KJ: Hijrah Dan Pembangunan 1 Ummah

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

 .

Khutbah Jumaat : Hijrah Dan Pembangunan 1 Ummah

..

 Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “HIJRAH DAN PEMBANGUNAN 1 UMMAH ”.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Alhamdulillah, kita telah memasuki tahun baru 1434 Hijrah.  Ma’al Hijrah sebenarnya telah mengingatkan kita kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat RA. Program hijrah adalah satu langkah Rasulullah SAW yang amat strategik dalam menegakkan dakwah Islamiah demi memperkasakan umat Islam. Penyatuan dua golongan Muhajirin dan Ansar telah melahirkan perpaduan, persepakatan dan keharmonian dan yang lebih penting persaudaraan sesama umat Islam itu sendiri. Perlu kita ingat bahawa berjayanya hijrah menjadi jambatan tertegaknya daulah Islamiah kerana hijrah tersebut dipandu dan didukung oleh keimanan dan ketakwaan yang padu. Kejayaan hijrah ini juga telah mengubah lanskap akidah, ibadah, akhlak dan gaya hidup ummah ketika itu.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 100:Maksudnya: Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati dibumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

.

.

 Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Persoalan besar timbul di sini apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan hijrah. Hijrah membawa pengertian yang amat luas, iaitu keluar dari medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil. Ia juga merangkumi perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada pada lingkungan rahmat dan keredhaan dari Ilahi. Tanpa sifat-sifat sanggup berhijrah, mustahil kejayaan akan tercapai dan kemajuan ummah tidak akan berhasil. Ingatlah bahawa Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Allah SWT  memberi sesuatu kepada kita tanpa berusaha.

Firman Allah SWT di dalam  surah Ar-Ra’d ayat 11 :Maksudnya:  Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

.

Justeru, sebagai umat Islam kita dituntut melakukan perubahan. Dengan melakukan perubahan bersifat semasa ianya mampu melepaskan seseorang itu dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi. Dengan cara ini akan melahirkan umat Islam yang selari dengan zaman serta cabaran lingkungan terkini. Umat Islam mestilah diberikan suasana kebebasan dalam membuat pandangan-pandangan yang membina supaya setiap pihak merasa selesa bahawa kritikan yang membina adalah untuk kebaikan kepada semua.Adalah satu hakikat perubahan seseorang amat bergantung kepada pendidikan. Maka, Islam memberi penekanan terhadap pendidikan melalui penjelasan yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11:Maksudnya: Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Pendidikan adalah matlamat utama melahirkan individu muslim yang berilmu dan membina masa depan ummah. Peredaran zaman telah memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia itu sendiri termasuklah cara bertindak dan berfikir. Bagi menjana ummah berkualiti, pendidikan yang bersepadu dan menyeluruh yang melibatkan farhu ‘ain, fardhu kifayah dan teknologi maklumat perlu dititikberatkan.

Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi seorang tokoh ulama’ semasa yang amat berpengaruh  menyatakan, Pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati, rohani, jasmani, akhlak dan tingkahlaku, ia bertujuan untuk membentuk manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering berhadapan dengan kebaikan, kejahatan, kemanisan dan kepahitan.

.

Umat Islam pada hari ini perlu juga dibangunkan dengan asas-asas kerohanian yang kukuh agar mereka tidak mudah cair dengan pengaruh persekitaran dan himpitan hawa nafsu. Umat Islam yang lemah kerohanian akan menyebabkan berlakunya kepincangan dalam pelbagai perkara seperti krisis moral, akhlak, keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat. Justeru bagi memastikan kedudukan umat Islam terjamin maka kita mestilah mengatur segala urusan kehidupan berdasarkan prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh syarak, disamping itu kita perlu memperkasakan institusi Islam seperti masjid, surau dan sebagainya sebagai medan pengembangan kerohanian. Umat Islam juga hendaklah bersatu dalam semua perkara terutama dalam pembangunan pendidikan demi kebaikan bersama.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Kita semua sedia maklum bahawa pendidikan yang berkesan tidak akan terlaksana jika ia tidak dijayakan secara bersungguh-sungguh serta mendapat kejasama dan sokongan dari semua pihak terutama institusi keluarga. Ibu bapa sebagai ketua keluarga seharusnya peka dan prihatin terhadap tanggungjawab yang perlu dilaksanakannya bersama. Ibu bapa perlu menyediakan prasarana yang baik di rumah bagi memastikan anak-anak dapat belajar dan mengulangkaji pelajaran mereka dengan selesa dan sempurna. Peranan ibubapa jika dilakukan dengan ikhlas bukan sahaja dapat melahirkan generasi yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara malah memberi pelaburan yang menguntungkan berterusan hingga hari akhirat.

Rasulullah SAW bersabda:Maksudnya: Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu: Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya.  (Riwayat Muslim)

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mimbar ingin mengingatkan kepada para jemaah dan umat Islam sekalian bahawa, apa yang paling penting ialah inisiatif dalam diri kita untuk mengaplikasikan konsep hijrah itu sendiri dan segala usaha yang dibuat bagi pembangunan ummah yang kamil samada dari segi jiwa, mental dan fizikal hendaklah berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.

Ini bersesuaian dengan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, di mana kamu semua tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasullullah SAW. (Hadith Riwayat Imam Malik)

.

Bagi mengakhiri khutbah dan bersempena dengan kedatangan tahun baru hijrah ini, mimbar menyeru semua umat Islam, marilah kita sama-sama bertindak secara proaktif bagi memastikan pembangunan ummah lebih cemerlang dengan mengambil usaha-usaha seperti berikut:

.

Pertama: Melakukan penghijrahan dengan memperkasa sektor pendidikan yang menjadi teras membina masa depan keluarga, generasi dan negara;

Kedua: Membuat kajian dan analisis dari masa ke masa tentang kekuatan, kelemahan, cabaran dan ancaman yang dihadapi dalam membina ummah yang cemerlang; dan

Ketiga: Merancang dan menyediakan pelan tindakan supaya matlamat membina  masa depan ummah yang cemerlang memenuhi keperluan dunia dan akhirat.  

 

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 9:

Maksudnya: “Katakanlah: adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.

.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Hijrah Dan Pembangunan 1 Ummah

(16 November 2012 / 2 Muharram 1434H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

Leave a comment