KJ :  Mengharap Kasih Ilahi

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

.

Khutbah Jumaat: “Mengharap Kasih Ilahi”  

 

.

kj kasih Ilahi

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Bersempena dengan sambutan Hari AIDS sedunia pada 1 Disember yang bertemakan (Menuju Sifar HIV Tanggungjawab Bersama) Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “MENGHARAP KASIH ILAHI”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Ketahuilah bahawa penyakit AIDS ialah sindrom kurang daya tahan penyakit yang disebabkan oleh virus HIV melalui pelbagai cara seperti perhubungan seks bebas, penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan dan pemindahan darah. Berdasarkan kepada laporan Kementerian kesihatan Malaysia, sehingga Jun 2014 jumlah mereka yang hidup dengan HIV seramai 103 ribu orang dan 70% daripadanya adalah orang Melayu.

.

Mereka yang dijangkiti HIV positif ini dikatakan ramai terdiri daripada pesakit AIDS. Penghidap HIV/AIDS atau singkatan akronimnya dalam bahasa Melayu boleh dibaca dengan “Angkara Iblis dan Syaitan”, adalah antara golongan pesakit yang memerlukan rawatan seperti pesakit jantung, buah pinggang, kencing manis, barah dan lain-lain penyakit kronik yang mengharapkan bantuan dan simpati orang ramai.

Walau bagaimanapun berdasarkan pemerhatian mimbar masih ada di kalangan masyarakat kita yang menganggap penghidap HIV/AIDS adalah golongan yang sangat hina dan menjijikkan sehingga mereka dipinggirkan.

Ada laporan menyebut penghidap HIV/AIDS yang beragama Islam ini disisihkan dari keluarga mereka dan mencari perlindungan di pusat-pusat jagaan bukan Islam sehingga ada yang meninggal dunia di situ. Persoalan besar timbul di sini ialah apakah pandangan jijik kepada golongan ini selari dengan ajaran Islam?.

.

Mimbar ingin mengingatkan kepada para jemaah dan umat Islam sekalian bahawa bersangka buruk dan memandang hina kepada orang yang dalam keadaan sakit sangat dibenci di dalam Islam. Prasangka buruk terhadap pembawa HIV/AIDS menyebabkan mereka menyisihkan diri daripada masyarakat dan mencari perlindungan di tempat yang lain.

Seharusnya mereka ini sama sekali tidak boleh dipinggirkan apatah lagi disisihkan dari masyarakat. Kita sepatutnya perlu memberi mereka sokongan, bahkan sewajarnya perlu diberi perlindungan dan pertolongan.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang memberi pertolongan kepada orang yang sedang menderita, Allah akan mengampunkan 73 kesalahannya. Salah satu daripadanya akan diberi kemudahan urusan dalam hidupnya di dunia, manakala 72 lagi akan diberi pada hari akhirat nanti.” (Riwayat al-Bukhari)

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada manusia. Dalam usaha menunjukkan Islam adalah agama rahmat, maka Islam menyuruh umatnya agar sentiasa menghormati sesama insan dan menolong mereka yang mengalami musibah.

Prinsip ‘menolong dalam hal kebajikan’ sangat dituntut oleh Allah SWT menerusi firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 71:

 وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّـهَ وَرَسُولَهُۚ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta ta’at kepada Allah dan Rasul-Nya.”

.

Sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa membajai hati kita dengan sifat-sifat tolong menolong dan berkasih sayang sesama manusia khususnya terhadap umat Islam. Dengan cara ini akan meningkatkan lagi ketakwaan kita kepada Allah SWT.

Orang yang hidupnya sentiasa menjaga persaudaraan akan diberi beberapa keutamaan dan dilindungi di bawah naungan oleh Allah SWT di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah SWT pada hari akhirat berfirman: di manakah orang yang kasih- mengasihi kerana keagonganku ? Pada hari ini aku akan menaungi mereka dalam naunganku, pada hari yang tiada naungan selain naunganku.” ( Riwayat Muslim)

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Mimbar yang mulia ingin berpesan bagi mereka yang telah disahkan positif HIV, agar sentiasa menjaga kesihatan dengan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala yang telah disediakan secara percuma oleh pihak kerajaan serta mematuhi peraturan-peraturan rawatan yang ditetapkan.

Dalam masa yang sama jangan lupa memohan keampunan daripada Allah SWT melalui taubat yang sebenar-benarnya, mudah-mudahan segala dosa yang lampau akan diampuni. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani terhadap hamba-hamba-Nya.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 222:

 إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

.

Sejajar dengan semangat ajaran Islam dan menjaga nama baik umat Islam, maka mimbar menyeru muslimin sekalian khususnya kepada ibubapa, kaum kerabat, jiran tetangga agar bersikap prihatin membantu mereka yang menerima musibah HIV/AIDS ini.

Mudah-mudahan dengan cara kita mengambil berat tentang diri mereka ini dapat menyambung kasih dan memberi sinar cahaya untuk mereka meneruskan kehidupan di bumi Allah serta mengelakkan golongan ini terjerumus ke lembah kebinasaan yang berterusan atau terjebak kepada akidah yang lain.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Sebagai kesimpulan beberapa pengajaran yang dapat dipetik daripada khutbah ialah:

Pertama: Islam menegah umatnya bersikap memandang hina, prasangka dan menindas kepada mangsa HIV/AIDS demi masa depan mereka,

Kedua: Agama Islam juga menuntut kita mengasihi insan lemah dan menghulurkan bantuan setiap masa,

Ketiga: Islam menuntut tanggungjawab bersama dalam menegakkan kebenaran dan meruntuh kemungkaran,

Keempat: Anak-anak hendaklah dididik dengan didikan agama yang sempurna, tanamkan penghayatan akidah dalam hati dan jiwa mereka. Disamping mengawasi dan memastikan mereka tidak mengabaikan kewajipan menunaikan ibadah kepada Allah SWT,

Kelima: Kerjasama semua pihak amat penting dalam membendung wabak dan  mencegah HIV dan AIDS. Termasuklah masyarakat perlu memberi sokongan dan menerima mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan serta telah insaf bertaubat dan

Keenam: Para pendidik, ketua-ketua dan para pemimpin masyarakat hendaklah sama-sama memberi dorongan dan mendidik generasi belia khususnya, agar benar-benar menghayati roh Islam dalam kehidupan dan sentiasa memberi contoh teladan yang terbaik.

.

Marilah sama-sama kita menyemai perasaan kasih sayang dan memberi layanan secara adil kepada individu yang dijangkiti HIV/AIDS supaya mereka dapat menjalani kehidupan sepertimana insan-insan yang lain, di samping berusaha bersama-sama mencegah anggota masyarakat daripada ancaman HIV/AIDS.

Marilah kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-A’raaf 7, ayat 96:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatNya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَآءِ مِنْهُمْ وَلأَمْوَاتْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ، إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Mengharap Kasih Ilahi”

(5 Disember 2014 / 12 Safar 1436H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: