KJ : Tanggungjawab Memakmurkan Negara

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

1 Khutbah Jumaat SQ-shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “Tanggungjawab Memakmurkan Negara”

 

. 

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل

مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنْ أَهْلِ ٱلْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ كَىْ لَا يَكُونَ دُولَةًۢ بَيْنَ ٱلْأَغْنِيَآءِ مِنكُمْ

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,

.

Pada hari Jumaat yang penuh keberkatan dan di dalam masjid yang suci ini, saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan ketaqwaan itu membawa kita hidup berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk: “TANGGUNGJAWAB MEMAKMURKAN NEGARA”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Syariat Islam memelihara persoalan kewangan, sama ada di peringkat individu atau masyarakat umum. Islam memberi garis panduan pengurusan harta yang bijak bagi memastikan keadilan terlaksana semasa proses memperoleh harta dan juga agihannya.

Justeru, sesebuah negara pada lazimnya mempunyai sumber kekayaannya sendiri seperti bijih timah, petroleum, perhutanan, pertanian dan sebagainya bagi membiayai pembangunan negara dan menjaga kebajikan rakyat.

Menurut Laporan Kementerian Kewangan Malaysia, Bajet Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2014 memerlukan RM 262.151 bilion dana untuk perbelanjaan menguruskan negara, membiayai semua projek pembangunan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat.

.

Oleh yang demikian, salah satu sumber yang telah diamalkan hampir seluruh negara di dunia hingga ke hari ini ialah melalui konsep percukaian. Percukaian dalam pelbagai bentuk yang dirasakan sesuai akan dikenakan kepada rakyat jelata demi kepentingan mereka.

Justeru, berdasarkan kepada hukum Islam dan selari dengan prinsip siasah syariyyah, sesebuah negara mempunyai hak mewujudkan dasar cukai tertentu bagi menampung keperluan negara dan maslahah rakyat. Bagaimana pun dasar cukai itu hendaklah tidak membebankan rakyat jelata.

Imam Abu Yusuf seorang ulama yang mahir dalam selok belok percukaian Islam menyatakan sesebuah negara boleh menaik atau menurunkan kadar cukai mengikut kemampuan rakyat. Pandangan Imam Abu Yusuf ini amat tepat kerana untuk  mewujudkan dasar percukaian baru perlu dibuat kajian teliti supaya tidak membebankan rakyat dan pengguna terutama golongan dhaif dan miskin.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 177

  لَّيْسَ ٱلْبِرَّ أَن تُوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ ٱلْمَشْرِقِ وَٱلْمَغْرِبِ وَلَـٰكِنَّ ٱلْبِرَّ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ وَٱلْكِتَـٰبِ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ وَءَاتَى ٱلْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآئِلِينَ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَو‌ٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَو‌ٰةَ وَٱلْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَـٰهَدُوا۟ ۖ وَٱلصَّـٰبِرِينَ فِى ٱلْبَأْسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَحِينَ ٱلْبَأْسِ ۗ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُوا۟ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُتَّقُونَ ﴿١٧٧﴾

Maksudnya: “Bukanlah suatu kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke Timur dan Barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, segala malaikat, segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermakan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, orang yang musafir, orang yang meminta-minta, orang yang memerdekakan hamba abdi; orang mendirikan sembahyang, serta mengeluarkan zakat, dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan kesakitan, dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar; dan mereka itulah juga orang yang bertaqwa.”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Salah satu cukai yang diwajibkan pemerintah kepada rakyat jelata ialah cukai pendapatan. Mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, mereka yang mempunyai pendapatan di Malaysia wajib mengisytiharkan pendapatan sama ada yang diperoleh melalui sektor awam atau swasta.

Menurut sumber dari LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI, cukai pendapatan dijangka menyumbangkan lebih 50% daripada keperluan dana. Melalui angka ini jelas menunjukkan betapa kutipan cukai pendapatan sangat signifikan dan amat penting dalam membantu negara terus pesat membangun dan maju.

.

Dalam hal ini, setiap ringgit hasil yang dikutip melalui cukai pendapatan akan dibelanjakan oleh pemerintah bagi meningkatkan kemakmuran rakyat dalam bentuk pendidikan yang baik, penjagaan kesihatan berkualiti, sistem pengangkutan yang cekap, pertahanan negara yang ampuh, infrastruktur terbaik kepada rakyat dan pelbagai lagi pakej pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.

Sekiranya cukai dijelaskan, sudah pasti hasil pungutan itu dapat diagih dan digunakan untuk menyedia pelbagai keperluan asas kepada seluruh warganegara. Selain itu, hasil cukai juga boleh membantu golongan yang ditimpa bencana seperti banjir, ribut taufan, gempa bumi, tanah runtuh dan juga sebagai keperluan jihad di jalan Allah SWT.

.

Oleh itu, mimbar yang mulia menyeru sidang jumaat dan umat Islam sekalian untuk menunaikan tanggungjawab ini dan tidak melengah-lengahkan. Bayangkan berapa banyak pihak pemerintah kehilangan pendapatan akibat daripada budaya melengah-lengahkan dan tidak membayar cukai.

Kesan buruknya banyak projek pembangunan yang dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan sewajarnya. Adalah menjadi tanggungjawab semua warganegara berusaha membayar cukai bagi membantu meningkatkan kesejahteraan negara dan masyarakat. Ketahuilah bahawa tidak membayar cukai adalah satu bentuk hutang dan yang mesti dijelaskan.

Sikap suka berhutang boleh mendatangkan kesan buruk kepada individu, masyarakat dan pemerintah. Rakyat akan berada dalam kesulitan dan pertumbuhan ekonomi negara akan merosot disebabkan golongan yang cuai membayar hutang. Mereka yang berhutang tidak diampuni dosanya oleh Allah SWT.

Ini selari dengan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang menegaskan:

Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan segala dosa orang yang mati syahid (di jalan Allah) kecuali (dosa yang melibatkan) hutang piutangnya.”

.

Mimbar yang mulia ingin menyatakan bahawa pada dasarnya isu hutang berkait rapat dengan sikap amanah dan kebijaksanaan kita menguruskan perbelanjaan. Sifat amanah dilihat sebagai satu kontrak yang membuktikan semangat tolong menolong, kasih sayang dan ketinggian iman seseorang membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 283:

 فَإِنْ أَمِنَ بَعْضُكُم بَعْضًا فَلْيُؤَدِّ ٱلَّذِى ٱؤْتُمِنَ أَمَـٰنَتَهُۥ وَلْيَتَّقِ ٱللَّهَ رَبَّهُۥ

Maksudnya: “Kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya.”

 .

Oleh itu, Islam telah menetapkan bahawa setiap individu muslim wajib melaksanakan amanah, bersifat jujur dan bijak dalam menguruskan perbelanjaan keluarga agar kita berkeupayaan menunaikan tanggungjawab masing-masing seperti berzakat dan membayar hutang. Kebijaksanaan kita menunaikan tanggungjawab ini adalah sifat terpuji, mulia dan simbul orang yang beriman.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Mimbar ingin menyatakan bahawa persoalan cukai merupakan isu ketamadunan yang melibatkan kepentingan individu dan umum. Justeru, mimbar yang mulia ini menyeru kepada semua pihak untuk sama-sama kita berusaha dengan memberi kerjasama secara serius dan teratur dalam melaksanakan tanggungjawab membayar cukai pendapatan.

Ingatlah wahai umat Islam sekalian bahawa tanggungjawab membayar cukai adalah sebahagian daripada agenda memperkasa ekonomi ummah. Justeru, inilah masanya untuk kita saling menyokong dan membantu bagi menguatkan ekonomi ummah.

Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat pemerintah untuk melahirkan sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi. Janganlah kita melengah-lengahkan tuntutan ini kerana ianya akan mengganggu pengurusan ekonomi negara.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Lail ayat 8-10:

 وَأَمَّا مَنۢ بَخِلَ وَٱسْتَغْنَىٰ ﴿٨﴾ وَكَذَّبَ بِٱلْحُسْنَىٰ ﴿٩﴾ فَسَنُيَسِّرُهُۥ لِلْعُسْرَىٰ ﴿١٠﴾

Maksudnya: “Dan orang yang bakhil dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya. Serta ia mendustakan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapatkan kesusahan dan kesengsaraan.”

.

.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Tanggungjawab Memakmurkan Negara”

(6 Mac 2015/ 15 Jamadilawwal 1436H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: