KJ : Fitrah Insani

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

.

 

Khutbah Jumaat: “Fitrah Insani”

.

 اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَآئِل

فَفِرُّوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ ۖ إِنِّى لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌۭ مُّبِينٌۭ

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، إِتَّقُوا اللَّهَ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ لْمُتَّقُونَ

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “FITRAH INSANI”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Sudah menjadi sunatullah  bahawa setiap detik, saat, masa akan berlalu. Hari akan berganti hari, tahun akan berganti tahun, tanpa kita sedar 2014 akan meninggalkan kita. Begitulah fitrah alam yang menjadi tempat tinggal kita selama ini. Umur dunia kini semakin meningkat tua dan begitu jugalah dengan umur kita.

Bertambahnya usia, selayaknya membuat kita menjadi insan yang lebih bernilai di sisi Allah SWT. Nikmat usia yang telah dipinjamkan oleh Allah yang bersifat sementara ini adalah satu anugerah yang sangat bernilai bagi seorang hamba yang mengerti erti hidup sebagai satu ibadah.

Firman Allah SWT di dalam surah adz-Dzaariyat ayat 50:

فَفِرُّوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ ۖ إِنِّى لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌۭ مُّبِينٌۭ

Bermaksud: “(Katakanlah Wahai Muhammad kepada mereka): “Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), Sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.”

.

Justeru, tahun baru yang akan menjelma ini hendaklah dimulakan dengan lafaz kesyukuran kerana kita masih lagi diizinkan untuk meneruskan kehidupan disamping menjalankan tugasan harian sama ada sebagai anak, ibu, bapa, pendidik, pelajar, pekerja amnya dan sebagai individu muslim khasnya.

Semoga kehadiran tahun baru ini membawa pengertian yang cukup besar bagi mencetuskan rasa ingin berubah dari satu kekurangan kepada satu kekuatan yang baru.

Dalam kesyukuran ini, usahlah kita sesekali lupa pada sejarah kerana sejarah merupakan cerminan masa lalu untuk kita jadikan panduan di masa hadapan. Ibarat memandu kenderaan, kita memerlukan cermin sebagai panduan. Bolehkah kita memandu dengan selamat jika tidak adanya cermin? Itulah pentingnya sejarah.

.

Sedarlah, negara kita baru Merdeka hanya 57 tahun. Namun, kita telah dijajah hampir 446 tahun oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan menerima ancaman pengganas komunis. Ini semua bermula selepas jatuhnya Empayar Kesultanan Melayu Melaka dan khilafah Islam Uthmaniyyah di Turki. Bayangkanlah,betapa peritnya, deritanya, azab dan seksanya kehidupan bila berada di bawah cengkaman penjajah dan ditindas oleh musuh.

Mungkin sebahagian besar daripada kita hari ini tidak pernah mengalami pengalaman dan penderitaan berada di bawah cengkaman penjajah dan negara ditadbir oleh musuh. Persoalannya, adakah kita mahu peristiwa yang sama berulang kembali?. Adakah kita mahu merasakan azab dan seksanya?. Adakah kita rela menerima penjajahan moden yang sudah pasti tidak akan ada jalan keluar untuk kita melepaskan diri?.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa secara fitrahnya kita sebagai manusia tidak boleh dipisahkan dengan sifat kemanusiaan itu sendiri selari kejadian kita sebagai manusia yang dimuliakan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Tin ayat 4:

 لَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ ﴿٤

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”

.

Berdasarkan ayat ini, kita memahami bahawa manusia adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT kerana pada fitrahnya manusia adalah makhluk sosial yang berfikiran waras, rasional, tepat, kreatif, benar, dapat membuat penilaian antara yang baik dan buruk.

Mengulas perkara ini, Dr Wahbah az-Zuhaily dalam Tafsir al-Munir menyatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian kerana diberikan anggota badan yang lengkap dan sempurna, makan dengan tangannya, mempunyai keistimewaan dengan ilmu, pemikiran, tutur bicara serta mampu mengurus kehidupan. Semua kelebihan ini memungkinkan manusia itu menjadi khalifah yang berkuasa di muka bumi sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Kepentingan umat manusia menjaga fitrah diri ini sememangnya mendapat perhatian serius daripada Rasulullah SAW dalam sabda Baginda iaitu:

Mafhumnya: “Setiap anak yang dilahirkan adalah berkeadaan fitrah( suci) tetapi ibubapa nyalah yang menentukan anak itu, Yahudi Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Ahmad)

.

Justeru, mimbar yang mulia ini ingin menyatakan berdasarkan kepada fitrah insani ini, maka menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam untuk bermuhasabah tentang hakikat diri sendiri, hubungan kita dengan manusia dan hubungan kita dengan Allah SWT kerana di kiri dan kanan kita ada dua malaikat yang senantiasa menulis setiap gerak geri dan perbuatan kita di dunia ini. Persoalan besar timbul di sini, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan bermuhasabah?

Muhasabah adalah perilaku menghitung dan memperelokkan diri yang terbentuk dalam jiwa seseorang dengan jujur dan ikhlas. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan agar tidak menjadi penghalang untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

.

Mengikut Ibnu Qudamah: “Pengertian muhasabah ialah melihat keadaan modal, keadaan keuntungan dan kerugian, agar dapat mengenalpasti sebarang penambahan dan pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara yang difardhukan, keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah maksiat.”

.

Ibnu Qayyim pula berkata: “Muhasabah ialah membezakan antara apa yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan melunaskan apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan kembali.”

.

Rasulullah SAW sendiri pernah memuji sikap muhasabah di dalam hadith Baginda yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Syadad bin Aus RA iaitu:

Bermaksud: “Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).” (Riwayat at-Tirmizi)

.

Mimbar ingin menyatakan bahawa sesiapa yang bermuhasabah tentang dirinya maka mereka tidak akan membiarkan ruang dan masa untuk melakukan perkara-perkara yang batil dan mungkar.

Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Mereka akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang dilakukannya terhadap Allah SWT kerana takutnya diri ini kepada kekuasaan-Nya.

Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan. Memetik kata-kata seorang ulama’ iaitu as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie yang pernah menyatakan di dalam kitabnya Burhan al-Muayyad  bahawa; “Daripada takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah SWT”.

Berkata Syeikh Ahmad Zarruq: “Lalai dari bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada sifat redha nafsu atau berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkannya menjadi pahlawan. Oleh itu lazimlah diri dengan senantiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah dengan apa yang betul tanpa bertolak ansur terhadap perkara-perkara yang salah.”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Di akhir tahun ini marilah kita mulai dengan menghisab diri samada tugas kita selama setahun sebelum ini atau tahun-tahun sebelumnya berada di landasan fitrah manusia sebagai hamba-Nya yang beriman atau kita masih berada di dalam lembah kemaksiatan dan noda semata-mata menurut hawa nafsu yang bersarang di jiwa.

.

Tariklah nafas kesedaran dan hitunglah segala perbuatan kita sepanjang tahun ini. Ingat-ingatlah kembali…bagaimanakah lisan dan tutur kata kita? Bagaimanakah perbuatan dan tindakan kita? Apakah yang kita tulis dan yang kita sebarkan di alam maya dan media sosial?Adakah segala yang kita lakukan itu mendatangkan kebaikan kepada agama Islam dan umatnya ataupun mendatangkan kehancuran?

.

Berhati-hati dan berwaspadalah wahai jemaah! kerana kadang kala perbuatan dan tindakan kita secara tidak disedari boleh meruntuhkan agama dan melemahkan umat Islam apatah lagi perbuatan yang didorong oleh emosi dan nafsu semata-mata. Maka, sebelum melakukan sesuatu tindakan, berfikirlah dahulu..apakah baik dan buruknya tindakan kita itu kepada agama Islam dan masa depan umatnya. Janganlah sesekali kita terperangkap dengan permainan musuh-musuh Islam. Ingat-ingatlah dan bermuhasabahlah!.

.

Rebutlah peluang dan masa yang diberikan Allah SWT kepada kita agar dapat dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang berfaedah serta amal soleh. Bukankah Allah SWT telah mengingatkan kita tentang penjagaan masa seperti di dalam surah al-Asr ayat 1-3 iaitu:

 بِسْمِ ٱللَّـهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

وَٱلْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَفِى خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ ﴿٣

Bermaksud: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Ketika ini sebahagian penduduk di negara kita diuji oleh Allah SWT dengan musibah banjir besar. Ada dari kalangan mereka yang terpaksa dipindahkan ke tempat penempatan banjir demi keselamatan dan ada di kalangan mereka yang kehilangan nyawa, keluarga, harta benda dan sebagainya. Sebenarnya inilah yang dikatakan musibah yang ditentukan oleh Allah SWT semata-mata untuk menguji hamba-Nya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 155:

 وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ ﴿١٥٥

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar”.

.

Di kesempatan ini, mimbar mengajak semua jemaah dan umat Islam sekalian untuk sama-sama berdoa agar semua mangsa yang terlibat berada dalam keadaan selamat dan sejahtera serta dijauhi dari pelbagai penyakit sebagaimana firman Allah SWT dari surah Hud ayat 44:

 وَقِيلَ يَـٰٓأَرْضُ ٱبْلَعِى مَآءَكِ وَيَـٰسَمَآءُ أَقْلِعِى وَغِيضَ ٱلْمَآءُ وَقُضِىَ ٱلْأَمْرُ وَٱسْتَوَتْ عَلَى ٱلْجُودِىِّۖ وَقِيلَ بُعْدًا لِّلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ ﴿٤٤

Maksudnya: “Dan difirmankan: Wahai bumi telanlah airmu, dan langit berhentilah dari hujanmu. Dan surutlah air, serta terlaksanalah perintah Allah. Dan bahtera itu berhenti di atas Gunung Judi, serta dikatakan bahawa kebinasaanlah bagi orang yang zalim.”

.

Di samping itu, sebagai rakyat Malaysia dan umat Islam yang prihatin terhadap mangsa-mangsa banjir, marilah sama-sama kita tolong menolong, bantu membantu dengan menghulurkan bantuan dalam bentuk tenaga, harta benda dan wang ringgit semaksima mungkin.

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ  فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Fitrah Insani”

(26 Disember 2014/ 4 Rabiul Awal 1436H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: