KJ :  Menyingkap Rahsia Ramadhan

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Nuzul Quran -SQ.

Khutbah Jumaat: “Menyingkap Rahsia Ramadhan

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Hari ini adalah hari ke 13 bulan Ramadhan. Selari dengan bulan Ramadhan yang berkat ini saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabdian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ialah: “MENYINGKAP RAHSIA RAMADHAN”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Percayalah bahawa bulan Ramadhan yang mulia lagi berkat ini penuh dengan kerahsiaan dari Allah SWT. Justeru, sebagai orang yang beriman kita dituntut untuk menyingkap rahsia-rahsia tersebut agar kita mengambil segala kelebihan yang ada pada bulan ini. Antara rahsia yang perlu kita yakini ialah bahawa pada bulan Ramadhan Allah SWT telah menurunkan al-Quran iaitu pada 17 Ramadhan. Al-Qur’an merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada umat manusia.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ

Maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah”.

Imam al-Tabari menjelaskan, bahawa penurunan ini ialah penurunan al-Quran secara sempurna dari Loh Mahfuz ke langit dunia. Ia menjadi petunjuk kepada sekalian manusia sebagai satu penjelasan bahawa al-Quran sebagai sumber hidayah. Dengan demikian al-Qur’anlah yang seharusnya memandu dan memimpin kehidupan umat manusia.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Sebagai umat Islam kita dituntut untuk membaca a-Quran sebagai satu ibadah dan hukumnya adalah sunat. Lihatlah apa yang dilakukan oleh ulama’ salaf sepanjang bulan Ramadhan yang berkat ini, mereka ini mendekati al-Quran, membaca, menghayati serta mentadabbur. Ibn Abdil Hakim pernah berkata: Apabila Ramadhan menjelang Imam Malik bin Anas meninggalkan periwayatan Hadith dan diskusi dengan para ulama’, beliau terus membaca al-Quran dari mashaf. Begitu juga Sufian al-Thauri, tiap kali tibanya Ramadhan beliau meninggalkan segala ibadah yang lain hanya semata-mata untuk membaca al-Quran.

Sayidina Uthman bin Affan pernah berkata : Kalau hati kita bersih, kita tidak akan pernah kenyang daripada al-Quran. Aku tidak menyukai satu hari yang aku tidak membaca mashaf al-Quran padanya.

Al-Hafiz Ibn Rajab berkata di dalam kitabnya Lata’if al-Maarif : Bahawa umat Islam mengalami dua jihad di dalam bulan Ramadhan, jihad puasa pada siang hari dan jihad qiyam (Solat sambil membaca al-Quran ) pada malamnya.

 .

Banyak hadith yang menjelaskan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT seperti dalam satu hadith Qudsi di mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatiku daripada meminta-minta kepadaku, maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada Aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepadaku itu. Dan kelebihan kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas makluk-Nya. Dalam satu hadith lain yang bermaksud: Apabila seseorang dapat mengkhatamkan bacaan al-Quran satu kali, 60 ribu malaikat memohon keampunan dari Allah SWT untuknya.

Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala sebagaimana sabda Rasulullah SAW:  “Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka baginya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kebajikan seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf.”   (Riwayat Tirmizi)

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Ingatlah sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dijadikan asas panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariah dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah, rosak akhlaknya dan beku fikirannya untuk mendalami al-Quran. Mereka lebih gemar menurut hawa nafsu dengan melakukan perkara-perkara yang melalaikan dan merosakkan imej dan martabat umat Islam itu sendiri.

 .

Ingatlah..al quran ialah kalam suci daripada Allah swt, maka ia tidak boleh ditafsir sewenang-wenangnya mengikut hawa nafsu mahupun kepentingan peribadi. Usahlah kita mudah terpengaruh dengan perwatakan luaran yang kelihatan seperti warak mahupun kepetahan lisan yang berbicara. Jadilah kita golongan yang celik al quran dan golongan yang suka mengkaji untuk mencari kebenaran.bukannya golongan yang hanya mudah terikut-ikut dan mudah terpedaya.

Rasulullah SAW pernah melahirkan kebimbangan bahawa pada satu ketika nanti umat Islam ramai jumlah bilangannya tetapi berkeadaan seperti buih di lautan, kerana lemah dan tidak berdaya saing.

Seorang tokoh Islam Malik bin Nabi pernah berkata: “Kemunduran yang dideritai oleh umat Islam hari ini bukan sebab Islam seperti yang diwawarkan itu, ini adalah satu hukuman dari Islam ke atas umatnya yang cuba meninggalkan Islam, bukan kerana mereka berpegang dengan Islam.

 .

Tariklah nafas kesedaran dan yakinlah, jika kita inginkan kejayaan.al-Quran lah petunjuknya, jika inginkan ketenangan.al-Quran lah penawarnya, jika hati inginkan rawatan.al-Quran lah pengubatnya, jika inginkan kemenangan.al-Quran mempunyai rahsianya. Justeru, mimbar menyeru seluruh umat Islam marilah sama-sama kita menjadikan budaya membaca, memahami dan mempraktikkan segala apa yang terkandung di dalam al-Quran sebagai gaya hidup.

Petunjuk yang datangnya dari al-Quran, tidak sekadar maklumat dan ilmu, prinsip dan pedoman, ia adalah hidayah dan barakah Allah terhadap hamba-Nya yang terpilih. Hudan atau petunjuk bukan sekadar memberi pedoman sesuatu yang zahir tetapi hakikatnya ia menyeluruh dan merangkumi hubungan sesuatu dengan Allah.

Ingatlah wahai jemaah sekalian bahawa Allah SWT melahirkan manusia dengan akal, rohani dan kekuatan jasmani, ketiga-tiga ini perlu disuburkan  dengan al-Quran agar ia dapat menyumbang kepada kehidupan dengan membentuk keperibadian muslim yang takut kepada azab Allah SWT dan siksaan-Nya.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

.

Bersempena dengan mengingati peristiwa Hari Nuzul al-Quran pada 17hb Ramadhan ini bersamaan dengan hari Rabu 15 Julai 2014, marilah sama-sama kita menyingkap rahsia Ramadhan. Sesungguhnya Allah SWT memberikan penghormatan kepada kita sebagai manusia dengan kemuliaan-Nya, agar kita menjadi golongan yang mulia.

Oleh itu, mimbar menyeru semua pihak agar di dalam bulan Ramadhan yang mulia dan penuh keberkatan ini, marilah kita sama-sama mengambil manfaat untuk meningkatkan ketaqwaan dan mengubah segala kelakuan buruk dengan mengamalkan segala isi kandungan al-Quran agar kehidupan kita lebih diredhai Allah SWT.

Bagi mengamalkan al-Quran di dalam dunia yang nyata ini, pujangga Islam yang terkemuka Muhamad Iqbal pernah memberi petua dengan menyatakan: Bacalah al-Quran seolah olah ia diturunkan kepadamu.

 .

Mimbar menyeru sekali lagi khususnya kepada ibu-bapa, marilah sama-sama kita mendidik anak-anak dengan didikan al-Quran, ajarlah mereka dengan ajaran al-Quran, semaikanlah mereka dengan budaya al-Quran dan membiasakan mereka dengan kalimah dan ayat-ayat suci al-Quran. Mudah-mudahan dengan cara ini hidup yang bakal dilalui oleh mereka akan diterangi oleh cahaya kebenaran dan keinsafan. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan umatnya yang mana hatinya terpaut dan terdidik dengan al-Quran.

Mimbar pada hari ini mengambil kesempatan untuk merakamkan rasa kesedihan terhadap kejadian yang telah menimpa rakyat Palestine pada hari ini, mereka ini sekali lagi diserang oleh tentera Israel dengan penuh kekejaman dan keganasan.

Justeru, mimbar menyeru sidang Jumaat dan umat Islam sekalian marilah kita membantu meringankan penderitaan mereka dengan berdoa kepada Allah SWT sehinggalah memberi tekanan demi tekanan kepada rejim Israel tersebut.

Oleh itu, mimbar menyeru para jemaah dan seluruh umat Islam di negara ini untuk mengadakan Solat Sunat Hajat dan bacaan Qunut Nazilah, memohon doa kehadrat Allah SWT agar dikurniakan keselamatan dan keamanan kepada rakyat Palestine, diberikan kekuatan semangat dan kecekalan hati serta kemenangan dalam menghadapi kezaliman Israel.

Seterusnya marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah Faatir ayat 10:

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا دَاوُۥدَ مِنَّا فَضْلًاۖ يَـٰجِبَالُ أَوِّبِى مَعَهُۥ وَٱلطَّيْرَۖ وَأَلَنَّا لَهُ ٱلْحَدِيدَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada-Nyalah naik segala perkataan yang baik dan amal yang soleh pula di angkat-Nya naik. Dan orang yang merancang kejahatan, adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka akan rosak binasa”.

.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Menyingkap Rahsia Ramadhan

(11  Julai 2014 / 13 Ramadhan 1435H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: