KJ : Menangani Ekonomi Ummah

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

1 Khutbah Jumaat SQ-shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “Menangani Ekonomi Ummah”

.

kj menjana ekonomi ummah

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabdian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala titah perintah-Nya yang terkandung di dalamnya sifat-sifat baik lagi terpuji dan meninggalkan segala larangan-Nya yang mempunyai sifat-sifat terkeji dan tercela. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah: “MENANGANI EKONOMI UMMAH”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Islam adalah satu cara hidup yang lengkap. Bagi melaksanakan cara hidup ini ianya memerlukan satu organisasi yang tersusun. Apa yang dimaksudkan dengan organisasi yang tersusun ini ialah adanya pemerintah yang berkuasa untuk mengatur urusan kehidupan rakyat agar ianya selari dengan ajaran yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab sebagai pemerintah untuk memastikan segala urusan sosial, politik dan ekonomi dalam negara dapat dilaksanakan dengan berkesan dengan menentukan segalanya berlaku secara adil dan setiap lapisan masyarakat mendapat hak yang masing-masing.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hasyr ayat 7:

 مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنْ أَهْلِ ٱلْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ كَىْ لَا يَكُونَ دُولَةًۢ بَيْنَ ٱلْأَغْنِيَآءِ مِنكُمْ ۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمْ عَنْهُ فَٱنتَهُوا۟ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ ﴿٧﴾

Bermaksud: “Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya dari harta penduduk negeri dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan Rasulullah, dan bagi kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin serta orang musafir. Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang kaya dari kalangan kamu.”

.

Berdasarkan kepada ayat ini jelas menunjukkan bagaimana pengiktirafan Allah SWT terhadap dasar yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di dalam peristiwa perang al-Fai’ bagi menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi antara kaum Ansar dan Muhajirin antaranya:

Pertama: Pembahagian harta secara saksama termasuklah kepada fakir miskin.

Kedua: Pelaburan kekayaan secara berterusan dengan pemberian kebun-kebun untuk diusahakan.

Ketiga: Pencapaian kemakmuran masyarakat yang menyeluruh.

Keempat: Ketelusan aktiviti ekonomi dan kewangan dan

Kelima: Pemilikan yang sah.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Pembangunan ekonomi menjadi agenda penting bagi kehidupan umat Islam kerana kukuhnya ekonomi sesuatu umat itu, akan menyebabkan ia dihormati dan disanjung. Oleh yang demikian kemajuan dan pertumbuhan ekonomi perlulah dilihat sebagai satu acuan yang berhubungkait dengan keperluan kehidupan yang lain, seperti keperluan peningkatan kerohanian dan keimanan.

Yakinlah bahawa agama Islam menyeru umatnya untuk meningkatkan taraf kehidupan ke arah yang lebih maju dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan pembangunan dari aspek keperibadian dan akhlak.

Mimbar percaya kesan daripada ekonomi yang diusahakan mengikut acuan syariah dan tadbir urus berdasarkan perundangan Allah SWT akan mendapat keberkatan dan limpahan rezeki dan kurniaan dari Allah SWT begitu juga sebaliknya sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ 30:

 نَّ رَبَّكَ يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقْدِرُ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرًۢا بَصِيرًا ﴿٣٠﴾

Bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmulah yang meluaskan rezeki bagi siapa yang Ia kehendaki, dan menyempitkannya. Sesungguhnya Ia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.”

.

Dalam hal ini, kesungguhan dan komitmen pemerintah untuk rakyat dan negara agar sentiasa maju dan terpelihara hendaklah dijadikan matlamat utama kerana negara yang makmur dan dirahmati itu nescaya Allah SWT akan sentiasa mengampuninya.

Menurut pandangan beberapa ulama’ bahawa negara yang dikatakan baik ialah negara yang sentiasa berada dalam keampunan, lindungan dan pertolongan Allah SWT dari sebarang bentuk ancaman dalaman mahupun luaran. Dengan itu, dilimpahkan kurnia rezeki oleh Allah SWT di mana kurniaan tersebut dapat dinikmati oleh rakyat secara adil dan saksama.

Rakyat juga akan sentiasa berada dalam keadaan aman, damai dan suasana penuh harmoni, hasil dari kerjasama antara pemerintah dan rakyat kerana masing-masing memikul tanggungjawab menjaga, membangun dan memakmurkan negara selari dengan ajaran Islam.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Sesungguhnya kita sedar bahawa perjalanan tahun 2014 yang lalu, merupakan tahun yang amat mencabar dan begitu menduga bagi kita dengan pelbagai tragedi, di akhir tahun umpamanya negara kita diuji dengan musibah banjir yang luar biasa.

Dalam ekonomi juga kita berhadapan dengan kejatuhan harga minyak dan kejatuhan nilai mata wang yang dipengaruhi oleh ekonomi global yang secara ironisnya memberi impak secara langsung dalam mengurangkan pendapatan negara.

Justeru sebagai pemerintah yang bertanggungjawab, maka beberapa strategi diperkenalkan antaranya MEMASTIKAN PERTUMBUHAN EKONOMI YANG SEIMBANG INKLUSIF DAN MAMPAN, MENERUSKAN FISCAL REFORM AND CONSOLIDATION DAN PENYEDIAAN BANTUAN KEPADA RAKYAT DAN KOMUNITI PERNIAGAAN SERTA MEMBINA SEMULA INFRASTRUKTUR YANG TERJEJAS AKIBAT BANJIR.

Justeru, dalam menangani ekonomi semasa ini, mimbar percaya ianya dilaksanakan berdasarkan sistem ekonomi Islam yang telah menggariskan etika dan peraturan yang perlu dipatuhi. Ekonomi Islam amat menitik berat soal keadilan dalam semua perkara, dengan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu.

.

Mimbar yang mulia ini menyeru sidang jumaat dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita berusaha membantu dalam menangani ekonomi semasa. Sebagai umat Islam yang beriman, kita perlulah melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab kita dengan penuh ketekunan agar ianya dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara.

Percayalah bahawa agama Islam menggalakkan umatnya bekerja bersungguh-sungguh untuk meningkatkan ekonomi sejajar dengan tuntutan agar berusaha meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukan dengan tekun(memperbaiki dan mempertingkatkannya).” (Riwayat al-Baihaqi)

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Sedarlah, sekiranya kita umat Islam ingin dilihat sebagai umat yang maju dan dihormati, maka kita harus bangkit dan berusaha untuk meningkatkan tahap ekonomi. Ini merupakan konsep “jihad” yang mesti dipegang oleh umat Islam. Sikap mengabaikan keperluan pengukuhan ekonomi akan melemahkan kedudukan ekonomi serta martabat umat Islam dan akibatnya memudahkan kita dieksploitasi dan dijajah oleh orang lain.

Mimbar juga menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, agar berbelanja mengikut keutamaan, kemampuan dan janganlah membazir serta kawal nafsu agar tidak berbelanja berlebihan dan sentiasa bersederhana dalam semua perkara. Mimbar menyeru marilah sama-sama kita menyokong segala usaha yang dilaksanakan demi kemakmuran dan kesejahteraan negara. Mimbar berkeyakinan bahawa pemerintah yang bertanggunjawab akan senantiasa memilih jalan terbaik demi masa depan negara untuk kesejahteraan rakyat secara berterusan.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Najm ayat 39-41:

 وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَـٰنِ إِلَّا مَا سَعَىٰ ﴿٣٩﴾ وَأَنَّ سَعْيَهُۥ سَوْفَ يُرَىٰ ﴿٤٠﴾ ثُمَّ يُجْزَىٰهُ ٱلْجَزَآءَ ٱلْأَوْفَىٰ ﴿٤١﴾

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada bagi seseorang melainkan apa yang diusahakannya.Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan kepada-Nya pada hari kiamat kelak. Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna”.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Menangani Ekonomi Ummah”

(30 Januari 2015 / 09 Rabiulakhir)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: