Khutbah Hari Raya Aidil Adha: Pengorbanan Yang Sejati

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Sembelih Haiwan Korban.

Khutbah Jumaat: “Iduladha: Pengorbanan Yang Sejati”

 

.

kj aidil adha 1

.

.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah Sekalian,

.

Pada pagi Hari Raya Iduladha yang penuh keberkatan lagi mulia ini, marilah sama-sama kita perbanyakkan rasa syukur dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Ketaqwaan penuh keinsafan, penuh pengorbanan yang bertanggungjawab membawa kita mentaati perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya, mudah-mudahan kita dikasihi Allah, mendapat perlindungan-Nya di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk “IDULADHA: PENGORBANAN YANG SEJATI ”.

.

اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،وَلِلهِالْحَمْدُ

.

.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,

.

Hari Raya Iduladha atau Hari Raya Haji mempunyai makna yang cukup besar kepada seluruh umat Islam sama ada yang sedang berhimpun di Padang Arafah kerana menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah atau umat Islam yang berada di negara lain seluruh dunia. Menjelang hari mulia ini juga kita sering teringat kepada sejarah Nabi Ibrahim AS menyembelih anaknya Nabi Ismail AS selepas menerima wahyu melalui mimpinya daripada Allah SWT supaya berbuat demikian.

.

Nabi Ibrahim AS melaksanakan perintah Allah SWT selepas bersepakat di antara isterinya Siti Hajar dan anaknya Ismail AS bahawa mimpi yang dialaminya adalah merupakan wahyu daripada Allah SWT dengan mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu meletakkan pedang pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim.

Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya. Tetapi alangkah terperanjat apabila melihat yang disembelih itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah SWT kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanah daripada Allah SWT.

.

Pengorbanan besar Nabi Ibrahim AS dan keluarganya kepada Allah SWT dapat dilihat dalam kalimah talbiah yang berbunyi,

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia dan taat kepada perintahMu. Wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu, kami sahut seruanMu. Sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan, kesemuanya adalah bagiMu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu.”

Apa yang nyata talbiah ini adalah ikrar yang dilafazkan jemaah haji di seluruh tanah haram Mekkah semata-mata untuk bertaqwa kepada Allah SWT, tanda kerinduan kepada Allah yang Maha Esa dan bersiap sedia untuk berkorban dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Kekuatan ibadah haji terletak kepada penghayatan lafaz talbiah ini yang dizahirkan melalui amalan tawaf, Sai’, wuquf, bermalam di Muzdalifah, melontar di Jamrah, bercukur dan ibadah yang lain. Ibadat haji yang dimulakan pada zaman Nabi Ibrahim AS ini diteruskan dan kemudiannya disyariatkan di zaman Nabi Muhammad SAW, sebagaimana dijelaskan melalui firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 4:

 قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِىٓ إِبْرَٰهِيمَ وَٱلَّذِينَ مَعَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya adalah bagi kamu pada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya contoh ikutan yang baik”.

.

.

اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،وَلِلهِالْحَمْدُ

.

.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,

.

Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima selepas mengucap kalimah syahadah, solat, berpuasa, dan menunaikan zakat. Mereka yang melaksanakan ibadah haji ini hakikatnya menjadi simbul telah sempurna keimanan dan penghayatan melaksanakan perintah Allah. Mereka melafazkan lafaz talbiah sebagai mengisytiharkan dan berikrar sebagai satu pengorbanan yang sejati. Sebab itulah mereka yang menunaikan ibadah haji dan mempertahankan sifat-sifat mahmudah atau sifat yang terpuji yang membawa kebaikan kepada keluarga, jiran, masyarakat dan negara dianggap sebagai telah mendapat haji mabrur.

.

Sambutan Hari Raya Korban atau Iduladha adalah merujuk kepada pengorbanan yang sejati dengan menyerahkan segalanya samada dalam bentuk fizikal dan spritual kepada Allah SWT. Hakikat pengorbanan sejati ini dengan mengenepikan segala perkara yang dapat melalaikan dari mengingati yang Maha Esa.

Cinta kepada dunia datang dengan pelbagai bentuk seperti cintakan kemewahan, kesenangan, keamanan, kesihatan, kedudukan dan pangkat. Lantas dengan perkara ini kita menjadi lalai dan tidak mampu mengorbankan apa jua yang ada pada kita di jalan Allah SWT.

Kita beranggapan segala yang kita perolehi adalah hasil dari usaha kita sendiri tanpa menghubung kait dengan pemberian dari Allah SWT. Kita lebih mengutamakan kerja daripada melaksanakan perintah Allah, lalai untuk mengorbankan sedikit waktu untuk sujud dan patuh kepada perintah-Nya dan ada juga yang belum mampu untuk mengorbankan sedikit hasil pendapatan dan harta kerana dikhuatiri kekayaan dan harta itu akan berkurangan, justeru kita lebih suka memikirkan kepentingan diri daripada kepentingan umum.

.

Mimbar menyeru marilah sama-sama kita mengorbankan sedikit kepentingan diri demi mengatur langkah bagi memperkukuhkan dan memperkasakan ukhuwwah sebagai agenda utama dalam menentukan masa depan umat Islam itu sendiri. Sikap bekerjasama dan mengambil berat ini akan dapat mengikis perasaan mementingkan diri sendiri. Seterusnya ia bakal menjadikan umat Islam kuat serta mampu menangkis sebarang anasir yang tidak sihat dari mempengaruhi masyarakat.

.

Yakinlah bahawa pengorbanan yang sebenarnya adalah pengorbanan yang berasaskan kepentingan Islam. Inilah pengorbanan yang mesti dilakukan oleh setiap kita, demi membela dan menyelamatkan Islam dan umatnya. Kesemua ini menuntut pengorbanan jiwa raga dan harta benda dengan bertunjangkan kepada niat yang ikhlas dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Ingatlah wahai umat Islam sekalian setiap pengorbanan tanpa keikhlasan dan ketaqwaan kepada Allah SWT adalah sia-sia belaka. Sebagaimana Allah SWT menjelaskan perkara ini dalam surah al-Hajj ayat  37:

لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُحْسِنِينَ

 Maksudnya: “Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya.”

.

.

اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،وَلِلهِالْحَمْدُ

.

.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,

.

Hari ini sekali lagi kita melihat umat Islam diserang daripada segenap arah dan cara, daripada serangan berbentuk fizikal hinggalah kepada serangan pemikiran, politik, ekonomi, budaya dan sebagainya.

Dengan perkembangan teknologi masa kini terutama teknologi internet, kita diserang dengan penyebaran berita yang menghina Islam dan umatnya samada melalui simbol-simbol, laman web, laman-laman sesawang atau blog serta laman-laman sosial seperti facebook dan twitter, whatapps dan sebagainya.

Isu menghina Allah SWT, menghina Rasulullah SAW, menghina ibadah orang Islam, menghina Islam dengan menulis ayat-ayat suci pada pakaian, kasut, selipar, beg, jubin rumah, tatu badan dan lain-lain, cercaan terhadap sensitiviti Islam, orang Melayu dan Institusi Raja secara viral disebarkan secara meluas di alam siber.

.

Mimbar ingin menyatakan bahawa penyalahgunaan teknologi internet dan telekomunikasi adalah bertentangan dengan tuntutan agama, undang-undang serta tatasusila masyarakat. Percayalah, menggunakan laman sosial untuk melemahkan pegangan umat Islam sebenarnya adalah strategi licik musuh Islam untuk menjatuhkan Islam.

Justeru, menjadi tugas dan tanggungjawab umat Islam untuk menggunakan apa sahaja strategi yang munasabah termasuklah media sosial bagi menangkis segala serangan, propaganda, tipu muslihat musuh-musuh Islam dan gerakan gerakan yang menggugat kedudukan umat Islam.

.

Sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap segala ancaman yang boleh membawa kepada kesesatan akidah dan kecelaruan pemikiran serta kelemahan umat Islam. Ini selari dengan tujuan agama Islam itu disyariatkan iaitu untuk memelihara kesucian ajaran Islam dan menyelamatkan umatnya daripada terpesong dan terpengaruh dengan ajaran atau akidah yang menyalahi syariat Islamiah.

Sesungguhnya akidah yang benar di sisi Allah ialah akidah yang didasari dengan keyakinan dan keimanan yang mantap terhadap keesaan dan keagungan Allah SWT. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 85:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَـٰمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ ﴿٨٥

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang yang rugi.”

.

.

اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،وَلِلهِالْحَمْدُ

.

.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,

.

Mimbar yang mulia ini ingin mengingatkan umat Islam janganlah kita membiarkan mana-mana pihak bertindak sesuka hati memesong akidah dan menghina Islam. Sedarlah tentang ancaman yang sedang berlaku saat ini dan marilah kita bergandingan dan terus mempertahankan kesucian Islam ini sesuai dengan semangat cinta kepada Allah SWT berdasarkan peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Siti Hajar.

Insaflah bahawa, ibadah haji dan ibadat korban mengingatkan kita agar jangan lupa bahawa kita berada dalam satu komuniti yang berteraskan perpaduan dan kemanusiaan dan jangan pula kita hancur menjadi mangsa korban kepada musuh-musuh Islam.

Ingatlah,musuh Islam sentiasa bersatu demi kepentingan dan kejayaan agenda mereka. Namun, bagaimana pula dengan umat Islam apabila agama dan bangsa kita sedang diserang dan dijajah pemikiran? Adakah kita semakin bersatu atau semakin berpecah? Adakah kita sanggup menggadaikan agama Islam hanya kerana kepentingan peribadi kita?.

.

Mimbar menyeru marilah kita mengambil kesempatan pada hari yang mulia ini, untuk membina keutuhan perpaduan di antara kita dengan menghidupkan kembali budaya ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan sesama kita. Buang yang keruh, ambillah yang jernih.

Lebih-lebih lagi dalam menangani isu yang membabitkan agama dan masa depan umat Islam, maka sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang ekonomi, miskin atau kaya, berbeza latar belakang fahaman atau politik. Kita ketepikanlah segala perbezaan-perbezaan tersebut.

.

Marilah kita menghayati tuntutan-tuntutan syarak yang terkandung dalam amalan ibadah haji dan ibadah korban yang berpaksikan hubungan kita yang erat dengan Allah SWT dan hubungan kita sesama kita, demi kecemerlangan di dunia dan kesejahteraan di akhirat.

Mimbar ini berpesan bahawa hari raya korban yang dirayakan tanpa pengorbanan yang sejati, tidak akan memberi apa-apa makna dan kesan kepada kita. Semoga semangat pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang suci, Nabi Ismail AS yang berani dan bondanya Hajar yang begitu tabah hati, mampu menyuntik semangat kepada kita semua.

Marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 1-3:

بِسْمِ ٱللَّـهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

إِنَّآ أَعْطَيْنَـٰكَ ٱلْكَوْثَرَ ﴿١﴾ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ ﴿٢﴾ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلْأَبْتَرُ ﴿٣

Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu(wahai Muhammad) kebaikan-kebaikan yang banyak(di dunia dan akhirat). Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diinginnya).”

 .

.

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

اَللَّهُ أَكْبَرُ اَللَّهُ أَكْبَرُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اَللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اَللَّهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ

.

.

.

KHUTBAH KEDUA IDULADHA

.

kj aidil adha 2

اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،وَلِلهِالْحَمْدُ

.

.

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,

.

Pada hari yang penuh bahagia ini kita melafazkan rasa syukur di atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sesungguhnya di sekeliling kita masih terdapat golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan daripada kita. Selepas ini umat Islam akan melakukan ibadah korban bagi meninggikan syiar Islam.

Binatang yang hendak dikorbankan mestilah mematuhi syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Dengan ini menunjukkan bahawa Allah SWT tidak menerima ibadah yang dilakukan sambil lewa, tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan serta mengabaikan soal kesempurnaan ibadat yang hendak dilaksanakan. Oleh itu ketelitian dan kesungguhan dalam melakukan apa jua kerja mestilah diberi perhatian oleh semua umat Islam.

.

Ingatlah bahawa setiap pengorbanan yang kita lakukan hendaklah disertakan dengan niat dan amalan yang ikhlas. Seandainya ibadat korban yang kita lakukan dicemari dengan sifat riak, takabbur dan menunjuk-nunjuk akan kemampuan, maka akan tertutuplah rahmat Allah SWT dan sia-sialah amalan yang kita lakukan.

Janganlah ada rungutan atau membandingkan harga di antara kita yang menyertai ibadah korban ini dengan kata-kata: “Di tempat lain satu bahagian korban lebih rendah harganya”. Atau dengan kata lain: “Mahalnya harga satu bahagian lembu atau seekor kambing korban tahun ini”.

Di situlah sebenarnya gambaran nilai jati diri, integrity atau keikhlasan kita melaksanakan ibadah korban atau lain-lain ibadah sama ada ibadah wajib atau sunat. daging korban sunat diagihkan kepada yang berhak menerimanya dalam bentuk daging mentah. Hukum sunat agihan daging korban ini berbeza dengan hukum sunat agihan daging aqiqah iaitu dalam bentuk daging masakan.

.

Selain daripada itu janganlah ada yang melaksanakan ibadah ini mengambil kesempatan menggabungkannya dengan pelbagai niat. Di situlah niat untuk memasak daging korban atau daging aqiqah bagi menjayakan majlis walimatul urus atau majlis kerana masuk rumah baru dan lain-lain majlis yang bukan niat asal untuk korban atau aqiqah.

Justeru, pengagihan daging korban atau aqiqah hendaklah menepati syarat-syaratnya bagi memastikan kesempurnaan pelaksanaan ibadah tersebut. Mudah-mudahan dengan ini tercapailah hasrat untuk membantu meringankan beban, mempertingkatkan kualiti hidup dan mengeratkan silaturrahim di antara umat Islam itu sendiri.

.

Mimbar menyambut baik usaha yang telah dijalankan oleh pihak-pihak yang tertentu seperti masjid-masjid, surau-surau, NGO dan pertubuhan Islam lain yang menjalankan ibadat korban di negara-negara minoriti Islam seperti Kemboja, Vietnam, Filipina bagi menyahut seruan suci ini.

Paling penting adalah mereka yang mengorbankan harta dan binatang ternakan bagi tujuan suci ini dengan penuh ketaqwaan dan hati yang ikhlas kepada Allah SWT. Mimbar amat menghargai sumbangan jemaah dan umat Islam sekalian yang menghidupkan ibadat korban samada di peringkat kampung, taman perumahan mahupun di luar negara.

.

.

اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،وَلِلهِالْحَمْدُ

.

.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,

.

Pada hari ini marilah kita memperbanyakkan ucapan salawat dan salam ke atas baginda nabi Muhammad SAW kerana telah menyampaikan Islam kepada kita melalui berbagai bentuk pengorbanan dan jihad.

Tanda kasih kita kepada baginda hendaklah dirakamkan dalam bentuk ucapan salawat dan salam sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab ayat 56:

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

.

.

Adha 2a1

Adha 2a2

Adha 2akhir1

Adha 2akhir2

Adha 2akhir3

Adha 2akhir4

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Khutbah Khas Iduladha:

“Iduladha: Pengorbanan Yang Sejati”

10 Zulhijjah 1435H

5 Oktober 2014M

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

sign s

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: