Lafaz Talbiyah Simbol Tauhid Dalam Ibadah Haji

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

.

Ilmu tauhid adalah pangkal kepada segala ibadah. Seandainya umat Islam gagal menguasai ilmu ini, maka ibadahnya boleh dianggap kurang sempurna dan dibimbangi akan menjadi sia-sia.

Mendalami ilmu tauhid adalah teras dalam kehidupan kerana pada peringkat awal memahami agama adalah dengan mengenal Allah سبحانه وتعالى. Jika manusia tidak mengenal Tuhan, kepada siapa mereka beribadah. Inilah yang ditekankan dalam mempelajari ilmu tauhid.

Tauhid adalah fitrah dikurniakan kepada umat manusia. Melalui penciptaan Nabi Adam, ia adalah simbolik perlunya manusia mentauhidkan Allah سبحانه وتعالى. Justeru, konsep tauhid adalah penyebab kepada penciptaan seluruh alam ini kerana ia adalah gambaran kepada sifat Allah سبحانه وتعالى yang Maha Agung dan Maha Pencipta.

Tauhid adalah persoalan penciptaan dan kehidupan serta rahsia al-Quran diturunkan. Tauhid adalah hak Allah سبحانه وتعالى yang sangat besar terhadap hamba-Nya.

.

Mantapkan pegangan tauhid

Justeru, dalam sejarah Rasulullah ﷺ mengembangkan Islam selama 23 tahun di Makkah dan Madinah, 13 tahun diperlukan oleh Baginda untuk memantapkan pegangan tauhid umat Islam.

Dalam satu kisah, ketika Baginda ﷺ mengutuskan Muaz bin Jabal ke Yaman sebagai gabenor, Rasulullah ﷺ memberikan wasiat agar menjadikan tauhid sebagai perkara utama yang harus ditekankan dalam dakwah Islamiah.

Sabda Baginda ﷺ bermaksud: “Di sana, kamu akan berhadapan dengan ahli kitab. Maka, jadikanlah seruan utama kamu ialah mentauhidkan Allah سبحانه وتعالى.”

Dalam riwayat lain menyebut: “Serulah kepada penyembahan kepada Allah dan kenabian Muhammad .” (Riwayat Bukhari, Muslim & Ahmad).

Sehubungan itu, Baginda ﷺ seterusnya memberi jaminan syurga terhadap mereka yang memelihara kalimah tauhid dengan sabdanya bermaksud: “Sesiapa yang mengakhiri hidupnya dengan kalimah ‘lailaha Illallah’ dia akan mendapat syurga.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Ini menunjukkan betapa pentingnya tauhid dalam menentukan kedudukan mereka di akhirat sama ada bahagia atau sebaliknya.

Sesungguhnya, sekeping hati apabila dipenuhi dengan iman dan tauhid serta makrifat, maka ia akan menjadi bersih dan bercahaya. Ini adalah kerana pemilik hati mengetahui hakikat kewujudan makhluk di atas dunia ini. Dia tidak akan berasa takut dan tidak mengharapkan selain daripada Allah سبحانه وتعالى.

Dalam membicarakan persoalan ilmu tauhid, ibadah haji adalah antara ibadah amat sinonim dengan ilmu tauhid. Lafaz ‘talbiyah’ ketika mengerjakan haji adalah simbol tauhid bagaimana manusia memperbesarkan Allah سبحانه وتعالى.

Lafaz ini adalah lafaz tauhid yang sentiasa dilaungkan sepanjang musim haji, sama ada ketika berihram, tawaf, sai, wukuf, bermalam di Muzdalifah, melontar, berada di Mina dan seluruhnya.

Solat yang dilakukan dua rakaat selepas tawaf di belakang makam Ibrahim adalah simbol peringatan tetamu Allah kepada jasa Nabi Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah سبحانه وتعالى untuk meletakkan dasar tauhid bagi kehidupan manusia selepasnya.

Mereka yang melaksanakan ibadah haji disarankan secara terus menerus mengucapkan ‘talbiyah’ :

Talbiyah Haji dan Makna Terjemahan Rumi

.

Lafaz ini menunjukkan bahawa akidah tauhid adalah tujuan Allah سبحانه وتعالى mewajibkan ibadah haji. Mereka yang datang bukan kerana Allah سبحانه وتعالى atau akidah yang satu akan tertolak hajinya kerana dilakukan atas sebab selain daripada Allah سبحانه وتعالى.

Kaum Muslimin yang biasanya berseteru dan berselisih serta berpecah-belah, dalam kesempatan itu mengumandangkan satu kalimat dan satu ucapan sahaja. Mereka berpakaian yang sama dan mengucapkan kalimat yang sama.

Imam Ibnu Hajar menceritakan bahawa Ibnu Abdil Barr menyebut : “Telah berkata sebahagian besar ulama bahawa makna ‘talbiyah’ yang diucapkan ketika haji adalah jawapan kepada panggilan Nabi Ibrahim ketika memberitahu manusia untuk menunaikan haji.”

Seruan itu diabadikan oleh Allah سبحانه وتعالى dalam al-Quran:

وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ﴿٢٧﴾

“Dan serulah kepada seluruh manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu (Tanah Suci) dengan berjalan kaki, menaiki kenderaan unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru (ceruk rantau) yang jauh.”  [Surah Al-Haj 22: Ayat 27]

.

Berkata Ibnu Abbas dalam mentafsirkan firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Haj ini: “Ketika Allah سبحانه وتعالى memerintahkan Ibrahim untuk mengkhabarkan manusia agar mengerjakan haji, Baginda berkata: “Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah (Kaabah) dan memerintahkan kamu untuk berhaji kepadanya. Lalu menerima panggilan ini apa saja yang mendengarnya dari batu-batuan, pokok-pokok, bukit-bukit debu atau apa saja yang ada, lalu mereka berkata ‘Labbaikka Allahumma Labbaik’.” (Riwayat Ibnu Jarir)

Baginda Rasulullah ﷺ menyatakan perintah bertalbiah di dalam sabdanya bermaksud: “Telah datang kepada ku Jibril sambil berkata: “Wahai Muhammad, perintahkan sahabat mu menyaringkan suara mereka dengan talbiyah kerana talbiyah itu adalah syiar ibadah haji.” (Riwayat Ibnu Majah).

.

Falsafah pengukuhan akidah tauhid

Maka, syiar ini dijadikan slogan pada musim haji sebagai falsafah kepada pengukuhan akidah tauhid. Baginda ﷺ juga menjelaskan kelebihan talbiyah ini menerusi sabdanya bermaksud: “Setiap mereka yang berihram apabila menghabiskan masanya bertalbiyah sehingga tenggelam matahari maka akan tenggelam jugalah dosa-dosanya atau hapuslah atau bersihlah dosa-dosanya dan balik bersih seperti baru dilahirkan oleh ibunya.” (Riwayat Ibni Majah).

Oleh yang demikian, orang yang bertalbiyah dituntut selalu berasakan keagungan Allah سبحانه وتعالى dan menyerahkan amal ibadahnya hanya kepada Allah سبحانه وتعالى semata-mata, bukan sekedar mengucapkannya tanpa berasakan hakikat talbiyah itu.

.

Kesimpulannya, tiada kebaikan untuk jiwa yang jauh daripada ilmu tauhid. Ketika kekuatan tauhid melonjak tinggi, berlumbalah manusia untuk melakukan ketaatan dengan bersemangat dan berlapang dada.

Justeru, ibadah haji adalah lanjutan dan kemuncak kepada akidah tauhid yang diwarisi oleh nabi dan rasul. Segala slogan syirik yang dicipta oleh kumpulan sesat akan tertolak dengan sendirinya apabila berhadapan dengan slogan tauhid yang datang daripada Allah سبحانه وتعالى.

.

Sumber :

.

والله أعلم بالصواب

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

~ shafiqolbu ~

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: