Allah SWT Menegur Perbuatan Rasulullah SAW

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

.

Dalam suatu riwayat, Allah سبحانه وتعالى telah menegur perbuatan Rasulullah ﷺ selepas Abdullah Ibn Ummi Maktum yang buta matanya datang kepada Rasulullah ﷺ. Pada ayat 1 hingga 2, Surah ke 80 / Surah ‘Abasa, Allah سبحانه وتعالى telah berfirman:

surah abasa; 1-2 SQ

.

Di zaman permulaan tersebut, Rasulullah ﷺ kerap mengadakan dialog dengan pemimpin-pemimpin Quraisy kerana mengharapkan mereka masuk Islam. Pada suatu hari baginda berhadapan dengan ‘Utbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah,’ Amr bin Hisyam (Abu Jahal), Umayyah bin Khalaf dan Al Walid bin Mughirah (ayah Saiyidina Khalid bin Al Walid). Rasulullah ﷺ berunding dan bertukar fikiran dengan mereka tentang Islam. Baginda sangat teringin agar mereka semua menerima dakwah dan menghentikan penganiayaan terhadap para sahabat baginda. Ketika Rasulullah ﷺ sedang bersungguh-sungguh menyampaikan dakwah, tiba-tiba Abdullah Ibnu Ummi Maktum datang meminta dibacakan kepadanya ayat-ayat Al-Quran.

Kata Abdullah, “Ya, Rasulullah! Ajarkanlah kepadaku ayat-ayat yang telah diajarkan Allah kepadamu!”

.

Dinyatakan bahawa firman Allah سبحانه وتعالى pada surah Abasa – 1 hingga 10, turun berkenaan dengan Ibnu Ummi Maktum yang buta yang datang kepada Rasulullah ﷺ sambil berkata: “Berilah petunjuk kepadaku ya Rasulullah.” Ketika itu Rasulullah ﷺ sedang berhadapan dengan para pembesar kaum musyrikin Quraisy, sehingga Rasulullah ﷺ berpaling daripadanya dan tetap menghadap kepada pembesar-pembesar Quraisy. Ummi Maktum berkata: “Apakah yang saya katakan ini mengganggu tuan?” Rasulullah ﷺ menjawab: “Tidak.” Ayat ini (S.80: 1-10) turun sebagai teguran atas perbuatan Rasulullah ﷺ.

(Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan al-Hakim yang bersumber dari ‘Aisyah. Diriwayatkan juga oleh Ibnu Ya’la yang bersumber dari Anas.)

.

Abdullah bukan tidak tahu dan melihat bahawa adanya tetamu besar bersama baginda Nabi tetapi jiwanya yang setiap hari merindui ayat-ayat al-Quran menjadikan raganya kehausan al-Quran dan ternanti-nanti ayat-ayat yang baru.

Rasulullah ﷺ mengelak dan tidak mempedulikan permintaan Abdullah kerana sangat sibuk bercakap malah berpaling lalu meneruskan pebicaraannya bersama para pemimpin Quraisy tersebut. Mudah-mudahan dengan Islamnya mereka, kedudukan Islam bertambah kuat dan syiar dakwah bertambah lancar.

.

Sebetulnya apa yang dilakukan Nabi Muhammad ﷺ itu mengikut orang biasa adalah perkara yang wajar. Ketika sedang bercakap di hadapan umum atau dengan orang yang dianggap penting, tentu kita tidak suka digangguan oleh orang lain. Namun bagi seseorang yang tarafnya Nabi, perkara itu tidak seharusnya berlaku. Oleh kerana itulah Allah سبحانه وتعالى menegurnya.

.

Selesai berbicara dengan mereka, Rasulullah ﷺ cuba hendak berlalu pulang, tetapi secara tiba-tiba penglihatan baginda gelap dan kepala baginda terasa sakit seperti terkena pukulan.

Lalu turunlah wahyu menegur baginda dengan firman-Nya. Jibril Al-Amin telah menyampaikan 10 ayat berhubung dengan peristiwa Abdullah ibn Ummi Maktum itu ke dalam hati Rasulullah ﷺ yang akan sentiasa dibaca sejak diturunkan sehingga ke hari akhir kelak.

.

Surah Abasa 1-10 .SQ

.

Sejak dari hari diwahyukan itu, Rasulullah ﷺ tidak lupa memberikan tempat yang mulia bagi Abdullah apabila dia datang. Dari jauh lagi Baginda ﷺ mengalu-alukan kehadiran Abdullah Ibn Ummi Maktum, “Telah datang sepupu isteriku yang kerananya turun wahyu menegurku.”

Rasulullah ﷺ mempersilakannya duduk di tempat duduk Baginda ﷺ dan bertanyakan keadaannya serta memenuhi segala keperluan Abdullah Ibn Ummi Maktum. Tidak hairanlah jika Baginda ﷺ memuliakan Ibnu Ummi Maktum sedemikian rupa, kerana teguran terus dari Allah سبحانه وتعالى itu sangat tegas.

.

Begitulah peribadi Rasulullah ﷺ apabila bersalah, mengaku bersalah dan terus mengubahnya tanpa bertangguh. Rasulullah ﷺ diberi peringatan oleh Allah سبحانه وتعالى bahawa Ibn Maktum ini lebih besar harapannya dan jiwanya lebih subur meningkat menjadi seorang yang suci dan bersih qolbunya.

Meskipun buta matanya, kalau jiwa bersih, kebutaan bukan beban dan tidak juga menghambat peningkatan iman seseorang. Manakala mereka yang termasuk dalam golongan yang telah merasa cukup, pintar dan tidak perlu ditunjuk jalan serta berasa diri lebih kaya, golongan ini bukanlah keutamaan untuk diberikan perhatian.

.

Rasulullah ﷺ tidak sanggup menyembunyikan wahyu. Sebagai seorang yang ‘Tabligh’ (menyampaikan), walaupun ayat itu menegur dan menyindirnya, Nabi Muhammad ﷺ tetap menyampaikannya kepada kita. Tidak mungkin Nabi itu ‘Kitman’ atau menyembunyikan wahyu! Itulah sifat seorang Nabi.

.

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

.

Artikel Berkaitan:

Sifat Wajib, Mustahil Dan Jaiz Bagi Para Nabi Dan Rasul  (Klik Di Sini)

Lahirnya Rahmat Seluruh Alam  (Klik Di Sini)

Cara Rasulullah Mengawal Kemarahan  (Klik Di Sini)

.

.

~ shafiqolbu ~

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: