KJ : Nilai Kemanusian

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

.

Khutbah Jumaat: “Nilai Kemanusian”

.

kj - nilai kemanusiaan

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,

.

Pada hari Jumaat yang penuh berkat dan dalam masjid yang suci ini, marilah kita bersama-sama tingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT  dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Alah SWT ialah orang yang paling bertaqwa. Tajuk khutbah kita pada hari ini ialah: “NILAI KEMANUSIAN”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati,

.

Agama Islam telah menyatakan kepada kita semua bahawa prinsip kemanusian  di dalam Islam meletakkan seluruh manusia dalam satu keluarga besar yang berasal dari Nabi Adam AS. Pengertian ini dapat difahami daripada hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan aku menjadi saksi bahawa semua manusia adalah saling bersaudara.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Oleh itu, sebagai agama yang lengkap, ajaran Islam telah meletakkan nilai kemanusian itu pada satu kedudukan yang tinggi dan  ini telah digambarkan di dalam ucapan Baginda SAW semasa berada di Padang Arafah, sehingga ianya memberi nilai yang amat besar kepada kita semua sebagai umat sesama manusia.

Antara pesanan Baginda SAW ialah: “Wahai manusia, ingatlah, sesungguhnya Tuhanmu adalah satu, dan nenek moyangmu juga satu. Tidak ada kelebihan bangsa Arab terhadap bangsa lain. Tidak ada kelebihan bangsa lain terhadap bangsa Arab. Tidak ada kelebihan orang yang berkulit merah terhadap orang yang berkulit hitam, tidak ada kelebihan orang yang berkulit hitam terhadap yang berkulit merah, kecuali dengan taqwanya.” (Riwayat Ahmad, al-Baihaqi, dan al-Haitsami).

.

Pesanan yang amat ringkas ini membuat para sahabat begitu terharu, sehingga pakaian ihram mereka yang putih bersih bersimbah dengan air mata, menandakan pesanan itu amat berkesan dan sangat berpengaruh terhadap prilaku mereka. Misi kemanusian inilah yang kemudian dikembangkan dan diperjuangkan para sahabat, sehingga menjadi umat yang besar dan berwibawa yang dikagumi oleh semua bangsa di dunia.

Ingatlah bahawa nilai kemanusian umat Islam berasaskan kepada kesatuan dalaman yang terzahir sebagai pautan kejiwaan dan kerohanian. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 10:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat”.

.

Dan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Bandingan orang-orang mukmin yang berkasih sayang dan berkasihan belas dan menaruh simpati adalah  tak ubah seperti satu jasad, di mana kalau salah satu anggota mengalami kesakitan maka seluruh badan akan turut berjaga malam dan demam.” (Riwayat Muslim)

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati,

.

Dalam Islam nilai kemanusian telah digariskan di dalam beberapa perkara antaranya ialah,

Pertama; Islam memberi jaminan hak untuk semua manusia sebagaimana termaktub dalam Piagam Madinah.

Kedua: Islam memelihara dan menghargai nyawa setiap manusia.  Agama Islam amat menghargai dan memelihara nyawa setiap manusia, kerana itulah melakukan pembunuhan terhadap seseorang tanpa hak dilarang dalam Islam.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 190:

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu. Dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan) kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.”

Ketiga: Memelihara hak keamanan, kemerdekaan dan keadilan sejagat.

Keempat: Islam memberi kebebasan beragama. Sepanjang sejarah Islam tidak pernah wujud sebarang paksaan, kerana Islam berkembang melalui dakwah secara berhikmah. Tidak ada seorang pun dibunuh kerana keengganan memeluk Islam bahkan Islam tidak membenarkan unsur-unsur paksaan sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak bahawa agama Islam tersebar melalui peperangan dan pertumpahan darah.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati,

.

Pada ketika ini negara kita dikejutkan dengan isu kemanusian antaranya pelarian Rohingya yang hanyut di lautan, mencari tempat perlindungan. Secara ringkasnya, mimbar ingin menyatakan bahawa rakyat Rohingya kebanyakannya adalah satu kumpulan etnik beragama Islam di utara negeri Rakhine yang terletak di barat Burma.

Sebagai umat Islam yang beriman, mimbar menyeru marilah sama-sama kita mengambil tanggungjawab dan perhatian kepada isu kemanusian ini, kerana mereka sebahagian dari umat manusia yang memerlukan pembelaan dan pertolongan dari kita semua. Ingatlah bahawa ajaran Islam telah menetapkan bahawa aktiviti amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) adalah suatu tuntutan atau agenda tertinggi dan ianya melangkau sempadan negara dan bangsa.

Andaikata aktiviti amar makruf ini tidak dipedulikan, maka kita akan menyaksikan keperitan dan kesusahan hidup yang dialami ini akan berpanjangan. Hulurkanlah segala bantuan yang termampu samada dari segi fizikal atau pemikiran demi membebaskan segala permasalah yang dihadapinya agar dapat hidup sempurna, aman dan damai sebagaimana umat Islam yang lain.

Mimbar juga mengutuk sekeras-kerasnya isu pemerdagangan manusia yang berlaku pada ketika ini, kerana ianya menyalahi dengan syariat agama dan bertentangan nilai kemanusian. Mimbar menyeru kepada pihak berwajib agar mengambil tidakan yang sewajarnya kepada mereka yang terlibat di dalam jenayah ini.

Kepada semua umat Islam, marilah kita berkerjasama dalam menangani isu-isu ini berteraskan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2,

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati,

.

Mimbar ingin menyatakan sejak akhir-akhir ini juga, pengaitan pelampau dan keganasan dengan Islam sudah menjadi lumrah, samada di peringkat dalaman mahupun antarabangsa.

Hasil daripada gejala yang berlaku ini, Islam dilihat oleh sesetengah pihak sebagai agama pelampau yang menggalakkan keganasan, dan menerimanya sebagai suatu agenda dalam jihad. Malah, kadangkala ia dilihat sebagai jihad itu sendiri.

Oleh itu, mimbar yang mulia ingin mengingatkan sidang jumaat dan umat Islam sekalian, bahawa isu jihad dikaitkan dengan pelampau agama kembali hangat diperkatakan, ini dibuktikan apabila pendedahan tentang segelintir umat Islam dan rakyat negara ini menyertai gerakan kumpulan militan Daulah Islamiah atau dikenali sebagai Islamik State (IS).

Kumpulan ini berjaya mempengaruhi sebahagian kecil umat Islam termasuklah ahli akademi di negara ini dan di seluruh dunia untuk berjuang atas nama jihad. Mereka dilihat sebagai pelampau agama, sanggup membunuh sesiapa sahaja tanpa mengira orang Islam atau bukan Islam, mereka juga menghalalkan tindakan yang lebih agresif dan kemusnahan harta benda walaupun melibatkan hak saudara seagama mereka sendiri atas nama jihad.

.

Justeru, sebagai umat Islam kita hendaklah menolak segala usaha untuk menyebar luas gerakan kumpulan ini. Percayalah bahawa gerakan kumpulan IS bertentangan dengan prinsip ahlu sunnah wajamaah dan ajaran Islam serta prinsip jihad yang sebenar. Allah SWT telah memberi peringatan ini sepertimana firman-Nya di dalam surah Ali- Imran ayat 142:

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّـهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ

Bermaksud: “Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah orang yang berjihad di antara kamu, dan belum lagi nyata orang yang sabar, tabah dan cekal hati dalam perjuangan?”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati,

.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar memperingatkan kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita menjadi masyarakat yang bertanggungjawab di atas nilai kemanusian ini.

Mimbar juga menyeru seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia untuk sama-sama memainkan peranan dengan menggerakkan aktiviti dakwah, menghulurkan segala bantuan kepada sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan tanpa mengira bangsa dan warna kulit, agar bebanan yang ditanggung oleh umat seagama kita dapat diringankan.

Maha Suci Allah SWT menganugerahi manusia di pelusuk dunia ini dengan nikmat keamanan dan kebebasan agar kita menjadi umat yang bertaqwa, yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Semoga dengan itu iman kita terus bertambah dalam matlamat memakmurkan bumi Allah dengan benih-benih kebaikan akan berpanjangan.

Sebagai umat Islam yang beriman kita juga perlu memahami bahawa tuntutan dan pengertian jihad begitu luas dan ianya merangkumi keseluruhan keperluan hidup manusia. Ingatlah bahawa inilah negara kita  negara yang akan kita wariskan kepada anak cucu dan keturunan kita. Oleh itu, segala gerakan pelampau yang boleh membawa kepada keganasan semestinya dihindarkan, janganlah sesekali kita biarkan golongan-golongan pelampau ini menghancurkannya.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ra’d ayat 11:

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّـهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّـهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ

 Maksudnya: “Bagi setiap seorang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakangnya, yang menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.”

.

.

بَارَكَ اَللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اَللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Nilai Kemanusian”

(29 Mei 2015 / 11 Sya’ban 1436H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: