KJ :  Agenda Memperkasa Ummah

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

1 Khutbah Jumaat SQ-shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “Agenda Memperkasa Ummah”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَآئِل

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا فِي كُلِّ قَرْيَةٍ أَكَابِرَ مُجْرِمِيهَا لِيَمْكُرُوا فِيهَاۖ وَمَا يَمْكُرُونَ إِلَّا بِأَنفُسِهِمْ وَمَا يَشْعُرُونَ

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوا اللهَ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ لْمُتَّقُونَ

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertaqwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk: “AGENDA MEMPERKASA UMMAH”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Berdasarkan kepada al-Quran al-karim bahawa kewujudan sesuatu bangsa dimuka bumi ini telah diperjelaskan oleh Allah SWT sebagaimana firmannya di dalam surah al-Hujurat ayat 13:

 يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُواۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”

.

Sebagai suatu bangsa, secara hakikatnya ianya boleh diwarnakan dan dipengaruhi oleh apa sahaja. Pada zaman yang disifatkan telah berubah dengan era globalisasi menyebabkan sesuatu bangsa itu boleh memilih jalan dan cara hidup yang sendiri samada ingin menjadi bangsa yang beriman, maju atau sebaliknya. Persoalan besar timbul disini bagaimanakah kita untuk memperkasakan sesuatu bangsa itu?.

Secara ringkasnya mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa berdasarkan perspektif Islam memperkasa sesuatu bangsa itu berkait rapat dengan pembentukan jiwa, jati diri dan maruah. Jiwa bangsa haruslah meletakkan persoalan keimanan sebagai tunjang kekuatan dan menerima hakikat serta yakin bahawa tiada tuhan melainkan Allah SWT dan Nabi Muhamad SAW adalah pesuruh-Nya.

Hakikat ini memberi landasan kepercayaan yang membolehkan sesuatu bangsa itu menjadi umat pilihan, menjadi contoh yang boleh ditauladani, pemimpin yang bersifat menaungi dan memiliki ketangkasan berfikir dan bertindak berdasarkan landasan adil wal ihsan.

.

Justeru, sebagai bangsa yang berdaulat dan bermaruah, maka menjadi kewajipan kita memelihara kedaulatan bangsa dan agama daripada segala ancaman samada dalam bentuk dalaman mahupun luaran. Janganlah ada di kalangan kita yang bersikap mementingkan diri sendiri sehingga bangsa dan agama terancam, dihina, dikeji, dicaci, diporak perandakan dan sebagainya.

Allah SWT telah memberi peringatan kepada kita melalui firman-Nya di dalam surah al-Anaam ayat 123:

 وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا فِي كُلِّ قَرْيَةٍ أَكَابِرَ مُجْرِمِيهَا لِيَمْكُرُوا فِيهَاۖ وَمَا يَمْكُرُونَ إِلَّا بِأَنفُسِهِمْ وَمَا يَشْعُرُونَ ﴿١٢٣

Maksudnya: “Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.”

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Mimbar ingin menegaskan dalam menjaga kedaulatan bangsa ianya sangat berkait dengan nilai jati diri, rasa kasih dan sejauh mana tanggungjawab kita dalam mempertahan, memelihara dan menjaga maruah bangsa agar kekal dan selamat.

Agama Islam sebenarnya telah menggariskan dengan jelas tentang jati diri khususnya berhubung kait dengan kepentingan untuk mempertahankan keselamatan dan maruah ini, berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60:

 وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّـهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّـهُ يَعْلَمُهُمْۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ﴿٦٠

Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

.

Mimbar yang mulia ini amat yakin bahawa  umat Islam yang cintakan bangsa inilah yang menjadi benteng kekuatan  negara untuk membentuk tamadun Islam yang dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia. Rebutlah peluang yang ada ini selagimana kita mempunyai kekuatan dan kuasa.

Ingatlah bahawa Imam al-Ghazali Rahimahullah pernah berpesan di dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa: “Dunia ini tempat bercucuk tanam bagi bekalan akhirat. Dan tidak sempurna agama melainkan seiring dengan dunia. Kekuasaan politik dan agama adalah pasangan berkembar. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tiada tiang, maka ia akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga akan musnah dan hilang”.

Sabda Rasulullah SAW:

Mafhumnya: “Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati”. (Riwayat Hakim dan Ibnu Majah).

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Hayatilah pesanan Rasulullah SAW yang pernah melahirkan kebimbangan bahawa umat Islam ramai tetapi berkeadaan seperti buih di lautan, kerana lemah dan tidak berdaya saing. Justeru, sebagai bangsa yang bermaruah seharusnya memiliki kebijaksanaan yang tinggi dalam menjana kehidupan. Harus diingat bahawa dalam usaha untuk memperkasa ummah ianya memerlukan satu perubahan atau tajdid. Perubahan dalam kehidupan mestilah mampu membebaskan diri dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi.

.

Oleh itu, mimbar ingin mengariskan beberapa agenda yang perlu dilaksanakan demi memperkasa ummah antaranya:

Pertama: perlu ada kemahuan yang tinggi yang tidak mampu digugat oleh sebarang kelemahan,

Kedua: Pengorbanan yang agung yang tidak mengenal erti tamak haloba dan kedekut,

Ketiga: Memahami prinsip, meyakininya, menghormati, tidak melakukan kesilapan, tidak terseleweng, tidak berkompromi dan tidak terpengaruh dengan prinsip yang lain. Dengan prinsip dan aspek inilah akan mampu membentuk individu dan masyarakat yang dapat melahirkan sebuah negara bangsa yang mampu bangkit, bersemangat waja serta mempunyai jatidiri yang murni lagi kukuh.

.

Ingatlah bahawa Allah SWT tidak akan merubah sesuatu bangsa tersebut selagi kita tidak melakukan perubahan pada diri sendiri. Ini adalah undang-undang dan sunnah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Ra’d ayat 11:

 إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّـهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ ﴿١١

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.”

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Pada hari yang mulia dan penuh barakah ini, mimbar menyeru marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan umat Islam negara kita sentiasa diberikan taufik hidayah oleh Allah SWT dan seterusnya berjaya memainkan peranannya yang sebenar dalam memacu pembangunan negara bangsa yang maju dan dihormati lagi dikasihi Allah SWT.

Ingatlah bahawa sebagai umat Islam dan bangsa teras di negara ini, kita hendaklah berperanan bukan setakat pada ibadah khusus semata-mata. Malah lebih luas daripada itu sebagai khalifah Allah di muka bumi. Menurut al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniah di antara tugas khalifah itu adalah menjaga hal ehwal agama dan mentadbir hal ehwal dunia.

Ingatlah bahawa bangsa kita adalah bangsa yang sukakan kebaikan dan bencikan kemungkaran. Tidak setakat itu sahaja, bangsa kita menjadi sebahagian daripada tamadun Islam yang jauh lebih hebat dalam sejarah penghidupan umat manusia.

 .

Ingatlah dalam agenda memperkasakan ummah bahawa berjuang sudah pasti, menyerah tidak sekali. Semoga negara kita yang tercinta ini terus maju, aman dan damai, dan menjadi payung serta perlindungan kepada Islam dan umatnya.

Mengakhiri khutbah minggu ini, marilah sama-sama kita merenung sepotong ayat suci al-Quran al-Karim dari surah al-A’raf ayat 96:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴿٩٦

Maksudnya: “Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ، إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Agenda Memperkasa Ummah”

(28 November 2014 / 5 Safar 1436H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: