KJ : Toleransi Ummah

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

1 Khutbah Jumaat SQ-shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “Toleransi Ummah”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَآئِل

لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍۖ كُلُوا مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِك عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الْمَبْعُوْثِ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِيْنَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! إتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَتَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertaqwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, maka mimbar yang mulia akan membincangkan khutbah bertajuk: “Toleransi Ummah”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Sesebuah negara tidak hanya ditegakkan atas asas perundangan semata-mata, akan tetapi ianya perlulah berteraskan kepada beberapa prinsip antaranya ialah toleransi ummah dalam masyarakat berbilang kaum dan agama. Apakah yang dimaksudkan dengan toleransi ummah ini?.

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan secara ringkasnya toleransi merujuk kepada sikap pegangan kehidupan dalam masyarakat yang memberi erti tidak idealisme, tidak fanatik, tidak selfish iaitu mementingkan diri sendiri, mempunyai sikap keterbukaan, realistik, muafakat, tolak ansur, sabar dan menghormati hak orang lain.

Mereka yang mengamalkan sikap toleransi berupaya menanggung sesuatu tekanan atau berupaya menerima kesusahan dan kritikan, boleh berkorban untuk orang lain, bersikap terbuka dan berlapang dada. Ciri-ciri tersebut adalah penting untuk dipraktikan dalam kehidupan sebuah masyarakat majmuk supaya keharmonian terselah dan keamanan dapat dihayati oleh semua pihak.

.

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa toleransi sesama manusia dalam Islam adalah berasaskan ta’awanu alal-birri wattaqwa iaitu bekerjasama di atas dasar kebaikan dan taqwa. Ini dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya, Riyadhus Salihin.

Beliau membicarakannya dalam bab yang khas bertajuk Bab kelebihan bergaul dengan manusia serta menghadiri perjumpaan dan perkumpulan mereka yang baik, majlis zikir bersama mereka, menziarahi mereka yang sakit dan yang meninggal, membantu yang memerlukan, membimbing mereka yang jahil dan selainnya yang mempunyai kebajikan, bagi yang mampu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah mungkar serta menahan diri daripada menyakiti dan bersabar apabila disakiti.

.

Oleh itu, agama Islam ialah agama yang berteraskan toleransi dan perkara ini telah dijelaskan dengan tegas di dalam al-Quran. Firman Allah SWT di dalam surah al-Mumtahanah ayat 8:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”

.

Berasaskan ayat ini, jelas bahawa perbezaan agama bukanlah alasan untuk tidak berlaku adil. Justeru, berlaku adil dan berkelakuan baik terhadap orang lain yang berbeza keyakinan merupakan sebahagian daripada syarat terpenting yang membawa kepada sifat toleransi.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Bagaimanakah cara yang sesuai untuk kita merealisasikan toleransi ummah ini agar semua kaum dapat menerimanya?. Mimbar ingin menyatakan bahawa pendekatan wasatiyah yang bersifat komprehensif dan bersepadu merupakan asas kepada pembinaan toleransi di negara ini.

Wasatiyyah adalah merujuk kepada pelaksanaan sesuatu secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama lain tetapi pada masa yang sama Islam terus dihargai atau dimartabatkan.

Keadaan ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Maksudnya: “Dan demikianlah( sebagai mana kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus ) Kami jadikan kamu(wahai umat Muhamad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia(tentang yang benar dan salah) dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu.”

.

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan yang digubal menjelang Kemerdekaan Tanah Melayu jelas mengandungi nilai-nilai wasatiyyah iaitu supaya berlaku adil, kepada semua kaum, berimbang dan sederhana dalam amalan dan tindakan mereka.

Kontrak sosial telah dipersetujui dengan persefahaman antara kaum diikat kuat di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kontrak sosial yang diterima pemimpin pelbagai kaum telah mengamalkan prinsip wasatiyyah yang mempunyai nilai kesederhanaan bagi  mewujudkan ummatan wasata.

.

Namun berdasarkan kepada pemerhatian mimbar akhir-akhir ini terdapat segelintir mereka yang cuba mengherot-berotkan toleransi ini dengan insiden yang tidak sepatutnya berlaku. Mereka sengaja menggunakan pelbagai isu untuk menggugat kontrak sosial yang telah diperakukan bersama. Demi mengejar kuasa dan pengaruh, mereka berani mempertikaikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, peranan Mahkamah Syariah dan bidangkuasa Raja sebagai ketua agama dan adat istiadat Melayu di negara ini.

Mereka juga memperlekeh dan menghina hak peribadi umat Islam. Lihatlah dengan mata hati kita apa yang sedang berlaku saat ini!..inilah akibatnya jika ada segolongan manusia yang terlampau taksub dengan kepentingan peribadi sehinggakan melampaui batas dan tidak sedar di mana bumi yang mereka pijak dan langit mana yang perlu mereka junjung.

.

Apa yang mendukacitakan masih terdapat segelintir masyarakat yang salah faham, tidak boleh menerima nasihat dan tidak puas hati dalam isu-isu tertentu seperti agama, etnik dan hak asasi manusia. Buktinya, statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menerima sebanyak 853 laporan daripada 33 kes melibatkan isu sensitif perkauman sepanjang tempoh Januari hingga Julai 2014 di seluruh negara.

Mimbar ingin menasihatkan semua pihak agar tidak mengambil sesuatu tindakan menurut hawa nafsu semata-mata dan tidak mengikut telunjuk pihak yang mempunyai kepentingan peribadi dengan mengap-apikan isu toleransi yang telah disepakati bersama, kerana ianya dikhuatiri akan menyalakan api permusuhan antara kita, yang seterusnya akan menggugat keharmonian dan keamanan negara.

.

Seharusnya sebagai umat Islam kita hendaklah jangan tersilap langkah dalam memahami tuntutan toleransi ummah ini. Namun perlu diingat, toleransi yang dimaksudkan hendaklah berteraskan kepada prinsip Islam yang berlandaskan kepada al-Quran dan al-sunnah. Kita juga tidak boleh mengenepikan apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mimbar ingin berpesan bahawa umat Islam yang menjiwai makna toleransi adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka dan saling menghormati antara satu sama lain. Ingatlah bahawa keharmonian kaum dan perpaduan rakyat dalam negara ini sebenarnya wujud berasaskan kepada gabungan kepelbagaian faktor antaranya melalui semangat kerjasama, kompromi dan persefahaman.

Janganlah ada antara kita cuba menghancurkan apa yang telah kita capai selama ini melalui sifat toleransi, persefahaman dan bertolak ansur. Janganlah kita membiarkan fahaman yang ekstrem menguasai pemikiran pihak yang berkepentingan dan berniat jahat untuk memecahbelahkan negara yang kita cintai.

Ingatlah bahawa tanah inilah tempat kelahiran kita, rumah kita, tempat mengalirkan keringat untuk kita mencari rezeki bagi menyara diri dan keluarga kita dan akhirnya sebagai tempat persemadian kita.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, mimbar menyeru para jemaah dan seluruh umat Islam, marilah sama-sama kita membina toleransi di kalangan kita dalam semua perkara serta janganlah kita melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui.

Sikap melampau sebenarnya akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara. Mimbar ingin berpesan usahlah kerana kepentingan diri yang sempit, kita sanggup meruntuhkan perpaduan yang telah lama terbina dan menggadai kuasa dan maruah yang ada.

.

Demi Islam dan masa depan ummah..inilah masanya kita mesti bersatu tanpa mengira fahaman politik dan singkirkanlah segala anasir jahat yang cuba mencabar perlembagaan negara dan berusaha untuk memesongkan fikiran kita.

Fikirkanlah dengan akal yang bijaksana dan hentikanlah sikap yang terlalu mudah mempercayai khabar angin dan hasutan pihak-pihak musuh tanpa mengambil kira baik buruk kesannya kepada agama dan bangsa kita, ambillah iktibar dan ingatan daripada penindasan yang sedang berlaku kepada umat Islam di luar negara sebelum ia berlaku juga kepada kita.

.

Ingatlah pesanan dari Raja kita bahawa “Rakyat perlu diinsafkan supaya jangan cepat membuang pelita kerana riang melihatkan fajar yang akan menyinsing kerana siang hari juga akan berakhir, jangan nanti bila malam mendakap senja, warga dan bangsa akan hidup teraba-raba.”

.

Sekali lagi mimbar mengingatkan bahawa toleransi merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam. Pendekatan ini wajar diteruskan kerana kita menyakini gesaan Allah SWT yang meletakkan persoalan iman sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di dunia ini dan di akhirat kelak. Semoga Malaysia yang tercinta ini terus maju, aman dan damai, dan menjadi payung serta pelindung kepada Islam dan umatnya.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 96:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya: “Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Toleransi Ummah”

(12 September 2014 / 17 Zulkaedah 1435H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: