Dimanakah Solat Kita ?

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

 .

Mengapa ibadah solat tidak dapat membaiki diri kita dalam era membina modal insan, nilaikan solat kita, nanti akan terjawab kenapa kita tidak dibantu dan ini juga gambaran secara keseluruhannya, mengapa umat Islam terbiar dan tiada pembela dan umat Islam kini tidak lagi menjadi umat yang agung seperti dulu.  

.

.

Golongan Pertama

.

Kita boleh lihat hari ini sudah ramai umat Islam yang tidak solat, bahkan ramai juga yang tidak tahu bagaimana hendak solat; mereka telah jatuh kafir. Imam Malik berkata bahawa jatuh kafir kalau tidak solat tanpa sebab. Imam Syafie kata jatuh fasik (pun masuk neraka juga) kalau ia masih yakin solat itu fardhu tidak tidak solat.

.

.

Golongan Kedua

.

Orang yang mengerjakan solat secara zahir sahaja, bacaan pun masih tak betul, taklid buta, main ikut-ikut orang saja. Belajar solat maupun secara rasmi atau tak rasmi tak ada. Ilmu tentang solat tiada. Golongan ini tertolak bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaan derhaka kepada Allah Ta’ala.

.

.

Golongan Ketiga

.

Orang yang mengerjakan solat, bahkan tahu ilmu mengenai solat, tetapi tak boleh lawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap solat, sekejap tidak. Kalau ada masa dan mood baik, ia solat; kalau sibuk dan terkocoh kacah, ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, maka ia tak solat. Orang ini jatuh fasik.

.

.

Golongan Keempat

.

Orang yang solat, kalaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya, tetapi tak khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafaznya banyak yang dia tak faham, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu sepenuhnya pada solat yang dilaksanakannya itu disebabkan tak faham apa yang dia baca. Cuma main hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu pada dunia dan alam sekelilingnya. Fikirannya mengembara dalam solat, orang ini lalai dalam solat. Neraka wail bagi orang jenis ini.

.

.

Golongan Kelima

.

Golongan yang mengerjakan solat cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan solat, fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tapi tak dihayati maksud dalam solat itu. Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia, dek kerana faham saja tetapi tidak dihayati. Golongan ini dikategorikan sebagai solat awamul muslimin.

.

.

Golongan Keenam

.

Golongan ini baik sedikit dari golongan yang ke lima tadi, tetapi main tarik tali di dalam solatnya, sekali sekala khusyuk, sekali sekala lalai pula. Bila teringat sesuatu di dalam solatnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya. Bila teringat Allah secara tiba- tiba, maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan di dalam solatnya. Begitulah sehingga selesai solatnya. Ia merintih dan tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Golongan ini adalah golongan yang lemah jiwa. Nafsunya bertahap mulhamah (ertinya menyesal akan kelalaiannya dan cuba baiki semula, tapi masih tak terdaya kerana tiada kekuatan jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah. Yang sedar dan khusyuk itu mudah-mudahan diterima oleh Allah SWT, mana yang lalai itu moga-moga Allah ampunkan dosanya, namun tiada pahala nilai solat itu. Ertinya solatnya tiada memberi kesan apa apa. Allah belum lagi cinta akan orang jenis ini.

.

.

Golongan Ketujuh

.

Golongan yang mengerjakan solat yang tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz di dalam solatnya. Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekelilingnya sehingga pekerjaan atau apa pun yang dilakukan atau yang difikirkan di luar solat itu tidak mempengaruhi solatnya. Walaupun ia memiliki harta dunia, menjalankan kewajiban dan tugas keduniaan seperti perniagaan dan sebagainya namun tidak mempengaruhi solatnya. Hatinya masih dapat memuja Allah di dalam solatnya. Golongan ini disebut orang-orang soleh atau golongan ‘abrar’ ataupun ‘ashabul yamin’.

.

.

Golongan Kelapan

.

Golongan ini seperti juga golongan ketujuh tetapi ia mempunyai kelebihan sedikit iaitu bukan saja faham, dan tak mengingati dunia di dalam solatnya, malahan dia dapat menghayati setiap makna bacaan solatnya itu, pada setiap kalimah bacaan fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap sujudnya dan setiap gerak gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat langsung dengan dunia walaupun sedikit. Tapi namun ia masih tersedar dengan alam sekelilingnya. Pemujaan terhadap Allah SWT dapat dirasai pada gerak dalam solatnya. Inilah golongan yang dinamakan golongan ‘Mukkarrabin’ (Yang hampir dengan Allah).

.

.

Golongan Kesembilan

.

Golongan ini adalah golongan yang tertinggi dari seluruh golongan tadi. Iaitu bukan saja ibadah solat itu dijiwai di dalam solat malahan ia dapat mempengaruhi di luar solat. Kalau ia bermasalah terus ia solat, kerana ia yakin solat punca penyelesai segala masalah. Ia telah ‘fana’ dengan solat. Solat telah menjadi penyejuk hatinya. Ini dapat dibuktikan di dalam sejarah, seperti solat Saidina Ali ketika panah terpacak dibetisnya. Untuk mencabutnya, ia lakukan solat dahulu, maka di dalam solat itulah panah itu dicabut. Mereka telah asyik dengan solat. Makin banyak solat semakin terasa lazat, solatlah cara ia nak lepaskan kerinduan dengan tuhannya. Dalam solatlah cara ia nak mengadu-ngadu dengan Tuhannya. Dunia sekelilingnya langsung ia tidak hiraukan. Apa yang terjadi disekelilingnya langsung tak diambil peduli. Hatinya hanya pada Tuhannya. Golongan inilah yang disebut golongan ‘Siddiqin’ (Golongan yang benar dan haq).

.

.

.

Penutup

.

Setelah kita nilai keseluruhan sembilan peringkat solat itu tadi, maka dapatlah kita nilai solat kita di tahap yang mana. Maka ibadah solat yang boleh membangunkan jiwa, membangunkan iman, menjauhkan dari yang buruk, boleh mengrungkai ‘mazmumah’, menanamkan ‘mahmudah’, melahirkan disiplin hidup, melahirkan akhlak yang agung ialah golongan ke tujuh, lapan dan sembilan sahaja, solatnya ada kualiti, manakala golongan yang lain jatuh pada kufur, fasik dan zalim. Jadi di manakah tahap solat kita? Perbaikilah diri kita mulai dari sekarang. Jangan ditangguh lagi.

.

Soalan pertama yang akan diajukan kepada kita di akhirat nanti ialah solat atau solat kita. Marilah bersama membaiki solat kita agar segera dapat bantuan dari Allah SWT dan supaya terhapuslah kezaliman, semoga tertegak kembali daulah Islamiyah.

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

2 responses to this post.

  1. Bagaimana untuk kyusuk didalam solat. bagaimana menghayatinya? bagaimana untuk berada sekurang2nya di peringkat solat yg ketujuh itu?

    Reply

Leave a comment