KJ :  Kemunculan Ramadhan Bertambah Amalan

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Jumaat shafiqolbu.

 

Khutbah Jumaat: “Kemunculan Ramadhan Bertambah Amalan”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ﴿١٨٣

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan di akhir bulan Syaaban  yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “RAMADHAN MENJELMA, AMALAN BERTAMBAH”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Sedar ataupun tidak bahawa bulan Ramadhan bakal tiba. Bulan yang mulia ini merupakan peluang bagi kita untuk menambah amalan samada ianya dalam tuntutan wajib ataupun sunat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Rasulullah SAW telah mengajar umatnya untuk menantikan kehadiran bulan Ramadhan dan mengharapkan ketibaannya dengan penuh kegembiraan di samping itu Baginda berdoa.

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, apabila tiba bulan Rejab Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan.” (Riwayat. Ahmad dan Tabrani)

Rasulullah SAW pernah berpidato di tengah-tengah para sahabat di akhir bulan Sya’ban, di antara isi pidatonya: “Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan di datangi dengan satu bulan yang agung dan penuh berkat. Di bulan itu terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Di bulan itu juga Allah menjadikan puasa sebagai kewajipan dan solat malam sebagai bentuk ibadah. Sesiapa berusaha mendekat diri kepada-Nya dengan satu bentuk ibadah sunat, maka pahalanya seperti melakukan ibadat fardu di luar bulan ini dan sesiapa melakukan ibadat fardu dalam bulan ini, maka pahalanya digandakan 70 kali. Ia adalah bulan kesabaran dan pahala sabar adalah syurga, Ia adalah bulan kebersamaan, bulan di mana rezeki orang-orang yang beriman akan ditambah. Sesiapa yang memberi makan untuk berbuka kepada orang lain, maka dosa-dosanya akan diampuni dan dibebaskan dari api neraka.”

Dan hadith Rasulullah SAW: “Setiap amalan anak-anak Adam itu dilipat-gandakan, satu kebajikan dilipatgandakan dengan 10 sehingga 700 kali ganda. Allah berfirman: Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk-Ku .Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika ia menjumpai tuhannya. Dan bau mulut orang yang berpuasa di hadapan Allah lebih harum dari wangian kasturi.” (Riwayat al-Bukhari)

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Pada bulan Ramadhan umat Islam diwajibkan berpuasa kerana dengan puasalah nafsu akan terdidik dan jiwa akan terpelihara. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Secara ringkasnya mimbar ingin menyatakan bahawa perkataan puasa bererti menahan diri daripada segala yang dilarangnya serta mengikuti apa yang diperintahkan-Nya. Hal ini dapat diwujudkan dengan adanya perasaan taqwa kepada Allah SWT. Maka dalam situasi ini kita hendaklah mengambil peluang untuk menguatkan jiwa dan rohani dengan melaksanakan ibadah puasa dan mengerjakan amal ibadah yang lain seperti sembahyang terawih dan membaca al-Quran sesuai dengan kemuliaan dan kebesaran bulan ini.

Persoalan besar timbul di sini bagaimanakah caranya untuk kita menyambut kedatangan bulan yang mulia ini dan melakukan ibadah puasa?. Mimbar yang mulia ingin menarik perhatian mengenainya, antaranya ialah:

Pertama: Memantapkan ilmu agama. Oleh itu, sebaiknya sebelum menjelang Ramadhan kita mengulangkaji ilmu-ilmu tentang ibadah puasa berdasarkan sumber-sumber yang benar dan sahih yang merangkumi rukun-rukun, sunat-sunatnya, perkara-perkara yang membatalkan puasa,perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa dan segala yang berkaitan dengan ibadah puasa.

Kedua: Berjihad melawan nafsu, iaitu dengan membina keazaman yang tinggi untuk melaksanakan segala amalan di bulan Ramadhan ini dan mengejar segala kebaikan dan kelebihannya. Imam al-Ghazali pernah berpesan bahawa nafsu tidak dapat dikalahkan melainkan ianya dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan istiqamah.

Ketiga: Menjaga dan memelihara kesihatan antaranya dengan mengambil makanan yang berkualiti dan selamat. Menurut Bahagian Keselamatan dan Kualiti makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, apa yang dimaksudkan dengan makanan sihat ialah, makanan yang bersih daripada kuman berbahaya, racun, kekotoran dan juga bersih daripada najis serta bahan-bahan bahaya yang lain. Bagi melaksanakan perkara ini kita hendaklah mengamalkan tips ‘Perhati dan Pilih’ sebelum membeli makanan, manakala ‘Lihat, Hidu dan Rasa’ sebelum makan.

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa kesihatan tubuh badan yang sempurna menjamin kesempurnaan ibadah puasa. Kecerdasan seluruh anggota badan diperlukan kerana pada bulan Ramadhanlah tubuh badan memerlukan tenaga bagi melaksanakan segala amalan seperti solat sunat tarawih, qiamullail, membaca al-Quran, iktikaf dan sebagainya.

Keempat: Senantiasa berdoa. Para Salafus Soleh berdoa selama enam bulan sebelum ketibaan bulan Ramadhan, mereka berdoa untuk menyatakan kerinduan mereka terhadap Ramadhan. Antara doa mereka adalah: Ya Allah, benarkanlah aku sampai ke bulan Ramadhan, dan benarkanlah kepadaku Ramadhan, dan benarkanlah ia bertemu denganku.

Kelima: Memperbanyak menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadhan Kita juga dituntut memperbanyakkan bercerita tentang kemuliaan bulan Ramadhan. Perkara ini bertujuan memberi rangsangan dan semangat kepada kita bagi membuat persediaan bertemu Ramadhan. Bukankah sesuatu perkara itu akan menjadi lebih meriah dan suasananya dapat dirasai jika senantiasa diwar-warkan. Apatah lagi bulan yang begitu mulia ini sepatutnya lebih layak disebut-sebut kemulian dan ganjarannya oleh media massa, media elektronik dan seluruh umat Islam.

Kita juga dituntut menjauhi perbuatan mengumpat, fitnah, bergosip dan menyebarkan keaiban seseoarang samaada melalui lisan mahupun alam maya. Usahlah kita terpengaruh dengan musuh-musuh Islam yang sengaja memanipulasi alam maya bagi membawa kehancuran dan melemahkan umat Islam.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Sedarlah bahawa kita adalah makhluk ciptaan Allah yang tidak dapat  lari daripada melakukan kesalahan sama ada dosa besar atau kecil. Sebagai makhluk ciptaan-Nya, maka Allah SWT Maha mengetahui cara dan kaedah yang sesuai untuk membaiki, membaik pulih dan mempertingkatkan iman dan akhlak manusia. Selari dengan kelemahan makhluk-Nya itu, maka Allah SWT menawarkan kepada umat Islam bulan Ramadhan dengan keampunan dan pahala yang berganda serta  mengembalikan fitrah akhlak manusia.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu.” (Riwayat Bukhari)

Oleh itu, menjelang Ramadhan ini, mimbar yang mulia ini menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian, inilah masanya untuk kita untuk memberi tumpuan kepada tawaran ibadah yang amat teristimewa ini daripada Allah SWT. Yakinlah, ibadah puasa yang dilakukan dengan sempurna pasti mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa kita menjadi lebih tenang dan membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertaqwa kepada Allah SWT.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Seiringan dengan kehadiran bulan Ramadhan al-Mubarak beberapa hari sahaja lagi, sesungguhnya bapa atau suami merupakan tonggak utama yang berfikiran terkehadapan dalam kehidupan sebuah keluarga. Lantaran itu, bapa atau suamilah yang berkewajipan memberi nafkah dan pakaian terhadap isteri dan anak-anaknya. Justeru, perbelanjaan berhemah perlu dititikberatkan oleh bapa atau suami demi menyusun ekonomi rumahtangga dan menjamin keharmonian hidup berkeluarga, lebih-lebih lagi kesabaran mengawal emosi dan godaan nafsu ketika berhadapan dengan suasana di bulan Ramadhan.

Di bulan ini pelbagai juadah, kuih muih yang membuka selera dijual di gerai dan pasar ramadhan. Selain itu, di pasaraya-pasaraya pula belum pun masuk bulan ramadhan, mereka telah bersaing hebat menawarkan jualan-jualan harga patut dan harga murah untuk menarik minat dan perhatian para pelanggan. Beginilah suasana dan keadaan yang berlaku setiap kali menjelangnya ketibaan bulan ramadhan dan selepasnya.

Semoga iman kita terutama yang bergelar bapa atau suami tetap kukuh dan tidak terpengaruh dengan sebarang godaan hawa nafsu yang melalaikan. Di samping itu, bapa atau suami juga diharapkan dapat membimbing keluarga masing-masing untuk melaksanakan sebarang ibadah dengan betul dan sempurna. Tariklah nafas keimanan dan jadilah contoh yang terbaik buat isteri dan anak-anak kita.

Elakkanlah mereka daripada melakukan maksiat terutamanya yang melibatkan pandangan dan penglihatan mereka. Ingatlah bahawa aksi ghairah yang dilihat melalui televisyen dan alam maya pasti akan mempengaruhi psikologi dan tindakan mereka. Dan jika ada puasa ramadhan tahun lalu belum ditunaikan maka perlu diingatkan bahawa kesempatan yang ada eloklah diqada’kan supaya tidak ada puasa yang tertunggak.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Bersesuaian dengan tajuk khutbah hari ini Ramadhan Menjelma, Amalan Bertambah, maka mimbar menyeru, marilah kita sama-sama menyambut kehadiran Ramadhan kali ini dengan penuh ketaqwaan dan membuat persiapan dengan sebaik mungkin. Bulan barakah ini merupakan anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya yang hanya datang setahun sekali. Penuhilah ruang dan masa dengan melakukan perkara-perkara kebaikan kerana mungkin pada tahun yang mendatang kita tidak menemuinya lagi.

Mengakhiri khutbah marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةًۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ﴿٩٧

“Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberi pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Ramadhan Menjelma, Amalan Bertambah”

(27 Jun 2014 / 29 Sya’ban 1435H)

 

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Advertisements

One response to this post.

  1. Salam tuan..nk tanya..ketika tengah berpuasa, tiba-tiba hidung kita berdarah mungkin disebabkan oleh cuaca panas dan atau kita berada dalam keadaan kurang sihat, puasa kita batal atau tidak?

    Terima kasih

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: