negara kali yang ke 57 yang bertemakan “Malaysia di sini lahirnya sebuah cinta”, maka mimbar yang mulia pada hari ini menyeru sidang Jumaat dan umat Islam sekalian marilah sama-sama kita menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memberi nikmat kemerdekaan kepada kita.

Seorang sahabat Rub’i bin A’mir pernah menjelaskan ketika bertemu panglima tentera Rom yang bernama Rustum tentang hakikat Kemerdekaan dengan katanya yang bermaksud: “Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam) untuk kami merdekakan manusia daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.

.

Justeru, mimbar Jumaat ingin mengajak para jemaah dan umat Islam sekalian untuk mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita kecapi agar nikmat ini terus berkekalan dan kemakmuran negara akan sentiasa bertambah dengan agenda-agenda yang berfaedah untuk kesejahteraan rakyat dan diredhai Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ

Maksudnya: “Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya aku tambahi nikmatku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras. ”

.

Namun, persoalan besar timbul di sini bagaimanakah kemerdekaan dapat di kekalkan di negara ini?. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar bahawa semangat patriotisme merupakan asas kepada kemerdekaan. Secara ringkasnya mimbar ingin menyatakan bahawa nilai patriotisme bolehlah ditakrifkan sebagai satu semangat dan gagasan dalam mendidik dan memberi kefahaman kepada umat manusia agar mencintai kehidupan dan tanah air.

Percayalah agama Islam sebenarnya telah menggariskan dengan jelas tentang patriotisme khususnya berhubung kait dengan kepentingan untuk mempertahankan keselamatan dan maruah negara apatah lagi jika sesebuah negara itu adalah negara umat Islam. Seseorang itu dianggap berjiwa patriot apabila kepercayaan, amalan dan tindakannya menepati ciri-ciri patriotisme yang berteraskan kecintaan dan kesetiaan kepada negara. Dalam dunia globalisasi dan ledakan era teknologi maklumat, semangat patriotisme amat penting sekali seperti yang sering disebut iaitu kasihkan watan itu sebahagian daripada iman. Syeikh Daud Abdullah al-Fatani, seorang ulama besar Patani pernah mengingatkan bahawa: mempertahankan negara daripada penjajahan ataupun tekanan kuasa asing (khususnya kafir harbi) adalah fardu ain. Tanpa semangat ini, kita tidak boleh yakin kita dapat bertahan.

.

Maka, menjadi kewajipan kita sebagai rakyat memelihara kedaulatan negara ini daripada segala ancaman samada dalam bentuk dalaman mahupun luaran. Janganlah ada di kalangan kita yang bersikap mementingkan diri sendiri sehingga keharmonian dan kedaulatan di negara kita terancam, retak dan hancur.

Allah SWT telah memberi peringatan kepada kita melalui firman-Nya di dalam surah al-An’am ayat 123:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا فِى كُلِّ قَرْيَةٍ أَكَـٰبِرَ مُجْرِمِيهَا لِيَمْكُرُوا۟ فِيهَا ۖ وَمَا يَمْكُرُونَ إِلَّا بِأَنفُسِهِمْ وَمَا يَشْعُرُونَ

Maksudnya: “Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.”

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Mimbar ingin menegaskan bahawa agama Islam sebenarnya telah menggariskan dengan jelas tentang patriotisme khususnya berhubung kait dengan kepentingan untuk mempertahankan keselamatan dan maruah negara. Sehubungan itu, usahlah ada dikalangan kita yang menganggap patriotisme hanyalah perkara remeh dan tiada kaitannya dengan dosa pahala atau perintah agama. Lebih malang lagi jika ada yang memandang sinis dengan patriotisme dan menganggap ia hanya keperluanpihak yang tertentu sahaja.

Ingatlah firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60:

وَأَعِدُّوا۟ لَهُم مَّا ٱسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ ٱلْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّـهِ وَعَدُوَّكُمْ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ ٱللَّـهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَىْءٍ فِى سَبِيلِ ٱللَّـهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya ”.

.

Yakinlah, semangat patriotisme kepada negara ini menuntut kita agar patuh dan taat kepada pemimpin yang adil dan berpegang teguh kepada agama secara menyeluruh. Berasaskan kepada dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadith Rasulullah SAW, para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa taat kepada pemerintah adalah fardhu kepada setiap muslim selagi mana tidak bercanggah dengan syariat Islam manakala menderhaka merupakan satu dosa besar.

Sabda Rasulullah SAW :

Maksudnya: “Tiga golongan Allah SWT tidak menegurnya pada hari kiamat, tidak melihat kepada mereka, tidak membersih dosa mereka dan mereka menerima azab yang pedih, seorang yang mengaku setia kepada pemerintah, ia berbuat demikian kerana keduniaan, jika diberi ia tunaikan kesetiaanya tetapi jika tidak diberi, ia menderhaka.” (Riwayat al-Bukhari)

.

Sedarlah, pada hari ini pelbagai cara sedang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan patriotisme ummah di antaranya melalui pembohongan fakta, pencemaran budaya, penyebaran racun akidah samada melalui media sosial seperti facebook, email, whatsapp, SMS dan sebagainya.

Penjajahan minda di bawah media baru yang canggih menjadikan ruang sosial tidak mempunyai sempadan lagi. Segala maklumat memenuhi ruang tanpa kawalan dan pemantauan yang berkesan. Proses pendemokrasian maklumat ini berjalan begitu pantas dan sebenarnya media massa mempunyai pengaruh yang besar dalam mencanai pemikiran rakyat.

Umat Islam di serang dan di cabar jiwanya. Penghinaan kepada umat Islam secara berterusan seperti menghina institusi Di Raja, mempertikai perlembagaan negara, memperlekehkan hak-hak eksklusif ummah seperti kalimah Allah, Masjid dan sebagainya, mempersendakan ibadah umat Islam seperti menghina bulan Ramadhan dengan hidangan binatang yang haram di sisi Islam dan yang paling malang lagi dan boleh menggugat perpaduan ummah sehingga ada yang sanggup menghina Rasulullah SAW.

.

Mimbar ingin menegaskan sebagai umat Islam, maka menjadi kewajipan untuk meletakkan kepentingan agama dan akidah di tempat yang teratas. Segala perkara yang merosakkan agama dan akidah wajib dihindarkan. Penyelewengan akidah wajib dibanteras. Umat Islam yang menjaga agama akan menjadi seorang yang berintegriti, tidak akan membenarkan sesuatu berlaku yang akan merosakkan akhlak dan moral. Mereka yang tidak beragama akan lemah akhlaknya dan hilang semangat patriotik dan jati dirinya, dan tidak mustahil akan menggadaikan kepentingan negaranya demi memenuhi tuntutan hawa nafsunya.

.

Mimbar ingin menegaskan bahawa sikap tidak kasih kepada negara, memporak perandakan negara, memusnahkan perpaduan kaum, dan mementingkan kepentingan diri akan menghancurkan kedaulatan bangsa dan negara. Mereka ini diibarat kata pepatah seperti “Gunting Dalam Lipatan” yang membahayakan keselamatan rakyat dan negara.

Usaha untuk menjatuhkan negara dan mengkhianati pemerintah bukanlah perbuatan mereka yang sayangkan Islam. Berusahalah kita untuk menyedarkan golongan ini dengan penuh hikmah kerana tindakan mereka ini ibarat memberi senjata dan laluan kepada musuh untuk menjatuhkan Islam.

Ingatlah bahawa Imam al-Ghazali Rahimahullah pernah berpesan di dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa: “Dunia ini tempat bercucuk tanam bagi bekalan akhirat. Dan tidak sempurna agama melainkan seiring dengan dunia. Kekuasaan politik dan agama adalah pasangan berkembar. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tiada tiang, maka ia akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga akan musnah dan hilang.”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dihormati,

.

Pada saat yang mulia dan penuh barakah ini, mimbar menyeru kepada seluruh muslimin dan muslimat negara ini agar kita sama-sama berdoa mudah-mudahan negara kita senantiasa berada dalam inayah dan rahmat Allah SWT, dijaga keselamatan dan keamanan dan di jauhi dari segala kehancuran serta kemusnahan. Kemerdekaan yang dikecapi lebih lima dekad yang lalu perlulah diisi dengan semangat patriotisme, pembangunan dari segenap aspek samada fizikal, mental dan spiritual dan dibangunkan dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa.

Marilah sama-sama kita mengisi Hari Kemerdekaan dengan nilai keimanan dan ketaqwaan yang sejati. Melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada kita dengan penuh integriti kerana ianya sebahagian daripada syahadah dan ikrar kita kepada Allah SWT. Pendekatan ini wajar diteruskan kerana kita menyakini gesaan Allah SWT yang meletakkan mengutamakan iman dalam kehidupan ini sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di dunia dan di akhirat kelak.

.

Tanamkanlah dalam jiwa dan minda umat Islam perasaan persaudaraan serta semangat patriotisme kepada negara. Ingatlah di sinilah kita dilahirkan dan dibesarkan, inilah bumi warisan yang bertuah tempat kita mencari rezeki dan sebagainya. Yakinlah bahawa semangat patriotisme berteraskan kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT adalah asas kemerdekaan. Semoga negara kita yang tercinta ini terus maju, aman dan damai, dan menjadi payung serta perlindungan kepada Islam dan umatnya.

Mengakhiri khutbah, marilah kita mengambil manfaat dan iktibar melalui sepotong ayat al-Quran dari surah al-A’raf ayat 96:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَـٰتٍ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَـٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

Maksudnya: “Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Patriotisme Asas Kemerdekaan”

(29 Ogos 2014 / 3 Zulkaedah 1435H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: