KJ : Martabat Puasa

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Jumaat 2.

Khutbah Jumaat: Martabat Puasa

 

.

kj- martabat puasa

.

.

Para tetamu Allah yang dirahmati,

.

Jadikanlah kesempatan untuk berada di bulan Ramadhan yang mulia ini sebagai peluang untuk kita menggilap sifat taqwa yang ada di dalam diri dengan memperbanyakkan amalan yang wajib mahupun sunat, serta mengelakkan diri dari terus diselimuti dosa-dosa yang hanya akan mengundang kemurkaan Allah SWT.

Justeru, bertaqwalah kepada Allah SWT, semoga dengan semua amalan kebaikan yang kita lakukan di dunia ini akan melayakkan diri kita untuk merasai kemanisan nikmat syurga Allah SWT di akhirat kelak.

Pada hari Jumaat yang penuh dengan barokah ini, khatib ingin mengajak siding jemaah sekalian untuk sama-sama menghayati khutbah yang bertajuk: “Martabat Puasa”.

.

.

Para tetamu Allah yang dirahmati,

.

Hakikatnya, ibadah puasa adalah manifestasi ketaatan seorang hamba kepada Allah SWT. Puasa bukan semata-mata menguji ketahanan jasmani dengan meninggalkan makan dan minum mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari, tetapi ia juga sebagai ujian rohani dengan mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membawa kemaksiatan kepada Allah SWT.

Imam Al-Ghazali RHM dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin telah membahagikan puasa kepada tiga tahap yang berbeza. Tahap yang pertama ialah puasa al-umum, iaitu puasa bagi orang awam yang sekadar meninggalkan makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Tahap yang kedua pula ialah puasa al-khusus iaitu puasa yang menuntut pelakunya menahan penglihatan, pendengaran, lidah, kaki, tangan serta seluruh anggota dari melakukan dosa. Ini adalah puasa bagi orang-orang yang soleh.

Manakala tahap yang ketiga pula ialah puasa khusus al-khusus iaitu mereka yang menepati kriteria dua tahap puasa yang telah disebutkan tadi dan ditambah pula dengan puasa hati iaitu membersihkannya dari segala perkara-perkara yang berhubung kait dengan dunia. Ini adalah puasa para nabi, siddiqin dan juga muqarrabin.

Justeru, marilah kita sama-sama berusaha untuk memastikan puasa yang kita lakukan ini diterima Allah SWT. Renungilah hadis riwayat Imam Al-Bukhari rhm daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Bermaksud: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri dari makan dan minum (Allah tidak menerima puasanya).

.

.

Para tetamu Allah yang dirahmati,

.

Berdasarkan hadith yang dibacakan sebentar tadi, jelaslah bahawa puasa yang dilakukan semata-mata untuk menahan lapar dan dahaga tetapi pada masa yang sama disertai dengan perbuatan-perbuatan yang membawa kepada dosa hanya akan menjadi sia-sia kerana tidak diterima di sisi Allah SWT. Bayangkan, betapa ruginya jika puasa yang kita lakukan selama ini tiada satu pun yang boleh dinilai sebagai amal soleh.

Marilah kita bermuhasabah dalam kesempatan Ramadhan yang telah kita laksanakan sehingga ke hari ini. Adakah puasa kita sudah boleh dianggap menepati ciri-ciri puasa golongan al-khusus? Jika jawapannya tidak, maka tingkatkanlah usaha untuk memperbaiki kualiti puasa kita itu supaya akhirnya ia menjadi amalan yang akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT.

Ya, semestinya untuk menjaga tingkah laku dan tutur kata sepanjang menjalani ibadah puasa memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Berapa ramai di antara kita yang tidak mampu untuk menjaga kedua-duanya lantaran tiadanya sifat sabar dalam diri. Tetapi yakinlah, barangsiapa yang sabar dalam melaksanakan suruhan Allah SWT, semata-mata mendambakan keredhaan-Nya, nescaya akan diberikan ganjaran yang setimpal di akhirat kelak.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ra’d ayat 22:

وَٱلَّذِينَ صَبَرُوا۟ ٱبْتِغَآءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَٰهُمْ سِرًّۭا وَعَلَانِيَةًۭ وَيَدْرَءُونَ بِٱلْحَسَنَةِ ٱلسَّيِّئَةَ أُو۟لَٰٓئِكَ لَهُمْ عُقْبَى ٱلدَّارِ

Bermaksud : “Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; mereka itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik).”

.

.

Para tetamu Allah yang dirahmati,

.

Alangkah beruntungnya kita jika puasa yang dilakukan di sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini adalah puasa yang diterima oleh Allah SWT. Tiada apa yang lebih menggembirakan seorang hamba yang berpuasa melainkan puasanya itu mendapat tempat di sisi tuhannya. Di antara tanda-tanda puasa seseorang itu diterima Allah SWT ialah:

.

Pertama: Membentuk peribadi terpuji dalam diri dan menegah dari wujudnya nafsu tercela. Puasa yang sebenar bukan sahaja menjadi latihan untuk menahan lapar dan dahaga, tetapi juga melatih diri untuk menjaga setiap tutur kata dan tingkah laku serta mengawal nafsu agar tidak merosakkan kualiti puasa itu sendiri.

Rasulullah SAW bersabda sebagaimana riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA :

Bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa.”

.

Kedua: Menyuburkan sifat pemurah dalam diri dan menjauhi sifat bakhil. Seorang yang berpuasa dengan penuh keimanan bukan sahaja akan menghindari perbuatan yang boleh merosakkan puasanya bahkan akan menghiasi ibadah itu dengan amalan-amalan kebaikan yang lain seperti bersedekah membiayai majlis berbuka puasa dan moreh di masjid serta surau. Bayangkan…berapa ramai yang akan menerima manfaat dari sedekah tersebut serta banyaknya ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT.

.

Ketiga: Menjadikan diri sentiasa ikhlas dalam melaksanakan ibadah lantaran puasa itu sendiri menjadi madrasah untuk penyucian jiwa daripada dikotori dengan perkara-perkara yang hina lagi tercela. Hati yang bersih akan menjadikan pemiliknya sentiasa suka melakukan sesuatu ibadah atau kebaikan tanpa perlu dipaksa-paksa. Persoalannya di sini adakah puasa yang kita lakukan sehingga ke hari ini sudah dapat membersihkan diri serta hati kita daripada elemen-elemen yang tidak baik? Tepuk dada dan tanyalah iman masing-masing.

.

Sekali lagi khatib ingin berpesan, usahlah disia-siakan lagi ibadah puasa kita dengan melakukan perkara-perkara yang merosakkan pahala puasa itu sendiri. Tidak teringinkah kita untuk memperolehi ganjaran pahala yang sangat istimewa sepertimana yang Allah janjikan kepada sesiapa yang berpuasa semata-mata kerana-Nya?

Renungilah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya : “Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda. Allah berfirman: “Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku memberikan balasan (pahala) kepadanya, disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku.”

.

.

Para tetamu Allah yang dirahmati,

.

Hari ini tanggal 26 Jun 2015 bersamaan 9 Ramadhan 1436H, merupakan tarikh bagi Sambutan Hari Antidadah Antarabangsa. Justeru, mimbar ingin mengambil kesempatan untuk memperingatkan para jemaah sekalian bahawa dadah masih lagi menjadi musuh nombor satu negara. Maka, gejala penyalahgunaan dadah seperti heroin, ecstasy, ganja, syabu, ketamine atau termasuk air ketum adalah HARAM sebagaimana yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam dan Jawatankuasa Fatwa Negeri. Hukum berkaitan dadah ini adalah diqiyaskan kepada dalil pengharaman arak sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah daripada Ibn ‘Umar RAnhuma :

Bermaksud : “Setiap yang memabukkan itu adalah arak dan setiap arak itu adalah haram.”

Justeru, marilah kita berganding bahu berjihad menentang gejala pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang menghancurkan masa depan negara yang tercinta ini. Kita mesti memastikan setiap ahli keluarga kita tidak terjebak dengan gejala negative ini. Marilah kita membantu pihak berkuasa dalam memerangi dan membendung pengedaran dadah walau dengan apa cara yang termampu. Mimbar mengucapkan tahniah kepada mereka yang terlibat membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah terutama Polis Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan di atas usaha keras dalam memastikan masyarakat bebas dari penyalahgunaan dadah.

.

.

Sidang jemaah yang berbahagia,

.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin mengajak sidang jemaah sekalian untuk menghayati kesimpulan berikut:

.

Pertama: Puasa bukan semata-mata menahan lapar dan dahaga bahkan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

Kedua: Sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti ibadah puasa kita ke tahap yang terbaik.

Ketiga: Bersabarlah dalam melaksanakan ibadah puasa dan hiasinya dengan amalan-amalan kebaikan yang lain agar menjadi ibadah yang diterima Allah SWT.

.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 97:

مَنْ عَمِلَ صَٰلِحًۭا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ فَلَنُحْيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةًۭ طَيِّبَةًۭ ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Bermaksud : “Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”

.

.

بَارَكَ اَللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اَللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

MARTABAT PUASA

26 Jun 2015M/ 09 Ramadhan 1436H

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Advertisements

One response to this post.

  1. Posted by ema on 26/06/2015 at 1:07 pm

    allahuakbar..Menyentuh dan sangat berharga.Mudaha mudah pembaca faham apa sahaja yang disMPAIKAN..jazakallah hi khairan~~~

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: