KJ : Tranformasi Diri

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Jumaat-shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “Tranformasi Diri”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَآئِل

فَإِذَا قَضَيْتُم مَّنَـٰسِكَكُمْ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّـهَ كَذِكْرِكُمْ ءَابَآءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا ۗ فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا وَمَا لَهُۥ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنْ خَلَـٰقٍ ﴿٢٠٠﴾ وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ ﴿٢٠١﴾ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ نَصِيبٌ مِّمَّا كَسَبُوا۟ ۚ وَٱللَّـهُ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ ﴿٢٠٢

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، إِتَّقُوا اللَّهَ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ لْمُتَّقُونَ

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “TRANFORMASI DIRI”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Transformasi atau perubahan merupakan satu aturan dalam hidup dan merupakan perkara yang amat penting apabila kita ingin mencapai sesuatu kemajuan dan kecemerlangan. Secara ringkasnya mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa transformasi merupakan satu penghijrahan, peralihan iaitu melakukan perubahan daripada satu keadaan kepada satu keadaan yang lebih baik.

Tanpa kita sedari, transformasi atau perubahan itu sendiri terjadi pada diri kita seperti umur dan keadaan tubuh badan kita. Seiring dengan perjalanan waktu, umur kita akan bertambah mengakibatkan keadaan fizikal kita juga berubah. Kita tidak berupaya menghentikan perubahan tersebut, tetapi apa yang kita dapat lakukan adalah bagaimana mengendalikan dan mempersiapkan diri sebelum sesuatu transformasi atau perubahan itu terjadi.

.

Oleh itu, pada bulan pertama tahun 2015M ini marilah bersama-sama kita melakukan satu tranformasi diri atau satu penghijrahan ke arah menjadi hamba Allah SWT yang beriman dengan melakukan amalan-amalan yang diperintahkan dan meninggalkan segala amalan yang bertentangan dengan ajaran agama.

Berdasarkan kepada matlamat hidup, maka Rasulullah SAW telah memberi satu pesanan kepada kita agar membina satu kehidupan bersandarkan kepada hari ini lebih baik dari semalam sebagaimana sabdanya:

Maksudnya: “Sesiapa yang dua harinya (hari ini dan kelmarin) sama maka ia tergolong dari kalangan yang rugi, dan sesiapa yang harinya lebih teruk dari hari sebelumnya maka ia tergolong orang-orang yang terlaknat”. (Riwayat al Baihaqi)

.

Namun untuk melakukan tranformasi kecemerlangan ini, ianya bukan dengan angan-angan semata-mata, tanpa disusuli kesungguhan yang jitu serta semangat yang waja.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabuut ayat 69:

 وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُوا۟ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ ٱللَّـهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ ﴿٦٩

Maksudnya: “Dan orang yang berusaha berjuang kepada agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya.”

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Dalam tranformasi diri ini, pakar motivasi telah menyarankan beberapa langkah proaktif untuk mencapai matlamat antaranya ialah dengan melaksanakan analisis SWOT (Strengths, Weakness, Opportunies, Threats). Persoalan besar timbul di sini apakah yang dimaksudkan dengan anlisis SWOT ini?.

Secara ringkasnya, mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa analisis SWOT untuk kita mengenal diri dari segi kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang akan dilalui sepanjang hidup ini. Penggunaan teknik SWOT boleh membantu mendedahkan peluang-peluang yang kita tidak dapat kesan dan ketahui sebelum ini.

Ia juga membantu mengenalpasti kekuatan, kelemahan diri dan seterusnya menggunakan kekuatan diri ke tahap maksima serta memperbaiki kelemahan yang ada. Kita boleh menguruskan dan menghapuskan ancaman yang mungkin sebaliknya menjejaskan keupayaan kita untuk maju ke hadapan.

Ingatlah bahawa Allah SWT telah memberi peringatan kepada kita tentang tranformasi diri ini sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Ra’d ayat 11:

 إِنَّ ٱللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا۟ مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّـهُ بِقَوْمٍ سُوٓءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥ ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ

 Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.”

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Mimbar menyeru kepada mereka yang ingin melaksanakan tranformasi diri menilai beberapa aspek penting antaranya:

Pertama: kemahuan yang tinggi yang tidak mampu digugat oleh sebarang kelemahan,

Kedua: Pengorbanan yang sebenar,

Ketiga: Memahami prinsip, meyakininya, menghormati, tidak melakukan kesilapan, tidak terseleweng, tidak berkompromi dan tidak terpengaruh dengan prinsip yang lain.

.

Mimbar ingin mengatakan bahawa tranformasi diri jika dihalakan kepada kebaikan akan membawa banyak keuntungan. Namun jika dihalakan kepada kejahatan, maka integriti dan akauntabiliti kita akan tercalar. Ingatlah pesan Rasulullah SAW tentang kesungguhan iblis yang sentiasa berprestasi cemerlang untuk menyesatkan manusia dalam sabdanya:

Mafhumnya: “Singgahsana iblis berada di lautan. Dari sana dia mengirim pasukannya untuk membuat fitnah (mengacau atau membawa bencana untuk) umat manusia. Maka siapa yang lebih besar membuat bencana, dialah yang lebih besar jasanya (terhormat) di kalangan mereka”. (Hadith riwayat Muslim)

.

Berdasarkan kepada pesanan Rasulullah SAW ini, maka mimbar yang mulia ingin berpesan sebagai umat Islam kita hendaklah berperanan sebagaimana berikut:

.

Pertama: Sebagai pemimpin perlulah meletakkan pengukuran kemantapan akidah, akhlak, ekonomi, sosial dan pembangunan negara selari dengan pemerkasaan rohani (spiritual) modal insan agar kegemilangan tamadun Islam terdahulu dapat diulangi. Segala unsur-unsur yang boleh menggugat keutuhan akidah, syariat dan akhlak umat Islam perlulah dibenteras dengan sebaik mungkin.

.

Kedua: Sebagai ibu bapa kita perlu meletakkan keharmonian rumahtangga sebagai satu matlamat. Rumahtangga ibarat ‘syurga’ iaitu tempat yang penuh dengan ketenangan, kenikmatan dan kebahagiaan .Segala budaya yang merosakkan ahli-ahli keluarga seperti gejala rosak akhlak dan budaya memuja maksiat hendaklah dihindarkan.

.

Ketiga: Sebagai individu muslim kita perlu meletakkan indeks peningkatan jati diri muslim yang berkualiti, berpotensi besar, profesional, berdaya tahan dan sentiasa menuju ke arah kemajuan agama dan ummah.

.

Mimbar yang mulia ini ingin mengingatkan bahawa dalam dunia globalisasi, umat Islam boleh diperangi atau dibinasakan dengan pelbagai cara, antaranya ialah dengan penyelewengan akidah dan syariat, pemalsuan fakta, pencemaran akhlak dan budaya samada yang dibawa dari barat ataupun timur. Pencemaran akhlak dan budaya dengan memuja budaya popular ini disebarkan melalui media massa, internet, buku dan majalah selain melalui propaganda dan ideologi.

.

Pada hari ini dalam suasana keperitan dan kehibaan saudara-saudara kita di beberapa negeri yang ditimpa musibah banjir, kita dikejutkan dengan aksi dan penglibatan segelintir remaja masa kini dalam program-program hiburan yang melampaui batas dari nilai-nilai agama, yang didatangkan dari luar negara. Mereka begitu fanatik dan sanggup memuja bahkan memeluk idola pujaan mereka di khalayak ramai.

Kita mungkin tidak menyedari akan muslihat atau agenda yang dibawa oleh akhlak dan budaya di sebalik hiburan tersebut. Bagi mereka yang cetek pemikiran menganggap ianya sekadar hiburan semata-mata. Tetapi jika dikaji dengan mendalam, kita akan menemui jawapan di sebalik persoalan, apakah nilai, adab, budaya dan moral yang dibawa oleh mereka.

.

Oleh itu, mimbar ingin menyatakan bahawa inilah satu proses untuk melemahkan nilai dan jati diri umat Islam serta menghancurkan pegangan ajaran agama Islam yang sebenar. Kejadian yang berlaku ini merupakan satu perbuatan maksiat yang serius dan berbahaya kerana melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Justeru, di tangan kitalah letaknya tanggungjawab bagi memastikan nilai budaya Islam terpelihara dan terjaga dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran.

Kita perlu mengamalkan kaedah pengurusan krisis yang lebih cekap dengan bertindak menghapuskan masalah sebelum masalah itu merebak menjadi barah kepada masyarakat. Sewajarnya pihak- pihak tertentu yang mencipta hiburan tersebut mengkaji semula rancangan mereka agar ianya bersesuaian dengan corak kehidupan budaya Melayu Islam di negara kita.

Mimbar menyeru kepada umat Islam marilah sama-sama kita bertindak berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 41:

 ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَـٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ

 Bermaksud: “Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Bersempena dengan bulan pertama tahun baru ini, mimbar menyeru sidang Jumaat dan umat Islam sekalian marilah sama-sama kita melakukan tranformasi diri dengan membiasakan diri dengan amal perbuatan yang betul dan negatif yang selama ini menjadi rutin dalam kehidupan kita. Menilai kembali diri kita samada dari segi kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman.

Marilah sama-sama kita mengubah pemikiran kita ke arah yang lebih kreatif dan inovatif agar ianya selari dengan peredaran masa dan zaman. Jadikan perubahan diri kita sebagai asas untuk membina sebuah tamadun bangsa yang beretika dan bermaruah.

Tanamkanlah keyakinan diri sebagai pegangan hidup, dorongan sebagai teman setia, putus asa dianggap musuh durjana dan jadikanlah usaha dan tekun sebagai tangga kejayaan. Sematkan tekad dan keazaman kita pada tahun ini dalam jiwa dan minda agar ianya tidak sia-sia dan terbuang begitu sahaja.

.

Hidupkan budaya Islam dalam setiap saat dan nafas kehidupan kita, insyaAllah dengan cara ini kita akan menjadi satu umat yang berjaya di dunia dan akhirat. Kepada ibu-bapa, mimbar berpesan marilah sama-sama kita menjaga dan mendidik anak-anak dengan didikan agama, jauhilah mereka dari perkara-perkara yang lalai dan bermaksiat serta memantau setiap aktiviti yang mereka lakukan, budayakanlah kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang boleh memberi manafaat kepada diri mereka.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah at-Taubat ayat 111:

 إِنَّ ٱللَّـهَ ٱشْتَرَىٰ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلْجَنَّةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang yang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga.”

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ  فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Tranformasi Diri”

(16 Januari 2015/ 26 Rabiulawal 1436H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: