Puasa ~ Rukun Islam Ketiga

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Puasa SQ

.

Puasa adalah Rukun Islam ketiga. Puasa bererti menahan diri daripada makan, minum, bersetubuh dan sebarang perkara yang boleh membatalkan puasa serta menahan diri daripada perkara yang ‘lagha’ (sia-sia), menimbulkan syahwat dan mengucapkan perkataan-perkataan yang dilarang; bermula dari waktu terbit fajar hingga terbenam matahari dengan disertai niat pada malamnya.

Allah سبحانه وتعالى berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan kepada mereka yang sebelum daripada kamu supaya kamu menjadi orang yang bertakwa.” (Surah Al-Baqarah,ayat 183).

.

Allah سبحانه وتعالى   mewajibkan puasa 30 hari ke atas umat Islam berdasarkan hadis daripada Rasullullah ﷺ: “Ketika Nabi Adam memakan buah pohon khuldi yang dilarang dan makanan itu tersangkut dalam perut Nabi Adam a.s. selama 30 hari. Maka Allah سبحانه وتعالى. mewajibkan ke atas keturunan Adam a.s. berlapar selama 30 hari. Sementara keizinan makan di waktu malam, adalah sebagai kurnia Allah سبحانه وتعالى  . kepada makhluk-Nya.”

.
.

KEUTAMAAN PUASA

.

Kepentingan puasa boleh diumpamakan sebagai benteng dan senjata menahan manusia daripada melakukan maksiat dan kemungkaran disamping membentuk sikap berdisiplin di kalangan mukmin, terutama disiplin terhadap waktu.

 

Rasulullah ﷺ. Bersabda: “Setiap amalan baik dibalas baik dengan 10 kali ganda hingga 700 kali ganda. Allah berfirman; “Ibadah puasa adalah untuk-Ku dan Aku yang membalasnya.” Ibadah puasa adalah perisai yang boleh menahan seseorang daripada api neraka dan demi bau mulut orang yang berpuasa terlebih baik di sisi Allah daripada bau kasturi dan jika dilakukan perbuatan jahat oleh seorang jahil terhadap salah seorang daripada kamu, sedangkan dia sedang berpuasa, hendaklah dia berkata, sesungguhnya aku seorang yang sedang berpuasa, aku seorang yang sedang berpuasa.” (Riwayat Tirmizi).

.

Berpuasa juga adalah rahsia bagi meningkatkan nikmat amal dan iman sehingga puasa mendatangkan kepuasan zahir dan batin. Sabda Rasulullah ﷺ.: “Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan iaitu kegembiraan sewaktu berbuka dan kegembiraan sewaktu bertemu dengan Tuhannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

.

.

PERISAI MUKMIN

.

Puasa dapat menghapuskan dosa dengan syarat menjaga diri daripada apa yang mesti dijaga dan dalam berpuasa ada ketika tidak dapat melaksanakannya dengan sempurna, ada kekurangannya dan kekeliruan oleh itu ia dapat ditampung dengan bersedekah.

.

  1. Diriwayatkan oleh Ahmad daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah ﷺ. bersabda: “Puasa itu perisai dan benteng kukuh yang melindungi seseorang daripada api neraka. Sekiranya seseorang daripada kamu sedang berpuasa, maka janganlah bercakap kotor dan janganlah menengking. Jika seseorang mencela atau ingin bergaduh, katakanlah: “Sesungguhnya aku berpuasa.”  Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

.

  1. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah ﷺ. Bersabda; “Puasa itu sebagai perisai dan apabila seseorang itu berpuasa maka janganlah ia bercakap kotor, menjerit-jerit serta jangan berlaku bodoh.”

.

  1. Rasulullah ﷺ. bersabda: “Di syurga ada ruangan yang bahagian luarnya dapat dilihat daripada dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar, untuk mereka yang berkata baik, memberi makan, selalu berpuasa dan solat ketika orang lain tidur.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).

.

.

RUKUN PUASA

.

  1. Niat

 

Hendaklah berniat puasa, bermula dari tenggelam matahari hingga sebelum terbit fajar untuk puasa keesokannya, walaubagaimanapun niat puasa sunat dibolehkan selepas terbit fajar selagi belum makan dan minum.

Rasulullah ﷺ. bersabda: “Sesiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya.” (Hadis riwayat Abu Daud.)

.

Menahan diri daripada makan, minum, berjimak dan muntah serta meninggalkan segala perkara yang membatalkan puasa, mulai terbit fajar sehingga matahari jatuh.

.

.

NIAT

.

1.  Syarat Niat Puasa

    1. Niat harus disebut dalam hati, bukan dengan lisan.
    2. Ketika berniat, wajib menentukan jenis puasa seperti sunat atau fardu Ramadhan.
    3. Waktu berniat puasa ialah selepas terbenam matahari hingga sebelum Subuh.
    4. Tidak sah niat puasa fardu yang serentak dengan ketibaan waktu fajar.
    5. Niat puasa sunat dibolehkan di siang hari, asalkan belum menjamah makanan.
    6. Lebih afdal, niat dibuat pada setiap malam untuk setiap hari puasa yang dilakukan.
    7. Diharuskan sekali niat untuk puasa satu bulan Ramadhan yang dilakukan pada malam pertama Ramadhan.
    8. Tanpa niat, puasa-puasa wajib seperti nazar dan Ramadhan adalah tidak sah.

.

.

2.  Lafaz Niat Puasa:

 .

 Lafaz Niat Puasa 2

.

.

PUASA RAMADHAN

.

Ramadhan itu bulan ibadah, maka segala kerja yang dilakukan seharian juga dianggap ibadat. Ganjarannya sungguh besar antara 10 hingga 700 kali ganda. Rasulullah ﷺ mengisi puasanya dengan bertadarus Al-Quran, malamnya pula bertarawih dan Qiamullail.

Sesiapa yang berpuasa kerana iman tidak akan pernah ragu dalam mengerjakan ibadat sepanjang Ramadhan. Yakin dengan bersedekah, membaca Al-Quran, Tarawih, Qiyamullail, Iktikaf, menambah ilmu dengan mengikuti majlisnya dan ibadat lain yang disandarkan kepada Rasulullah ﷺ.

Rasulullahﷺ bersabda: “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan (penuh pengharapan), maka akan diampuni dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

.

.

KEIKHLASAN BERPUASA

.

Ikhlas iaitu bersih, suci, murni dan tulus semata-mata mengharapkan keredaan Allah سبحانه وتعالى  . . Ikhlas atau harapan kepada Allah bagi orang yang berpuasa sentiasa berada pada puncak ketinggian. Puasa tanpa diiringi keikhlasan bagaikan jasad tanpa roh.

Jika iman menjadi pendorong kepada ibadat yang dilakukan oleh orang berpuasa, maka ikhlas pula adalah roh yang menghidupkan ibadat itu. Kedua-duanya saling berkaitan satu sama lain dan saling lengkap melengkapi.

Ikhlas atau pengharapan itu hendaknya kepada tiga matlamat yang paling baik pada sepanjang Ramadhan iaitu RahmatNya, MaghfirahNya dan Pelepasan dari siksa neraka.

.

Mereka yang berpuasa juga hendaklah menahan nafsu keinginan dan sebarang godaan, menahan perkataan dan perbuatan daripada perkara tercela dan sia-sia, termasuk memelihara segala sesuatu yang boleh mengurangi nilai puasa. Inilah pengertian sebenar puasa.Nabi ﷺ bersabda : “Bukanlah puasa itu hanya kerana tidak makan dan minum, tetapi puasa itu juga harus menahan diri daripada ucapan sia-sia dan kotor.” (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim).

 

Sabda Rasulullahﷺ lagi; “Jika kamu berpuasa, maka jangan kamu berkata keji atau jangan marah, jika ada yang memaki atau mengajak berkelahi, hendaklah diberitahu, “saya berpuasa”.”

Satu lagi hadis Nabi ﷺ yang diriwayatkan dari Abu Hurairah; “Tidaklah dikatakan berpuasa kerana tidak makan dan tidak minum, akan tetapi yang dinamakan berpuasa adalah kerana meninggalkan ucapan sia-sia dan perbuatan buruk kerana itu jika ada orang yang memakimu atau berlaku jahil kepadamu, katakanlah (kepadanya): “Aku sedang berpuasa. Aku sedang berpuasa.”

. .

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

وَالسَّلاَمْ

.

Posted by; shafiqolbu

sign s

.

.

Leave a comment