KJ : Iman Nan Rapuh

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

khutbah.

Khutbah Jumaat: “Iman Nan Rapuh”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ ٱلرَّحْمَـٰنِ نُقَيِّضْ لَهُۥ شَيْطَـٰنًا فَهُوَ لَهُۥ قَرِينٌ ﴿٣٦﴾ وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ ٱلسَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُم مُّهْتَدُونَ ﴿٣٧﴾

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

.

.

Para tetamu Allah yang diberkati,

.

Pernahkah kita merenung ke dalam diri, menyelami serta mengenali dengan lebih mendalam, di mana kedudukan iman dan taqwa yang bersemi di lubuk hati? Adakah ia begemerlapan bak permata atau rapuh bak kayu yang sudah dimamah usia? Pedulilah keadaan iman dan taqwa yang mendiami dalam hati kita dengan mematuhi setiap perintah Pencipta kita dalam soal suruhan mahupun larangan. Marilah kita hayati dengan teliti khutbah bertajuk; “Iman Nan Rapuh” yang akan disampaikan ini. Mudah- mudahan ia bermanfaat bagi kita yang beriman dalam mencari erti taqwa dalam kehidupan.

.

.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

.

Apabila Iblis dikeluarkan daripada syurga disebabkan kederhakaannya, lantas dia meminta kepada Allah SWT agar dapat hidup lebih lama dengan tujuan untuk menyesatkan manusia. Permintaan tersebut diterima Allah. Bertitik tolak disinilah bermulanya episod cabaran Iblis bagi manusia sebagaimana yang tercatat dalam Surah Al-A’raf ayat 14-17 :

 قَالَ أَنظِرْنِىٓ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ ﴿١٤﴾ قَالَ إِنَّكَ مِنَ ٱلْمُنظَرِينَ ﴿١٥﴾ قَالَ فَبِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَ‌ٰطَكَ ٱلْمُسْتَقِيمَ ﴿١٦﴾ ثُمَّ لَءَاتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَـٰنِهِمْ وَعَن شَمَآئِلِهِمْ ۖ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَـٰكِرِينَ ﴿١٧﴾

Bermaksud : Iblis menjawab: “Beri tangguhlah saya sampai waktu mereka dibangkitkan.” Allah berfirman: “Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh.” Iblis menjawab: “Karena Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).”

.

Adakah kita sedar bahawa Iblis telah mencabar kita dengan cabaran yang keras ini? Adakah kita rela untuk tunduk kepada cabarannya lalu berada di bawah panji serta naungannya? Sekiranya jawapan kita adalah ‘tidak’, mengapa kita terus melaksanakan hasutan dan mengikuti tipu dayanya? Demi iman dan taqwa kepada Allah SWT, jangan sesekali kita mengalah dengan cabaran ini.

Perkukuhkan iman dengan petunjuk dan hidayah Allah SWT yang terkandung di dalam al-Quran, kerana ia benteng hati kita. Sebaliknya, mereka yang menjauhkan diri daripada petunjuk inilah yang bakal tewas dan ditawan oleh Iblis. Allah SWT memberi petunjuk ini melalui Surah Az-Zukhruf, ayat 36-37 sebagaimana yang dibacakan pada permulaan khutbah tadi yang bermaksud :

 وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ ٱلرَّحْمَـٰنِ نُقَيِّضْ لَهُۥ شَيْطَـٰنًا فَهُوَ لَهُۥ قَرِينٌ ﴿٣٦﴾ وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ ٱلسَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُم مُّهْتَدُونَ ﴿٣٧﴾

“Sesiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk.”

.

Oleh itu, sedarlah wahai kaum Muslimin sekalian, hendaklah kita sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan sedar selepas ditimpa kealpaan. Jangan terus leka dan hanyut di bawah kesesatan Iblis. Segeralah kembali mendapatkan keampunan Allah SWT dan putuskan hubungan kita dengan Iblis yang durjana.

.

.

Kaum Muslimin yang dikasihi,

.

Cabaran kedua terbesar kepada umat Islam ialah serangan pemikiran yang menguasai segenap kehidupan. Barat telah melaungkan sekularisme yang memenjarakan agama di dalam rumah-rumah ibadah serta menafikan agama sebagai jalan memajukan serta meninggikan sesebuah tamadun.

Laungan kapitalisme atau penindasan melampau tersebar dalam ekonomi. Liberalisme atau keterbukaan melampau dalam urusan dunia telah meminggirkan syariat dan petunjuk Ilahi. Pluralisme pula menyamakan kedudukan semua agama sedangkan Islam itu di atas dan tiada yang dapat mengatasinya.

Manakala slogan-slogan sosialisme menipu orang bawahan dengan menyatakan pentadbiran adalah hak mereka sedangkan Islam mengiktiraf seseorang khalifah atau pemimpin dalam urusan mentadbir. Manakala, hedonisme atau budaya hiburan melampau telah memamah akhlak anak-anak muda dan merapuhkan hati mereka.

Ini merupakan sebahagian daripada ratusan senjata kaum musyrikin yang telah berjaya membunuh keimanan kaum muslimin sehingga menjadikan mereka lemah dan rebah dalam menelusuri arus komodenan ini. Teori serta praktikal yang diperkenalkan oleh Musyrikin tersebut sedikit demi sedikit memadamkan nilai-nilai Islam, dasar-dasar serta pengamalannya di kalangan Umat Islam sendiri.

Betapa sedihnya melihat tipuan ini telah menguasai kelompok besar dikalangan Umat Islam kini hingga menyebabkan cahaya Islam kian malap. Sudah pasti dasar-dasar musyrikin tidak mampu untuk menerangi kita semula kerana ianya asal daripada sisi-sisi pemikiran gelap mereka.

.

Justeru, mimbar menyeru agar kaum Muslimin semua berpegang kepada tiga perkara yang mesti kita lakukan sebaik mungkin dalam mengembalikan cahaya Islam di dalam hati yang kian rapuh ini.

Pertama: Bentengi diri dengan ilmu pengetahuan. Ketahui dan imanilah bahawa sistem Islam merupakan satu-satunya jalan hidup yang diredhai di sisi Allah SWT. Allah SWT telah menghiasi Islam dengan keindahan-keindahan unggul yang bersifat Rabbaniah (ketuhanan), syumuliyah (lengkap), alamiah (merentas sempadan bangsa, masa dan tempat) serta thabat wa murunah (tetap pada dasar dan anjal pada cabangnya / tidak jumud).

Umat Islam juga perlu berwaspada dengan serangan serta senjata musuh terutamanya tipudaya iblis, bisikan nafsu ammarah dan serangan pemikiran yang dilancarkan bertubi-tubi terhadap mereka. Ingatlah, musuh-musuh Islam sedaya upaya akan mengalihkan pandangan dan perhatian Umat Islam daripada mengikuti seluruh sistem Islam kepada mengamalkan sistem anjuran syaitan dan nafsu. Mereka berusaha menimbulkan keraguan-keraguan tentang keunggulan sistem Islam. Justeru, jangan terpedaya dengan slogan-slogan mereka yang nampak seperti haq tetapi sebenarnya batil di sisi Allah SWT. Ketahuilah, haq dan batil adalah ketetapan Allah SWT, bukan ketetapan manusia.

.

Kedua: Bentengi diri dengan akidah. Yakinlah bahawa Islam adalah agama yang benar dan kekal. Islam adalah satu-satunya agama yang mampu berdepan dengan berbagai arus perubahan kehidupan. Islam adalah ubat yang menyembuhkan segala penyakit dan kecederaan yang dihidapi oleh manusia di setiap tempat dan zaman.

Syeikh Fathi Yakan di dalam karyanya Maza Ya’ni Intimaie Lil Islam menaqalkan keimanan kamu terhadap Islam mestilah mencapai peringkat meyakini masa depan yang gemilang adalah untuk Islam. Sebagai suatu agama yang Allah SWT turunkan, Islam lebih layak dan lebih mampu untuk menyusun urusan hidup dan memimpin manusia. Islam adalah satu-satunya manhaj tunggal yang sesuai dengan tuntutan fitrah dan agama yang menyelaraskan antara tuntutan rohani dan jasmani manusia. Justeru, kenali dan pelajari Islam dari segenap sudut ajarannya hingga kita sampai kepada peringkat keyakinan tersebut.

.

Ketiga: Bekerjasama dengan para daie dan ulama. Ya, tidak wajar kita mengasingkan diri daripada masyarakat tanpa memperdulikan permasalahan umat Islam. Bahkan kita berperanan besar dalam menyebarkan risalah Islam. Bersungguh-sungguhlah menentang segala agenda musuh Islam dan beristiqamah dalam bekerja untuk menegakkan hukum Allah di atas muka bumi. Berdasarkan kepada kesedaran inilah, kita hendaklah bergabung untuk menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat sekeliling kita serta memberi amaran secara menyeluruh terhadap segala perancangan jahat yang dilakukan oleh musuh Islam terhadap Islam.

.

.

Saudara-saudaraku yang dirahmati Allah,

.

Di zaman yang penuh dengan keruntuhan akhlak ini, ramai umat Islam yang terkena tempiasnya. Terdapat dikalangan umat Islam, tanpa segan silu menggadaikan maruah serta mengotori hati mereka dengan akhlak-akhlak yang buruk. Mereka tewas dengan godaan dunia dan kelazatan nafsu.

Mereka inilah golongan seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abi Sa’id RA :

Bermaksud : “Umat Islam akan mengikuti suatu kelompok sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan apabila mereka masuk ke dalam lubang biawak pun umat Islam tetap mengikutinya.” Para sahabat bertanya : adakah mereka itu yahudi dan nasrani?” Balas baginda SAW : “Siapa lagi kalau bukan mereka.”

.

Bagi kaum Muslimin yang memiliki benteng akidah rabbaniah dan pegangan yang teguh terhadap dasar-dasar Islam serta bergabung dengan jemaah muslimin, pada kebiasaannya dia akan berada di dalam kehidupan yang baik, soleh dan teguh di atas jalan yang lurus. Dia tidak dihanyutkan oleh fitnah, tidak ditawan oleh godaan dan tidak akan dirosakkan oleh syaitan. Sebaliknya, bagi mereka yang terlucut daripada ikatan akidah, memandang remeh terhadap perlaksanaan syariah dan terbiar daripada jemaah muslimin, maka pada kebiasaannya dia akan tergelincir ke dalam gelora fitnah.

.

.

Para tetamu Allah yang diberkati,

.

Kesimpulan dan pengajaran yang dapat kita petik daripada khutbah pada hari ini ialah :

Pertama : Umat Islam sedang menghadapi cabaran-cabaran yang besar pihak daripada pihak musuh.

 

Kedua : Bentengi hati dengan ilmu pengetahuan, aqidah dan keimanan yang mantap, serta melaksanakan kerja dakwah secara berterusan.

 

Ketiga : Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT agar ditetapkan hati di atas jalan agama serta sentiasa taat kepadaNya.

.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-A’raf ayat 153 :

 وَٱلَّذِينَ عَمِلُوا۟ ٱلسَّيِّـَٔاتِ ثُمَّ تَابُوا۟ مِنۢ بَعْدِهَا وَءَامَنُوٓا۟ إِنَّ رَبَّكَ مِنۢ بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿١٥٣﴾

Bermaksud : “Orang-orang yang mengerjakan kejahatan, kemudian bertaubat sesudah itu dan beriman; sesungguhnya Tuhan kamu sesudah taubat yang disertai dengan iman itu adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

 .

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُوا اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ

.

.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Iman Nan Rapuh

3 April 2015M/ 13 Jamadilakhir 1436H 

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a comment