KJ :  Usaha Mencegah Rasuah Tanggungjawab Bersama

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

1 Khutbah Jumaat SQ-shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “Usaha Mencegah Rasuah Tanggungjawab Bersama”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَآئِل:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿١٨٨﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ ذُوْ الفَضْلِ الْعَظِيْمِ وَالعَطَاءِ العَمِيْمِ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ المُصْطَفَى الكَرِيْمُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِمُ الْقَوِيْمُ وَسَلِّمْ تَسْلِيْمًا. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Saya mengingatkan diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan cara melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: Usaha Mencegah Rasuah Tanggungjawab Bersama.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Sempena dengan sambutan Hari Anti Rasuah Sedunia yang disambut pada 9 Disember setiap tahun, mimbar pada hari ini akan memperkatakan tentang gejala rasuah yang merupakan satu perbuatan jenayah yang memberi ancaman besar kerana ia mudah menular ke dalam masyarakat.

Amalan rasuah boleh membinasakan sesebuah negara mahupun sesebuah tamadun bangsa itu sendiri. Rasuah yang berleluasa boleh menghakis sistem keadilan dan nilai-nilai murni, berlakunya penindasan serta menggugat pemerintahan secara demokratik.

Di samping itu, jenayah rasuah juga akan melahirkan keperibadian yang buruk lagi hina hinggakan ada yang rela menggadai maruah agama dan umat Islam demi mengejar kepentingan peribadi seperti wang ringgit, pekerjaan, jawatan, pangkat, hadiah dan sebagainya.

.

Ingatlah..rasuah dalam Islam adalah haram. Ini berdasarkan kepada dalil qat`ie iaitu al-Qur’an, as-Sunnah dan ijmak ulamak. Dalam al-Qur’an terdapat ayat yang menggariskan tentang rasuah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:


وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿١٨٨﴾

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

.

Persoalan besar timbul di sini, mengapakah amalan ini masih berlaku, sedangkan umum mengetahui bahawa perlakuan rasuah di sisi Islam adalah haram serta keji lagi hina. Berdasarkan pemerhatian, antara faktor utama menyebabkan berlaku rasuah ialah tiada iman, bernafsu besar atau sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja.

.

Sama ada disedari atau tidak bahawa mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya mengakibatkan beberapa kesan buruk seperti boleh menyebabkan pembahagian kekayaan tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar inflasi dan kezaliman dalam masyarakat semakin berleluasa.

Ingatlah semua wang kekayaan yang di dapati dengan cara haram adalah wang dan harta yang tidak berkat. Percayalah..kekayaan secara haram hakikatnya tidak akan membawa kesenangan dan kebahagiaan dalam hidup, tetapi pasti akan membawa kesengsaraan dan kecelakaan di dunia dan jua akhirat. Jiwa manusia pada asalnya adalah suci, tetapi bila mana harta yang diperolehi secara tidak halal tidak mungkin dapat memberi ketenangan kepada jiwa kita.

.

Sedarlah wahai jemaah..jika kurangnya iman dan taqwa, sesiapa sahaja pun boleh terperangkap dalam aktiviti rasuah tidak kira apa jua status mereka..samaada mereka itu berjawatan besar ataupun berjawatan kecil, sama ada mereka itu pemimpin ataupun rakyat, sama ada mereka itu peniaga mahu pun pekerja.

Usahlah kita menyangka bahawa hanya golongan tertentu sahaja yang boleh terlibat dengan rasuah kerana kesalahan rasuah tidak mengira golongan perasuah, kesalahan rasuah bukan terletak kepada kecil atau besar saiz atau amaun transaksi yang terlibat. Namun, kesalahan rasuah adalah terletak pada perbuatannya, samada seseorang itu pemberi, penerima atau menjadi orang tengah kepada perbuatan rasuah tersebut. Ingatlah Sabda Rasulullah SAW:

Mafhumnya: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka.” (Riwayat at-Thobarani).

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Kesejahteraan negara banyak bergantung kepada sejauh mana kualiti setiap rakyatnya. Jika masyarakat mengamalkan budaya hidup yang sihat dan berakhlak mulia maka negara akan diberkati Allah SWT dan bertambah maju. Tetapi jika masyarakat mengamalkan gaya hidup yang keji seperti mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, negara akan runtuh dan bertambah mundur kerana perbuatan rasuah boleh mengundang kepada kemurkaan Allah SWT.

.

Justeru, Ingatlah wahai umat Islam sekalian, sekiranya kita terlibat dalam penyelewengan dan penipuan ketika melaksanakan tanggungjawab dan pekerjaan kita, maka rezeki yang kita perolehi adalah haram, makanan dan minuman kita adalah haram, pakaian yang kita pakai juga adalah haram kerana ia datang dari sumber yang haram.

Bayangkanlah..adakah kita sanggup melihat anak cucu kita memakan dari sumber yang haram serta membesar daripada hasil yang haram. Tariklah nafas keimanan dan bentenglah sedaya upaya diri, ahli keluarga dan masyarakat kita daripada terlibat dengan rasuah.

Jika ditanya kepada mereka yang terlibat dengan rasuah, kita pasti akan mendengar 1001 alasan yang akan diberikan. Namun ingatlah..biar apa alasan sekalipun, niat sesekali tidak boleh menghalalkan cara dan sesungguhnya setiap darah daging kita yang tumbuh daripada hasil yang haram, maka api neraka adalah tempatnya sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

Mafhumnya: “Setiap daging yang tumbuh hasil dari makanan yang haram itu makaapi neraka adalah lebih utama untuknya.” (Riwayat al-Tarmizi)

Di antara kesan buruk daripada jenayah rasuah ialah tertolaknya ibadah solat dan doa kerana menggunakan sumber yang haram. Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan keji ini ibadah dan doa kita menjadi sia-sia serta terhalang daripada mendapat rahmat Allah SWT.

Mimbar amat bimbang jika kita tidak segera membanteras penyakit ini nescaya akan terdedah kepada pelbagai malapetaka dan bencana dalam kehidupan akibat kemurkaan Allah SWT. Insafilah peringatan Allah dalam surah ar-Rum ayat 41:


ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١﴾

Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Di negara kita, agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kes jenayah rasuah ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Walaubagaimanapun, usaha menentang dan membasmi jenayah rasuah bukan hanya terletak kepada SPRM ataupun pihak pemerintah semata-mata bahkan ianya adalah tanggungjawab bersama daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan bagi memastikan jenayah ini dapat dibanteras.

.

SPRM terikat dengan Prinsip Pengasingan Kuasa yang mana kuasa SPRM hanya melakukan penyiasatan sahaja, manakala kuasa pendakwaan kepada Peguam Negara dan Penghakiman dibuat oleh pihak Mahkamah.

Justeru, sokongan dan peranan daripada rakyat untuk melaporkan perbuatan jenayah rasuah kepada SPRM adalah amat di alu-alukan di samping memberi sokongan kepada segala aktiviti dan usaha mana-mana pihak terutamanya SPRM dalam usaha memerangi dan membanteras gejala yang tidak bermoral ini.

.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita imbas kembali beberapa intipati penting sebagai kesimpulan khutbah kita pada hari ini.

Pertama: Kembali kepada ajaran agama Islam dengan mengamalkan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya;

Kedua: Memantapkan keimanan dan ketaqwaan agar amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan telus;

 

Ketiga: Membiarkan jenayah rasuah berleluasa hanya akan mengundang bala; dan

 

Keempat: Tangungjawab membanteras rasuah adalah tanggungjawab kita bersama.

.

Oleh itu, marilah sama-sama kita meningkatkan integriti dan menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab demi Merakyatkan usaha membasmi rasuah. Semoga dengan itu, iman kita terus bertambah dan dapat memakmurkan bumi Allah SWT dengan benih-benih kebaikan, menjadi golongan yang berperanan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan dibenteng dengan keimanan seperti firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 104:


وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya.”

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِيْ وَلَكُمْ بالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Usaha Mencegah Rasuah Tanggungjawab Bersama”

19 Disember 2014 / 27 Safar 1436H

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: