Mataf (Jambatan Sementara) Keliling Kaabah Mulai Dibuka Dan Ditanggalkan

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

mataf 2016.

Mataf sementara (tempat tawaf bertingkat berbentuk bulatan melingkari Kaabah) di Masjidil Haram yang digunakan oleh jemaah umrah dan haji ketika menunaikan tawaf di Masjidil Haram akan dibuka dan ditanggalkan secara berperingkat mulai awal bulan ini. Mataf sementara tersebut telah banyak membantu dan memudahkan perjalanan tawaf para Jemaah umrah dan haji terutama golongan oku dan warga emas sewaktu kewujudannya.

Binaan Mataf sementara yang menggunakan teknologi bahan komposit dan kaedah IBS (pasang siap) itu tidak lagi digunakan menjelang Ramadan pada Jun ini kerana arahan merobohkannya sudahpun dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Seorang kakitangan Universiti Umm Al-Qura, Faisal Wafa, yang juga pengerusi jawatankuasa teknikal mataf, berkata, “Tujuan di sebalik pembinaan jambatan sementara itu berjaya dipenuhi. Sudah tiba masanya ia perlu dirobohkan,” katanya.

Sementara imam besar Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais, dalam satu kenyataan berkata bahawa kini jambatan sementara tidak diperlukan lagi kerana projek pembesaran mataf selesai.

Jika 3 tahun dahulu, seramai 14 orang rakyat Malaysia terlibat dalam pembinaan dan pemasangan Mataf sementara tersebut dan mereka juga akan turut terlibat dalam proses perobohan/pembongkaran (dismantle) kali ini.

Seluruh binaan mataf tersebut ditutup sepenuhnya sejak 3 April lalu bagi membolehkan kerja-kerja membuka dan penurunan komponen-komponen IBS dilakukan. Kerja meroboh bermula di sebelah barat Projek Pembesaran Raja Fahd memandangkan kawasan itu bersedia untuk menerima jemaah dan pelawat.

Ketika ini kontraktor projek pembesaran itu giat merobohkannya binaan mataf sementara tersebut dengan kerjasama pasukan keselamatan Masjidil Haram, Pertahanan Awam dan jawatankuasa teknikal untuk memastikan tahap keselamatan tertinggi bagi jemaah.

Pengurus Tapak Binaan Premier Composite Technologies, Hairul Nizam Baharuddin, berkata, “Kerja-kerja meruntuhkan mataf akan mengambil tempoh 29 hari dan dijadualkan mataf tidak lagi digunakan menjelang Ramadhan.”

Beliau yang juga berasal dari Malaysia, bertindak sebagai jurutera pembinaan mataf dan projek perluasan Masjidil Haram berkata, “Kerja-kerja meruntuhkan mataf itu bagaimanapun tidak menjejaskan jemaah untuk mengerjakan tawaf.”

Kata Hairul Nizam, “Jemaah boleh mengerjakan tawaf seperti biasa tetapi dinasihatkan tidak menghampiri zon larangan sepanjang tempoh komponen mataf dibuka bagi tujuan keselamatan dan sebagai usaha mengelakkan kejadian tidak diingini.”

 

“Ruang untuk menunaikan solat dan bertawaf menjadi sedikit terhad dan boleh menimbulkan kesesakan tetapi pastikan jemaah mematuhi arahan laluan ke ruang perkarangan Kaabah dengan bantuan sekuriti dan mutawif,” katanya.

Kerja-kerja tersebut akan mengambil masa selama sebulan dan dijangka siap sepenuhnya pada Jumaat 27 Mei depan bersamaan 20 Syabaan 1437H, kira-kira 10 hari sebelum Ramadan bulan bermula.

Menurut Faisal Wafa, keseluruhan fasa ketiga projek pembesaran dari kawasan Al-Shamiya, semua tingkat mataf dan siling akan sedia untuk digunakan sepenuhnya pada bulan Ramadhan 1437H.

.

Roboh Mataf di Masjid Al haram c

Roboh Mataf di Masjid Al haram a

.

Binaan Mataf Sementara

.

Mataf bermaksud kawasan ataupun tempat untuk melakukan ibadah tawaf. Ianya tidak semestinya sebuah binaan, kawasan dataran di sekeliling kaabah itu juga adalah mataf. Walau di mana sahaja kita bertawaf selagi ianya mempunyai gerakan tawaf di situ, bermakna ia adalah mataf.

Pembinaan mataf sementara pada awalnya dibina sebagai alternatif mengurangkan kesesakan kerana bangunan Masjidil Haram yang lama ketika itu telah ditutup secara berfasa selama tiga tahun untuk memberi laluan kepada projek peluasan kawasan tawaf (mataf) di dalam bangunan Masjidil Haram yang baru. Proses penambahbaikan dan menaik taraf ini adalah salah satu fasa dalam projek pembesaran Masjidil Haram.

Langkah bijak telah diambil oleh pihak pengurusan, konsultan dan kontraktor projek dengan mereka dan memasang struktur mataf sementara (temporary mataf) pada Ogos 2013 hanya untuk tempoh sementara. Keberadaan mataf sementara itu sedikit sebanyak berjaya membantu melancarkan perjalanan pembangunan projek peluasan kawasan tawaf kekal.

Kewujudan Mataf sementara tersebut juga berjaya mengurangkan kesesakan di Masjidil Haram dan lebih khusus untuk jemaah berkerusi roda, berusia dan mereka yang berkeluarga. Ia mula dibuka kepada jemaah seminggu sebelum Ramadan pada 2013 untuk memudahkan mereka tawaf dan solat.

Mataf sementara tersebut mampu menampung kira-kira 8,000 jemaah pada satu-satu masa dan sering menjadi tumpuan jemaah untuk bertawaf selepas Subuh, Maghrib dan Isyak.

Dengan ketiadaan jambatan mataf sementara yang telah 3 tahun berdiri utuh di sekeliling Kaabah, bermakna projek peluasan kawasan tawaf (mataf) sudah hampir tiba ke penghujungnya. Walaupun belum sempurna, menurut beberapa sumber, kawasan tawaf bertingkat ini akan dibuka dan mula digunakan pada bulan ramadan. Insha Allah..

Projek peluasan kawasan mataf berobjektif untuk meluaskan kawasan tawaf di dataran Kaabah dan di dalam Masjidil Haram yang menyaksikan peningkatan jemaah umrah dan haji saban tahun.

Bangunan Masjidil Haram yang lama (yang dikenali sebagai First Saudi Extension) yang dibina dari tahun 1956 masihi hingga 1979 masihi dengan keadaan yang dipenuhi banyak tiang-tiang tinggi dan berkedudukan amat rapat di tingkat bawah dan tingkat satu dalam Masjidil Haram telah diruntuhkan bagi memberi ruang yang lebih luas untuk jemaah melakukan tawaf dengan selesa.

Bagi merealisasikan projek peluasan kawasan tawaf ini, bangunan Masjidil Haram yang lama perlu dirobohkan dan dibina bangunan yang lebih kukuh strukturnya agar membolehkan ruang yang selesa dan selamat untuk jemaah umrah dan haji melakukan ibadah tawaf di dalam Masjidil Haram.

.

Roboh Mataf di Masjid Al haram b

.

.

Kelebihan Bangunan baru Masjidil Haram

.

Bangunan Masjidil Haram yang baru kelak akan mempunyai beberapa kelebihan, di antaranya:

1) Mempunyai 5 tingkat. Jemaah umrah dan haji akan dapat melakukan ibadah tawaf bukan sahaja di bahagian dataran Kaabah sahaja, malah boleh melakukannya di setiap tingkat sehinggalah di tingkat teratas sekali (bumbung). Ianya bermula dari bahagian dataran Kaabah, tingkat bawah, tingkat pertama, tingkat mezzanine pertama dan tingkat kedua (bumbung).

2) Bangunan Masjidil Haram akan berkeluasan 160,000m2 berbanding 111,500m2 sebelum ini!

3) Dapat menampung sehingga 262,000 jemaah bagi setiap waktu solat berbanding hanya 188,000 orang sahaja sebelum ini!

4) Seramai 107,000 orang jemaah boleh melakukan tawaf serentak di Kaabah dalam tempoh sejam! Berbanding hanya 48,000 orang dalam masa sejam sebelum ini.

5) Di kawasan saie, mampu memuatkan seramai 124,000 dalam masa satu jam.

6) Terdapat laluan alternatif kepada mataf untuk keluar dan masuk mengikut negara, warga emas/tua dan orang kurang upaya (OKU) bagi memastikan keselamatan jemaah. Contohnya, tingkat pertama mataf dikhususkan untuk jemaah menggunakan kerusi roda yang ditolak manakala tingkat mezzanine untuk jemaah menggunakan kerusi roda elektrik dan untuk pejalanan kaki, akan turut dipisahkan mengikut tingkat.

7) Dataran kaabah akan kembali lapang dan bertambah keluasannya serta akan dipasang binaan payung-payung gergasi seperti di Masjid Nabawi.

.

.

Penutup

.

Proses pembongkaran ini bukanlah suatu kerja mudah kerana kawasan dataran tawaf tersebut tidak boleh ditutup sepenuhnya bagi memberikan laluan kepada orang lain melakukan tawaf yang semestinya tertumpu di kawasan dataran tawaf yang sedia sesak kerana kita tidak ada jalan lain untuk bertawaf dan selama jangka masa tersebut kerjasama daripada jemaah amatlah dituntut bagi membolehkan segala kerja berjalan dengan lancar dan yang paling penting adalah faktor keselamatan.

Projek pembesaran Masjidil Haram bertujuan untuk menjamin keselesaan dan keselamatan Jemaah dalam masa mendatang. Dengan adanya penambahbaikan ini, jumlah jemaah juga akan turut dapat ditambah seiring dengan keluasan dan kemudahan yang disediakan.

Insya’Allah dengan penurunan atau pembukaan kembali mataf ini memberi keselesaan kepada pengunjung dan hamba Allah yang beribadah di sana. Semoga ALLAH memudahkan segala urusan kita samaada sebagai jemaah umrah ataupun haji yang jiwanya dekat dengan tanah barakah ini. Doakan kita semua mampu menjejakkan kaki kita ke sana suatu hari nanti.

Aamiin.

.

Sumber – http://www.arabnews.com

.

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

~ shafiqolbu ~

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: