KJ : Anugerah Malam Al-Qadar

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Malam Lailatul-Qadar

.

Khutbah Jumaat: Anugerah Lailatul Qadar

.

kj lailatul qadr 1.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah Sekalian,

 

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri supaya bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dalam Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, marilah kita bersungguh-sungguh mengambil peluang keemasan ini untuk membaiki dan meningkatkan prestasi akhlak supaya kita dapat melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan puasa kita kali ini menjadikan kita insan yang bertaqwa. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ialah: Anugerah Malam Al-Qadar.

.

Memasuki fasa ketiga bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, maka mimbar menyeru, marilah kita menggunakan peluang dan tawaran yang berharga ini bagi menambahkan bekalan akhirat. Lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang mempunyai banyak kelebihannya.

.

Bulan Ramadhan, Al-Quran dan malam al-Qadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Di antaranya firman Allah SWT:

kj lailatul qadr 2Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Qur’an) ini pada Malam Laitatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

.

Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof al-Qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja disembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya. Ia adalah satu anugerah Allah SWT kepada umat Muhammad SAW yang tidak ternilai fadilatnya.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

kj lailatul qadr 3Mafhumnya:Cari malam Lailatul al-Qadr di malam ganjil 10 hari terakhir bulan Ramadhan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

.

Sepuluh malam akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Pada sepuluh malam yang terakhir inilah terdapat malam Al-Qadar atau Lailatul Qadar yang begitu istimewa sekali fadhilatnya. Dan amalan pada malam itu lebih baik dari seribu bulan. Ia juga merupakan malam yang amat ditunggu-tunggu oleh mereka yang menginginkannya kerana ia hanya berlaku pada satu malam sahaja sepanjang tahun. Maka beruntunglah siapa yang memperolehinya dan rugilah siapa yang melepaskannya.

.

Pelbagai hikmah dari anugerah malam al-Qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna sekiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun 4 bulan. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah Sekalian,

 

Selain kelebihan beramal, malam Lailatul Qadar juga memperjelaskan segala urusan hidup manusia dengan penuh hikmah.

Firman Allah SWT melalui surah al-Dukhan ayat 3-6:

kj lailatul qadr 4Maksudnya  Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur’an itu pada malam yang berkat; kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran. Padanya dijelaskan tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku. Iaitu perkara-perkara dari sisi Kami; sesungguhnya Kamilah yang mengutus Rasul-rasul. Sebagai rahmat dari Tuhanmu; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Persoalan timbul di sini ialah bagaimanakah cara untuk kita mendapatkan Lailatul Qadar? Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa langkah kepada umatnya agar berusaha sedaya upaya mendapatkan Lailatul Qadar ini. Menurut Imam Bukhari dan Muslim bahawa Saidatina ‘Aisyah meriwayatkan:

kj lailatul qadr 5Maksudnya:Sesungguhnya, Rasulullah s.a.w. apabila masuk malam sepuluh terakhir Ramadhan, baginda menghidupkan malam (dengan amal ibadah), mengejutkan keluarganya (bangun beribadah), bersungguh-sungguh (dalam ibadah ) dan uzlah dari isteri-isterinya.

.

Orang yang beribadah pada 10 malam yang terakhir akan bebas dari api neraka berdasarkan hadis-hadis sahih. Walau bagaimanapun umat Islam dituntut melakukan ibadat sepanjang malam di bulan Ramadhan dengan bermunajat kepada Allah SWT agar dihapuskan segala dosa, di samping berdoa untuk mendapatkan kesejahteraan hidup, rezeki yang berkat, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang baik kerana pada malam lailatul Qadar tiada hijab untuk Allah menerimanya.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Mengambil kesempatan sempena dengan kedatangan aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi, mimbar menyeru semua umat Islam sebelum dan semasa pulang ke kampung supaya mengambil langkah berikut:

.

    1. Memastikan keadaan rumah selamat untuk ditinggalkan dengan memastikan semua suis telah ditutup dan juga memastikan rumah berkunci dengan rapi.
    2. Mengisi borang balik kampung yang telah disediakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi makluman pihak polis.
    3. Memaklumkan kepada jiran dan membatalkan penghantaran surat khabar.
    4. Memeriksa kenderaan supaya dalam keadaan selamat untuk tempoh perjalanan yang jauh.
    5. Membaca doa sebelum memulakan perjalanan.
    6. Berehat sebentar sekiranya penat atau mengantuk juga mengikut peraturan lalu lintas.
    7. Memandu secara berhemah dan sabar  serta bertolak ansur dengan pengguna jalan raya. Hindarkan sikap negatif seperti terburu-buru, panas baran dan bertengkar dalam kenderaan.
    8. Bersyukur setelah selamat sampai ke destinasi.

.

Ingatlah kepulangan kita amat-amat ditunggu untuk sama-sama menyambutnya dengan kegembiraan dan bukan dengan tangisan. Berdasarkan statistik kemalangan jalan raya pada tahun 2012 jumlah kemalangan yang berlaku sebanyak 17, 937 kes, menunjukkan kadar yang yang berlaku amat membimbangkan. Amatlah diharapkan supaya tragedi seperti ini tidak berlaku pada idulfitri pada kali ini.

.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru sekali lagi agar para jemaah sekalian untuk memperkemaskan lagi amal ibadah dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ganjaran di bulan Ramadhan yang mulia ini yang masih berbaki 6 hari lagi. Perkara-perkara berikut perlulah diambil kira ketika melakukan ibadah:

Pertama: Menghayati malam malam terakhir di bulan Ramadhan dengan beribadah penuh khusyuk dan penuh penghayatan.

Kedua: Meninggalkan sementara keseronokan dunia dengan beriktikaf di masjid sambil beribadat sepuas-puasnya.

Ketiga: Beriman dan yakin bahawa malam Lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.

Keempat: Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmatnya dan keredaannya.

.

Adalah diharapkan sebelum daripada kita beramal ibadat di malam al-Qadar, hendaklah kita bertaubat dengan sebenar-benarnya iaitu taubat nasuha dan terus beristiqamah tetap teguh mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ahqaaf ayat 13-14:

kj lailatul qadr 6Maksudnya: Sesungguhnya orang yang berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetapkan pendirian, maka tidaklah mereka takut, dan tidak akan berdukacita. Merekalah ahli syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal salih yang mereka telah kerjakan.

 .

kj korban 6.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Anugerah Malam Al-Qadar

(02 Ogos 2013 / 24 Ramadhan 1434H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

sign s

.

 

One response to this post.

  1. Posted by Azelie b. Mohd Yusop on 02/08/2013 at 8:39 am

    ASSALAM EN SHAFIQ.

    BOLE SAYA BERTANYA.

    [cid:image001.gif@01CE8F5B.B22AAC20]

    Azelie Mohd Yusop @ Reen
    Administrative Assistant,Mortgage Division

    Billing & Payment
    AIA Bhd.

    Level 16
    No.84, Jalan Raja Chulan, 50927, Kuala Lumpur
    T: 603-2058 4838 (ext 2774) Fax 03-2161 7324
    E: Azelie.MohdYusop@aia.com

    AIA.COM.MY

    ________________________________

    Reply

Leave a comment