Fadhilat Arafah Ke Serata Dunia

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kita perlu menghayati ‘Roh Haji’ walaupun tidak ke Tanah Suci supaya beroleh ganjaran yang disarankan pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Allah Yang Maha adil dan Maha Penyayang tetap mahu seluruh umat Islam dapat manfaat di atas keutamaan jemaah yang telah dijemput khusus di Tanah Suci.

Kepada yang tidak dapat ke sana, Allah tidak pernah melupakan. Kita tetap diberi keutamaan. Kita masih tetap dituntut oleh Allah SWT supaya menghayati ‘Roh Haji’, kerana Allah tetap mahu mengurniakan pahala dan rahmat-Nya dengan syarat kita kekal mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

.

.

Amalan Bagi Yang Tidak Menunaikan Haji

Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji, mereka boleh memanfaatkan kemuliaan hari Arafah dengan berpuasa sunat, berzikir dan melakukan amalan sunat lain pada hari itu.

Puasa Hari Arafah ialah puasa pada hari ke 9 Zulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Kelebihan berpuasa Sunat Arafah dapat menghasilkan ganjaran pahala yang sangat besar. Berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang.

.

Daripada Abu Qatadah al-Anshari r.a.; Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

.

.

Niat Puasa Hari Arafah;

 

niat puasa sunat arafah

.

Rasulullah SAW bersabda lagi: “Tiada hari yang paling ramai Allah SWT melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang dikehendaki oleh mereka?”

.

Rasulullah SAW juga bersabda: “Orang yang berpuasa pada Hari Arafah (9 Zulhijjah), Allah akan menuliskan baginya puasa 60 tahun dan Allah menuliskannya sebagai orang yang taat.”

.

.

Puasa Hari-Hari Sebelumnya

Disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Zulhijjah di samping berpuasa pada Hari Arafah (9 Zulhijjah) sebagai langkah berhati-hati yang mana kemungkinan pada hari ke 8 Zulhijjah itu adalah hari yang ke 9 Zulhijjah (Hari ‘Arafah). Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari, iaitu dari hari yang pertama bulan Zulhijjah hingga ke hari yang ke lapan sama ada bagi orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama dengan Hari Arafah.

Diriwayatkan dari Ibn Abbas r.a.,  Rasulullah SAW bersabda: “Tiada amal soleh yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih disukai daripada hari-hari ini (sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah).”  (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari beberapa isteri Nabi SAW:  “Sesungguhnya Rasulullah SAW melakukan puasa sembilan hari di awal bulan Zulhijjah, di Hari Asyura dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari Isnin yang pertama dan dua hari Khamis yang berikutnya.”  (Hadith Riwayat Imam Ahmad dan an-Nasa’ie)

.

.

Jemaah Haji Tidak Perlu Berpuasa

Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu.

Diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith: “Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di Arafah lantas Baginda meminumnya.”  (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Juga daripada hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:  “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari Arafah bagi mereka yang berada di Arafah.”  (Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah r.ha.).

.

.

Haram Berpuasa

Adapun berpuasa pada hari Aidiladha (10 Dzulhijjah) dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah diharamkan berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Umar ra:  “Bahawasanya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari, iaitu Aidil Adha dan Aidil Fitri.” (Hadith Riwayat Imam Muslim, Ahmad, an-Nasa’ie, Abu Dawud)

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk mengumumkan di Mina: “Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari Tasyrik). Ia adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.”  (Hadith Riwayat Imam Ahmad r.a.).

 .

.

Pendapat Ulama Tentang Puasa Arafah

1. Al-Imam as-Syaf’ie rh berpendapat; “Disunatkan puasa pada hari ‘Arafah bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji. Adapun bagi yang mengerjakan ibadah haji, adalah lebih baik untuknya berbuka agar ia kuat beribadat di ‘Arafah.”

2.  Dari pendapat Imam Ahmad rh pula; “Jika ia sanggup berpuasa maka boleh berpuasa, tetapi jika tidak hendaklah ia berbuka, sebab hari ‘Arafah memerlukan kekuatan (tenaga).” Begitu juga dengan para sahabat yang lain, lebih ramai yang cenderung untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah ketika mengerjakan ibadah haji

3.  Ulama Syafi’iyyah membenarkan untuk berpuasa pada hari tasyrik hanya untuk keadaan tertentu seperti bersumpah, qadha puasa di bulan Ramadhan serta puasa kifarah (denda). Puasa tanpa sebab tertentu pada hari-hari ini (puasa sunat) adalah ditegah.

.

.

Jadi marilah kita di tanah air merebut peluang ini dengan melakukan puasa 1-9 Zulhijjah, atau setidak-tidaknya diusahakan berpuasa pada Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijah yang amat besar pahala dan manfaatnya itu.

.

Allahu a’lam bisshawab…

.

وسلام

.

Posted by; Shafiqolbu

.

Leave a comment