Berbaktilah Kepada Ibu Sebelum Ajal Menjemput

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

.

ISLAM amat memuliakan ibu dan kemuliaan ibu menduduki tempat kedua selepas mentaati Allah SWT. Justeru, Allah SWT mewajibkan anak memuliakan dan menghormati ibu sekalipun berlainan kepercayaan dan pegangan agama.


Allah SWT juga secara tegas mengharamkan segala bentuk penderhakaan kepada kedua-dua orang tua selagi ibu bapa berada atas landasan syarak.

Ini ditegaskan dalam firman-Nya:

17:23

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Surah al-Israa’, ayat 23)

.

Adalah satu hakikat bahawa ibu mempunyai kedudukan lebih tinggi berbanding bapa. Berdasarkan sifat dan naluri keibuan, maka tidak hairan anak lebih mengasihi, mengingati serta sering menyebut nama ibu berbanding bapa.

Jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Jika hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Jika ingin tidur, kita mahu ibu yang tidurkan. Jika ingin berkahwin, ibu juga yang kita risaukan. Malah sehingga saat menghadapi kematian pun, kita akan menyebut nama ibu.

Kuatnya ingatan anak kepada ibu ialah kerana ibulah yang mengandungkan kita, menyusukan, menyuapkan makan dan minum, mendodoi dan menidurkan, membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita.

.

Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanan mereka. Firman Allah SWT:

31:14

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)

.

Ingatlah, ibu bapa adalah perantara yang menyebabkan kita berada di dunia ini. Mereka terlalu banyak berkorban tenaga, masa dan harta demi kebahagiaan anak. Sedarilah, ibu bapa kita kini telah tua, lemah tenaga, kabur penglihatan dan kurang pendengaran.

Mereka sangat mengharapkan pertolongan dan perhatian anak. Gembiralah ibu bapa andainya mereka dikasihi serta dimuliakan dan hancurlah hati ibu bapa jika kita menderhaka. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan ibu bapa amat besar dan tidak mungkin kita dapat menebusnya.

.

Imam Bukhari meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah mengenai seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sesudah selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar: “Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku?” Jawab Ibnu Umar: “Tidak! Apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.” 

.

Amat dukacita kerana masih ada kes penderhakaan yang dilakukan segelintir masyarakat terhadap ibu. Menunjukkan kedegilan melawan cakap ibu, lari meninggalkan rumah kerana tidak suka dinasihati ibu, membiarkan ibu yang sakit bersendirian, meminggirkan ibu tanpa khabar berita, mengherdik ibu, mengkhianati harta benda ibu, menjadikan ibu sebagai orang gaji, malah ada sanggup memukul ibu. 

.

Apa yang ganjilnya, ada segelintir daripada kita yang berebut-rebut mencium tangan orang lain tetapi jarang sekali mencium tangan ibu sendiri yang sebenarnya ada keberkatan. Insaflah, perbuatan menderhakai ibu bapa mendatangkan kecelakaan di dunia dan akhirat.

Di dunia kita akan menerima giliran anak menderhaka kepada kita dan begitulah seterusnya. Manakala di akhirat, akan menerima kemurkaan Allah SWT selaras hadis diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Hurairah.

 

Rasulullah SAW bersabda: “Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah.” Maka Rasulullah ditanya: “Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).” 

.

Marilah kita bersegera mengubat kerinduan ibu sebelum mereka didatangi ajal. Gembirakanlah mereka dan carilah keredaan mereka serta perbanyakkan doa keampunan kepada mereka. Budayakan amalan memuliakan dan menghormati ibu bapa di sepanjang kehidupan dan jangan hanya dibuat pada masa tertentu saja.

Inilah kewajipan anak yang ditegaskan Allah SWT dalam firman:

17:24

“Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Israa’, ayat 24)

.

Artikel asal;

‘Ubat kerinduan orang tua sebelum ajal menjemput’

Oleh Hizbur Rahman

.

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

.

Artikel Berkaitan:

  1. Sejarah dan Hukum Sambutan Hari Ibu  (Klik Di Sini)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

3 responses to this post.

  1. […] ‘Hari Ibu’ disambut pada Ahad ke-2 bulan Mei setiap tahun oleh kebanyakan penduduk di seluruh dunia, termasuk masyarakat di Malaysia. Secara umumnya umat Islam tanpa usul periksa menerima bulat-bulat apa yang diperkenal dan dianjurkan oleh dunia Barat. Tahukah anda sejarah bermulanya ‘Hari Ibu’? […]

    Reply

  2. […] Berbaktilah Kepada Ibu Sebelum Ajal Menjemput  (Klik Di Sini) […]

    Reply

  3. Assalamualaikum.. saya ingin bertanya berdosakah jika kita ‘terpaksa’ menyakiti hati ibu kandung kita sendiri kerana ingin menegur perbuatannya yang sudah melanggar hukum syarak? dan bagaimana ingin menasihatinya jika dia sering menghabiskan duit anak2 yang disimpan hanya untuk pelajaran

    Reply

Leave a comment