KJ : Syawal Bulan Silaturrahim

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Jumaat 2.

Khutbah Jumaat: “Syawal Bulan Silaturrahim”

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT, dengan memperkukuhkan pengabdian diri kita kepada-Nya, dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada bulan yang penuh kebahagiaan ini, menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ialah: “SYAWAL BULAN SILATURRAHIM”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Secara lazimnya, pada bulan Syawal yang mulia ini, umat Islam masih lagi dalam tempoh merayakan Idulfitri. Sambutan Idulfitri diwarnai dengan rumah terbuka sama ada ia diadakan secara besar-besaran mahupun sederhana.

Kemeriahan rumah terbuka ini, dapat dirasakan dengan amalan ziarah menziarahi, kunjung mengunjung, berkenal-kenalan, menghulurkan duit raya sebagai hadiah atau sedekah yang dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim.

Percayalah, agama Islam sangat menggalakkan penganutnya agar sentiasa berusaha, untuk memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan silaturrahim dan ukhuwwah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 10:

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.”

.

Maka dengan itu, seseorang tidak dikira sempurna imannya sekiranya ia tidak menghubungkan silaturrahim sesama mereka. Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadith yang berbunyi:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلاَ يُؤْذِ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat janganlah ia menyakiti jirannya, dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya, dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat al-Bukhari)

.

Imam Ibnul Athir berkata: “Silaturahim adalah suatu ungkapan berkaitan dengan menjalinkan perbuatan baik terhadap kaum kerabat yang memiliki hubungan senasab atau perkahwinan, berlemah lembut kepada mereka, menyayangi mereka, memerhatikan keadaan mereka, walaupun mereka jauh dan berbuat jahat. Manakala memutuskan silaturahim adalah suatu perbuatan yang berlawanan dengannya.”

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Mimbar yang mulia ini, ingin menyatakan, konsep rumah terbuka dapat mengeratkan hubungan silaturrahim. Amalan ini membolehkan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai, yang susah menjadi mudah dan sebagainya.

Lantaran itu, akan terbentuklah satu ikatan kasih sayang yang mengeratkan sesama Insan. Ini disebabkan asal kejadian manusia daripada keturunan yang sama iaitu Nabi Adam AS, dan dengan sebab itulah, Islam mengajak manusia saling kenal-mengenal antara satu sama lain, hormat-menghormati, saling bekerjasama dan faham-memahami sesama insan.

.

Sheikh Abdur Rahman Nashir as-Sa’ pernah berkata: “Allah SWT menggandingkan, antara saranan supaya bertaqwa kepada-Nya, dengan perintah berbuat kebaikan kepada kaum keluarga dan melarang daripada memutuskan hubungan silaturahim. Seterusnya ini dapat menegaskan akan maksud betapa wajibnya menunaikan hak Allah, maka adalah wajib juga menegakkan hak makhluk, khususnya yang termasuk persoalan hubungan kekeluargaan antara mereka. Bahkan menunaikan hak mereka adalah antara hak Allah yang sudah diperintahkan oleh-Nya.”

.

Justeru, agama Islam telah mengariskan beberapa peraturan dan adab ketika mengadakan rumah terbuka. Antara peraturan dan adab yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam sebagai seorang tetamu ialah mestilah berniat baik atas kunjungannya, tidak memilih-milih tempat untuk berkunjung seperti rumah orang berharta, berpangkat dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat.

Waktu berkunjung pula hendaklah memilih masa yang sesuai. Janganlah berkunjung pada waktu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan pada waktu tersebut pihak tuan rumah sedang beristirahat.

Sebagai tetamu juga, perlulah meminta izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang dikunjungi sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

وَالَّذِىْ نَفْسِى بِيَدِهِ لاَ تَدْخُلُوْا الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوْا، وَلاَ تُؤْمِنُوْا حَتَّى تُحَابُّوْا، أَوَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى شَىْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوْهُ تَحَابَبْتُمْ؟ أَفْشُوْا السَّلاَمَ بَيْنَكُمْ.

Bermaksud: “Daripada Abu Hurairah RA  katanya Rasulullah SAW bersabda: “Demi diriku dalam kekuasaan-Nya, kamu tidak akan dapat masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak dikatakan beriman dengan sempurna sehinggalah kamu berkasih sayang, sukakah kamu jika aku tunjukkan sesuatu apabila kamu melakukannya nescaya kamu akan berkasih  sayang ? Sebarkanlah ucapan salam sesama kamu.” (Hadith Riwayat Muslim)

.

Kita juga dituntut berjabat tangan dan ia mestilah dilakukan mengikut lunas-lunas Islam. Kita bersalaman tidak sama dengan budaya barat dan orang bukan Islam. Mereka bersalaman tanpa mengira lelaki ataupun wanita yang bukan mahram sedangkan ia amat dimurkai oleh Allah SWT.

Selain itu, sebagai tetamu juga, adalah tidak sepatutnya bebas melakukan apa sahaja di rumah orang kerana perbuatan sedemikian akan mengganggu dan tidak disenangi tuan rumah. Jagalah mata, jangan mencuri dengar atau mengintai tuan rumah, janganlah meninggikan suara sepanjang menjadi tetamu dan segera pulang apabila diminta.

.

Manakala bagi pihak tuan rumah, agama Islam turut menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara dan dihayati antaranya, mestilah berniat ikhlas menerima kunjungan dan bukannya menunjuk-nunjuk serta menghormati dan memuliakan tetamu.

Di samping itu, tuan rumah juga digalakkan menghidangkan jamuan yang terbaik mengikut kadar kemampuan. Ingatlah bahawa, memulia dan melayan tetamu dengan baik, adalah amalan para Nabi dan Rasul terdahulu.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Marilah sama-sama, kita mengambil kesempatan pada bulan Syawal yang mulia ini untuk mengeratkan silaturrahim sesama kita, dengan mengamalkan amalan yang telah dianjurkan oleh agama Islam. Ia juga bertepatan dengan usaha-usaha murni menghidupkan sunnah Rasulullah SAW.

Yakinlah bahawa, menjalinkan silaturahim memiliki begitu banyak manfaat, antaranya sebagai usaha melaksanakan perintah Allah dan Rasul-Nya, membina suasana kasih sayang yang harmoni dan saling bantu membantu, diberi keluasan rezeki oleh Allah SWT, diampunkan dosa dan peluang berdakwah yang lebih baik.

Hubungan baik juga membolehkan berkongsi ilmu serta kebaikan, meraih kekuatan dengan kesatuan kekeluargaan yang erat, menjauhi keburukan seperti fitnah atau buruk sangka, dan yang akhirnya diberi jaminan syurga oleh Allah SWT.

.

Marilah kita sama sama, mengambil kesempatan pada bulan Syawal ini untuk menjalin semula keakraban hubungan dengan jiran tetangga, sahabat handai dan rakan taulan. Buangkanlah yang keruh, ambillah yang jernih, mudah-mudahan bertambah mantap perpaduan antara kita semua.

Marilah sama-sama kita merenung sepotong ayat al-Quran dalam surah al-Hujuraat ayat 13:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya(akan keadaan dan amalan kamu).”

.

بَارَكَ اَللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اَللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Syawal Bulan Silaturrahim”

(24 Julai 2015 / 8 Syawal 1436H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

~shafiqolbu~

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: