KJ :  Perpaduan Asas Kepimpinan

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

.

Khutbah Jumaat: “Perpaduan Asas Kepimpinan”

  

.

KJ. Perpaduan

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita diberkati di dunia dan di akhirat. Pada hari ini mimbar akan membincangkan khutbah bertajuk: “PERPADUAN ASAS KEPIMPINAN”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Sejak kebelakangan ini dalam semua sektor dan bidang, isu kepimpinan menjadi fokus sebahagian besar daripada kalangan kita dan begitu hangat diperkatakan. Banyak pihak yang membincangkan  atas perkembangan isu ini. Kita perlu sedar bahawa kepimpinan merupakan satu elemen yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan tamadun manusia.

Segala hajat dan keperluan manusia tidak dapat dicapai dengan sempurna melainkan ianya mendapat restu dan sokongan dari seorang pemimpin. Justeru dalam konteks sebuah negara, tidak akan berlaku penyusunan masyarakat tanpa adanya seorang pemimpin dan rakyat.

Dengan demikian, sebahagian besar daripada tanggungjawab pemimpin itu adalah untuk membawa perubahan dan pembaharuan positif kepada rakyat serta mampu mendengar, melihat dan merasai denyut hati rakyat terutamanya rakyat di luar bandar yang sebahagian besarnya terdiri daripada para petani, nelayan, penarik beca, penoreh getah dan golongan pendapatan rendah.

Mereka amat mengharapkan seorang pemimpin yang mampu mengubah nasib mereka. Apabila pemimpin asyik bertelagah merebut jawatan hingga lalai dan lupa tanggungjawab membela nasib rakyat menyebabkan rakyat merasa bosan. Jika kebosanan ini berterusan ia mampu menggugat sistem bernegara kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada pemimpin.

Allah SWT telah mengingatkan bahawa kepimpinan yang paling berkesan ialah kepimpinan melalui teladan sebagaimana yang dicontohi oleh Rasulullah SAW. Firman Allah SWT dalam surah at-Taubat ayat 128:

لَقَدْ جَآءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِٱلْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢٨

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman.”

.

Ayat ini memberi kefahaman bahawa pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang, prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka. Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW adalah contoh seorang pemimpin berwibawa yang paling berjaya di dunia. Baginda berupaya menukar gaya hidup masyarakat jahiliah daripada kufur kepada beriman, permusuhan kepada persaudaraan, kekejaman kepada kasih sayang, pemalas kepada bangsa yang rajin dan sebagainya.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Sejarah telah membuktikan bahawa perpecahan dikalangan pemimpin, menghancurkan sesebuah negara. Lihatlah bagaimana kerugian dan kehancuran berlaku akibat perebutan kuasa antara Bani Abbas (Khalifah Abbasiyah) dan Bani Umayyah (Khalifah Umayyah). Perpecahan dan perselisihan antara Ahlus Sunah dengan Syiah diakhiri dengan kekuasaan khalifah-khalifah Bani Abbas yang wazirnya bernama al-Aqami bermazhabkan Syiah.

Akibat kebencian wazir Syiah itu kepada kekhalifahan yang dipegang terus-menerus oleh Bani Abbas, ia telah mengkhianati Daulah Islamiyyah Bani Abbas dengan membawa masuk tentera Tartar dan Mongol di bawah pimpinan Hulako ke dalam kota Baghdad. Akibatnya, bukan sahaja Khalifah dan keluarganya dibunuh oleh Hulako setelah dapat menghancurkan Baghdad, bahkan wazir pengkhianat itu pun tidak terlepas dari kehinaan dibunuh dengan keji.

.

Begitu juga dengan peristiwa pertumpahan darah akibat perselisihan mengenai perkara dunia dan perebutan kuasa antara Ali dan Mu’awiyyah di medan Perang Siffin yang telah mengorbankan 35,000 bala tentera Ali, manakala Mu’awiyyah kehilangan 45,000 bala tentera. Bukankah semua ini suatu malapetaka yang dahsyat? Inilah iktibar yang boleh diambil akibat perpecahan dan perselisihan.

Justeru, mimbar menyeru semua pihak samada mereka ini pemimpin besar atau kecil, marilah sama-sama kita mengambil iktibar dari rentetan sejarah ini, jadikanlah ianya sebagai teladan dan pengajaran kepada kita semua, agar ianya tidak lagi berulang dalam kehidupan kita sebagai umat Islam.

Marilah kita bersatu padu dengan merapatkan barisan kita demi ummah yang tercinta. Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 103:

وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّـهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّـهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّـهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ﴿١٠٣

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Hakikatnya agama Islam melihat bahawa pemimpin sebenarnya memegang satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab dan ditegah berlaku khianat. Islam amat memandang tinggi golongan pemimpin yang berusaha untuk mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu, adil dan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap kebajikan kelompok di bawah kepimpinan mereka.

Perpaduan ummah merupakan satu aspek yang amat penting yang menentukan jatuh bangun pemimpin dan juga rakyat. Malah melalui perpaduan jugalah yang akan menentukan kejayaan para pemimpin dalam tempoh mereka memegang tampuk kepimpinan. Maka para pemimpin yang mampu membawa dan memelihara perpaduan sewajarnya diiktiraf sebagai pemimpin yang berjaya dalam kepimpinan mereka.

.

Mimbar sekali lagi ingin menyatakan bahawa agama Islam bukan sahaja menitikberatkan kepentingan mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat, tetapi juga usaha dan langkah yang dilakukan untuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian itu supaya tidak hilang, yang mana akhirnya boleh menjejaskan keutuhan dan perpaduan serta kestabilan masyarakat dan negara.

Di kalangan kelompok manusia, perpaduan yang diidam-idamkan selama ini mungkin menjadi amat rapuh dan tergugat jika terdapat segelintir daripada mereka yang terlalu ikutkan rasa hati dan hawa nafsu sehingga akhirnya mencetuskan perbalahan dan persengketaan serta perebutan kuasa dan tampuk kepimpinan.

Pemimpin sepatutnya menjadi contoh ikutan yang terbaik dan role model bagi rakyat dan elakkanlah dari melakukan perkara yang boleh menimbulkan keresahan, kekacauan dan permusuhan samaada melalui perbuatan, percakapan mahupun tindakan kita. Demi kemakmuran dan masa depan negara, jadilah pemimpin yang sentiasa mendokong undang undang dan perlembagaan Negara serta sentiasa menghormati dan mempertahankannya.

.

Oleh itu, pemimpin yang baik dan cemerlang adalah pemimpin yang mampu menilai situasi sebegini lantas melakukan pelbagai strategi proaktif dan berkesan bagi mempertahankan maruah diri dan kepimpinannya. Rasulullah SAW menegah umat Islam daripada meminta-minta atau mengampu sana sini untuk menjadi pemimpin dalam urusan pentadbiran negara.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa satu ketika Abdul Rahman bin Samurah telah ditegur oleh Rasulullah SAW:

Mafhumnya: “Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan.”

.

Hadith ini menjelaskan bahawa dalam Islam, jawatan pemimpin, penguasa, pentadbir dan seumpamanya adalah amanah dan merupakan satu tanggungjawab yang berat. Ia bukanlah suatu status yang layak bagi semua orang. Oleh sebab itu, Islam menegaskan bahawa jawatan pemimpin  tidak boleh ditagih-tagih mengikut desakan naluri dan nafsu semata-mata. Bahkan, dalam proses pemilihan pemimpin atau pentadbir hendaklah dilakukan dengan adil yang berasaskan kepada kelayakan, karisma dan ciri kepimpinan seperti bertaqwa, berakhlak tinggi, bertanggungjawab, sabar, boleh merancang dan bijak melaksanakan tugas.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa umat Islam berkewajipan  menghayati semangat pepatah melayu: Bersatu teguh, Bercerai roboh. Oleh itu, mimbar merayu kepada sidang jemaah dan umat Islam sekalian..inilah masanya untuk terus berfikir secara matang, jadikanlah sejarah bangsa kita sebagai tauladan, perkasakanlah perpaduan ummah melalui persaudaraan sesama Islam dan pertahankanlah segala yang menjadi hak dan milik kita hingga ke titisan darah yang terakhir.

.

Yakinlah kekuatan utama umat Islam ialah dengan mengekalkan perpaduan antara kita.Usahlah kita terleka walaupun sesaat kerana pihak musuh tidak pernah jemu daripada merencanakan agenda dan serangan untuk menghancurkan umat Islam. Walaupun kita berbeza dari segi adat, budaya, dan cara hidup serta amalan politik. Namun kita dituntut untuk bersatu padu demi agama, bangsa dan negara.

Mimbar ingin menasihatkan kepada pemimpin yang diberi kepercayaan supaya memikul amanah dan tanggungjawab dengan meletakkan hala tuju negara selari dengan al-Quran dan as-Sunnah serta memastikan rakyat hidup bersatu padu.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah as-Syu’ara’ ayat 215-217:

وَٱخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ ٱتَّبَعَكَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ﴿٢١٥﴾ فَإِنْ عَصَوْكَ فَقُلْ إِنِّى بَرِىٓءٌ مِّمَّا تَعْمَلُونَ ﴿٢١٦﴾ وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱلْعَزِيزِ ٱلرَّحِيمِ ﴿٢١٧

 Maksudnya: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan! Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.”

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Perpaduan Asas Kepimpinan”

(19 September 2014 / 24 Zulkaedah 1435)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

One response to this post.

  1. Posted by abimiy on 22/09/2014 at 10:36 am

    Assalamualaikum ustaz, ust, disini saya ada satu soalan,iaitu batalkah uzuk saya jika saya bersalaman dengan kanak-kanak perempuan berumur 6 tahun kebawah yang bukan Islam saya harap dapat kiranya ust. perjelaskan.Terima kasih.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: