KJ :  Rasulullah SAW Teras Perpaduan Ummah

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

1 Khutbah Jumaat SQ-shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “Rasulullah SAW Teras Perpaduan Ummah”

.

 اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَآئِل

وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّـهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّـهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّـهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، إِتَّقُوا اللَّهَ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ لْمُتَّقُونَ

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan tuan sekalian, marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan bertambahnya keimanan dan ketaqwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Hari ini hari kedua tahun baru Masihi 2015 dan BERSEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASULULLAH  SAW PADA HARI ESOK 12 Rabiulawal 1436H, maka mimbar yang mulia akan membincangkan tajuk khutbah mengenai “RASULULLAH SAW TERAS PERPADUAN UMMAH”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Allah SWT menerusi para Nabi secara umumnya dan Rasulullah SAW secara khususnya telah menjelaskan kehendak-Nya kepada umat manusia bahawa Dia menyukai perpaduan dan membenci segala bentuk perpecahan. Dalam hal ini Allah SWT telah menjelaskan di dalam banyak ayat al-Quran antaranya di dalam surah Ali-Imran ayat 103:

  وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّـهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّـهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّـهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ﴿١٠٣

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”

.

Berdasarkan kepada maksud ayat ini dengan jelas menyeru umat manusia menjalani tanggungjawab menyatupadukan  ummah dan dilarang dari berpecah belah. Dengan kata lain Islam melarang sebarang perkara atau tindakan yang boleh membawa kepada perpecahan.

Justeru, sebagai umat Islam kita hendaklah bertindak pada dua perkara berikut demi untuk kebaikan ummah dan negara:

Pertama: Mengadakan usaha untuk mengukuhkan perpaduan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.

Kedua: Mengelakkan sebarang perkara atau tindakan yang boleh menjejas keharmonian dan kesejahteraan negara.

Ingatlah bahawa umat yang bersatu padu menghasilkan kejayaan yang luar biasa. Sebab itu apabila terdapat umat yang bersatupadu, maka kejayaan yang cemerlang akan dapat dicapai. Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 71:

 وَٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍۚ يَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّـهَ وَرَسُولَهُۥٓۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ ٱللَّـهُۗ إِنَّ ٱللَّـهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ﴿٧١

Maksudnya: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta ta’at kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Rasulullah SAW sebagai teras perpaduan ummah telah memberi contoh yang terbaik kepada kita. Baginda mengambil langkah mempersaudarakan umat Islam menerusi ikatan ukhuwwah sesama Islam. Kaum Aus dan Khazraj yang telah lama bersengketa berjaya didamaikan.

Rasulullah SAW memperteguhkan kewajipan memelihara hubungan persaudaraan yang menjana kepada perpaduan dan kesatuan ummah. Ini terbukti apabila Baginda ditanya oleh seorang sahabat sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Ayub al-Ansari dalam hadithnya yang bermaksud:

“..Ya!, Rasulullah SAW bersabda kepadaku, amal yang akan memasukkan aku ke dalam syurga. Maka sabda Rasulullah SAW: Engkau beribadah kepada Allah SWT dan tidak mensyirikkannya dengan sesuatu, mendirikan solat, membayar zakat dan menghubungkan persaudaraan.”

Baginda juga berupaya menukar gaya hidup masyarakat jahiliah daripada kufur kepada beriman, permusuhan kepada persaudaraan, kekejaman kepada kasih sayang, pemalas kepada bangsa yang rajin dan sebagainya.

.

Dalam misi menyebar Islam Rasulullah SAW telah mengikat umat Islam dengan erat melalui konsep akidah, kiblat yang satu, kitab yang satu, pemimpin yang satu. Keprihatinan Rasulullah SAW terhadap ummah dapat dilihat di saat akhir hidupnya, ketika saat kewafatan, Baginda masih berpesan dan menyeru kepada umatnya agar beriman kepada Allah SWT kerana Baginda merupakan seorang Nabi, Rasul, pemimpin yang sangat prihatin dan bertanggungjawab kepada ummah.

Namun, apa pula sikap ummah akhir zaman terhadap Baginda SAW, inilah persoalan yang perlu direnung bersama, kerana pada akhir-akhir ini ada segelintir dari kita yang sanggup mendustakan kenabian dan kerasulannya, mempertikaikan apa yang datang daripada Rasulullah SAW terutama hadith-hadith dan juga akhlak keperibadiannya, menghina dan mencerca dengan meletakkan nama Baginda SAW pada tapak kasut, selipar, pakaian harian, beg pakaian, perabut rumah seperti jubin lantai dan sebagainya.

Menafikan perundangan dan hukum hakam yang telah diputuskan secara qat’ie dalam al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW,  Bahkan ada yang sanggup menentang ajaran yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW.

Justeru, apakah pendustaan, penghinaan dan penentangan yang dilakukan oleh mereka yang tidak selesa dengan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW ini berlalu pergi sia sia begitu sahaja?.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Pada ketika dan saat ini sebahagian penduduk di negara kita mengalami bahkan mungkin sedang berhadapan dengan musibah banjir besar. Ada dari kalangan mereka yang terpaksa dipindahkan ke tempat penempatan banjir demi keselamatan dan ada di kalangan mereka yang kehilangan harta benda dan sebagainya. Sebenarnya inilah yang dikatakan musibah yang ditentukan oleh Allah SWT semata-mata untuk menguji hamba-Nya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 155:

 وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ ﴿١٥٥

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.”

.

Ibn Kathir di dalam tafsirnya menjelaskan: “bahawa ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah yang menimpanya dan mengakui bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah SWT. Allah SWT berkuasa melakukan apa saja ke atas hamba-Nya.”

Justeru, mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa, inilah masanya untuk kita sama-sama mengambil iktibar dan bermuhasabah diri dari setiap musibah dan bencana yang berlaku.

Yakinlah bahawa takdir Allah ini mengandungi banyak hikmah dan kebaikan. Di masa inilah kita boleh rasakan suburnya perpaduan, mekarnya nilai kemanusiaan, masyarakat saling bantu membantu dengan bekerjasama sama ada dari mangsa banjir, agensi kerajaan mahupun NGO’s.

Namun apa yang menyedihkan, ada pula pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja mengambil kesempatan menyebarkan berita-berita palsu samada melalui media sosial, SMS, whatsapps dan sebagainya demi kepentingan peribadi mereka.

Sepatutnya dalam situasi kesulitan dan kepayahan sebegini, mereka sewajarnya berdoa kepada Allah SWT dan memberi segala pertolongan yang termampu dalam pelbagai bentuk sama ada tenaga, kewangan dan sebagainya atas dasar perpaduan ummah. Ingatlah bahawa kekuasaan dan pertolongan Allah SWT sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar.

Firman Allah dalam Surah Ali- Imran ayat 160:

 إِن يَنصُرْكُمُ ٱللَّـهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا ٱلَّذِى يَنصُرُكُم مِّنۢ بَعْدِهِۦۗ وَعَلَى ٱللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ ﴿١٦٠

Maksudnya: “Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri.”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Sekali lagi, mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul SAW pada kali ini yang bertemakan: Perpaduan Nadi Tranformasi Negara, menyeru kepada sidang jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita bersama bersatu hati di bawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat untuk kemajuan demi agama, bangsa dan negara.

Marilah sama-sama kita menjaga amanah Allah SWT ini dengan rasa bertanggungjawab, beramanah, jujur bagi mengelak berlakunya kesan buruk terhadap kehidupan, ekonomi dan sosial negara.

.

Marilah kita melakukan tindakan berdasarkan prinsip-prinsip yang berasaskan kepada semangat perpaduan ummah dan bertimbang rasa dengan pihak lain. Janganlah pula kita terhasut dengan pemikiran yang jahat yang cuba untuk memecah-belahkan ummah dan menghuru harakan negara.

Ingatlah bahawa Rasulullah SAW adalah teras kepada perpaduan ummah. Kita memohon kepada Allah SWT agar dikekalkan kesinambungan nikmat keamanan di kalangan kita, dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan usaha membangunkan agama, bangsa dan negara.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Anfaal ayat 46:

 وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّـهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَـٰزَعُوا۟ فَتَفْشَلُوا۟ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْۖ وَٱصْبِرُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّـهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ﴿٤٦

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah kamu; sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar.”

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ  فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Rasulullah SAW Teras Perpaduan Ummah”

(2 Januari 2015/ 11 Rabiulawal 1436H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: