KJ :  Zakat Diperkasa, Ummah Sejahtera

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

zakat 1.

Khutbah Jumaat: “Zakat Diperkasa, Ummah Sejahtera”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَآئِل:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوا اللهَ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2014, mimbar jumaat hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “Zakat di Perkasa, Ummah Sejahtera”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Syariat Islam memelihara persoalan kewangan dengan mengambil kira semua peringkat samada individu dan masyarakat serta negara. Oleh kerana itu agama Islam memberikan satu garis panduan yang jelas dalam pengurusan harta agar ianya dilaksanakan dengan adil dan saksama. Sebarang isu berkaitan kewangan dan harta ianya perlulah meletakkan keyakinan bahawa pemilik mutlak adalah Allah SWT. Oleh itu, sebagai umat yang beriman maka kita dituntut membersihkan harta kita dengan mengeluarkan zakat apabila memenuhi syarat-syaratnya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Nur ayat 56:

 وَأَقِيمُوا الصَّلاَةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Bermaksud: “Dan dirikan oleh kamu akan sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul Allah; supaya kamu beroleh rahmat.”

.

Rasulullah SAW pula memberikan peringatan dan ancaman yang tegas kepada mereka yang enggan mengeluarkan zakat sebagaimana sabdanya:

مَنْ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً، فَلَمْ يُؤَدِّ زَكَاتَهُ مُثِّلَ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ شُجَاعًا أَقْرَعَ، لَهُ زَبِيبَتَانِ، يُطَوَّقُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، ثُمَّ يَأْخُذُ بِلِهْزِمَتَيْهِ – يَعْنِى شِدْقَيْهِ – ثُمَّ يَقُولُ أَنَا مَالُكَ، أَنَا كَنْزُكَ ثُمَّ تَلاَ (وَلاَ يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُون …  الآيَةَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang Allah berikan kepadanya harta, tetapi dia tidak mengeluarkan zakatnya, maka pada hari kiamat kelak hartanya itu dijadikan berupa Syuja’ Aqra’ (Ular jantan yang botak, kepalanya mengandungi banyak racun) yang memiliki dua titik hitam di atas dua matanya melilit lehernya. Kemudian ia menggigit kedua tulang rahangnya sambil berkata, ‘Aku adalah hartamu, aku adalah simpananmu. Lalu baginda SAW membaca (ayat 180 surah Ali Imran): ’Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil menyangka…’.” (Riwayat al- Bukhari)

.

Al-Hafiz Imam Ibnu Katsir RA di dalam kitab tafsir Ibnu Katsir. ketika mentafsirkan ayat 180 surah al-Baqarah yang dimaksudkan oleh Baginda SAW ini, berkata:

“Janganlah sekali-kali orang yang bakhil menyangka bahawa dia mengumpulkan harta itu akan baik dan bermanfaat baginya. Sebaliknya hal itu akan membahayakannya dalam (urusan) agamanya dan kemungkinan juga dalam (urusan) dunianya. Allah memberitakan tentang hartanya pada hari kiamat dengan firman-Nya: “Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di leher mereka, kelak pada hari kiamat.”

.

Begitu juga dengan pandangan Dr. Yusof al-Qaradawi yang merumuskan di dalam kitabnya Fiqh al-Zakah dengan mengatakan:

“Seorang muslim yang mengingkarinya (yakni kewajipan zakat) adalah dihukum kafir (murtad), fasik jika ia melarikan diri (enggan menunaikannya), diizinkan (kepada ulil amri) mengambil secara paksa (yakni melalui tindakan undang-undang) orang yang menegahnya, dan diisytiharkan perang dengan tujuan menunaikannya kepada sesiapa yang enggan dan berkeras.”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa, antara hikmah ibadah zakat ialah “barakah” atau keberkatan yang dikurniakan Allah SWT kepada pembayar dan penerima zakat termasuk juga pada harta yang telah dizakatkan itu sendiri. Barakah adalah suatu nikmat Allah yang tidak dapat dilihat dan disentuh tetapi dapat dirasai dan dinikmati kesannya dalam kehidupan seharian.

Setiap orang muslim pasti bercita-cita inginkan keberkatan dalam kehidupan dan urusan sehariannya. Kerana dengan keberkatan jiwa menjadi tenang, hati menjadi lapang, nafsu dapat dikawal, setiap urusan sentiasa mendapat panduan, mudah dan senang, kekurangan harta tidak menjadi kerisauan.

Namun..ingatlah, waspadalah.kerana jika tiadanya keberkatan, harta yang banyak mungkin akan hilang, pendapatan yang besar mungkin akan menyusut, kesenangan dan kemewahan yang dinikmati berkemungkinan juga akan lenyap.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 103:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ﴿١٠٣

Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

.

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili ketika mentafsirkan ayat ini di dalam kitab Tafsir al-Munir berkata: Al-tazkiah bermaksud kata nama keterangan yang menunjukkan penyucian sesuatu yang bersangatan dan menambah kebaikan pada harta, ataupun ianya juga bermaksud menyuburkan dan memberikan keberkatan pada harta kerana sesungguhnya Allah swt menjadikan kekurangan yang terhasil dengan sebab mengeluarkan zakat sebagai faktor berlakunya penyuburan harta sepertimana yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Muslim dan al-Tirmizi daripada Abu Hurairah RA bahawa Baginda SAW bersabda: Sedekah (yakni zakat) tidak akan mengurangkan harta.”

.

Justeru, nas ini jelas memerintahkan Rasulullah SAW dan juga pemerintah Islam agar menguatkuasakan kutipan zakat ke atas sebahagian daripada orang-orang Islam yang berharta dan cukup syarat-syaratnya dengan kadar tertentu bagi tujuan membersihkan diri mereka daripada segala sifat buruk dan keji serta menyuburkan harta mereka.

Hasilnya, di dunia, harta kekayaan yang dimiliki mereka akan bertambah subur dan berkembang, manakala di akhirat kelak pula harta kekayaan ini menjadi aset dan penyelamat diri mereka daripada azab dan kemurkaan Allah SWT. Sedarlah wahai jemaah! Inilah bukti kekuasaan dan kebesaran Allah SWT! Ayuhlah saudara-saudaraku, segeralah tunaikan kewajipan ini jika masih belum kita laksanakan dan yakinlah kurniaan yang lebih baik pasti akan kita perolehi.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Bersempena dengan bulan Disember pada tahun ini yang secara lazimnya umat Islam mengambil kesempatan untuk menunaikan tanggungjawab membayar zakat, maka mimbar yang mulia ini ingin berpesan, marilah sama-sama kita mengambil hikmah di sebalik kefarduan zakat kepada kita dengan meletakkan persoalan iman sebagai asas kepada kehidupan.

Ingatlah bahawa harta yang kita miliki ini bukanlah hak mutlak kita, sebaliknya merupakan sebahagian daripada ujian kehidupan. Justeru, bagi mengsucikan harta kita dari sebarang syubhah dan agar ianya barakah, maka kita hendaklah mengeluarkan zakat. Ingatlah bahawa kefardhuan ibadah zakat merupakan dari rukun Islam.

.

Mimbar ingin menyatakan bahawa, dalam aspek kemudahan pembayaran zakat, pelbagai sistem teknologi dibangun dan disediakan untuk kemudahan pembayar zakat. Kerjasama erat dengan agensi-agensi dan pelbagai pihak dijalinkan bagi melebarkan kemudahan pembayaran zakat seperti institusi perbankan, badan-badan berkanun, IPT dan sebagainya sebagai agen kutipan zakat.

Hari ini pembayaran zakat boleh ditunaikan dengan begitu mudah dan cepat. Selain dibayar melalui kaunter bayaran zakat di pejabat-pejabat kutipan zakat sedia ada, pembayaran zakat juga boleh ditunaikan melalui sistem online bank-bank tertentu, sistem ATM, SMS, perkhidmatan kaunter bergerak dan sebagainya.

Bagi penjawat awam dan pekerja swasta ianya juga boleh dibuat melalui sistem potongan gaji berjadual dengan mengisi borang khas yang disediakan oleh pusat-pusat kutipan zakat negeri masing-masing.

Berdasarkan kepada maklumat yang diberikan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) bahawa kutipan zakat pada tahun 2014 berjumlah RM2 bilion bagi kutipan seluruh negara dan ianya masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah mereka yang layak dan sepatutnya membayar zakat.

Justeru, mimbar menyeru kepada umat Islam marilah sama-sama kita menunaikan tanggungjawab ini demi memperkasa pembangunan sosio ekonomi diri, keluarga dan umat Islam.

.

Mimbar yang mulia mendoakan kepada mereka yang mengeluarkan zakat diberkati kehidupannya, dimurahkan rezeki, mendapat keampunan dan kerahmatan di akhirat kelak. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-A’raf ayat 96:

 وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴿٩٦

Maksudnya: “Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

.

.

 بَارَكَ اللَّهُ لِيْ وَلَكُمْ بالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Zakat Diperkasa, Ummah Sejahtera”

(12 Disember 2014 / 19 Safar 1436H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: