KJ :  Memelihara Keamanan Negara

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

patriotik.

Khutbah Jumaat: “Memelihara Keamanan Negara”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَآئِل

ﮱ ﯓ ﯔ ﯕ ﯖ ﯗ ﯘ ﯙ ﯚ ﯛ ﯜ ﯝ ﯞ ﯟ ﯠ ﯡ

أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِك عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الْمَبْعُوْثِ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِيْنَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! إتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَتَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian. Marilah kita sama-sama bertaqwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk: “MEMELIHARA KEAMANAN NEGARA”.

.

.

Muslimin yang dirahmati Allah,

.

Keamanan dan keselamatan di negara kita adalah berlandaskan kepada konsep ‘Rule of law’ dan kedaulatan undang-undang. Oleh itu apabila keamanan dan kedaulatan negara diganggu gugat, maka setiap inci tanah air ini perlulah dipertahankan mengikut undang-undang negara.

Sebagai sebuah negara yang berdaulat maka menjadi kewajipan kita sebagai rakyat untuk memelihara kedaulatan dan keamanannya. Keamanan bermaksud kita bebas dari segala bentuk ancaman yang menggugat keharmonian dan kekacauan.

Dengan keamanan, keselamatan akan terus terpelihara, keharmonian terbina dan yang paling utama agama akan terus dilindungi. Keamanan adalah asas utama dalam usaha untuk menegakkan agama Islam, memaju dan memakmurkan sesebuah negara.

Sedarlah, inilah tanah air kita dan tempat tumpah darah kita ini yang menjadi tempat tinggal, punca rezeki, dan nadi kehidupan kita. Janganlah ada di kalangan rakyat bersikap mementingkan diri sendiri sehingga keharmonian dinegara kita terancam, retak dan hancur.

Allah SWT telah memberi peringatan kepada kita melalui firman-Nya di dalam surah al-An’am ayat 123:

 وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا فِى كُلِّ قَرْيَةٍ أَكَـٰبِرَ مُجْرِمِيهَا لِيَمْكُرُوا۟ فِيهَا ۖ وَمَا يَمْكُرُونَ إِلَّا بِأَنفُسِهِمْ وَمَا يَشْعُرُونَ

Maksudnya: “Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya”.

.

Persoalan memelihara keamanan negara adalah merujuk kepada sejauh mana tanggungjawab kita dalam mempertahan, memelihara dan menjaga maruah tanah air kekal aman dan selamat. Islam mengajar umatnya agar memelihara keamanan negara kerana ia sebahagian daripada tanda keimanan.

Namun, persoalan besar timbul, mengapakah terdapat segelintir rakyat yang tidak bertanggungjawab dan cinta kepada negara sendiri serta sanggup menimbulkan suasana yang tidak aman.

Menurut pemerhatian mimbar, dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini masih berlaku salah faham yang mungkin di dasari atas kepentingan diri, kaum serta pihak-pihak tertentu. Ianya mungkin digerakkan oleh golongan pelampau agama, sensitiviti perkauman, taasub kefahaman, gejala sosial yang menggugat kestabilan masyarakat dan ajaran pemikiran sesat serta perang saraf daripada mereka yang tidak bertanggungjawab bagi mewujudkan ketidakharmonian dan sebagainya.

Ingatlah pesanan Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya fatawa Ibn Taimiyah bahawa: “Kesejahteraan umat manusia tidak dapat diwujudkan di dunia maupun di akhirat, kecuali mereka bergabung menjadi sebuah masyarakat, bekerjasama dan saling tolong menolong  untuk menciptakan kesejahteraan dan mencegah kesengsaraan.”

.

.

Muslimin yang dirahmati Allah,

.

Perkara asas yang telah diajar oleh Islam sehingga berjaya memelihara keamanan dan  menyatupadukan penduduk berbilang agama dan bangsa adalah menyuruh umatnya melaksanakan keadilan. Keadilan yang dimaksudkan di sini ialah keadilan kepada semua dengan tidak mengenepikan tanggungjawab dan amanah fitrah kehidupan.

Ingatlah bahawa keadilan itu bukanlah semestinya membahagikan sesuatu itu secara sama rata atau sama banyak tetapi sebaliknya ialah meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Maka usahlah terkeliru dengan propaganda mereka yang tidak bertanggungjawab yang kononnya memperjuangkannya, akan tetapi hakikat sebenar hanyalah demi kepentingan pihak-pihak tertentu.

Firman Allah SWT di dalam surah an Nisa ayat 58:

 إِنَّ ٱللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلْأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحْكُمُوا۟ بِٱلْعَدْلِ ۚ إِنَّ ٱللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّـهَ كَانَ سَمِيعًۢا بَصِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

.

Dalam ayat ini, bersifat adil, telus dan saksama adalah kewajipan setiap orang Islam. Justeru, menjaga keamanan kepada negaranya sendiri merupakan satu amanah yang menghasilkan satu rasa tanggungjawab yang membawa kesan baik dan positif terhadap perkembangan tamadun kemanusiaan di atas muka bumi ini. Ini kerana jika manusia yang beramanah, maka sudah pasti sesebuah negara itu merasa selamat daripada sebarang sekatan dan ugutan pihak musuh.

Malangnya, kekacauan sebuah negara pula menjadi dalil ketidakamanahan yang membawa kehinaan buat umat Islam. Sifat amanah ada perkaitan dengan ketinggian keimanan seseorang, manakala sifat khianat berpunca daripada kelemahan iman yang dimiliki.

Renungilah pesanan Mohamad Qutb dalam bukunya ‘Masyarakat Islam’ menjelaskan terdapat empat ciri jahiliyah iaitu:

(1) Syirik dalam ibadah;

(2) Wujud sikap menjauhi agama Allah;

(3) Wujud Taghut (penegak kesesatan) yang memujuk manusia agar jangan mematuhi hukum Allah; dan

(4) Menjatuhkan hukuman secara tidak adil kerana mengikut hawa nafsu.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Apa yang jelas, sikap tidak kasih kepada negara, memporak perandakan negara, pasti memusnahkan perpaduan kaum, dan mementingkan kepentingan diri akan menghancurkan kedaulatan bangsa dan negara.

Bayangkanlah..apakah nasib dan masa depan negara jika wujud golongan-golongan pengkhianat negara seperti ini? Bolehkah kita hidup aman damai jika ada segolongan manusia yang tugasan hariannya hanyalah meniup api permusuhan dan memecahbelahkan hubungan baik antara kaum?

Berwaspadalah kita kerana golongan ini sanggup melakukan apa sahaja helah termasuklah menyebarkan fitnah, mencipta kepalsuan dan bertopengkan pelbagai watak untuk mempengaruhi manusia.

.

Mereka ini ibarat kata pepatah seperti “Gunting Dalam Lipatan” yang akan membahayakan keselamatan rakyat dan negara. Yakin dan percayalah, pihak pemerintah sentiasa melakukan yang terbaik demi memastikan keselamatan dan keamanan negara ini dan yakinlah kepada kewibawaan pasukan keselamatan dan undang-undang negara kita.

Ingatlah bahawa segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan adalah sebahagian daripada ibadah dan tanda perjuangan kita di jalan Allah SWT. Inilah masanya, semua umat Islam dalam negara mesti bersatu demi mempertahankan keamanan negara dan agama berdasarkan segala kemampuan yang ada dan wajib menolak sebarang usaha dari mana-mana pihak yang cuba menyebabkan perpecahan dan permusuhan.

Firman Allah SWT dalam Surah al-An’am ayat 82:

 ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَلَمْ يَلْبِسُوٓا۟ إِيمَـٰنَهُم بِظُلْمٍ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمُ ٱلْأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ

Maksudnya: “Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk.”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Mimbar menyeru seluruh umat Islam sekalian sama-sama kita memelihara keamanan negara dengan memupuk perpaduan sesama ummah. Jangan sekali-kali kita terpedaya dengan mereka yang ingin menghuru-harakan keamanan negara, jangan kita terlibat dengan agenda untuk merosakkan perpaduan ummah, janganlah kita menjadi seorang muslim yang mencetuskan kekacauan, melakukan tindakan mencabar undang-undang dan mengadu-domba sesama kita.

Insafilah bahawa menjaga keamanan negara adalah tanggungjawab bersama, ianya bukan datang bergolek tetapi adalah datang daripada pengorbanan semua pihak samada rakyat atau pemimpin. Peliharalah keamanan yang wujud di negara kita ini dengan sebaik mungkin.

.

Marilah kita melakukan tindakan berdasarkan prinsip-prinsip yang berasaskan kepada semangat persaudaraan Islam dan bertimbang rasa dengan pihak lain. Janganlah pula kita terhasut dengan pemikiran yang jahat dan dari godaan syaitan yang menyesatkan.

Kita berdoa kepada Allah SWT agar mereka yang terikut dengan golongan ini diberi keinsafan dan berteduh dibawah payung perpaduan. Kita juga memohon dikekalkan kesinambungan nikmat keamanan di kalangan kita, dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan usaha membangunkan agama, bangsa dan negara.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-A’raaf ayat 96:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَـٰتٍ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَـٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

Maksudnya: “Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Memelihara Keamanan Negara”

(5 September 2014 / 10 Zulkaedah 1435H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: