KJ : Guru ~ Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Guru- Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak.

Khutbah Jumaat: “Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak”

  

. 

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى عَلَّمَ بِالْقَلَمِ، عَلَّمَ الإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ. وَجَعَلَ الْعِلْمَ نُوْرًا يُضِيءُ البَصَائِرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ. جَعَلَ الْقُرْاَنَ وَسِيْلَةً لِكَسْبِ الْعِلْمِ وَالْمَعْرِفَةِ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، َبَعَثَهُ اللهُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ لِيُخْرِجَهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ. اَللَّهُمَّ فَصَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ الَّذِى يَسْتَمِعُوْنَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعَوْنَ أَحْسَنَهُ، أُوْلَئِكَ الَّذِيْنَ هَدَاهُمُ اللهُ وَأُوْلَئِكَ هُمْ أُوْلُو الأَبَابِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. قَالَ تَعَالَى: قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الألْبَابِ

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Alhamdu Lillah, segala pujiian dan syukur hanyalah kepada Allah SWT, Tuhan yang menciptakan semua makhluk samada di langit mahu pun di bumi, di daratan mahu pun di lautan, samada lelaki mahupun perempuan, bagi yang mukallaf akan memikul amanah dan dipertanggungjawabkan. Oleh itu muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

 

Mudah-mudahan apa yang gelap menjadi terang berkat pengorbanan guru yang menyebarkan ilmu pengetahuan. Seterusnya kita tergolong di kalangan orang-orang yang hidup di dunia mendapat keberkatan dan di akhirat mendapat kejayaan. Tajuk khutbah kita pada hari ini, “Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak yang merupakan tema sambutan hari guru tahun 2015”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Pada 16 Mei setiap tahun, negara kita akan menyambut Hari Guru. Sambutan ini bertujuan untuk meraikan para pendidik di negara kita khususnya yang telah bertungkus-lumus menggunakan kudrat yang ada, mencurahkan ilmu pengetahuan kepada anak-anak didik mereka. Ini semua mereka lakukan demi melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan dalam membina sebuah negara yang maju dan makmur.

 

Sesungguhnya ilmu pengetahuan adalah suatu yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Oleh sebab itu, Allah SWT telah mewajibkan kita menuntut ilmu sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Mafhumnya: “Menuntut ilmu adalah satu kefardhuan ke atas setiap muslim.”

(Riwayat Ibn Majah)

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Islam telah mengingatkan umatnya mengenai pentingnya memelihara akhlak dan mengamalkan nilai-nilai mulia sebagai tanda ketaatan kepada perintah Allah SWT. Umat Islam tidak dibenarkan sama sekali melakukan sebarang bentuk kemungkaran, kemaksiatan, perkara keji dan seumpamanya kerana ia merupakan satu tegahan yang nyata.

 

Bagi melahirkan umat manusia yang memiliki akhlak mulia dan sentiasa beramal dengannya, maka Allah SWT telah mengutuskan para Rasul dan Nabi di muka bumi ini sebagai panduan dan ikutan dalam membentuk manusia yang berakhlak mulia. Sebagaimana Allah Taala berfirman dalam surah Ibrahim ayat 4:

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ ۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِى مَن يَشَآءُ ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

Maksudnya: “:Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan Dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. maka Allah menyesatkan sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

.

Antara ciri yang penting untuk mengukur kecemerlangan insan ialah melalui kemuliaan dan ketinggian akhlaknya. Dalam sejarah ketamadunan manusia, akhlak merupakan faktor utama yang menentukan jatuh bangunnya tamadun sesuatu bangsa.

 

Hal ini dapat dilihat sebagaimana pada zaman Rasulullah SAW, salah satu kunci kejayaan Rasulullah SAW dalam menyampaikan risalah dakwah ialah dengan memiliki ketinggian akhlak dan budi pekerti yang mulia ketika bermuamalah dengan keluarga, jiran tetangga, sahabat handai, bahkan dengan kaum kafir musyrikin.

 

Akhlak Rasulullah SAW diumpamakan indah dan mengagumkan masyarakat bagaikan al-Quran, sebagaimana kata Aisyah RA apabila ditanya mengenai akhlak baginda, lantas beliau menjawab: “Sesungguhnya akhlak Rasulullah adalah al-Quran”. (Riwayat al-Bukhari)

.

Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar yang mulia ini, suasana masyarakat kita pada hari ini berhadapan krisis nilai, begitu banyak budaya luar dan fahaman atau ideologi yang tidak sihat, telah mempengaruhi cara kehidupan seperti percakapan, gaya berpakaian, pergaulan, dan sebagainya yang mencemarkan nama baik serta identiti umat Islam yang membawa gambaran negatif dan tohmahan kepada imej umat Islam.

 

Anasir-anasir yang tidak sihat ini dengan mudah menyelinap masuk dan menjajah pemikiran seterusnya mempengaruhi kehidupan kita, sekiranya benteng iman yang tipis, cetek pengetahuan tentang agama, serta mengabaikan suruhan agama dan tidak berpegang dengan tuntutan syariat. Mereka yang diresapi dengan fahaman atau aliran yang merbahaya ini, akan mudah meminggirkan akhlak dan nilai-nilai murni sebagaimana yang dituntut oleh Allah dan RasulNya.

.

Ingatlah bahawa Islam sentiasa diperhatikan, dan segala kelemahan serta kecelaruan yang sedang dialami oleh umat Islam akan dijadikan sebagai asas dan modal untuk musuh-musuh Islam membina seribu satu alasan dan kritikan untuk memburuk-burukkan Islam. Tidak mustahil mereka akan memperalatkan saudara-saudara kita sendiri seperti yang pernah berlaku di abad lalu, khususnya ketika negara-negara umat Islam dijajah oleh kuasa penjajah.

 

Justeru, inilah sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh kita, terutama oleh para guru dalam membimbing manusia ke jalan yang benar. Tugas mereka tidak terbatas hanya mengajar di bilik darjah sahaja, malah mempunyai tanggungjawab dalam membentuk akhlak masyarakat.

 

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 269:

يُؤْتِى ٱلْحِكْمَةَ مَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ ٱلْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِىَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ

Maksudnya: “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang diberikan Hikmat itu maka sungguh ia telah berikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Pengorbanan seorang guru amat besar dalam mendidik umat. Setiap seorang dari kita pasti akan mengenang jasa guru-guru, sejak kita mula melangkah ke alam persekolahan. Sedar atau pun tidak, pengorbanan mereka sentiasa tersemat di dalam ingatan kita. Malah pengorbanan merekalah yang sebenarnya telah mendorong kita untuk berusaha menjadi seperti mereka, iaitu insan yang sanggup berkorban demi kebaikan orang lain.

Kita pastinya masih mengingati bagaimana guru-guru kita dahulu sanggup meluangkan masa, tenaga, malah wang ringgit demi membantu kita berjaya dalam pelajaran. Kemudian tatkala kita telah berjaya dan dewasa, adakah patut kita membiarkan pengorbanan mereka ini diabai tanpa dikenang?

 

Guru pastinya tidak meminta balasan material daripada kita. Apa yang diharapkan ialah murid-muridnya mendoakan dan juga menghargainya dalam pelbagai cara. Sesungguhnya berterima kasih kepada manusia adalah tanda kita bersyukur dan berterima kasih juga kepada Allah SWT. Sebagaimana sabda Nabi SAW:

مَنْ لَمْ يَشْكُرِ النَّاسَ لَمْ يَشْكُرِ اللهَ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, sesungguhnya dia tidak berterima kasih juga kepada Allah”.

(Riwayat at-Tirmidzi)

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Mimbar yang mulia ini, menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru melalui tindakan berikut:

.

Pertama: Mendoakan kebahagian buat guru-guru, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Kedua: Menziarahi guru-guru untuk mengeratkan silaturrahim.

Ketiga: Menghulurkan apa juga bentuk sumbangan mengikut kemampuan masing-masing kepada institusi pendidikan.

Keempat: Berkatalah dengan lemah-lembut dan jangan sekali-kali menyakiti hati guru.

Kelima: Ucapkanlah terima kasih kepada guru-guru dan semua insan yang pernah menabur bakti dan budi kepada kita.

.

Buat para guru pula, mimbar berpesan teruslah beristiqomah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran dalam menyampaikan ilmu kepada anak bangsa, mudah-mudahan akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.

 

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Mujadalah ayat 11:

 يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا۟ فِى ٱلْمَجَـٰلِسِ فَٱفْسَحُوا۟ يَفْسَحِ ٱللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُوا۟ فَٱنشُزُوا۟ يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَـٰتٍ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Apabila kamu diminta memberi lapang dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan melapangkan untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan”.

 .

.

بَارَكَ اَللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اَللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak”

(15 Mei 2015 / 26 Rejab 1436H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Advertisements

One response to this post.

  1. Sent from Windows Mail

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: