KJ : Syariah Asas Kemakmuran Negara

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

1 Khutbah Jumaat SQ-shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “Syariah Asas Kemakmuran Negara”

 

. 

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الذِّي جَعَلَ الاِتِّحَادَ وَالاِعْتِصَامَ تَقْوِيَةً لِلأُمَّةِ الإِسْلاَمِيَّةِ وَحَثَّنَا عَلَى اتِّصَافِهِ فِى كُلِّ زَمَانٍ وَمَكَانٍ، وَحَرَّمَ التَّفْرِقَةَ وَالاِخْتِلاَفَ بَيْنَنَا

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ دَعَا إِلَى سُنَّتِهِ

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوا اللهَ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,

.

Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, marilah kita sama-sama berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT iaitu dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Inilah yang membuktikan kita mentaati perintah Allah, mengutamakan ajaran al-Quran dan al-sunnah, mudah-mudahan diri kita lebih dekat dengan Allah dan seterusnya kita memperolehi keberkatan hidup yang berkekalan di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: “SYARIAH ASAS KEMAKMURAN NEGARA”.

.

.

Muslimin yang Dikasihi Sekalian,

.

Kemakmuran negara dan kesejahteraan ummah samada di dunia dan akhirat adalah menjadi impian kita semua. Justeru, bagi mencapai matlamat ini, mimbar yang mulia ingin menegaskan bahawa, agama Islam telah menyusun satu sistem yang lengkap untuk dipatuhi oleh setiap manusia yang dinamakan syariah. Apakah yang dimaksudkan dengan syariah?.

Menurut seorang ulama terkenal Syeikh Mahmud Syalthut bahawa syariah ialah peraturan dan hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT untuk dipatuhi oleh manusia dalam menguruskan hubungannya dengan Allah SWT dan sesama manusia serta seluruh alam. Menurut Imam al-Syatibi bahawa Allah SWT telah menetapkan syariah ini dengan mengambil kira segala bentuk kebaikan.

Apa yang kita perlu renungkan ialah segala bentuk kebaikan itu merupakan anugerah dan amanah daripada Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 29:

 هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ لَكُم مَّا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ ٱسْتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ فَسَوَّىٰهُنَّ سَبْعَ سَمَـٰوَ‌ٰتٍ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Dialah yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju ke arah langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

.

Mimbar yang mulia ingin menyatakan bahawa syariah sebagai asas kepada kemakmuran negara yang berteraskan kepada maqasid al-Syariah. Secara ringkasnya Maqasid al-Syariah ialah melakukan kebaikan bertujuan untuk menjaga tatasusila, kepentingan dan sistem hidup.

Menurut Sheikh Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur: Maqasid  al-syariah ialah makna dan hikmah yang menjadi perhatian syarak dalam semua keadaan pensyariatan atau dalam sebahagian besar pensyariatannya.

Dr.Yusuf al-‘Alim menyatakan: Maqasid al-syariah ialah kebaikan yang kembali kepada hamba di dunia atau akhirat samada dengan cara mendatangkan kebaikan atau menjauhkan kemudaratan.

.

Dalam hal ini Imam Ibn Taimiyah pernah menyebut bahawa: Maqasid yang wajib bagi pemerintah ialah memastikan kebaikan agama bagi manusia, jika hilang agama, mereka akan menjadi orang yang sangat rugi dan nikmat dunia yang diperolehi tidak akan memberi manafaat kepadanya.

Fakta ini disokong oleh Imam al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniah bahawa: Pelantikan pemerintah disyariatkan bertujuan menggantikan tugas kenabian dalam menjaga agama dan mentadbir dunia.

Manakala menurut Imam al-Ghazali bahawa lima maslahah utama  yang perlu dipelihara dalam maksud syariah iaitu; agama, nyawa, akal, keturunan dan harta

Allah SWT memberi peringatan yang jelas tentang hal ini di dalam surah al-Haj ayat 41:

 ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَو‌ٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَو‌ٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ

Maksudnya: “Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

.

.

Muslimin yang Dikasihi Sekalian,

.

Berdasarkan kepada tanggungjawab ini, maka menjadi suatu amanah kepada pemerintah untuk menjaga segala kepentingan-kepentingan yang berkaitan dengan kehidupan dunia dan agama seperti keamanan negara, keselamatan nyawa dan harta benda, kebajikan rakyat, keselamatan akidah serta kemudahan menunaikan perintah agama. Kesemua inilah diusahakan oleh pemerintah berdasarkan kepada pengenalan indeks syariah.

Secara ringkasnya matlamat indeks Syariah ini ialah untuk melaksanakan sesuatu tugas atau perkhidmatan dengan benar dan patuh kepada peraturan serta hukum yang telah digariskan Allah SWT, dalam rangka menjalankan praktik untuk menyokong sasaran pengembangan nilai-nilai syariah Islam, pengaturan dan penerapan prinsip syariah secara efektif, termasuk harmonisasi pengawasan aspek kepatuhan dan kehati-hatian dengan prinsip syariah.

Memandangkan betapa penting dan asasnya pencapaian maqasid maka pengukuran pencapaiannya perlu didasari oleh  tingkah laku serta persepsi tiga komponen yang berkaitan dalam sesebuah negara iaitu; pertama: pihak pemerintah (pembuat dasar), kedua: agensi-agensi pelaksana (pelaksana dasar) dan ketiga: masyarakat secara keseluruhannya menjurus ke arah pencapaian maqasid.

.

.

Muslimin yang Dikasihi Sekalian,

.

Sebagai umat Islam kita perlu sedar bahawa syariah Islam yang diturunkan oleh Allah SWT adalah asas kepada kemakmuran negara. Syariah Islam bertujuan untuk mengatur dan mengawal kehidupan manusia supaya bebas dari sebarang unsur-unsur kemungkaran dan jenayah yang boleh membawa kepada kemusnahan.

Oleh itu, dalam syariah Islam kedudukan manusia sama sahaja, perbezaan warna kulit, pangkat dan darjat tidaklah mempunyai apa-apa keistemewaan, yang salah tetap salah, begitu juga yang benar tetap benar, kerana ianya berpaksikan kepada keadilan yang nyata.

Ketahuilah bahawa syariah itulah sebenarnya agama, yang meliputi hukum-hakam yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Menegakkan, melaksanakan dan berusaha ke arahnya adalah tanggungjawab kita semua, bukan hanya tertanggung ke atas pihak tertentu sahaja.

Justeru, sebagai umat Islam kita wajib mendokong tanpa berbelah bagi segala usaha bagi meletakkan syariah Islam sebagai asas kemakmuran negara. Sebagai umat Islam kita juga dituntut untuk mengenali agenda penghakis kedaulatan agama Islam dengan mengenali unsur-unsur yang cuba menghakis kesucian agama Islam dan sebagainya.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW di dalam sabdanya:

 مَا مِنْ أَمِيْرٍ يَلِى أَمْرَ الْمُسْلِمِيْنَ ثُمَّ لاَ يَجْهَدُ لَهُمْ وَيَنْصَحُ اِلاَّ لَمْ يَدْخُلْ مَعَهُمُ الْجَنَّةَ

Mafhumnya: “Mana-mana pemimpin yang menguruskan urusan umat Islam sedangkan ia tidak mengambil berat dan tidak mempedulikan mereka nescaya ia tidak akan masuk syurga bersama mereka.” (Riwayat Muslim)

.

.

Muslimin yang Dikasihi Sekalian,

.

Marilah sama-sama kita sekalian memperteguhkan keimanan kepada Allah, SWT memperbanyakkan amal kebajikan, menjalankan tugas dengan jujur, menjauhi segala perbuatan berdosa dan maksiat. Kita doakan juga agar negara kita ini dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, dijauhkan dari segala perbuatan melampau yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran.

Suburkan perasaan perpaduan di antara rakyat yang berbilang kaum, eratkan hubungan silaturrahim sesama kita, semoga dengan perasaan mahabbah berterusan dalam kehidupan harian kita, mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa aman damai, menikmati keadilan, kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman.

Percayalah bahawa tanggungjawab memakmurkan  negara bukan hanya terletak pada pemerintah semata-mata tetapi perlu penglibatan semua pihak lebih-lebih lagi golongan ulama’ yang semestinya memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat. Inilah kunci utama pembangunan ummah yang menjadi prinsip asas kejayaan generasi sahabat dalam menegakkan syariat Islam.

.

.

Muslimin yang Dikasihi Sekalian,

.

Pada hari ini, mimbar juga mengambil kesempatan bersempena dengan HARI ULANG TAHUN MARITIM MALAYSIA KE 10 PADA TAHUN INI, menyeru sidang Jumaat dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita menghargai peranan dan sumbangan Pasukan Maritim kita di dalam menjaga keselamatan negara terutamanya di kawasan perairan negara.

Mudah- mudahan segala gerak kerja pasukan Maritim ini mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Allah SWT. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 71:

 وَٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَو‌ٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَو‌ٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ ٱللَّهُ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta ta’at kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

.

.

. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Syariah Asas Kemakmuran Negara”

(20 Februari 2015 / 1 Jamadilawwal 1436H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: