KJ :  Membina Jati Diri Muslim

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

cuti persekolahan.

Khutbah Jumaat: “Membina Jati Diri Muslim”

 

.

KJ -Membina Jati Diri

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah SWT,

.

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “MEMBINA JATI DIRI MUSLIM ”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Sudah menjadi lumrah alam, bahawa peredaran masa begitu cepat dan pantas. setiap yang datang akan pergi dan setiap yang bermula akan berakhir. Begitulah juga dengan peredaran masa yang berlaku kepada alam persekolahan yang merupakan hari terakhir bagi sesi persekolahan tahun ini.

Cuti sekolah memang satu masa yang ditunggu-tunggu bukan saja anak-anak malahan ibu bapa sendiri. Anak-anak memang mahu bebas daripada belenggu buku-buku sekolah, mereka mahu berseronok setelah penat mentelaah pelajaran sepanjang tahun. Tentunya bercuti merupakan terapi yang paling mujarab untuk menghilangkan segala stress atau tekanan yang dihadapi oleh setiap pelajar.

.

Justeru, Jadilah ibu bapa yang prihatin dan mengambil berat terhadap anak-anak. Rancanglah sesuatu agar dapat memanfaatkan cuti sekolah anak-anak dengan sebaik-baiknya. Jangan biarkan mereka sendiri yang menguruskan masa cuti tanpa sebarang pemantauan atau panduan daripada ibu bapa kerana dalam usaha kita membina jati diri insan.

Maka setiap masa itu perlulah dimanfaatkan dengan aktiviti yang menjurus kepada memperolehi kebaikan di dunia dan hasanah di akhirat. Dalam proses ini kesepaduan peranan pihak berwajib iaitu pemerintah, pihak sekolah dan ibu bapa mestilah saling berkerjasama dan mengambil tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Sebenarnya sebagai ibu bapa, seharusnya kita mengajar anak-anak kita supaya menggunakan masa dengan bijak. Masa cuti sekolah bukan semata-mata untuk berseronok dan melupakan pelajaran.

Ketahuilah bahawa orang yang pandai dan bijak mengurus masa iaitu yang berbuat amal baik dengan melakukan perkara yang berfaedah maka mereka itu adalah orang yang beruntung dan berjaya dalam kehidupan.

Sebaliknya sesiapa yang lalai dan membuang masa, membiarkannya berlalu begitu saja dengan melakukan perkara-perkara yang sia-sia seperti berpeleseran di pusat-pusat membeli-belah, melepak, berfoya-foya di pusat-pusat hiburan dan sebagainya, maka mereka itulah golongan orang yang rugi.

Oleh kerana itu kita hendaklah sentiasa ingat supaya memanfaatkan masa yang ada dengan sebaik-baiknya untuk masa hadapan dan bekalan menuju akhirat nanti, lebih-lebih lagi di akhirat nanti kita semua akan ditanya adakah kita telah menggunakan masa dengan sebaik-baiknya.

Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Tidak akan bergerak kedua-dua kaki seorang hamba itu pada Hari Kiamat di Padang Mahsyar sehingga ia disoal tentang umurnya bagaimana ianya dihabiskan, tentang amalnya apa yang dilakukan dengannya, tentang hartanya dari mana ianya diperolehi dan untuk apa ianya dibelanjakan dan tentang tubuh badannya bagaimana ia menggunakannya”. (Riwayat at-Tirmidzi)

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Percayalah bahawa Ibu bapa adalah asas kepada menentukan dasar pembinaan jati diri  anak-anak. Bila tumpuan ibu bapa terhadap anak-anak berkurangan, maka kadar keciciran anak-anak semakin meningkat. Anak pada peringkat awal pembesaran dan pendewasaan memerlukan ibu bapa sebagai orang terawal penunjuk jalan teladan yang baik.

Menurut prinsip pendidikan Islam, saat kritikal dalam proses membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasih sayang dan komunikasi yang mesra sebenarnya bermula dari awal kehidupan anak-anak sehinggalah mereka mencapai usia baligh.

Mengikut kajian, anak-anak dalam usia sebegini sangat mudah terpengaruh untuk meniru dan mengikut apa yang mereka lihat berbanding apa yang mereka dengar. Secara psikologinya, pengaruh visual akan mendominasi watak dan karakter mereka.

Dengan demikian mimbar menasihatkan para jemaah sekalian bahawa dalam tempoh kritikal ini, awasilah dan pantaulah apa yang mereka lihat serta tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa jua sekalipun dan jadilah role model yang terbaik untuk anak-anak kita.

.

Jika kita tidak mengambil berat, maka anak-anak akan terdedah dengan pelbagai gejala seperti rosak akidah, hilang kemuliaan akhlak dan maruah juga ketinggalan dalam pendidikan. Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru, tidak tahu memilih yang baik atau yang buruk dalam kehidupan mereka.

Menurut Prof Dr Yusuf al-Qardawi bahawa: kesan yang paling menonjol akibat kelemahan kualiti keibubapaan hari ini adalah tercabutnya akhlak anak-anak yang memudahkan mereka terdedah dalam krisis gejala sosial.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Dalam membina jati diri muslim anak-anak, mimbar menasihatkan ibu bapa sekalian menetapkan beberapa petunjuk sebagai ukuran bagi menentukan hala tuju dan tindakan yang mesti dilaksanakan oleh anak-anak kita antaranya seperti berikut:

.

Pertama: Memastikan anak-anak menunaikan solat fardhu 5 kali sehari secara konsisten sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: Latihlah dan didiklah anak kamu menunaikan sembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka ketika mereka berumur sepuluh tahun jika mereka enggan menunaikan sembahyang dan pisahkan tempat tidur mereka.

Sebagai bapa, berusahalah untuk berjemaah bersama anak-anak dan jadilah imam ketika bersolat agar terserlah kepimpinan kita sebagai ketua keluarga seterusnya dapat memantau kualiti solat anak-anak dan mengukuhkan ikatan kasih sayang dengan mereka.

.

Kedua: Memastikan anak-anak mempelajari dan memahami al-Quran setiap hari.

.

Ketiga: Memastikan anak-anak mendapat makanan halal, berzat dan memenuhi keperluan vitamin.

Waktu makan juga boleh dimanfaatkan untuk mendidik anak-anak agar berdisiplin, beradab sopan dan berakhlak mulia seperti membaca doa sebelum makan, memberi sebahagian lauk kepada adik beradik yang makan bersama, mengambil makanan sedikit demi sedikit, mengelakkan sifat tamak dan menunggu ibubapa sebelum makan.

.

Keempat: Menyemak buku-buku latihan dan kerja setiap mata pelajaran, dan

.

Kelima: Menetapkan sasaran setiap mata pelajaran anak -anak dan mendapat maklum balas dari guru setiap masa.

.

Sebagai ibu-bapa kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila anak-anak telah dihantar ke sekolah. Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang.

Tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat. Sebagai ibu-bapa kita digalakkan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan anak-anak, kerana doa ibu-bapa boleh menyebabkan kehidupan anak dirahmati, diberkati dan dilindungi dari segala bencana.

Dalam satu riwayat diceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah membaca doa kepada kedua cucunya Hasan dan Husin yang berbunyi: Aku memohon perlindungan dengan kalimah Allah yang sempurna untuk kamu berdua daripada gangguan syaitan, daripada binatang dan daripada mata yang berniat jahat.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Perlu diingat musim cuti sekolah inilah beberapa peristiwa atau tragedi kerapkali berlaku. Kita sering kali mendengar kes-kes kejadian seperti mati lemas, kemalangan jalanraya, tersesat di dalam hutan dan sebagainya. Selain dari itu terdapat juga kes-kes jenayah yang dilakukan oleh remaja yang masih di bangku sekolah.

Oleh itu, sebagai ibu bapa atau penjaga kita kendaklah bertanggungjawab dan amanah bukan hanya setakat memenuhi keperluan fizikal dan pendidikan anak-anak tetapi yang lebih besar dan utama ialah menanamkan benih-benih jati diri dan keimanan kepada mereka selain menjaga dan mengawal mereka dengan baik.

Tanpa kawalan anak-anak mudah terjebak dengan aktiviti sosial yang merosakkan atau terlibat dengan perlakuan jenayah. Kita hendaklah mengambil contoh dan pengajaran yang diceritakan Allah SWT bagaimana Lukman al-Hakim mendidik anak-anaknya.

Firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 17 dan 18:

يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ ﴿١٧﴾ وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًاۖ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ ﴿١٨

Maksudnya: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya. “Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Sebagai ibubapa atau penjaga kepada anak-anak seharusnya kita sudah mempunyai beberapa perancangan dan aktiviti yang berpaksikan atas dasar untuk meningkatkan iman, jatidiri dan kecemerlangan dunia dan akhirat bukannya hanya untuk berseronok dan menghabiskan masa semata-mata.

Ingatlah.anak-anak adalah aset yang paling penting dan berharga kepada kedua-dua ibu bapa. Mereka merupakan penyeri atau perhiasan dalam sesebuah rumahtangga. Bayangkanlah.jika anak-anak berkenaan menjadi orang yang soleh dan berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sudah tentu kedua ibu bapanya akan mendapat nikmat di dunia dan di akhirat nanti.

Sebaliknya, jika anak-anak yang bergelumang dengan akhlak liar dan melakukan maksiat kepada Allah SWT sudah pasti ianya akan menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara. Anak-anak yang diterapkan dengan didikan agama yang sempurna sejak dari kecil hinggalah mereka dewasa akan dapat menyelamatkan mereka dari terus lalai dan alpa dengan kehidupan di dunia ini.

.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan bakal penerus kepada perjuangan Islam.

Budayakanlah kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang boleh memberi manafaat kepada diri mereka. Manfaatkanlah musim cuti persekolahan ini dengan perkara-perkara yang berfaedah demi masa depan anak anak.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72:

 إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا ﴿٧٢

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil”.

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ، إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Membina Jati Diri Muslim”

(21 November 2014 / 27 Muharam 1436H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: