KJ : Mensejahterakan Ummah

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Raya shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “Mensejahterakan Ummah”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَآئِل

وَلِكُلٍّۢ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَاۖ فَٱسْتَبِقُوا۟ ٱلْخَيْرَٰتِۚ أَيْنَ مَا تَكُونُوا۟ يَأْتِ بِكُمُ ٱللَّـهُ جَمِيعًاۚ إِنَّ ٱللَّـهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوا اللهَ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ لْمُتَّقُونَ

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabdian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat  ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah: “MENSEJAHTERAKAN UMMAH”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Agama Islam merupakan agama yang mengutamakan kehidupan masyarakat yang sejahtera. Bagi menjamin umat Islam hidup sejahtera di dunia dan di akhirat, lima perkara asasi yang disebut sebagai al-daruriyyat al-khamsah yang menjadi intipati utama maqasid al-Syari`ah perlu dipelihara dan diberi perhatian serius.

Lima perkara tersebut ialah agama, nyawa, akal, maruah dan harta. Kegagalan memelihara lima perkara asasi ini akan membawa kehancuran kepada ummah baik di dunia maupun di akhirat.

Seorang ulama, Ibn Ashur pernah menyebut, “antara tujuan syariat yang terpenting ialah menjaga sistem kehidupan manusia dan memperbaikinya ke arah kebaikan meliputi aspek pemikiran, pekerjaan serta hubungan sesama manusia dalam mewujudkan kehidupan yang sempurna.”

.

Justeru, dalam falsafah kenegaraan Islam mengutamakan prinsip maqasid al-syariah dalam menguruskan harta dan khazanah rakyat agar setiap lapisan masyarakat mendapat keadilan dan hak yang sama rata.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hasyr ayat 7:

مَّآ أَفَآءَ ٱللَّـهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنْ أَهْلِ ٱلْقُرَىٰ فَلِلَّـهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ كَىْ لَا يَكُونَ دُولَةًۢ بَيْنَ ٱلْأَغْنِيَآءِ مِنكُمْ

Bermaksud: “Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya dari harta penduduk negeri dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan Rasulullah, dan bagi kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin serta orang musafir. Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang kaya dari kalangan kamu.”

.

Berdasarkan kepada ayat ini, maka para ulama’ telah bersepakat bahawa antara objektif Syariah berkaitan aktiviti mengurus harta adalah:

Pertama: Edaran atau pusingan harta secara saksama.

Kedua: Pelaburan kekayaan secara berterusan.

Ketiga: Pencapaian kemakmuran masyarakat yang menyeluruh.

Keempat: Ketelusan aktiviti ekonomi dan kewangan dan

Kelima: Pemilikan yang sah.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Bagi memastikan harta diagih secara adil dan saksama maka menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menguruskannya dan memastikan setiap harta itu dapat memberi manafaat kepada rakyat demi keselesaan serta kesejahteraan.

Allah SWT berfirman dalam surat al-Hadid ayat 7:

ءَامِنُوا۟ بِٱللَّـهِ وَرَسُولِهِۦ وَأَنفِقُوا۟ مِمَّا جَعَلَكُم مُّسْتَخْلَفِينَ فِيهِۖ فَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَأَنفَقُوا۟ لَهُمْ أَجْرٌ كَبِيرٌ ﴿٧

Maksudnya: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah sebahagian dari harta benda yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu); mereka tetap beroleh pahala yang besar.”

.

Dalam hal ini, kesungguhan dan komitmen pemerintah untuk rakyat dan negara agar sentiasa maju dan terpelihara hendaklah dijadikan matlamat utama kerana negara yang makmur dan dirahmati itu nescaya Allah SWT akan sentiasa mengampuninya.

.

Menurut pandangan beberapa ulama’ bahawa negara yang dikatakan baik ialah negara yang mempunyai ciri-ciri berikut,

.

Pertama: Sentiasa berada dalam keampunan, lindungan dan pertolongan Allah SWT dari sebarang bentuk ancaman dalaman mahupun luaran,

Kedua: Sentiasa dilimpah kurnia rezeki oleh Allah SWT dimana kurniaan tersebut dapat dinikmati oleh rakyat secara adil dan saksama dan

Ketiga: Negara sentiasa berada dalam keadaan aman, damai dan suasana penuh harmoni, hasil dari kerjasama antara pemerintah dan rakyat kerana masing-masing memikul tanggungjawab menjaga, membangun dan memakmurkan negara selari dengan ajaran Islam.

.

Keadaan seumpama ini jelas berlaku kepada penduduk Saba’ sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran melalui firman Allah SWT di dalam surah Saba’ ayat 15:

لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِى مَسْكَنِهِمْ ءَايَةٌۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍۖ كُلُوا۟ مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لَهُۥۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ ﴿١٥

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi penduduk Saba, ada tanda-tanda yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua kebun, yang terletak di sebelah kanan dan kiri. Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya. Negerimu adalah negeri yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun!”

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Kisah Nabi Yusuf AS banyak memberi pengajaran dan tauladan kepada kita di dalam mengurus harta dan ekonomi egara. Baginda AS dengan keilmuan yang mantap, kemahiran mentadbir, merancang dan melaksana dengan baik serta diiringi kegigihan dapat melaksanakannya secara berkesan.

.

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa, antara nilai-nilai unggul dalam amalan  pengurusan harta dan ekonomi yang dipraktikkan oleh Baginda AS ialah,

.

Pertama: ketaqwaan, kewibawaan dan akhlak terpuji,

Kedua: kearah penyimpanan yang baik sebagaiman firman Allah SWT di dalam surah Yusuf ayat 47 yang bermaksud: “Nabi Yusuf AS menjawab: Hendaklah kamu bertanam tujuh tahun seperti biasa, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkai; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.”

Ketiga:pembinaan bidang-bidang utama dalam ekonomi bagi menjamin kesejahteraan hidup,

Keempat: perancangan yang tepat dan berkesan,

Kelima: pengurusan cekap dan berwibawa,

Keenam: mekanisme pengawalan pengurusan agar mencapai objektif.

Ketujuh: pengagihan sumber secara tepat dan berkesan,

Kelapan: skim penyimpanan buat masa hadapan (menabung) dan

Kesembilan: perbelanjaan mengikut keutamaan, berjimat cermat dan bersederhana.

.

Mimbar amat yakin bahawa dalam menyusun dan mengurus harta rakyat ini, pihak pemerintah mengambil tauladan daripada kewibawaan Nabi Yusuf AS dan ianya dilaksanakan berdasarkan semangat Islam, yang berpandukan panduan prinsip al-adl wal ihsan– iaitu menghayati semangat keadilan dan muafakat di samping prinsip tidak memudaratkan.

Amalan yang berasaskan prinsip ini akan sentiasa mengingati balasan daripada Allah SWT di atas setiap kesalahan seperti memonopoli kekayaan, menindas dan mengambil hak rakyat, mementingkan diri sendiri dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu.

.

Mimbar menyeru semua pihak marilah sama-sama melakukan urus tadbir yang terbaik dalam perkhidmatan serta mengelak dari berlakunya ketirisan dan penyelewengan. Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat pemerintah untuk melahirkan sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi.

Ingatlah wahai umat Islam sekalian bahawa tanggunjawab memakmurkan negara ini adalah amanah daripada Allah SWT dan amanah ini akan diperhitungkan di akhirat nanti.

.

Ingatlah Islam menyeru umatnya mengurus harta secara bijak dan berhemah. Langkah mengurus harta secara berhemah dan berkesan dapat membimbing kita ke arah matlamat yang diidamkan dan membuktikan penghargaan kita kepada pemerintah selain menjamin keselamatan diri daripada kefakiran dan kekufuran.

Rasulullah SAW memberi peringatan melalui sabdanya:

“Hai anak adam! Jika engkau memberi kelebihanmu, maka aku akan lebih baik untukmu, maka jika engkau menahannya akan berbahaya bagimu, Engkau tidak akan tercela dengan kesederhanaanmu.” (Riwayat Muslim)

.

Sifat boros dan membazir adalah ciri-ciri kekufuran hamba kepada Allah SWT. kita perlu mengawal keinginan nafsu supaya tidak boros. Tindakan mengawal nafsu ini boleh dikategorikan sebagai jihad paling utama masa kini kerana kemewahan boleh menjadikan seseorang itu lalai dan menjadi kufur nikmat.

Kita mengakui wang dan harta amat diperlukan bagi menampung keperluan keluarga, masyarakat dan negara. Namun, Islam menetapkan hanya pengumpulan harta yang bersih sahaja di kira sebagai ibadah dan beroleh pahala. Selain dari itu akan mendatangkan bencana dan dosa disisi Allah SWT.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Pada hari yang mulia ini, mimbar ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada pihak pemerintah terutamanya Perdana Menteri di atas pembentangan bajet yang bertemakan “Ekonomi Keperluan Rakyat”, berjumlah RM273.9 billion. Mudah mudahan dengan bajet ini dapat mensejahterakan kehidupan rakyat dan  mendapat taufik serta rahmat daripada Allah SWT.

Begitu juga, dengan keprihatinan dan iltizam pemerintah bagi memartabatkan Islam di negara ini amat terserlah dengan pengumuman pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi yang akan dibina di Putrajaya. Mimbar percaya ini merupakan satu rahmat berganda kepada umat Islam di dalam menjaga kesucian al-Quran.

.

Mimbar menyeru marilah sama-sama kita menyokong segala usaha yang dilaksanakan demi kemakmuran dan kesejahteraan negara. Mimbar juga menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, agar berbelanja mengikut keutamaan, kemampuan dan janganlah membazir serta kawal nafsu agar tidak berbelanja secara berlebihan dan sentiasa bersederhana dalam semua perkara.

Mimbar berkeyakinan bahawa pemerintah yang bertanggunjawab akan senantiasa memilih jalan pertengahan iaitu bersederhana dengan mengimbangi antara keperluan jangka pendek dan jangka panjang demi kesejahteraan rakyat secara berterusan.

Mengakhiri khutbah minggu ini, marilah sama sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 148:

وَلِكُلٍّۢ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَاۖ فَٱسْتَبِقُوا۟ ٱلْخَيْرَٰتِۚ أَيْنَ مَا تَكُونُوا۟ يَأْتِ بِكُمُ ٱللَّـهُ جَمِيعًاۚ إِنَّ ٱللَّـهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ ﴿١٤٨

Maksudnya: “Dan bagi setiap umat ada kiblat yang dihadapkannya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (pada hari Kiamat); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Mensejahterakan Ummah”

(17 Oktober 2014 /22 Zulhijjah 1435H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: