KJ : Al-Quran Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ 

.

Khutbah Jumaat: “Al-Quran Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah”

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada bulan Syaaban yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan Majlis Tilawah Peringkat Antarabangsa yang berlangsung di PWTC pada minggu ini, maka mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “AL-QURAN PEMACU TRANSFORMASI UMMAH WASATIYYAH ”.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Nabi kita Muhammad SAW adalah seorang Rasul yang telah menyelesaikan segala permasalahan ummah dan telah menyempurnakan tanggungjawab sewaktu hayat Baginda dengan meninggalkan dua khazanah yang amat berharga sebagai panduan hidup iaitu al-Quran dan sunnahnya. Kitab wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya ini dipenuhi mukjizat dan keagongan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab-kitab yang lain dan tiada keraguan tentang kebenarannya.

.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 2 dan 3:

Maksudnya: “Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa. Iaitu orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan sembahyang, serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

.

Al-Quran sebagai kitab perlembagaan dan panduan bagi kehidupan manusia, bukan sekadar mengandungi hukum hakam, bahkan ianya memberi panduan mengenai adab dan peraturan sebagai hamba Allah SWT. Sejarah telah membuktikan bahawa al-Quran sebagai pemacu bagi penyatuan ummah yang berkeupayaan tinggi membentuk dan melahirkan satu generasi yang kuat dan bertamadun. Justeru, al-Quran sebagai pemacu tranformasi ummah wasatiyyah memberi isyarat yang besar bahawa dengan kita kembali kepada al-Quran mampu menjana ketamadunan ummah yang unggul dan modal insan yang berkualiti serta dapat melahirkan khaira ummah dalam sebuah baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Ummah Wasatiyyah adalah merujuk kepada ummah yang melaksanakan segala tuntutan Islam secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman tetapi pada yang sama Islam terus dihargai atau dimartabatkan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143:

Maksudnya: Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu.

 .

Berdasarkan ayat ini, Ummatan wasata telah diterjemahkan sebagai umat pertengahan iaitu ummah yang adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat sekaligus seimbang dalam seluruh aspek kehidupan. Ia mengambarkan umat Islam yang telah di jelaskan oleh Allah SWT sebagai manusia yang adil dan boleh menjadi saksi terhadap seluruh perbuatan manusia. Mengikut pandangan Sayyed Qutb,Umat Islam adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya yang  fizikal, iaitu berada di tengah-tengah”.

,

Justeru, Umat Islam dituntut untuk mengseimbangkan antara rohani dan jasmani dan antara dunia dan akhirat. Sifat kesederhanaan dan keseimbangan ini sangat penting bagi orang yang beriman. Bagaimanapun mimbar ingin menegaskan bahawa kesederhanaan ini haruslah diterjemahkan secara positif, terutamanya dalam meletakkan kedudukan umat Islam di dalam dunia global, teknologi dan ilmu serta di dalam persaingan ekonomi dan juga dalam membina tamadun dan risalah atau misi Islam itu sendiri.

.

Ingatlah bahawa kesederhanaan yang diamalkan di dalam Islam adalah bermatlamat mencari kebenaran atau al-Haq. Dalam menuju ke arah kebenaran pastinya memerlukan roh kesederhanaan dan keseimbangan yang jitu. Bersikap sederhana bukan bermaksud mengambil mudah akan sesuatu perkara dan hanya berserah kepada takdir dan nasib untuk menentukan segalanya tetapi ianya lahir daripada ilmu dan prinsip yang benar serta mampu bertolak ansur. Perkara ini tidak mungkin akan dapat di capai melainkan dengan kita kembali kepada ajaran sunnah Rasulullah dan al-Quran al-Karim. Umat Islam sebagai ummah unggul menuntut kebijaksanaan yang tinggi dalam menyusun kehidupan. Harus diingat sekali lagi bahawa dalam usaha melakukan tranformasi  ianya memerlukan satu perubahan atau tajdid. Perubahan dalam kehidupan mestilah  mampu membebaskan umat Islam dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi. Percayalah bahawa Allah SWT tidak akan merubah sesuatu kaum tersebut selagi kita tidak melakukan perubahan pada diri sendiri.

Ini adalah undang-undang dan sunnah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Ra’d ayat 11:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.

 .

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Sebagai ummah yang beriman maka sewajarnya al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Justeru, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjadikan al-Quran sebagai budaya dan acuan kehidupan. kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. Ingatlah bahawa tuntutan qurani ini telah berjaya membebaskan ummah dari kegelapan jahiliah kepada cahaya keimanan dan kemuliaan insan. Penghayatan kepada prinsip dan dasar-dasar al-Quran merupakan eleman penting bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran sesebuah negara.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar mengambil kesempatan dengan sempena dengan majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa kali ke 54 yang diadakan di dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra  Kuala Lumpur mimbar menyeru para jamaah sekalian marilah sama-sama kita membudayakan al-Quran dalam kehidupan. Didiklah ahli keluarga dan anak-anak agar menjadi orang yang mencintai al-Quran. Memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran.  Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan. Insyaallah dengan cara ini akan menjadikan mereka generasi yang terdidik dengan al-Quran dan menjadi ummah yang cemerlang di dunia dan akhirat. Mimbar juga mengambil kesempatan Bersempena dengan Minggu keselamatan dan kesihatan Pekerja yang ditetapkan pada minggu ke 2, bulan Julai setiap tahun, menyeru kepada jemaah dan umat Islam sekalian khususnya kepada para pekerja agar senantiasa menerapkan amalan budaya kerja selamat dan sihat semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Ingatlah nyawa dan kesihatan adalah anugerah Allah SWT yang tidak ternilai yang perlu dipelihara dengan sebaik mungkin.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalm surah al-Israa ayat 45:

Maksudnya: Dan apabila kamu membaca Al-Qur’an, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.

 .

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Al-Quran Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah”

(13 Julai 2012 / 23 Sya’ban 1433H)


.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

Posted by; shafiqolbu

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: