KJ : Konsep Kepenggunaan Menurut Islam

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

1 Khutbah Jumaat SQ-shafiqolbu

.

Khutbah Jumaat: “Konsep Kepenggunaan Menurut Islam”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ يُعَّزِ الْمُجَاهِدِيْنَ وَيُحِبُّ العَامِلِيْنَ وَيَنْصُرُ الْمُتَّقِيْنَ وَيَزِيْدُ أَجْرَ الْمُخْلِصِيْنَ،

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “KONSEP KEPENGGUNAAN MENURUT ISLAM”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Persoalan ekonomi adalah merupakan komponen penting dalam sistem hidup Islam. Ianya bergerak dalam pendisiplinan ilmu kemasyarakatan kerana bidang pengkajiannya tertumpu kepada tindak-tanduk individu dan masyarakat dalam kegiatan pengeluaran, pengagihan dan penggunaan serta selari dengan peraturan Allah SWT. Oleh itu, kepenggunaan sebenarnya tidak dapat mengelak daripada satu amanah yang tertakluk kepada ketentuan Ilahi dengan berlaku adil dan menitikberatkan kebajikan kepada semua pihak. Kerana itulah etika ekonomi Islam mengutamakan prinsip maqasid al-syariah agar setiap lapisan masyarakat mendapat hak yang adil dan saksama.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hasyr ayat 7:

مَّآ أَفَآءَ ٱللَّـهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنْ أَهْلِ ٱلْقُرَىٰ فَلِلَّـهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ كَىْ لَا يَكُونَ دُولَةًۢ بَيْنَ ٱلْأَغْنِيَآءِ مِنكُمْ

Bermaksud: “Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya(Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan Rasulullah, dan bagi kaum kerabat(Rasulullah), dan anak-anak yatim, orang-orang miskin serta orang-orang musafir(yang keputusan).(Ketetapan yang demikian) Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang kaya dari kalangan kamu.”

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Secara ringkasnya bahawa dalam Islam, wujud tiga jenis keperluan pengguna yang perlu kita fahami iaitu:

Pertama: Daruriyyat iaitu keperluan bagi perkara asas dan termasuk keperluan kepada makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Kedua: Hajiyyat keperluan bagi keselesaan dan kemudahan, seperti menikmati makanan, pakaian, tempat tinggal dan kenderaan yang lebih baik jika seseorang berkemampuan. Namun, ketiadaannya tidak menjejaskan kehidupan individu.

Ketiga: Tahsiniyyat keperluan kepada kemewahan. Biasanya ianya melibatkan pengumpulan terhadap harta kekayaan yang tidak boleh diperolehi oleh golongan daruriyyat. Contohnya, penggunaan perhiasan yang mahal seperti barang kemas, kereta mewah dan sebagainya.

.

Menurut Imam al- Syatibi, terdapat lima perkara yang paling asas yang mesti dijaga oleh setiap individu iaitu nyawa, agama, akal, harta dan keturunan. Semua barangan dan perkhidmatan mempunyai maslahah untuk menjaga lima perkara tersebut serta merupakan keperluan kepada manusia dan dianggap sebagai barangan perlu untuk pengguna.

.

Mimbar yang mulia ingin menyatakan bahawa sebagai pengguna yang beriman kita hendaklah juga meletakkan pertimbangan akhirat. Pertimbangan akhirat menyebabkan pengguna bukan sahaja akan membelanjakan sesuatu untuk faedah yang segera tetapi faedah dan balasan yang akan diterima di akhirat.

Justeru, dalam hal ini kita perlulah meletakkan etika pengguna Islam dengan panduan prinsip al-adl wal ihsan atau ‘Prinsip Tidak Memudaratkan’ atau ‘No Injury Principle’–iaitu menghayati semangat keadilan dan muafakat di samping prinsip tidak memudaratkan. Atas prinsip ini kita akan sentiasa mengingati balasan daripada Allah di atas setiap perbuatan dan kesalahan seperti pembaziran, berlumba-lumba mengejar kekayaan dunia, mementingkan diri sendiri dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu.

Ingatlah bahawa sebarang penyelewengan adalah menyalahi kehendak Ilahi sebagai pemilik mutlak. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 17:

وَلِلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَ‌ٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَآءُ ۚ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Bermaksud; “Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Berdasarkan kepada ekonomi semasa dan sistem percukaian yang baru dilaksanakan pada ketika ini iaitu cukai GST, mimbar yang mulia ingin menyatakan bahawa terdapat segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan mementingkan keuntungan semata-mata, mengambil kesempatan bertindak memanipulasi dan menaikkan atau tidak menurunkan harga barang. Golongan peniaga ini adalah mereka yang tidak beretika dalam perniagaan dan mementingkan keuntungan semata-mata.

Oleh itu sebagai pengguna yang berhemat, kita hendaklah melaporkan sebarang keraguan kepada pihak yang berwajib di atas sebarang penipuan yang berlaku, kita juga hendaklah memilih peniaga yang boleh dipercayai dan bijak memilih barangan dan perkhidmatan yang suci, halal dan berkualiti. Sesungguhnya untung rugi nasib peniaga adalah terletak di tangan kita sendiri sebagai pembeli dan pengguna. Jika kita prihatin, berhemah dan waras dalam mendapatkan barangan dan perkhidmatan maka terjaminlah kehidupan kita.

Ingatlah bahawa Islam mengharamkan sebarang bentuk eksploitasi, penipuan dan penindasan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Mutaffifin ayat 1-5:

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

وَيْلٌ لِّلْمُطَفِّفِينَ ﴿١﴾ ٱلَّذِينَ إِذَا ٱكْتَالُوا۟ عَلَى ٱلنَّاسِ يَسْتَوْفُونَ ﴿٢﴾ وَإِذَا كَالُوهُمْ أَو وَّزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ ﴿٣﴾ أَلَا يَظُنُّ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَنَّهُم مَّبْعُوثُونَ ﴿٤﴾ لِيَوْمٍ عَظِيمٍ ﴿٥﴾

Bermaksud: “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang-cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya).”

.

Hayatilah kisah yang diceritakan oleh al-Maraghi bahawa di Madinah terdapat seorang peniaga yang bernama Abu Juhaynah, beliau mempunyai dua alat penimbang, satu besar dan satu kecil. Apabila beliau hendak membeli biji-bijian dan buah-buahan daripada para penanamnya beliau akan menggunakan alat penimbang yang besar dan apabila ingin menjual kepada orang lain ditimbangkan dengan alat penimbang yang kecil.

Ibnu Umar RA menerangkan pada suatu ketika beliau melintasi peniaga itu lalu berkata: “Takutlah kepada Allah SWT dan sempurnakan timbangan. Ini disebabkan golongan yang mengurangkan timbangan itu pada hari Kiamat akan ditahan untuk menghormati kebesaran Tuhan yang Maha Pengasih, bahkan peluh pun menahan mereka”.

Jadilah seperti Abdul Rahman bin Auf seorang peniaga yang berjaya tetapi tidak pernah meninggalkan solat dan hubungannya dengan Allah SWT. Umar al-Khattab RA pernah berkata: “Aku hendak mati ketika jihad fisabilillah dan kalau tidak dapat, aku mahu mati ketika sedang berniaga”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru marilah sama-sama kita mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan meletakkan prinsip kepenggunaan dalam Islam sebagai satu pedoman untuk kita melaksanakan muamalat dalam kehidupan. Marilah kita menjadi pengguna dan peniaga yang bertaqwa serta bijak iaitu tidak mementingkan keuntungan dunia semata-mata bahkan mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT di akhirat.

Ingatlah pesanan Hujatul Islam Imam al-Ghazali yang pernah berkata: bahawa penghalang antara manusia dengan tuhannya banyak bersangkut paut dengan urusan mencari rezeki, dimana tidak sempurna urusannya dengan Allah SWT disebabkan dia terkejar-kejar mencari rezeki.

.

Justeru, sebagai umat Islam yang beriman kita perlulah memahami konsep kepenggunaan yang sebenar berdasarkan kepada etika yang digariskan dengan meletak persoalan halal dan haram serta mengambil sikap bertimbang rasa, tidak tamak dan sebagainya. Sikap tamak dan kesanggupan perlakuan demi keuntungan akan menyebabkan ketidakseimbangan ekonomi dan menjejaskan hubungan harmoni antara manusia.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT. dalam surah an-Nisaa’ ayat 29:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَ‌ٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu”.

.

بَارَكَ اَللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اَللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Konsep Kepenggunaan Menurut Islam”

(10 April 2015 / 20 Jamadilakhir 1436H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a comment