KJ : Masjid Simbol Perpaduan

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

.

Khutbah Jumaat: Masjid Simbol Perpaduan

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِلKJ - Masjid Simbol Perpaduan

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama bertaqwa kepada Allah SWT dengan taqwa yang sebenar-benarnya. Taqwa dengan melaksanakan segala yang dititah perintahkan oleh Allah SWT serta meninggalkan segala yang dilarang-Nya. Sesungguhnya orang yang bertaqwa itu adalah hamba-Nya yang paling mulia dan akan mendapat jaminan kejayaan, kemenangan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat di sisi Allah SWT. Tajuk mimbar khutbah pada hari ini: “MASJID SIMBOL PERPADUAN”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dimuliakan,

.

Masjid adalah simbol syiar yang sangat penting dalam kehidupan umat Islam. Masjid adalah jantung hati dan nadi kehidupan umat Islam. Sewaktu peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, perkara pertama yang menjadi agenda besar Rasulullah SAW ialah membina masjid di Quba’ Madinah. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ بَنِىَ مَسْجِدًا يَبْتَغِى بِهِ وَجْهُ اللهُ لَهُ بَيْتًا فِى الْجَنَّةِ

Mafhumnya: “Sesiapa mendirikan sebuah masjid dengan mengharapkan keredhaan Allah SWT nescaya didirikan baginya sebuah rumah di dalam syurga”. (Riwayat al-Bukhari)

.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa masjid mempunyai multi fungsi berabad lamanya bermula dari zaman Rasulullah SAW sehingga hari ini. Menelusuri sirah, kita dapat melihat betapa Nabi Muhammad SAW bukan sahaja menjadikan Masjid Nabawi sebagai pusat ibadah, malah juga sebagai pusat pemerintahan dan pentadbiran negara Islam Madinah.

Masjid Nabawi amnya menjadi nadi penggerak Islam, penggerak aktiviti masyarakat, malah tempat rakyat menuntut hak dan keadilan. Juga turut berperanan sebagai pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia.

Dengan fungsi-fungsi tersebut, terbukti Rasulullah SAW telah berjaya menggambarkan kesempurnaan dan keindahan Islam sebagai al-Deen (cara hidup) melalui fungsi-fungsi komprehensif yang dijana oleh institusi masjid. Ini jelas menunjukkan bahawa masjid bukan sahaja tempat untuk melakukan ibadah solat, bahkan mempunyai peranan yang lebih luas sebagai suatu tempat untuk menyebarkan dakwah dari segenap aspek kehidupan kepada masyarakat.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Masjid sebagai simbol perpaduan ummah. Bermula dari fungsi masjid sebagai tempat beribadat, tempat sujud, juga sebagai pusat pembelajaran segala ilmu-ilmu Islam seperti Al Quran, Tafsir, Hadith, Tauhid, Fiqah, Sirah, Akhlak dan lain-lain. Di zaman Rasulullah SAW dan zaman sahabat, masjid menjadi institusi paling penting dan besar pengaruhnya dalam pembinaan sahsiah, peribadi dan kehidupan umat Islam dalam semua bidang.

Terbukti apabila para sahabat yang diasuh dan terbimbing dalam suasana persekitaran masjid telah berjaya menjadi peribadi yang hebat, terbaik, cemerlang dan gemilang seperti Saidina Abu Bakar, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abu Talib, Abdur Rahman bin Auf, Abdullah bin Abu Bakar, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Mas’ud dan ramai lagi.

Malah masyarakat Islam di zaman Rasulullah SAW dan sahabat adalah generasi umat Islam yang terbaik. Hal ini terbukti seperti sabda Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Sebaik-baik umatku adalah pada zamanku”. (Riwayat at-Tirmizi).

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Masjid Negara sebagai lambang keagungan agama Islam di Malaysia dan Islam adalah agama persekutuan. Kini Masjid Negara telah mencapai usia emasnya dan Sambutan Jubli Emas sempena 50 tahun penubuhannya akan dilaksanakan dalam rangka untuk memartabatkan Masjid Negara sebagai simbol perpaduan dan penyatuan ummah melalui pelaksanaan program dan aktiviti bagi memartabatkan agama Islam.

Oleh itu, sebagai umat Islam yang hidup di negara ini, kita hendaklah merasa bangga dan bersyukur dengan perpaduan yang kita kecapi ini. Sesungguhnya orang yang suka mengunjungi rumah Allah, hatinya akan tenang dan tenteram untuk beribadat kepada Allah.

Firman Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 28:

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ ﴿٢٨﴾

Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati mereka.”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Hari ini fungsi masjid sudah berkembang pesat menjadi pusat penting dalam pelbagai fungsi dalam kehidupan. Antaranya menjadi pusat ilmu, dakwah, maklumat, kebudayaan, mu’amalat dan sebagainya. Dari sudut ilmu, ia berfungsi menjadi tempat mengadakan kelas bimbingan al-Quran, kelas bimbingan fardhu ain, fardhu kifayah, kelas tuisyen dan lain-lain. Dalam dakwah pula, masjid berfungsi menjadi tempat ceramah, motivasi dan bimbingan kepada saudara baru.

.

Masjid sebagai pusat maklumat, juga berfungsi untuk pusat penyebar ilmu kepada masyarakat setempat, ahli kariah, pelancong dan lain-lain. Menjadi pusat budaya dan mu’amalat, masjid berkesan dalam mendekatkan masyarakat khususnya umat Islam setempat, ahli kariah dan masyarakat umum tentang keindahan Islam dari sudut ajaran dan syariat Islam, juga tentang budaya, gaya hidup, akhlak dan akal budi umat Islam yang berpegang dengan Islam.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Tanggungjawab umat Islam terhadap institusi masjid juga semakin berkembang bersesuaian dengan perkembangan zaman. Dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan at-Tirmizi yang bermaksud: “Rasulullah SAW menyuruh kita membangun masjid-masjid di daerah dan masjid-masjid itu dipelihara kebersihan dan keharumannya”.

Membangun masjid adalah perintah Rasulullah SAW, kemudian umat Islam disuruh supaya bangunan ini dipelihara dan dijaga sebaik-baiknya. Terutama kebersihan, keharuman dan keceriaan masjid, iaitu dalam dan luar masjid, termasuk menyediakan kemudahan asas lain seperti ruang membaca yang mesra pengguna, tempat berwuduk, bilik air yang bersih dan lain-lain lagi.

.

Sesungguhnya mulialah orang yang sentiasa memelihara dan menjaga kemuliaan masjid-masjid Allah. Perlu diingatkan, bahawa masjid adalah tempat paling disukai Allah SWT, sebagaimana disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Rasulullah SAW bertanya kepada malaikat Jibril AS: ‘Wahai jibril, tempat manakah yang paling disukai Allah?’ Jibril AS menjawab: ‘Masjid-masjid dan yang paling disukai Allah ahlinya ialah orang yang pertama masuk dan orang yang terakhir keluar meninggalkannya. (Riwayat Muslim)

.

Masjid disebut sebagai rumah Allah. Ia merupakan tempat paling aman, selamat dan damai kepada umat Islam yang selalu berkunjung ke masjid. Masjid menjadi tempat ibadat, umat Islam yang datang ke masjid akan mendapat bonus pahala dan keberkatan hidup di sisi Allah SWT.

Masyarakat dan umat yang hidup dalam persekitaran masjid atau mereka yang sentiasa mengutamakan masjid dan tidak pernah renggang daripada masjid kerana sentiasa memakmurkan masjid dengan mengerjakan solat berjemaah, beriktikaf, hadir majlis ilmu dan seumpamanya adalah umat yang paling disukai di sisi Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Gembirakanlah orang yang berjalan kaki di malam gelap gelita menuju ke masjid bahawa bagi mereka cahaya yang terang benderang di hari Kiamat”. (Riwayat al-Hakim dan at-Tirmizi).

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

.

Marilah kita mengambil beberapa kesimpulan sebagai dorongan kepada umat Islam supaya bersungguh-sungguh mengembalikan fungsi masjid dalam membina sahsiah dan peribadi umat Islam. Sebagaimana umat Islam di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Oleh itu, umat Islam hendaklah:

  1. Memakmurkan masjid dengan solat berjemaah, iktikaf dan mendalami ilmu Islam.
  2. Mengembalikan fungsi masjid dan mempelbagaikan fungsi mengikut peredaran zaman.
  3. Menjadikan masjid tempat beribadat dan selalu dikunjungi umat Islam.
  4. Menjadikan masjid sebagai pusat masyarakat bagi menyelesaikan segala persoalan umat Islam.
  5. Menjadikan masjid sebagi pusat ilmu, dakwah, maklumat, tuisyen, bimbingan, kemasyarakatan dan lain-lain aktiviti yang bermanfaat.

.

Betapa indahnya, berkatnya dan cerianya kehidupan umat Islam yang berkunjung ke masjid setiap hari, memakmurkan dan menghidupkan masjid dengan solat berjemaah, belajar al-Quran, hadir majlis ilmu, menghantar kelas tuisyen anak di masjid dan sebagainya.

Pasti suasana sedemikian akan menghasilkan umat Islam yang berilmu, terbaik dan kemuncaknya menghasilkan pula umat Islam yang memiliki ikatan ukhuwah, saling bersefahaman dan bersatu padu melalui masjid yang dibina di tengah-tengah kehidupan umat Islam. Jika fungsi masjid benar-benar dilaksanakan sudah pasti impak yang teramat besar dan banyak manfaatnya kepada kehidupan umat Islam secara keseluruhannya.

.

بَارَكَ اَللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اَللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Masjid Simbol Perpaduan”

(21 Ogos 2015/ 06 Zulkaedah1436H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

~shafiqolbu~

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: