Khutbah Idul Adha : Berkorban Apa Saja

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Selamat Hari Raya Aidil Adha - Korban.

Khutbah Khas Idul Adha 1436H “Berkorban Apa Saja”

.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَللهِ الْحَمْدُ

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً.

لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِياَّهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ، وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ.

لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُندَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ.

لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ اْلحَمْدُ.

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ اْلمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا وَحَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ أَشْرَفِ اْلأَنبِيَاءِ وَاْلمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لهَمُ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

 أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيهُّاَ اْلمُسْلِمُونَ، إِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنتُم مُّسْلِمُون

.

.

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH,

.

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita memperbanyakkan kesyukuran dan mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa, dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Mimbar pada Idul Adha kali ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk “BERKORBAN APA SAJA”.

.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَِللهِ الْحَمْدُ

.

.

MUSLIMIN MUSLIMAT YANG DIMULIAKAN,

.

Alhamdulillah, seluruh umat Islam di Malaysia menyambut Idul Adha atau Hari Raya Korban, dan pada hari ini juga jutaan umat Islam termasuk rakyat Malaysia berada di Kota Mekah bagi menunaikan ibadah Haji. Bagi kita yang tidak berkesempatan menjadi tetamu Allah SWT ke tanah suci pada kali ini, maka pada hari ini kita berhimpun, bertakbir, bertahlil, bertahmid, bertasbih dan menunaikan solat sunat Idul Adha. Seterusnya bermula pada hari ini juga, umat Islam diperintah dan disunatkan melakukan ibadah korban yang sangat digalakkan untuk disedekahkan dagingnya kepada fakir miskin semata-mata kerana Allah SWT.

Daripada Barra’ bin ’Azib bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya: “Sesungguhnya pertama-tama amalan yang kita lakukan pada hari ini (Idul Adha) ialah supaya kita solat kemudian kembali ke rumah lalu kita menyembelih korban, maka sesiapa yang mengerjakan sedemikian ia telah mengikut sunnah kami. Adapun orang yang menyembelih sebelum melakukan solat, maka itu hanyalah merupakan daging yang hendak dipergunakan untuk keluarganya sahaja, tidak termasuk amalan ibadah penyembelihan korban”.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَِللهِ الْحَمْدُ

.

.

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

.

Marilah sama-sama kita renungi sejenak sejarah Nabi Ibrahim AS sebagai seorang Rasul yang digelar sebagai Khalilullah, yang mana hati baginda selalu dekat dan sentiasa ingin dekat dengan Allah SWT. Baginda telah diuji dengan pelbagai ujian daripada Allah SWT, tetapi semua itu dapat dilalui dengan sabar dan tabah demi cinta dan taqwanya kepada Allah SWT. Baginda rela berkorban apa sahaja demi mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Seawal usia mudanya, baginda telah berkecamuk konflik antara pemikiran rohaninya yang suci dengan situasi masyarakat disekelilingnya pada masa itu yang bertuhankan patung-patung berhala yang mereka sembah. Nabi Ibrahim AS tidak dapat menerima keadaan itu dan baginda telah memusnah dan menghancurkan semua berhala itu termasuk juga patung berhala sembahan bapanya sendiri.

Akibat tindakan tersebut, baginda telah dibakar oleh Raja Namrud dalam api yang menyala dengan maraknya. Namun, dengan izin dan kehendak Allah SWT baginda selamat tanpa cedera sedikit pun. Inilah di antara bukti ketaatan dan ketaqwaan serta penyerahan diri yang tinggi kepada Khaliqnya. Baginda cukup yakin dan percaya dengan kekuasaan dan keagungan Allah SWT, sehingga sanggup berkorban jiwa raga demi cintanya kepada Allah SWT.

.

Malah, ujian yang paling besar yang diterima oleh baginda ialah ketika diperintah untuk menyembelih anak kesayangannya Ismail AS yang begitu lama didoakan dan dinanti kelahirannya. Namun, kerana ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, baginda akur. Oleh itu, umat Islam pada hari ini hendaklah mengambil pengajaran dari pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang sanggup berkorban apa sahaja demi taat dan patuh kepada segala suruhan Allah SWT.

.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَِللهِ الْحَمْدُ

.

.

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

.

Hari Raya Idul Adha yang dikenali sebagai Hari Raya Korban juga merujuk kepada tuntutan berkorban yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Gabungan sejarah pengorbanan dan tuntutan melaksanakan ibadah korban yang menjadikan Hari Raya Idul Adha mampu memberi kesan rohani yang begitu besar dan mendalam pada jiwa insan yang menghayatinya.

Apalah ertinya sejarah indah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan puteranya Ismail yang saban tahun kita bicarakan, jika kita tetap bersikap dingin dengan pelaksanaan ibadah korban yang dianjurkan sedangkan kita berkemampuan? Apalah gunanya kita berbangga dengan sirah hebat pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat, jika kita hanya berpeluk tubuh dan melihat sahaja tanpa menghulur sebarang sumbangan membangunkan Islam? Sewajarnya, kisah indah itu mampu meruntun jiwa kita untuk turut mengorbankan sebahagian harta demi membuktikan keimanan dengan melaksanakan ibadah korban sebagaimana yang disyariatkan.

.

.

MUSLIMIN MUSLIMAT YANG DIMULIAKAN,

.

Apakah cerita berkenaan pengorbanan dan perjuangan ini telah tamat dengan wafatnya Rasulullah SAW dan para sahabat? Tidak, ini adalah kerana perjuangan menegakkan agama Allah itu tidak pernah akan berhenti selagi belum kiamat. Perjuangan menegakkan agama Allah adalah wadah pengorbanan hakiki umat ini demi Islam. Islam adalah satu-satunya jalan untuk kita mencapai mardhatillah sebagaimana Firman Allah AWT di dalam surah Ali Imran ayat 19:

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَـٰمُ

Maksudnya : “Sesungguhnya agama(yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam.”

.

Malah Allah SWT dengan tegas telah mememerintahkan kita dengan satu tanggungjawab yang besar dan tuntas, melalui firman-Nya di dalam Surah Asy-Syura ayat ke-13:

شَرَعَ لَكُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِۦ نُوحًا وَٱلَّذِىٓ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِۦٓ إِبْرَ‌ٰهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰٓ ۖ أَنْ أَقِيمُوا۟ ٱلدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا۟ فِيهِ ۚ كَبُرَ عَلَى ٱلْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ ۚ ٱللَّهُ يَجْتَبِىٓ إِلَيْهِ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِىٓ إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ ﴿١٣﴾

Maksudnya: “Allah telah menerangkan kepada kamu daripada agama, apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nuh, dan yang telah Kami wahikan kepadamu, dan yang telah Kami perintahkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa, iaitu: Tegakkanlah agama, dan janganlah kamu berpecah-belah pada dasarnya. Berat bagi orang musyrik menerima agama yang kamu seru mereka kepadanya. Allah memilih kepadanya sesiapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada agama-Nya itu sesiapa yang rujuk kembali kepada-Nya.”

.

Melalui ayat ini, adalah jelas kepada kita bahawa tanggungjawab menegakkan agama, adalah tanggungjawab setiap individu yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.

.

.

MUSLIMIN MUSLIMAT YANG DIMULIAKAN,

.

Pada kesempatan Aidiladha kali ini, marilah kita bawa pengertian dan makna perjuangan dan pengorbanan itu, serta tanggungjawab menegakkan agama yang telah diletakkan di atas bahu kita, kepada realiti negara kita hari ini. Kita baharu sahaja sehati dan sejiwa menyambut Hari Kebangsaan kita. Fakta sejarah mencatatkan bahawa Raja-raja Melayu adalah tunggak utama yang telah memberi perkenan untuk membentuk negara ini menjadi sebuah Persekutuan.

Sejarah juga memberitahu bahawa dua buah negeri yang dahulunya dijajah oleh British iaitu Melaka dan Pulau Pinang diserahkan kembali kepada umat Persekutuan Tanah Melayu untuk ditadbir dan diurus sendiri mengikut acuan yang dipersetujui oleh Raja-Raja Melayu dan Rakyat yang menghuni Tanah Melayu dengan ditulis secara  jelas dan terang di dalam sebuah perjanjian yang dinamakan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan ini, merupakan persetujuan asas yang perlu dipegang oleh semua pihak di Malaysia tanpa mengira asal keturunan kaum dan negeri, bahasa dan agama.

.

Di dalam Perlembagaan inilah, Agama Islam telah dimartabatkan sebagai agama bagi Persekutuan atau Agama Negara! Menerusi seawal Perkara 3 Fasal 1, Perlembagaan Persekutuan dengan terang dan nyata telah menegaskan bahawa agama Islam ialah agama negara, ia bukan sekadar agama rasmi untuk upacara-upacara rasmi sahaja. Malah Islam telah dimartabatkan dengan jelas sebagai ’agama negara’ yang bermaksud Islamlah aqidah negara atau ideologi negara.

.

Hakikat ini bertambah terang lagi jelas apabila Perlembagaan Persekutuan ini juga menerusi Perkara 37 Fasal 1 mewajibkan Ketua Tertinggi Negara iaitu Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung untuk melafazkan sumpah atas nama suci Allah – Wallahi – Wabillahi – Watallahi – untuk memelihara agama Islam pada setiap masa.

Sumpah Yang Di Pertuan Agung ini meletakkan kewajipan kepada pemerintah sama ada Badan Eksekutif yang diterajui Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, Badan Perundangan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan Badan Kehakiman iaitu Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi untuk memelihara agama Islam pada setiap masa.

Selaku Ketua Tertinggi Negara ini, komitmen baginda atas nama suci Allah itu wajib dipatuhi dan ditaati oleh mana-mana pihak yang terkait dengan segala urusan pemerintahan negara ini. Inilah dia kewajipan hifzuddeen iaitu kewajipan untuk memelihara agama yang merupakan prinsip pertama dalam Maqasid As Syar’iah.  Inilah tanda ketinggian kedaulatan Agama Islam sebagai Agama Negara. Maka barang siapa yang berpegang kepada prinsip Keluhuran Perlembagaan, inilah dia prinsip luhur yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan.

.

Kesemua peruntukan ini yang merupakan sebahagian dari undang-undang tertinggi negara adalah menjunjung perintah Allah SWT selari dengan ayat ke-13 surah Asy-Syura tadi, iaitu perintah agar menegakkan agama. Di sini, martabat dan daulat agama Islam sebagai agama negara Malaysia perlu difahami dan dipelihara dengan sesungguh-sungguhnya.

Oleh yang demikian, kita semua tentunya amat bersyukur apabila pimpinan negara baru-baru ini telah memperkasakan pentadbiran dengan melancarkan Indeks ٍSyariah Malaysia sebagai kerangka tadbir urus negara yang bertujuan untuk mengukur tahap pematuhan negara kepada prinsip Maqasid as Syariah. Ini satu langkah pengukuhan yang sangat kita alu-alukan.

.

.

SIDANG JEMAAH YANG DIMULIAKAN,

.

Bersyukur kepada Allah SWT kerana memberi keistimewaan ini termasuk juga Iduladha pada hari ini. Selain menghayati sambutan Idul Adha bagi kita yang berada di tanah air ini. Hari ini juga sebahagian saudara-saudara kita dapat menyempurnakan pelaksanaan ibadat Haji di Tanah Suci. Semoga segala pengorbanan dan kepayahan yang mereka lalui sepanjang menunaikan ibadat haji diberikan ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT dengan dikurniakan “Haji Mabrur”.

Marilah sama-sama kita berdoa agar para jemaah haji khususnya ahli keluarga kita yang sedang mengerjakan ibadah haji di tanah suci pada ketika ini diberikan kesihatan yang baik, dilapangkan fikiran, dipermudah segala urusan ibadah mereka disana. Kita juga mendoakan kepada mangsa jemaah haji dan keluarga mangsa yang terlibat dalam musibah tragedi runtuhan kren di Masjidil Haram agar mereka tabah dan redha dengan musibah tersebut. Seluruh rakyat Malaysia turut berdukacita dan bersimpati dengan tragedi tersebut. Marilah sama-sama kita doakan semoga roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan dijanjikan syurga oleh Allah SWT.

.

.

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIMULIAKAN SEKALIAN,

.

Sesungguhnya ibadah haji melatih manusia untuk sanggup berkorban apa sahaja semata-mata kerana ketaqwaan Allah SWT. Ia juga melatih diri untuk bersabar menghadapi ujian dan dugaan, di samping memperkukuhkan ketahanan jiwa demi mengukuhkan persaudaraan Islam sejagat. Ketahuilah bahawa ganjaran yang besar telah disediakan bagi orang yang bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah haji dan umrah.

Menurut Abdullah bin Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Laksanakanlah ibadah haji beserta umrah, maka sesungguhnya kedua-duanya akan menghalang kamu daripada kefakiran dan dosa, sebagaimana hembusan api menghilangkan segala kekotoran besi, perak dan emas. Dan bukanlah bagi ibadah haji mabrur (yang diterima) itu akan mendapat balasan kecuali syurga.” (Riwayat at-Tirmizi)

.

.

SIDANG JEMAAH YANG DIMULIAKAN,

.

Ibadah haji merupakan kemuncak pengorbanan seseorang hamba kepada Penciptanya sebagaimana Firman Allah SWT menerusi surah al Kautsar :

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

إِنَّآ أَعْطَيْنَـٰكَ ٱلْكَوْثَرَ ﴿١﴾ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ ﴿٢﴾ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلْأَبْتَرُ ﴿٣﴾

Bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad), kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhan-Mu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang-orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)”.

.

.

MUSLIMIN MUSLIMAT YANG DIMULIAKAN,

.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, beberapa rumusan boleh kita ambil sebagai pengajaran, iaitu:

Pertama : Umat Islam diseru supaya sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta benda, pengorbanan kepentingan peribadi, malah jiwa demi menegakkan syiar Islam dan mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Kedua  : Tahap keimanan dan pengabdian kita kepada Allah SWT dapat diukur dengan sejauh mana kesediaan kita untuk berkorban demi mentaati perintah-Nya.

Ketiga : Segerakan menyempurnakan ibadah haji apabila berkemampuan dan janganlah bertangguh-tangguh.

Keempat  : Ikatan ukhwah dan perpaduan sesama umat Islam dapat dibangunkan tanpa mengira pangkat, harta, warna kulit, bangsa mahupun fahaman politik semasa mengerjakan ibadah haji. Inilah contoh perpaduan sesama ummah yang perlu diterapkan di dalam hati setiap mukmin.

Kelima  : Ibadah haji yang disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad SAW adalah bukti keutuhan akidah umat Islam dari serata dunia menghadap Allah SWT.

.

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِى بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَـٰلَمِينَ ﴿٩٦﴾ فِيهِ ءَايَـٰتٌۢ بَيِّنَـٰتٌ مَّقَامُ إِبْرَ‌ٰهِيمَ ۖ وَمَن دَخَلَهُۥ كَانَ ءَامِنًا ۗ وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلْبَيْتِ مَنِ ٱسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ عَنِ ٱلْعَـٰلَمِينَ ﴿٩٧﴾

Bermaksud: “Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadat) manusia, ialah Baitullah di Bakkah (Mekah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) Maqam Ibrahim; sesiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Sesiapa mengingkari (kewajiban haji), Maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.”

(Surah Ali-Imran: 96-97)

.

.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

.

.

.

.

.

KHUTBAH KEDUA

خطبة كدوا

.

.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،

لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ اْلحَمْدُ.

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ سَيِّدُ الْخَلاَئِقِ وَالْبَشَرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا محمدٍ وَعَلى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَكُوْنُواْ مَعَ الصََّادِقِيْنَ. وَاعْلَمُوا أَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأَ فِيْهِ بِنَفْسِهِ وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ اْلحَمْدُ

.

.

SIDANG JEMAAH YANG DIKASIHI SEKALIAN,

.

Pada hari yang penuh bahagia ini kita melafazkan rasa syukur di atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sesungguhnya di sekeliling kita masih terdapat golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan daripada kita. Selepas ini umat Islam akan melakukan ibadah korban bagi meninggikan syiar Islam.

Binatang yang hendak dikorbankan mestilah mematuhi syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Dengan ini menunjukkan bahawa Allah SWT tidak menerima ibadah yang dilakukan sambil lewa, tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan serta mengabaikan soal kesempurnaan ibadat yang hendak dilaksanakan. Oleh itu ketelitian dan kesungguhan dalam melakukan apa jua kerja mestilah diberi perhatian oleh semua umat Islam.

.

Ingatlah bahawa setiap pengorbanan yang kita lakukan hendaklah disertakan dengan niat dan amalan yang ikhlas. Seandainya ibadat korban yang kita lakukan dicemari dengan sifat riak, takabbur dan menunjuk-nunjuk akan kemampuan, maka akan tertutuplah rahmat Allah SWT dan sia-sialah amalan yang kita lakukan.

Janganlah ada rungutan atau membandingkan harga di antara kita yang menyertai ibadah korban ini dengan kata-kata: “Di tempat lain satu bahagian korban lebih rendah harganya”. Atau dengan kata lain: “ Mahalnya harga satu bahagian lembu atau seekor kambing korban tahun ini”.

Di situlah sebenarnya gambaran nilai jati diri, integriti atau keikhlasan kita melaksanakan ibadah korban atau lain-lain ibadah sama ada ibadah wajib atau sunat. daging korban sunat diagihkan kepada yang berhak menerimanya dalam bentuk daging mentah. Hukum sunat agihan daging korban ini berbeza dengan hukum sunat agihan daging aqiqah iaitu dalam bentuk daging masakan.

.

Justeru, pengagihan daging korban atau aqiqah hendaklah menepati syarat-syaratnya bagi memastikan kesempurnaan pelaksanaan ibadah tersebut. Satu bahagian adalah diperuntukkan untuk diri sendiri dan kaum keluarga sebagai melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT atas kelebihan nikmat rezeki sehingga kita mampu melaksanakan ibadah korban. Pemberian daging korban itu juga akan tambah mengeratkan kasih sayang antara sesama keluarga.

Satu bahagian lagi adalah diagihkan kepada fakir miskin dengan hasrat untuk menggembirakan hati mereka yang mungkin dapat menikmati rezeki daging korban ini hanya setahun sekali sahaja.

Manakala satu bahagian lagi adalah  kepada jiran tetangga serta handai taulan semoga dapat mengeratkan lagi perhubungan dan tali silaturrahim.  Mudah-mudahan dengan ini tercapailah hasrat untuk membantu meringankan beban, mempertingkatkan kualiti hidup dan mengeratkan silaturrahim di antara umat Islam itu sendiri.

.

Mimbar menyambut baik usaha yang telah dijalankan oleh pihak-pihak yang tertentu seperti masjid-masjid, surau-surau, NGO dan pertubuhan Islam lain yang menjalankan ibadat korban di negara-negara minoriti Islam seperti Kemboja, Vietnam, Filipina bagi menyahut seruan suci ini.

Paling penting adalah mereka yang mengorbankan harta dan binatang ternakan bagi tujuan suci ini dengan penuh ketaqwaan dan hati yang ikhlas kepada Allah SWT. Mimbar amat menghargai sumbangan jemaah dan umat Islam sekalian yang menghidupkan ibadat korban samada di peringkat kampung, taman perumahan mahupun di luar negara.

.

.

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH,

.

Pada hari ini marilah kita memperbanyakkan ucapan salawat dan salam ke atas baginda nabi Muhammad SAW kerana telah menyampaikan Islam kepada kita melalui berbagai bentuk pengorbanan dan jihad. Tanda kasih kita kepada baginda hendaklah dirakamkan dalam bentuk ucapan salawat dan salam sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab ayat 56:

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

.

.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ وَعَلَى سَيِّدِنَا  مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّك حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

وَاَرْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الأَرْبِعَةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ وَتَابِعِيْهِمْ بِإِحْسَانِ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ.

اَللَّهُمَّ أَنْزِلِ الرَّحْمَةَ وَالسَّكِيْنَةَ وَالسَّلاَمَةَ وَالْعَافِيَةَ عَلَى السَّلاَطِيْنِ الكِرَامِ، وَوُلاَةِ الْمُسْلِمِيْنَ الْعِظَامِ الَّذِيْنَ قَضَوْا بِالْحَقِّ وَبِهِ كَانُوْا يَعْدِلُوْنَ خُصُوْصًا عَلَى سري فدوك بضيندا يغ دفرتوان اضوغ الْمُعْتَصِمُ بِاللَّهِ مُحِبُّ الدِّيْنِ توانكو الْحَاجَّ عَبْدَ الْحَلِيْمِ مُعَظَّمْ شَاهُ إِبْنَ الْمَرْحُوْمِ السُّلْطَانِ بَدْلِي شَاهُ وَعَلَى سري فدوك بضيندا راج فرمايسوري اضوغ توانكو حاجه حامينة وَعَلَى فوتري۲ سرتا قرابة۲ دراج سكلين.

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ مَالِيْزِيَا وَسَائِرَ بِلاَدِ الْمُسْلِمِيْنَ طَيِّبَةً آمِنَةً مُطْمَئِنِّةً رَخِيَّةً.

أَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِيْنَ وَالْمُبْتَدِعَةَ وَالْمُنَافِقِيْنَ وَأَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنَ.

اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا الْمُسْلِمِيْنَ الْمُظْلُومِينَ فِى كُلِّ مَكَانٍ وَفِى كُلِّ زَمَانٍ خُصُوْصًا فِى فَلَسْطِينَ. اَللَّهُمَّ ارْفَعْ مَقْتَكَ وَغَضَبَكَ عَنَّا وَلاَتُؤَاخِذْنَا بِمَا فَعَلَ السُّفَهَاءُ مِنَّا وَاقْضِ حَوَائِجَ السَّائِلِينَ. وَاخْتِمْ لَنَا بِخَاتِمَةِ السَّعَادَةِ بِرَحْمَتِكَ يَاأَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.

رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَِلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِى قُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَّحِيْمٌ. رَبَّنَا آتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُكُمْ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِى الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ. وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَللهِ الْحَمْدُ. لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“ BERKORBAN APA SAHAJA ”

(24 September 2015 / 10 Zulhijjah 1436H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

~shafiqolbu~

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: